DUBAI, UAE 30 Mac
(Bernama) – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
mahu pemain utama teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memainkan peranan
yang lebih besar dalam industri penerbangan.
Menurutnya, walaupun bidang
komunikasi amat maju dan bergerak pantas, namun teknologi kotak hitam tidak
berubah sejak 30 tahun lalu dan perlu dikaji semula. Katanya pencarian kotak
hitam, contohnya, seharusnya menjadi sesuatu yang lampau.
“Dengan penggunaan
perkomputeran ‘cloud’ di era data besar (big data) ini, saya percaya data
daripada sesebuah kapal terbang sepatutnya boleh dihantar secara berterusan dan
disimpan di pusat data di darat.
“Saya meminta Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bekerjasama dengan industri ke arah ini. Ini
termasuk membangunkan sistem pemantauan berterusan ke atas data penerbangan
serta apa yang berlaku dalam kokpit. Data ini kemudiannya boleh diakses dan
dianalisis tanpa perlu untuk mencari kotak hitam.” Katanya.
Shabery berkata demikian
ketika menyampaikan ucapan dasar Malaysia di Persidangan Pembangunan
Telekomunikasi Dunia (WTDC) 2014 di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.
WTDC adalah satu persidangan
di bawah ITU, iaitu sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)
yang bertanggungjawab menyelaras isu-isu
global berkaitan ICT. Persidangan ini dipengerusikan oleh tuan rumah, iaitu
Emiriyah Arab Bersatu. Turut hadir adalah Dr Hamadoun Toure, Setiausaha Agung
ITU.
Dalam ucapannya, Shabery juga
merakamkan terima kasih kepada semua
25 negara dan mereka yang
membantu Malaysia dalam pencarian pesawat MH370.
Diadakan setiap empat tahun,
WTDC menumpukan kepada salah satu sektor dalam bidang ICT, iaitu pembangunan
telekomunikasi. Mesyuarat kali ini, yang diadakan dari 30 Mac hingga 10 April,
adalah bertemakan “Jalur Lebar untuk Pembangunan Lestari” atau “Broadband for
Sustainable Growth” dan dihadiri oleh lebih kurang 1,000 orang delegasi.
Ketika persidangan itu,
Shabery juga sempat mengadakan pertemuan dua hala dengan delegasi dari Jepun,
yang diketuai oleh Masahiro Yoshizaki, Naib Menteri Penyelarasan Dasar (Hal
Ehwal Antarabangsa) [Vice Minister for Policy Coordination (International
Affairs)].
Antara isu yang dibincangkan
adalah potensi usahasama kedua-dua negara, terutamanya dalam bidang pembayaran
mudah alih (mobile payment) dan keselamatan siber (cyber security).
Kehadiran delegasi negara
dalam mesyuarat global ini adalah penting bagi mengekalkan imej dan kredibiliti
Malaysia sebagai peneraju bidang telekomunikasi terutama di kalangan
negara-negara membangun.
Malaysia dilantik untuk
mempengerusikan salah satu daripada lima jawatankuasa, iaitu “Committee 4:
Working Methods” semasa mesyuarat ini. Malaysia juga memainkan peranan besar
sebagai Naib Pengerusi untuk rantau Asia Pasifik. - BERNAMA.