Monday, December 17, 2012

KAKI BOLA DAN TIADA BOLA

Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR : Menyaksikan perlawanan bolasepak antara Malaysia dan Thailand minggu lalu membuat hati penulis merasa gelisah dan hilang punca. Ini kerana melihat bagaimana pemain Thailand memperkotak-katikkan pemain negara hampir keseluruhan permainan. Amat menyedihkan.

Penulis dapat melihat bagaimana pemain Malaysia terkejar-kejar untuk mendapatkan bola daripada kaki pemain Thailand seolah-olah budak kecil yang dipermain-mainkan oleh abang mereka. Lebih malang lagi, setelah mereka mendapat bola, itulah kali terakhir mereka mendapatnya kerana segera disambar oleh pemain Thailand, negara yang satu ketika dulu pernah diratah oleh pasukan negara. Apa sudah jadi?

Adakah ini yang terjadi kepada bolasepak negara selepas kita pernah bercerita mengenai kehebatan Tauke, SuperMokh, Spiderman dan ramai lagi? Apakah prestasi pemain kita menurun sehingga dilihat sebagai budak-budak kecil yang mengejar bola dalam bulatan? Apakah prestasi orang lain meningkat tetapi pasukan kita terus dengan kaedah lama yang boleh dimasukkan ke dalam muzium?

Pasti ramai yang tertanya-tanya apakah yang dilakukan oleh Datuk Rajagobal yang mendapat gaji lebih RM70,000 sehingga kita hanya berharap pada takdir untuk menang. Dalam ertikata lain, kita perlu melihat cuaca barulah tahu pasukan negara akan menang tetapi tidak pernah ada satu kekuatan yang menyatakan Malaysia mampu bermain dengan baik sepanjang masa walaupun kalah kerana takdir.

Oleh itu, bagi mereka yang berkepentingan dalam bidang bolasepak negara, sudah sampai masanya mencari formula terbaik untuk memastikan pemain negara tidak terus diaibkan sepanjang masa. Kita perlu ada pasukan yang benar-benar terbaik dan mampu bermain dengan baik sepanjang masa. Kita mahu Malaysia sentiasa digeruni bukan dipermainkan oleh pasukan lain yang semakin baik prestasi mereka.

Bagi yang ada bola, eloklah berbuat sesuatu untuk memastikan peminat Harimau Malaya yang semakin kuat menyokong pasukan kebangsaan terus bersemangat. Ini penting jika ia sudah berkubur, sukarlah untuk mencungkilnya semula terutamanya untuk mememenuhi stadium ketika perlawanan penting. Jangan kita ada bola tetapi dilihat sebagai tiada bola untuk berani melakukan pembaharuan.


Thursday, December 13, 2012

SEMUANYA KERJA UMNO. APADAAA.

Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR : Semacam arahan daripada langit segala yang berlaku di Malaysia terutama yang buruk-buruk adalah kerja UMNO. Arahan ini disampaikan kepada semua pengikut-pengikut setia parti pembangkang untuk memburukkan parti keramat itu dalam bentuk apa sekalipun sama ada di twitter, facebook atau blog. Ia mungkin dipanjangkan kepada penulisan di luar negara.

Tidak pening untuk memikirkan mengapa keadaan itu berlaku. Ini kerana pemikir kuat DAP selalu membisikkan kepada pemimpin PKR mahupun PAS bahawa jika orang Melayu tidak lagi menyukai UMNO maka bermulalah satu usaha untuk menterbalikkan kekuatan pemerintahan Melayu.

Apabila pemerintahan Melayu sudah diterbalikkan dalam apa cara sekalipun termasuk oleh juak-juak yang mendabik diri sebagai Melayu, maka mudahkan segala urusan yang mahu dibuat oleh DAP dilaksanakan apatah lagi kini ghairah menyebarkan maklumat bahawa inilah masanya untuk menumbangkan pemerintahan UMNO atau pemerintahan Melayu.

Bagi juak-juak Melayu yang rakus untuk mendapatkan kuasa maka seperti ditarik hidung mereka untuk pergi ke mana saja yang mahu dibawa oleh DAP. Mereka tidak pedulikan sama ada yang jatuh itu pemerintahan Melayu asalkan mereka dapat berkuasa setidak-tidaknya menjadi Menteri Wanita atau Menteri Kebajikan ataupun Menteri Perpaduan. Yang penting menjadi ahli Kabinet.

Terbaru ialah mengenai kenyataan membabitkan bekas Presiden BJ Habibie yang dikaitkan dengan perbuatan UMNO. Alangkah ceteknya pemikiran mereka yang menulis perkara ini kerana tidak faham bagaimana seorang wartawan veteran bernama Zam yang akan menulis mengikut pandangan sendiri tanpa disuruh oleh mana-mana pihak.

Mungkin penulis yang membuat tuduhan itu tidak mengikuti perjalanan seni penulisan Zam yang suka menyatakan pendiriannya apabila 'terpancul' idea untuk menulis. Malah Zam juga menulis membelasah mereka yang pernah berada dalam kerajaan termasuk yang rapat dengan Perdana Menteri.

Oleh itu, alangkah dangkalnya untuk menyatakan tulisan Zam yang menyatakan benar mengenai sikap mantan Presiden itu sebagai kerja UMNO sedangkan mereka tahu Zam adalah wartawan seumur hidup yang mengikuti perkembangan politik dari semasa ke semasa.

Wednesday, December 12, 2012

LIPUTAN JALUR LEBAR DI SABAH (2)


Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR : Usaha untuk mempertingkatkan liputan jalur lebar di Sabah dijalankan dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan penduduk negeri itu mendapat khidmat yang terbaik.

Pada 2006, SKMM telah melaksanakan perkhidmatan telefoni melalui kerjasama dengan tiga pemberi perkhidmatan iaitu Telekom Malaysia, Celcom dan TT Dot Com. Sebanyak 22 lokasi dikenalpasti dengan kos pelaksanaan sebanyak RM135 juta. 

Seterusnya, sebanyak 20 Pusat Internet 1Malaysia dibangunkan. Pihak TM dan Celcom dilantik bagi menjalankan projek ini dan ia telah siap pada 2009. Kos pelaksanaan projek ini melebihi RM55 juta.

Bagi menambahbaik liputan selular, satu program pembinaan menara yang dinamakan sebagai Time 2 diwujudkan. Sebanyak 186 menara dibangunkan di Sabah oleh Syarikat Sokongan Kerajaan Negeri (SSKN), “State Backed Company (SBC)” dan penyedia perkhidmatan.

Dari segi infrastruktur jalur lebar, lebih kurang 108 ribu port ADSL disediakan oleh pemberi perkhidmatan bagi perkhidmatan jalur lebar talian tetap. Ini disokong oleh liputan jalur lebar tanpa wayar dan WiMAX. Sehingga 2009, liputan 3G adalah 59 peratus liputan di kawasan berpenduduk dan WiMAX 19 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan berjaya memberi kesan positif terhadap perkembangan jalur lebar di Sabah. Ini ditunjukkan oleh peningkatan 4.5 peratus pada 2006 kepada 14.5 peratus pada 2009.

Usaha-usaha yang dilaksanakan sebelum ini ditingkatkan pada 2010. Pada Mac 2010, Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) dilancarkan dengan pelbagai inisiatif baru di seluruh negara termasuk di negeri Sabah. Antara inisiatif  itu adalah Kampung Tanpa Wayar (KTW), Pusat Internet 1Malaysia di Pejabat Penerangan terpilih, pembinaan menara Time 3 dan pemberian komputer 1Malaysia.

Inisiatif KTW bertujuan untuk mewujudkan akses wifi di kampung-kampung bagi memudahkan capaian jalur lebar dan menghubungkan komuniti kepada teknologi maklumat. Sebanyak 513 KTW dirancang untuk dilaksanakan di seluruh Sabah. Sepanjang 2010 hingga 2011, sebanyak 145 KTW diwujudkan dengan kos melebihi RM11 juta.

Selain itu, SKMM juga turut bekerjasama dengan Jabatan Penerangan Malaysia bagi menyediakan capaian jalur lebar di premis-premis Jabatan Penerangan di seluruh Malaysia. 

Bagi Sabah, 23 premis Jabatan Penerangan dijadikan Pusat Internet dengan kos RM1.6 juta. Latihan turut diberikan kepada kakitangan Jabatan Penerangan yang terlibat. Ini membolehkan penduduk sekitar kawasan itu menikmati kemudahan Internet percuma.

Bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah dan pelajar sekolah, program pemberian komputer 1Malaysia telah diwujudkan. Setakat 2011, lebih 100 ribu unit komputer netbook diedarkan kepada penerima-penerima terpilih. 

Komputer netbook ini juga dipakejkan bersama dengan langganan jalur lebar mampu milik melalui kerjasama dengan penyedia perkhidmatan terlibat. Kos bagi program ini sepanjang 2010-2011 hampir mencecah RM100 juta.

Dari segi liputan selular, lebih kurang 900 buah menara akan dibangunkan di seluruh Negara. Daripada jumlah itu, 212 menara telah diperuntukkan untuk Sabah. Setakat 2011, sebanyak 137 menara siap dan beroperasi dan ini telah menelan belanja sebanyak RM200 juta.

Bagi memenuhi peningkatan trafik internet domestik, Kerajaan memperuntukkan RM45 juta bagi meluaskan rangkaian MyIX di seluruh Negara. 

Setakat ini, ada 8 nod di wilayah Tengah (3 nod), Utara (1 nod), Selatan (1 nod), Timur (1 nod), Sabah (1 nod) dan Sarawak (1 nod). Perluasan MyIX ke seluruh negara mengurangkan pertukaran kandungan Internet domestik di luar negara. Dengan adanya pertukaran kandungan internet domestik dalam negara, kos sewa litar antarabangsa dapat dikurangkan di samping menambah baik pengalaman pengguna internet domestik.

Usaha yang berterusan ini turut dilaksanakan oleh pihak pemberi perkhidmatan. Setakat 2011, sebanyak 160 ribu port ADSL disediakan dan 50 peratus daripada port tersebut digunakan. Liputan jalur lebat tanpa wayar turut bertambah di mana liputan 3G telah meningkat kepada 64 peratus liputan di kawasan berpenduduk. Liputan perkhidmatan WiMAX turut meningkat kepada 26 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Di peringkat Sabah, kadar penembusan jalur lebar telah meningkat lebih dari sekali ganda daripada 14.5 peratus pada 2009 kepada 33 peratus pada 2011. Peningkatan ini adalah atas bantuan pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan sepanjang dua tahun itu.

bersambung....

Tuesday, December 11, 2012

BERI MANFAAT SECARA BERSAMA


KUALA LUMPUR 10 Dis. - Kesatuan-kesatuan dalam Pos Malaysia Berhad menyambut baik pelaksanaan waktu bekerja lima hari seminggu yang akan memberi manfaat secara bersama kepada syarikat dan pekerja.

Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Berhad Semenanjung Malaysia (UPUS), Suffian Unoss berkata, beliau yakin kakitangan yang komited dan berdedikasi akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada syarikat ekoran pelaksanaan sistem baharu itu.

"Terdapat 4,776 posmen di 349 cawangan serahan di seluruh negara yang akan melakukan serahan surat selain kekuatan 1,900 kakitangan dalam tugas serahan dan pungutan di 63 pusat pos laju.

"Selain itu, terdapat 8,326 kakitangan dalaman yang bekerja dalam posmel dengan 699 kaunter perkhidmatan seluruh negara yang terlibat dengan jadual kerja baharu ini," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. - utusan.



ANWAR IBRAHIM SELAR ZAM


Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR : Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini amat marah dengan kenyataan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin, terhadap BJ Habbibie yang disiarkan oleh Utusan Malaysia semalam yang disifatkan sebagai jelek.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu menyifatkan serangan jelek ZAM ke atas bekas Presiden Indonesia, BJ Habibie seperti yang diterbit semalam oleh akhbar UM semalam.

Dalam satu kenyataan, DS Anwar menyatakan tulisan Zainudin Maidin sememangnya diketahui dangkal (mediocre) dan beliau mewakili sosok elit UMNO yang berprasangka keji terhadap negara Indonesia. 

Menurutnya, ramai sedia maklum tentang latar belakang Zainudin; beliau merupakan mantan editor akhbar Utusan Malaysia milik UMNO, juga mantan menteri penerangan yang sering menuding jari dan melabel kelompok yang tidak sehaluan dengan UMNO sebagai ‘pengkhianat’.

Katanya, Zainudin merupakan satu-satunya Menteri kanan yang tewas dalam pilihan raya umum lalu kepada calon dari Parti Keadilan Rakyat, justeru kita bisa memahami keresahan, dendam dan motif beliau dalam melancar serangan sebegini.

Kenyataan Zainudin sewajarnya tidak perlu dilayan dan ia tidak mewakili massa di Malaysia. Zainudin adalah sosok angkuh (arogan) dan rasis yang merupakan salah satu antara penyebab tercetusnya krisis bilateral membabitkan Malaysia-Indonesia.

Semalam, Zam dalam tulisannya menyatakan BJ Habibie menjadi gunting dalam lipatan terhadap Presiden Indonesia Suharto walaupun Suharto yang membawanya kembali dari Jerman untuk kemudiannya menjadi wakil Presiden.

Demikian juga dilakukan oleh DS Anwar, katanya, terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau  menjadi Timbalan Perdana Menteri setelah 'dipungut' daripada ABIM.

(Renungan Rimau : Zam kalah di Parlimen Sungai Petani apabila di saat-saat akhir diminta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, untuk bertukar tempat daripada Merbok. Ramai pemerhati politik berpendapat jika Zam terus bertanding di Parlimen Merbok, beliau pasti akan menang kerana banyak jasa baktinya di parlimen itu).



Friday, December 7, 2012

WARGA POS KERJA 5 HARI


Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR : Kerjasama tiga sepilin iaitu antara Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Pos Malaysia Berhad dan kesatuan sekerja telah berjaya melaksanakan pendekatan mendahulukan rakyat iatu pekerja pos.

Sebagai contoh, usaha berterusan kesatuan sekerja dan pengurusan Pos Malaysia untuk mendapatkan kenaikan tarif setem dan gaji posmen pada 2009 mendapat sokongan padu kerajaan terutama KPKK.

Hasilnya, permohonan itu diluluskan oleh Kerajaan dan membolehkan warga posmen  memperolehi gaji yang lebih baik berbanding sebelumnya. Ini memaparkan pendekatan kasih sayang yang diamalkan oleh kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Gagasan 1Malaysia yang dipeloporkan oleh beliau juga sentiasa mendapat sokongan Pos Malaysia. Ini boleh dilihat menerusi pelbagai program seperti Pertandingan Menulis Surat kepada Perdana Menteri, Pertandingan Menulis Surat 1Malaysia, Impian 1Malaysia selain inisiatif yang mendahulukan rakyat seperti Pos Insurans 1Malaysia dan penghantaran ubat melalui Pos 1Malaysia.
Pertemuan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim dengan pengurusan dan warga pos di Majlis Ramah Mesra Rabu lalu, dilihat sebagai jambatan untuk terus menghubungkan keakraban di antara Pos Malaysia dengan KPKK. 

Melalui kesatuan-kesatuan sekerja ini, banyak kebajikan untuk warga kerja Pos Malaysia berjaya dilaksanakan hasil perbincangan bersama dengan pihak pengurusan dan KPKK. Pendekatan ini perlu diteruskan bagi memastikan rakyat didahulukan sepanjang masa.

Bagi Dr Rais, pihaknya sentiasa mengamalkan konsep pintu terbuka untuk agensi-agensi di bawah KPKK menyuarakan pendapat dan hasrat mereka demi kebaikan pekerja dan juga syarikat. 

"Dengan sokongan dan dorongan daripada kerajaan khasnya kementerian, kami percaya Pos Malaysia akan mampu untuk terus memberikan khidmat yang terbaik untuk masyarakat." katanya ketika berucap di majlis ramah mesra itu.

Melalui dasar  kerajaan, Malaysia telah menjadi model contoh bagi negara-negara membangun dalam inisiatif transformasi perkhidmatan pos, urustadbir dan system kawal selia industri yang turut mendapat pengiktirafan di peringkat Kesatuan Pos Sedunia.

Kejayaan ini adalah hasil dari strategi dan pengurusan perniagaan yang cemerlang di samping kerja kuat kakitangan posmen dan kerani kaunter yang bertungkus lumus memberi khidmat kepada rakyat di seluruh Negara.

Kerajaan, katanya, sentiasa menghargai jasa kakitangan pos. Walaupun PMB diswastakan kepada DRB Hicom pada 2011, pihak kerajaan akan terus memastikan kakitangan PMB terutamanya di peringkat posmen dan kerani kaunter terus menikmati skim pekerjaan yang sama tahap.

Pada 1 Julai 2010, Jemaah Menteri telah meluluskan kadar perkhidmatan pos domestik yang baru manakala kakitangan posmen dan kerani kaunter diberikan kenaikan gaji serta elaun ke tahap yang sama dengan kakitangan awam yang setaraf grednya. 

Di samping itu juga, penambahbaikan skim pekerjaan itu turut dikaji dari semasa ke semasa melalui perjanjian bersama di antara pihak kesatuan pekerja-pekerja pos dan pihak pengurusan PMB dengan mengambil kira keperluan pekerja dan kemampuan kewangan PMB itu sendiri.

Terbaru ialah kelulusan Kabinet pada Rabu lalu mengenai pelaksanaan skim bekerja 5 hari seminggu yang akan dilaksanakan mulai tahun depan.

Pelaksanaan skim itu bagi kakitangan operasi adalah selari dengan amalan di Negara-negara serantau. Oleh itu, pihak kementerian meminta PMB menyediakan pelan pelaksanaan supaya ia dapat dilaksanakan segera. Dari sudut perundangan dan kawal selia, tiada peruntukan ketika ini yang mewajibkan PMB menyediakan perkhidmatan pos selama 6 hari dalam seminggu.

Manfaat pelaksanaan skim bekerja 5 hari seminggu ialah petugas Pos Malaysia mendapat manfaat secara langsung dari skim itu di mana pekerja boleh mendapat masa rehat yang cukup dan boleh meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi PMB.

Selain itu, mereka juga dapat mengamalkan gaya hidup kerja yang seimbang, meluangkan masa hujung minggu mereka bersama keluarga atau menjalankan aktiviti-aktiviti sosial.

Inilah pendekatan kerajaan sekarang iaitu mendahulukan rakyat.

Wednesday, December 5, 2012

LIPUTAN JALUR LEBAR DI SABAH (1)


 Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR : Kebelakangan ini ada pihak yang menimbulkan isu mengenai liputan selular dan jalur lebar di Sabah yang dikatakan kurang memuaskan. 

Mereka membuat pelbagai tuduhan sedangkan mereka tahu banyak usaha dilakukan di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan. Tuduhan ini perlu diperbetulkan bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

DuniaTiger difahamkan usaha bersepadu memperkembangkan liputan selular dan jalur lebar di Sabah dilakukan menerusi dana SKMM dan dana Kerajaan Persekutuan. 

Selain pelaburan komersial oleh pihak penyedia perkhidmatan, SKMM dan Kerajaan Persekutuan juga turut menyediakan peruntukan yang tinggi bagi perluasan liputan selular dan jalur lebar di semua negeri terutama di Sabah dan Sarawak.

Ini bertepatan dengan strategi pelaksanaan jalur lebar Negara di mana perkhidmatan jalur lebar akan diperluaskan ke seluruh negara melalui konsep Jalur Lebar Untuk Orang Ramai (BBGP). 

Di bawah konsep ini, liputan jalur lebar dan selular bagi kawasan luar bandar akan diperluaskan melalui inisiatif SKMM dan Kerajaan.

Pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini telah bermula seawal tahun 2006 sehingga kini. Bermula dengan inisiatif perkhidmatan telefoni, pelbagai inisiatif baru telah diwujudkan bagi meningkatkan liputan jalur lebar dan selular di kawasan luar bandar.

Pada tahun 2006, SKMM melaksanakan perkhidmatan telefoni melalui kerjasama dengan tiga pemberi perkhidmatan iaitu Telekom Malaysia (TM), Celcom dan TT Dot Com. Sebanyak 22 lokasi telah dikenalpasti dengan kos pelaksanaan sebanyak RM135 juta. 

Seterusnya, 20 Pusat Internet 1Malaysia telah dibangunkan. Pihak TM dan Celcom dilantik bagi menjalankan projek ini dan ia telah siap pada tahun 2009. Kos pelaksanaan projek ini melebihi RM55 juta.

Bagi menambahbaik liputan selular, satu program pembinaan menara yang dinamakan sebagai Time 2 telah diwujudkan. 

Sebanyak 186 buah menara telah dibangunkan di Sabah oleh Syarikat Sokongan Kerajaan Negeri (SSKN), “State Backed Company (SBC)” dan penyedia perkhidmatan.

Dari segi infrastruktur jalur lebar, lebih kurang 108 ribu port ADSL telah disediakan oleh pemberi perkhidmatan bagi perkhidmatan jalur lebar talian tetap. 

Ini disokong oleh liputan jalur lebar tanpa wayar dan WiMAX. Sehingga 2009, liputan 3G adalah 59 peratus liputan di kawasan berpenduduk dan WiMAX 19 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan berjaya memberi kesan yang positif terhadap perkembangan jalur lebar di Sabah. Ini ditunjukkan oleh peningkatan sebanyak 4.5 peratus pada tahun 2006 kepada 14.5 peratus pada tahun 2009.

bersambung.....

KLCCIM SEMARAK INDUSTRI KREATIF

Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR : Semalam satu pelancaran awal Pasaran Industri Komunikasi dan Industri Kreatif (KLCCIM) yang akan diadakan empat hari mulai 29 Mac depan. Ini usaha berani kerajaan untuk memastikan nasib usahawan kreatif terus dipertingkatkan sehingga ke persada antarabangsa.

KLCCIM diadakan untuk memperkenalkan KL sebagai hab bagi industri komunikasi dan kreatif. Kerajaan menjangka acara empat hari itu mampu untuk menarik pelaburan baru kira-kira RM80 juta hingga RM100 juta. Ini satu angka awal yang baik dan perlu diberi sokongan oleh pemain utama industri.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, yakin potensi besar bagi negara untuk menjadi hab bagi kedua-dua industri itu.Sebagai contoh jumlah perbelanjaan untuk industri kandungan rancangan di Malaysia tahun lalu mencecah RM48 bilion. Banyak tu.

Begitu juga industri teknologi maklumat (IT) yang membabitkan perbelanjaan RM22 bilion. Bagi jumlah perbelanjaan rakyat dalam segmen telefon tangan tahun lalu ia mencecah RM35 juta.

Dr Rais berkata selain menjadi pasaran ulung bagi industri telekomunikasi dan kreatif di rantau ASEAN, KLCCIM turut berperanan mengintegrasikan perkongsian sumber dan pengalaman bagi membantu usahawan yang terbabit dalam kedua-dua industri itu memperluaskan perniagaan mereka.

Semalam, ketika pelancaran, ramai pemain utama industri kreatif termasuk peneraju syarikat telekomunikasi di negara ini hadir. Turut serta ialah pengarah, penerbit dan mereka yang terbabit dalam industri penerbitan untuk televisyen dan layar perak. Ada juga dalam bidang seni lain seperti kraf dan lukisan.


Monday, December 3, 2012

TIADA ARKIB NEGARA, TIADA BAHAN SEJARAH


Nama Ziela Jalil serta perkataan tarzan danbogel pernah menjadi topik utama dalam dunia perfileman di Malaysia pada 1989. Ziela meneruskan tradisi pelakon Malaysia yang membintangi filem di Indonesia, dan Tarzan Rimba (atau Tarzan Raja Rimba) adalah filem yang mendapat publisiti paling meluas berbanding filem-filem usahasama Indonesia lakonan pelakon Malaysia yang lain. Kontroversi tercetus apabila terdapat berita atau gosip yang menyatakan bahawa terdapat adegan bogel dalam filem tersebut, walaupun sebenarnya perkara tersebut tidaklah terlalu mengejutkan kerana sememangnya filem-filem Indonesia diketahui biasa memaparkan adegan sebegitu. Tetapi apabila adegan bogel tersebut dikaitkan dengan Ziela, maka banyak pihak tertanya-tanya sejauh mana kebenarannya kerana filem tersebut telah ditapis dengan hebat di Malaysia. Wartawan Utusan Malaysia yang bertugas di Jakarta ketika itu iaitu Syahbudin Abdullah akhirnya tampil membuat laporan khas mengenai pengalamannya menonton pita videofilem Tarzan Rimba versi tanpa tapisan di Indonesia.


Dalam laporan bertajuk "Seluar Ziela kena koyak" itu, Syahbudin menyatakan bahawa beliau dapat menonton adegan-adegan yang tidak diluluskan untuk tayangan di pawagam (terutamanya di Malaysia), antaranya ialah adegan membuka baju yang melibatkan watak lakonan Ziela yang bernama Karina. Komen Syahbudin, "Memang itu bukan Ziela. Saya lihat dada wanita yang bogel itukurang montok dari dada Ziela. Saya juga melihat ada perbezaan pada rambut". Adegan lain yangmengeksploitasi tubuh Ziela dalam filem Tarzan Rimba ialah semasa watak Ziela ditangkap oleh penjahat dan seluarnya dikoyak sehingga menampakkan seluar dalam. Komen Syahbudin lagi, "Saya ulang tayang video, dan jelas, seluar dalam danpaha yang saya nampak itu bukan milik stand-in macam yang mula tadi". Syahbudin juga menyatakan bahawa terdapat adegan watak Ziela mandi di sebatang sungai di mana "kemeja-t Ziela basah dan melekap pada tubuh", dan paling sensasi sekali ialah adegan cium selepas watak Ziela bertemu dengan Tarzan (lakonan Barry Prima), di mana Syahbudin mengomen dalam nada lucu, "Cinta saya pada Ziela hancur berkecai, waktu melihat bibir mungil Ziela bercantum dengan bibir Barry Prima. Walaupun itu Karina, tapi yang bercantum adalah bibir Ziela"!

Selepas pendedahan oleh wartawan Syahbudin itu, Ziela yang ketika itu berusia 19 tahun telah tampil dalam majalah URTV dan menjelaskan, "Apa lagi yang boleh Ziela katakan? Dah Ziela terangkan berulang kali, adegan-adeganberahi tu bukan lakonan Ziela tapi dilakonkan oleh pelakon stand-in". Kata beliau lagi, "Waktu adegan cium, perhatikan bibir pelakon perempuannya, tak sama dengan bibir Ziela. Begitu juga waktu adegan buka pakaian, tengoklah betul-betul buah dada pelakon perempuannya, tak sama dengan Ziela punya. Dia punya kecil. Ziela punya, kan dah terkenal macam Dolly Parton"! (bahan dalam arkibnegara.blogspot.com)

Sunday, December 2, 2012

YB BERUK DAN RATU ANJING


Oleh Mummy Rokiah

Suasana tidak diduga telah mempertemukan saya dengan dua karyawan persuratan di dalam bidang masing-masing. Ibrahim Yahaya seorang wartawan seumur hidup baru sahaja kering mencetak novel sulung beliau ‘YB Beruk’ manakala seorang lagi sasterawan Dr Ibrahim Ghaffar pula sedang dilanda saman oleh kerana penulisan puisinya ‘Ratu Anjing’.
‘YB Beruk’ adalah novel kritikan sosial yang sungguh mengilu memaparkan masyarakat manusia yang kadangkala lebih teruk dari masyarakat beruk. 
Kemusnahan alam kediaman beruk telah mengubah habitat kehidupan seharian masyarakat beruk sehingga memaksa beruk-beruk menyelongkar kediaman manusia untuk hidup. 
Novel ini dijangka menyengat pasaran novel penggal 2008-2012 kepada mereka yang ingin berfikir. 
Gaya persembahan novel ini mengingatkan saya kepada gaya penulisan Ishak Hj Muhammad @ Pak Sako dalam novelnya Anak Mat Lela Gila yang sarat dengan sindiran tajam politik sosial.
Seharusnya untuk mereka yang gemar berfikir mendapatkan novel ini terus dari penulisnya Ibrahim Tiger – 019-2125521 atau 019-3389003. 
Manakala puisi ‘Ratu Anjing’ pula dikira karya agung dunia persuratan penggal ini kerana nilai samannya berjumlah RM30juta yang di saman oleh seorang YB. 
MR harap Dr Ibrahim berhati-hati agar tidak termasuk di dalam perangkap seperti apa yang berlaku kepada cerpen YBJ karya Chamil Wariya.