Friday, March 23, 2012

PERSEMADIAN TOKOH WARTAWAN

Tokoh wartawan, Allahyarham TS Mazlan Nordin selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara jam 11 pagi tadi bersebelahan pusara isteri tercintanya. Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama roh orang-orang yang soleh.

Turut hadir di pengkebumian ialah TS Zainuddin Maidin, Datuk A Kadir Jasin, Datuk Ahmad A Talib, Datuk Rejal Arbee, Datuk Jalaluddin Bahaudin, Datuk Khalid Mohd, Shah De Bunt, Matt Metro, sanak saudara dan rakan taulan.

Thursday, March 22, 2012

TS MAZLAN NORDIN MENINGGALKAN KITA

Sejurus mendapat panggilan TS Zam yang menyatakan TS Mazlan Nordin meninggalkan dunia jam 4.15 petang, penulis segera menghubungi Timbalan Pengarah BES RTM, Muis Shafei untuk kegunaan Berita RTM. Pada masa itu jika cepat, sempat untuk dibuat crawler atau disiarkan berita radio. Setidak-tidaknya Berita TV jam 5. Tak tahulah sama ada RTM menyiarkan bahan berita itu dengan segera. Tak memantaunya. Penulis juga menyiarkan berita kematian itu dalam facebook peribadi.

Hakikatnya, dalam diri TS Zam masih mengalir sifat kewartawanannya yang mahu tv atau radio menyiarkan segera berita itu. Ini yang harus dipelajari golongan wartawan generasi baru agar bertindak pantas jika ada berita yang perlu disegerakan. TS Zam antara rakan wartawan terakhir yang menziarahi TS Mazlan, kira-kira 20 minit sebelum tokoh wartawan menghembuskan nafas terakhir.

Penulis bergegas ke rumah anak TS Mazlan di No 14 Jalan Dato Abu Bakar 16/1 dan sanak-saudara sibuk menyusun atur segala keperluan sebelum jenazah yang dimandi dan dikapankan di Masjid 224 dibawa kerumah. Wartawan media cetak dan elektronik sudah ramai menunggu kepulangan jenazah di rumah itu.

Selepas Maghrib, ramai rakan wartawan datang menziarah jenazah. Antaranya termasuklah A Kadir Jasin, Azman Ujang, Ahmad A Talib, Rahman Suliman, Johan Jaafar, Abdullah Hassan, Zainon Ahmad, Chamil Wariya, Hamzah Sidek dan wartawan generasi muda. Ada yang mengiringi jenazah dari Masjid 224 lagi seperti AKJ.

Jenazah TS Mazlan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara pagi esok. Semoga roh Allahyarham TS Mazlan Nordin akan ditempatkan bersama roh orang-orang soleh. Al-Fatihah.

Kenyataan DSU Dr Rais Yatim dalam Facebook beliau : - AL- FATIHAH : Dunia penulisan dan kewartawanan kehilangan seorang ikon. Allahyarham Tan Sri Mazlan Nordin yang meninggal dunia kira-kira jam 4.15 petang tadi merupakan jurnalis yang berperibadi gigih melalui karier yang sangat produktif. Penulisan beliau melalui Utusan Malaysia dan jasanya sebagai bekas Pengerusi Bernama akan sentiasa dikenang dan dihargai. Penulisannya sering mencerminkan sifat dan watak kesederhanaan tetapi tajam. Jasanya melalui penulisan yang berbahasa Melayu dan Inggeris akan sentiasa dikenang. Dunia kewartawanan akan sentiasa menilai tinggi keperibadiannya yang ulung. Secara peribadi saya kehilangan seorang rakan lama.

Tuesday, March 13, 2012

PM BAYAR SENDIRI


Oleh Aidila Razak (Malaysiakini)

KUALA LUMPUR : Bil katering bagi majlis pertunangan anak perempuan Datuk Seri Najib Abdul Razak dibiayai oleh Perdana Menteri dan bukannya oleh Kerajaan Persekutuan, kata Hotel Shangri-La Kuala Lumpur.

"Majlis ini berakhir pada 17 Jun dan bayaran penuh dibuat oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan bukannya pada 30 Jun dan bukannya oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO)," katanya.

Menjawab pertanyaan Malaysiakini, pengurusan hotel juga mengesahkan bahawa borang Pesanan Majlis Bankuet atau 'Banquet Event Order' yang didedahkan oleh PKR adalah salinan yang sah.

Menurut dokumen itu, PMO dikenakan bayaran RM409,767 oleh Hotel Shangri-La untuk perkhidmatan katering, yang membekalkan udang karang dan daging lembu Wagyu, untuk kira-kira 900 tetamu. - MALAYSIAKINI.

(Renungan Rimau : Mesti tahu bezakan 'siapa yang bayar' dan bil yang ada alamat'surat menyurat'. Janganlah buat orang marah kat Perdana Menteri wahai pemimpin PKR. Tak baik tau).

POS MALAYSIA & INDONESIA

Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia, Tifatul Sembiring bertukar cenderamata dengan Menteri Penerangan Komunikasi Kebudayaan, Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim di Jakarta pada 8 Mac 2012.



Monday, March 12, 2012

SOKONG AGENDA KERAJAAN

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah menyeru seluruh rakyat supaya sentiasa mengukuhkan perpaduan serta memberi sokongan kepada agenda pembangunan yang diusahakan oleh kerajaan.

Baginda bertitah, rakyat perlu mengelak daripada melakukan apa jua tindakan yang boleh menjejas atau menggugat kedaulatan negara ataupun cuba menidakkan pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan.

"Beta berharap semua pihak terutama generasi muda berusaha memahami dan menghayati sejarah kemerdekaan negara yang merupakan hasil pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan dan seterusnya menghargai kebebasan yang dinikmati sekarang," titah baginda sempena istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Turut berangkat hadir Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah. Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Seri Paduka bertitah petunjuk-petunjuk ekonomi utama 2011 seperti pertumbuhan ekonomi pada kadar 5.1 peratus, jumlah dagangan yang bernilai hampir RM1.3 trilion, nilai pelaburan asing RM32.9 bilion, kutipan cukai langsung melebihi RM100 bilion dan kadar pengangguran yang rendah membuktikan pengurusan ekonomi kerajaan dan dasar serta program yang dilaksanakan adalah di landasan yang betul.

"Adalah menjadi hasrat kerajaan beta agar manfaat kemakmuran ekonomi hasil daripada Dasar Transformasi Nasional akan melimpah kepada semua laporan rakyat tanpa ada yang terpingggir," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah untuk menjayakan transformasi, anggota Perkhidmatan Awam sebagai tonggak jentera kerajaan perlu sentiasa mencari idea dan pendekatan baru yang lebih kreatif serta inovatif, cekap, berintegriti serta berfikiran terbuka.

Baginda turut berharap kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara dapat ditingkatkan demi masa depan negara.

Dalam pada itu, baginda bertitah perjalanan menuju negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 bukan sahaja memerlukan transformasi ekonomi, malah turut menuntut transformasi sosio-politik.

Titah baginda usaha penambahbaikan terhadap undang-undang dan peraturan, menambah baik sistem pilihan raya dan keputusan memansuhkan akta-akta yang dianggap menyekat kebebasan rakyat seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) merupakan keputusan besar kerajaan demi kepentingan negara.

Kerajaan juga amat komited untuk melindungi dan memastikan kebebasan berterusan badan kehakiman negara kerana ia adalah teras penting kepada sistem demokrasi, titah baginda.

Baginda bertitah usaha dan komitmen kerajaan membanteras rasuah pula terbukti dengan penubuhan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan dan Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, pengenalan Persepakatan Integriti serta peningkatan kadar sabitan kes rasuah sebanyak 75 peratus pada 2011.

"Namun kerajaan masih memerlukan kerjasama semua pihak untuk menjadikan negara bebas rasuah melalui inisiatif yang mencakupi aspek pendidikan, pencegahan dan penguatkuasaan," titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong bertitah amat berbangga dengan peranan aktif negara dalam mewujudkan keamanan global dengan mengenengahkan isu-isu perlucutan dan ketakcambahan senjata, serta usaha-usaha bagi mencegah keganasan dan jenayah rentas sempadan.

Tuanku Abdul Halim bertitah baginda yakin pendekatan kesederhanaan atau wassatiyyah yang diperkenalkan Perdana Menteri dapat menyumbang ke arah penyelesaian suatu pertikaian dan membawa kepada keamanan global termasuk isu-isu hak asasi manusia dan keadilan antarabangsa, termasuk Palestin.

Peranan golongan belia turut disentuh baginda yang menyarankan supaya para belia negara ini menggunakan segala ruang dan peluang yang ada untuk ke peringkat yang lebih tinggi.

Titah baginda golongan belia yang merupakan kira-kira 46 peratus daripada penduduk negara ini adalah aset penting dan pewaris yang akan meneruskan kesinambungan pembangunan negara.

"Yakinlah bahawa belia senantiasa dekat di hati kerajaan beta dan kerajaan tidak akan menyisihkan golongan belia kerana tanpa belia, hilanglah jantung negara," titah baginda.

Dalam pada itu Tuanku Abdul Halim juga menyeru kontinjen atlet negara yang bakal menyertai Sukan Olimpik London 2012 agar memberi komitmen sepenuhnya dan merealiasikan hasrat rakyat untuk melihat Malaysia memperoleh pingat emas pertama di sukan tersebut.-- BERNAMA

Thursday, March 8, 2012

HUBUNGAN MALAYSIA-INDONESIA

JAKARTA : Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim akan menyampaikan ucaptama di Majlis Pelancaran Sudut Malaysia di Universiti Indonesia, pagi ini.

Ucapan bertajuk Demi Hubungan Erat dan Mesra Rakyat Malaysia-Indonesia menyentuh pelbagai usaha yang sudah, sedang dan akan dilakukan oleh kerajaan bagi mempereratkan hubungan di antara kedua-dua negara serumpun.

Selain itu, ucaptamanya juga dijangka memaparkan hubungan rakyat dengan rakyat yang semakin relevan kerana ia menentukan degupan jantung dan penentu kemanusiaan dengan rangkaian kehidupan yang tidak terbilang banyaknya.

Wednesday, March 7, 2012

PUSPAL : TIADA PENAJAAN ARAK (2)

Oleh Ibrahim Yahaya

Bagi memastikan urusan tugas berjalan lancar, cawangan PUSPAL Bahagian Dasar Kebudayaan KPKK JK-PUSPAL boleh memanggil mana-mana agensi Kerajaan untuk turut hadir dalam Mesyuarat JK-PUSPAL mengikut keperluan dan kesesuaian. Keahlian boleh diubah mengikut kesesuaian dan jika ada keperluan.

Bilangan minimum ahli mesyuarat tetap yang diperlukan untuk JK-PUSPAL boleh bersidang adalah lapan.

Keputusan sesuatu permohonan yang dibuat oleh JK-PUSPAL adalah keputusan majoriti ahli mesyuarat.Keputusan permohonan oleh JK-PUSPAL akan boleh dimaklumkan sama ada secara bertulis atau menerusi telefon atau faksimili atau emel atau laman web kementerian kepada pemohon.

Mana-mana pemohon yang tidak berpuas hati dengan keputusan JK-PUSPAL boleh membuat permohonan rayuan. Permohonan rayuan akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Rayuan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha, KPKK. Sebarang rayuan boleh dikemukakan dalam tempoh 14 hari selepas keputusan Mesyuarat JK-PUSPAL. Hanya sekali sahaja rayuan yang dibenarkan.

Bagi maksud pengurusan dan pelaksanaan tanggungjawab, PUSPAL dikendalikan seperti berikut:-

Bahagian Dasar Kebudayaan atau mana-mana Bahagian/Unit yang ditetapkan oleh KPKK akan menjadi urus setia kepada PUSPAL. Kementerian akan menyediakan pegawai dan kakitangan, peruntukan perbelanjaan dan kemudahan-kemudahan lain yang perlu bagi membolehkannya menjalankan fungsi-fungsi di bawah garis panduan ini.

a) Hanya penganjur sahaja yang layak memohon. Bagaimanapun, penganjur boleh diwakili oleh ejen. Ejen yang memohon bagi pihak penganjur mestilah menyertakan surat perwakilan daripada penganjur.

b) Pihak / syarikat / entiti yang berkaitan dengan

i Syarikat minuman keras

ii Syarikat tembakau / rokok

iii Syarikat perjudian

iv Syarikat produk seks; adalah tidak layak membuat permohonan.

Mengenai TATACARA PERMOHONAN, segala permohonan kelulusan hendaklah dibuat melalui

a. Serahan borang permohonan serta dokumen berkaitan secara serahan tangan kepada urus setia PUSPAL.

b. Serahan borang permohonan serta dokumen berkaitan secara pos kepada urus setia PUSPAL.

c. Secara atas talian

d. Permohonan perlu dikemukakan sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tarikh persembahan.

e. Persembahan ALN bagi Sabah dan Sarawak hendaklah dikemukakan terus kepada negeri yang berkenaan. Walau bagaimanapun, bagi permohonan penggambaran filem di Sabah dan Sarawak;

f. Perlu dimohon kepada PUSPAL dan pada masa yang sama;

g. Kepada negeri yang berkenaan

Setiap permohonan perlu mengandungi empat salinan dan hendaklah mengandungi;

a) Borang PUSPAL

b) Borang Imigresen IM.12

c) Borang Perfoma B ( LHDN )

d) Borang No.1 Jabatan Kastam Diraja Malaysia (sekiranya membawa masuk peralatan penggambaran ke Malaysia)

Permohonan untuk melanjutkan tempoh persembahan dan/atau penggambaran filem perlu dikemukakan selewat-lewatnya empat belas (14) hari sebelum tamat tempoh kelulusan persembahan dan/atau penggambaran yang terdahulu.

Penganjur persembahan dan/atau penggambaran filem boleh mengemukakan permohonan kemasukan artis utama terlebih dahulu dan tambahan artis/kru boleh dikemukakan secara berperingkat-peringkat.

PUSPAL boleh menolak mana-mana permohonan yang tidak lengkap ketika ia dikemukakan. Bagaimanapun, permohonan semula boleh dikemukakan.

Tiada sesiapa boleh membawa masuk ALN atau membantu dalam kemasukan itu melainkan jika permohonan telah dikemukakan terlebih dahulu dan diluluskan oleh JK-PUSPAL.

Permohonan akan ditolak jika ia tidak lengkap atau permohonan daripada premis perdagangan / hotel atau premis penginapan pelancong yang tidak memiliki lesen - lesen yang berkaitan dengan aktiviti persembahan hiburan.

Selain itu, syarikat yang terlibat secara langsung dengan sesuatu jenama rokok, produk tembakau, minuman keras dan perjudian, syarikat yang disenaraihitamkan oleh JK-PUSPAL dan syarikat yang belum menjelaskan apa-apa bayaran tertunggak yang telah ditetapkan oleh agensi-agensi berkaitan akan ditolak permohonan mereka.

Puspal juga menetapkan sebarang penajaan bagi persembahan kesenian dan kebudayaan artis luar negara hendaklah tidak melibatkan;

a) Jenama minuman keras;

b) Jenama rokok / tembakau

( Peruntukan di bawah Seksyen 5(1) di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau ( 2004);

c) Produk seks;

d) Jenama perjudian; dan

e) Apa-apa perkara yang dilarang di bawah undang-undang Malaysia atau menyentuh sensitiviti moral, agama dan bangsa.

Tuesday, March 6, 2012

PUSPAL SELARAS ARTIS LUAR (1)

Oleh Ibrahim Yahaya

Pembatalan konsert penyanyi Erykah Badu baru-baru ini menimbulkan kemarahan di kalangan peminat penyanyi berkenaan dan dari situ bermulalah tindakan menuding jari kepada pihak tertentu. Antara yang mendapat tempias kemarahan dan rasa tidak puas hati ialah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dan Menterinya yang membuat pengumuman menerusi tweeternya disambungkan kepada kenyataan rasmi.

Tanpa mengetahui latarbelakang pembatalan konsert itu terutama punca kemarahan masyarakat Islam setelah disiarkan paparan grafik Allah di badan penyanyi dalam The Star, ada golongan yang mengambil kesempatan melepaskan perasaan tidak puas hati mereka terhadap kerajaan, Menteri dan KPKK. Ia dihamburkan dalam pelbagai medium termasuk dalam media sosial terutamanya tweeter. Bagaimanapun, ramai juga yang menyokong tindakan pembatalan itu demi untuk memastikan tiada kejadian buruk berlaku berikutan kemarahan umat Islam di negara ini seperti yang dinyatakan oleh Menteri dalam satu sidang media mengumumkan sokongan Kabinet terhadap pembatalan konsert itu.

Bagi memudahkan rakyat memahami pihak yang bertanggungjawab terhadap konsert artis luar negara ini, DUNIATIGER akan berusaha menerangkan agensi yang bertanggungjawab terhadap persembahan artis luar negara ini iaitu - PUSPAL - Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara.

Mari kita lihat latarbelakang penubuhan PUSPAL. Berdasarkan keputusan Kabinet pada 2001, sebuah jawatankuasa agensi pusat perlu ditubuhkan bagi menyelaras dan menimbangkan semua permohonan bagi penggambaran filem dan persembahan artis luar negara (ALN). Proses permohonan penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara hendaklah melalui satu proses setempat yang diurussetiakan oleh satu kementerian dan ketika itu ialah Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Pelancongan.

Kerajaan melalui kementerian, telah menubuhkan agensi setempat untuk menyelaras permohonan penggambaran filem dan persembahan artis luar negara yang dikenali sebagai PUSPAL. Sebuah jawatankuasa yang dikenali sebagai JK-PUSPAL yang diletakkan dibawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKKWA) pada 2002 untuk mempertimbangkan permohonan filem dan artis luar negara yang melalui PUSPAL. Untuk itu,sebuah buku Garis Panduan PUSPAL bagi mempermudahkan urusan dikeluarkan pada 200dan ditambah baik pada 2007. Pada 3 April 2009, KEKKWA digabungkan dengan Kementerian Penerangan dan dikenali sebagai KPKK.

Puspal adalah sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada beberapa agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam mempertimbangkan permohonan penggambaran filem dan persembahan Artis Luar Negara dan satu lagi iaitu Jawatankuasa Rayuan ( JK-Rayuan ) pula adalah sebuah jawatankuasa bagi menimbang rayuan terhadap permohonan yang ditolak oleh Puspal.

Fungsi Puspal ialah untuk menimbang dan membuat keputusan ke atas permohonan penggambaran filem dan persembahan artis luar negara.

Ia dianggotai oleh Ketua Setiausaha KPKK yang bertindak sebagai pengerusi atau pengerusi ganti iaitu Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), KPKK atau mana-mana pegawai KPKK yang diarahkan oleh Ketua Setiausaha.

Ahli tetap yang mewakili KPKK ialah Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan atau wakilnya, Ketua Pengarah Istana Budaya atau wakilnya, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara atau wakilnya, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia atau wakilnya, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri atau wakilnya, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri atau wakilnya, Bahagian Kawalan Filem, Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan atau wakilnya, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Malaysia atau wakilnya, Ketua Polis Negara atau wakilnya, Cawangan Khas, Cawangan Perhubungan Awam, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia atau wakilnya, Ketua Pengarah Kastam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia atau wakilnya, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau wakilnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia atau wakilnya, Cawangan Penaksiran, Cawangan Tidak Bermastautin, Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Wakilnya, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur atau wakilnya manakala hli Bersekutu (ex- officio) ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia atau wakilnya, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau wakilnya, Ketua Pengarah Jabatan Ketua Menteri Sabah atau wakilnya, Ketua Pengarah Jabatan Ketua Menteri Sarawak atau wakilnya, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia atau wakilnya, Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia atau wakilnya dan Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT ) di negeri-negeri ( Pegawai pelesen yang dilantik secara sah melalui mana-mana enakmen hiburan bagi negeri di mana persembahan artis luar negara akan diadakan).

....bersambung.