Friday, August 8, 2014

TAHLIL DAN DOA SELAMAT DI MELAKA, ESOK.

MELAKA, 6 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka akan menukar Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang ditangguhkan kepada Majlis Tahlil, Doa Selamat dan Solat Hajat untuk mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 dan MH370.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata majlis itu akan diadakan di Masjid Al-Alami, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka Sabtu ini bermula pukul 9.30 pagi, dan selepas itu jamuan makan dengan menu Aidilfitri.

"Kita menganjurkan majlis ini untuk mendoakan kesejahteraan mangsa serta keluarga tragedi MH17 dan MH370 selain mendoakan kesejahteraan saudara kita di Gaza, Palestin.

"Semua tidak kira Islam atau bukan Islam dijemput hadir," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Seri Negeri di sini Rabu.

Pada 8 Mac, MH370 dalam penerbangan ke Beijing membawa 239 penumpang dan anak kapal dilaporkan berakhir di Lautan Hindi; manakala MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur bersama 298 penumpang dan anak kapal.

Sementara itu, DS Idris berkata Sekolah Menengah Tinggi Melaka yang ditubuhkan pada 1826 masih mampu menampung keperluan pembelajaran pelajar di kawasan tersebut dan kerajaan negeri tiada cadangan untuk memindahkan sekolah itu ke kawasan baharu.

"Bangunan sekolah itu merupakan sebahagian daripada tapak warisan sejarah dan kita tidak akan sewenang-wenang merobohkan bangunan tersebut, malah kita ada syarat ketat untuk melakukan baikpulih bangunan sekolah itu.

Laporan menyebut sekolah itu akan dipindahkan ke kawasan lain bagi memberi laluan kepada projek pembangunan dan ini mencetuskan perbahasan umum.

DS Idris juga mengumumkan kerajaan negeri akan mengkaji semula gred gaji kakitangan awam kerajaan negeri bagi memastikan beban kerja mereka setimpal dengan gaji dan ganjaran.

"Daripada ketua hinggalah ke pembantu cabaran kakitangan awam negeri ini semakin bertambah, semakin getir...kita akan ambil masa tiga bulan untuk kaji semua ini," katanya.- BERNAMA.

(Renungan Rimau : Pemimpin muda yang bijaksana. Boleh diketengahkan mulai sekarang untuk pemimpin nasional pada masa akan datang.)