Friday, January 9, 2015

MCMC AKAN DAPAT PENGERUSI BARU

Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR : MCMC akan mendapat pengerusi baru berikutan ketegasan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Dato' Ahmad Shabery Cheek mahukan perubahan dalam suruhanjaya yang banyak mendapat kritikan termasuk dari kalangan pemimpin parti pemerintah.

Sumber memberitahu Dunia Tiger dalam pertemuan antara DSASC dengan Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak, Menteri itu menyebut bahawa MCMC memerlukan pemimpin yang mampu membawa suruhanjaya itu ke tahap yang lebih baik terutama menangani fitnah alam maya.

"Menteri mahu MCMC dipimpin oleh Pengerusi yang berani membuat tindakan pantas dan mampu memastikan kegiatan menyebarkan maklumat palsu dan fitnah dapat dikurangkan atau diberhentikan," kata satu sumber kepada Dunia Tiger.

Perdana Menteri yang pada mulanya dikatakan mahu mengekalkan Datuk Mohd Shahril Tarmizi beralah setelah mendengar penjelasan panjang lebar daripada DSASC termasuk juga perkara mengasingkan jawatan CEO dan Pengerusi. Dalam ertikata lain, kedua-dua jawatan itu akan dipegang oleh dua orang bukan seorang seperti yang berlaku sebelum ini.

Sebelum ini, adalah disebut-sebut bekas calon BN, Permatang Pauh, Dr Mazlan Ismail akan dilantik menjadi Pengerusi tetapi ramai pihak berpendapat ia bukanlah pendekatan terbaik seolah-olah MCMC tempat untuk melonggokkan pihak yang pernah tewas dalam PRU.

Ketika ini, CEO dipangku oleh Tengku Zaid Raja Ahmad manakala jawatan Pengerusi dipangku oleh KSU KKMM, Datuk Seri Dr Syarifah Zarah Syed Ahmad.

Perlantikan itu dijangka dibuat dalam masa terdekat dan Menteri mahu pengerusi baru melihat kepada usaha menyusun semula suruhanjaya itu selain melihat undang-undang yang dikatakan 'longgar' dalam membanteras kegiatan menyebarkan maklumat palsu dan fitnah.