Saturday, June 30, 2007

DUNIA GENGSTER SARAWAK (1)


(Bandar Sibu yang sedang membangun. Gambar oleh IY)

Apabila menyebut nama Leh Long di Bumi Kenyalang, anda akan memasuki satu dunia lain yang sering dipaparkan dalam filem-filem China dari Hong Kong - dunia gengster. Walaupun dunia gengster satu kegiatan yang serba terselindung dan tersembunyi, namun bagi mereka yang pernah terbabit secara langsung dan tidak langsung dalam dunia berkenaan akan dapat merasai peristiwa yang mendebar dan menakutkan.

Bagi mereka yang perlu membayar ufti atau wang perlindungan sudah tentu merasakan keperitannya apatah lagi pendapatan yang tidak seberapa perlu diserahkan kepada golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai pelindung. Bagi yang meminjam wang pula, sudah pasti tidak tidur malam mengenangkan nasib yang akan menimpa mereka jika tidak mempunyai wang untuk membayar hutang dalam tempoh yang ditetapkan.

Leh Long , ketua gengster yang berpusat di Sibu, adalah bekas seorang kelasi kapal. Mengikut cerita penduduk di Sibu, akibat dendam peribadinya maka beliau terjerumus dalam dunia samseng yang akhirnya menjadi ketua gengster yang amat digeruni di Bumi Kenyalang.

Beliau dikatakan mempunyai kaki di seluruh Bumi Kenyalang yang menguasai pelbagai jenis perniagaan termasuk balak dan perkapalan. Pembabitannya dalam kedua-dua bidang ini secara langsung membuat ramai pihak terutama tauke balak dan kapal tidak sedap hati dan tidak senang duduk.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya ke tanah jua, Leh Long diberkas baru-baru ini berikutan satu kes membabitkan penculikan seorang anak tycoon di Sibu, bandar yang terkenal sebagai tempat membina feri dan pusat keturunan Fuchow. Beliau ditangkap dalam operasi pihak keselamatan dikenali sebagai Cantas Kenyalang.

Kini Leh Long dalam tahanan dan pihak berkuasa sedang mendapatkan pelbagai maklumat lagi mengenai pembabitannya dalam dunia gengster di Sarawak.

Syabas pihak keselamatan yang berjaya mencantas kegiatan gengster di Bumi Kenyalang ini. Semoga tugas mereka diberkati dan mendapat sokongan daripada semua pihak tanpa rasa tertekan atau tidak tenteram.

Friday, June 29, 2007

HANG NADIM MODEN (11)

(Posting Asal - 8.30 pagi- 29.6.2007)


Apakah jawapan pihak berkuasa berhubung permohonan Kleemann Asia Pacific Sdn Bhd (KAP)untuk mendapatkan permit import R & D seperti yang dilaporkan baru-baru ini?

Cubalah anda fikirkan jawapan yang diberikan bagi menidakkan usaha dua anak Melayu untuk membabitkan diri secara aktif dalam industri automotif negara. Tunggu jawapannya.


(Posting kedua - 9.30 pagi - 30.6.2007)

1. KAP gagal dalam permohonan mereka.

2. Alasan yang diberikan pihak bertanggungjawab ialah Kleemann sudah pernah berada di Malaysia dan pihak prinsipal telah membuat R & D di negara prinsipal.

3. Namun pihak berkuasa tidak faham bahawa KAP amat berbeza dengan Kleemann dulu kerana syarikat dulu mereka dilantik sebagai distributor atau pengedar tetapi KAP kini adalah syarikat usahasama hasil perkongsian pintar untuk menjadikan Malaysia sebagai hab dan HQ Kleemann di Asia Pasifik. Sudah tentu ada pemindahan teknologi atau transfer of technology dan ia bukan di Malaysia saja tetapi di seluruh Asia Pasifik.

4. Mengapa tiada pemimpin negara yang nampak perkara ini? Sayang sekali. Mengapa perkara ini boleh berlaku? Mengapa? Mengapa? Can someone please answer all the questions? Perrrgggghh.

Thursday, June 28, 2007

PRU12: RAMALAN TOK NUJUM (4)



(Datuk Seri Mahdzir Khalid)

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, adalah orang kuat Presiden UMNO yang kini mendapat tempat tertinggi menerajui sebuah kerajaan negeri. Bermula sebagai setiausaha politik Paklah, EXCO Kedah dan kini Menteri Besar, DS Mahdzir sudah tentu memikul satu tanggungjawab besar untuk membuktikan pilihan Paklah itu wajar dan tepat. DS Mahdzir perlu membuktikan beliau adalah calon yang terbaik memimpin negeri.

Pemberian tempat kepada penyokong setia atau orang kanan seperti DS Mahdzir oleh Paklah bukan satu perkara yang luar biasa di Malaysia. Ini diamalkan dari dulu lagi. Malah dua setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad (TDM) mendapat tempat sebagai Menteri iaitu Tan Sri Megat Junid Megat Ayub dan Datuk Seri Aziz Shamsuddin. TS Megat Junid sudah bersara dan kini berehat kerana sakit manakala DS Aziz masih lagi menganggotai Kabinet Paklah.

Namun, pelbagai spekulasi dibuat terhadap DS Aziz termasuklah "pertaliannya" dengan TDM. Walaupun tidak hadir di suatu majlis yang membabitkan Paklah dan kementeriannya kerana sakit, namun tukang goncang politik mahu mengaitkan "kehilangannya" itu sebagai kemungkinan beliau akan diketepikan. Derita telinga yang mendengarnya.

Membincangkan mengenai DS Mahdzir, kita tidak dapat lari daripada memperkatakan mengenai kedudukan pemimpin-pemimpin UMNO Kedah. Kini hanya seorang Menteri saja dari Kedah iaitu Datuk Seri Zainuddin Maidin yang memegang portfolio Kementerian Penerangan. Kedah juga mempunyai seorang Timbalan Menteri dan dua orang Setiausaha Parlimen. Timbalan Menteri kini disandang oleh Datuk Johari Baharum (Kubang Pasu) manakala dua SUP ialah Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim dan Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Apakah Kedah sudah ketandusan pemimpin? Inilah soalan menarik yang perlu dijawab oleh tokoh-tokoh politik negeri itu bagi memastikan "anak Kedah" terus diketengahkan pada masa akan datang terutama dalam senarai Menteri Kabinet. Secara bandingannya, Perlis yang lebih kecil daripada Kedah mempunyai dua Menteri Kabinet, Datuk Radzi Sheikh Ahmad dan Datuk Azmi Khalid.

Pemimpin Kedah perlu meramaikan pemimpin politik yang berkaliber, berwibawa dan berpendidikan tinggi yang boleh dibanggakan walaupun setelah mereka meninggalkan bidang politik. Mereka juga perlu komited kepada bangsa dan mengambil bahagian yang aktif di semua peringkat terutama Perhimpunan Agung UMNO. Sebagai contoh, Datuk Dr Affifuddin Omar. Walaupun tidak dapat memegang jawatan Menteri, Datuk Dr Affifudin adalah antara tokoh politik Kedah yang bukan saja tinggi kelayakan akademiknya tetapi berjaya memaparkan ketokohannya sebagai pemimpin politik yang bijak dan komited. Penampilannya dalam Perhimpunan Agung UMNO dengan hujjah yang bernas dan terperinci mendapat pujian TDM. Pemimpin yang bijak dan berpendidikan ini penting untuk memastikan UMNO mampu "menandingi" kehebatan pemimpin parti lain dalam komponen Barisan Nasional (BN). Malaysia tidak boleh mempunyai pemimpin yang sentiasa merapu dan tidak bermatlamat. Ketepikan pemimpin yang hilang punca.

DS Mahdzir sebagai pemimpin utama Kedah perlulah membuat sumbangsaran (brainstorming) dengan orang kuatnya termasuk pemimpin muda seperti Datuk Azimi Daim untuk merencanakan satu pendekatan mencari pemimpin muda berkaliber. Pemimpin muda yang berwibawa dari seluruh Kedah. Dalam hal ini, mereka perlu mencari anak muda profesional yang berminat untuk masuk politik. Anak muda ini perlu dididik dengan baik dan bukannya dicincang dari peringkat awal lagi.

Kedah sudah melahirkan dua Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dan TDM.

Selain itu, ramai anak-anak Kedah yang berjaya mengharumkan nama mereka di negara ini dan di persada dunia seperti Tan Sri Khir Johari, Tan Sri Senu Rahman, Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Sanusi Junid, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Tun Mohd Zahir Ismail, Tun Abdul Hamid Omar, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Halim, Tan Sri Razali Ismail, Tan Sri Ahmad Kamil Jaafar, Tan Sri Syed Mukhtar Al-Bukhary, Tan Sri Hassan Merican, Tan Sri Dr Awang Had Salleh, Tan Sri Profesor Emeritus Ismail Hussein dan adiknya, Datuk Ibrahim, Datuk Dr Ismail Ibrahim, Datuk Maznah Ahmad, Datuk Dr Profesor Emeritus Asmah Omar serta Datuk Dr Halim Ismail.

Apakah Kedah perlu mengambil golongan profesional untuk menjadi calon dalam pilihanraya akan datang?

HANG NADIM MODEN (10)




(Posting Awal - 3.18 petang).
Lihatlah kedua-dua gambar di atas ini. Adakah mereka sedang berbincang mengenai perniagaan menjual kacang putih, otak-otak, sayur-sayuran, apam balik, pisang goreng, ikan bakar, cendol, air batu campur, biskut kering, jemput-jemput, roti canai atau putu mayam?Cuba fikir-fikirkan. Saya akan memberikan jawapannya.


(Posting kedua - 9.15 malam)

Ini jawapannya.

1. Azad, Khairul dan Subhi sedang berbincang dengan Presiden Kleemann Worldwide, Soren Jess (kanan) dan Pengarah Teknikal Kleemann, Claus Anker. Soren dan Claus adalah pemilik dan pengasas Kleemann.

2. Perbincangan mereka di Denmark amat serius dan penting. Ia berlanjutan beberapa hari dan adakalanya dari pagi hingga malam untuk membincangkan mengenai pemasaran, branding, aspek teknikal serta strategic planning untuk Kleemann.

3. Akhirnya perkongsian pintar terlaksana dengan penubuhan syarikat Kleemann Asia Pacific Sdn Bhd (KAP). Satu kebanggaan bagi Malaysia. Keyakinan dan kepercayaan syarikat multinasional terhadap keupayaan anak Malaysia yang mahu menjadikan negara ini sebagai ibupejabat dan hab Kleemann di rantau Asia Pasifik.

4. Perbincangan mereka membabitkan usaha memasarkan barangan KLEEMANN yang dipasang di kereta berstatus premium di rantau Asia Pasifik. Ketika ini,hanya barangan BRABUS yang dibuat oleh Dr Bodo dari Jerman dipasang di kereta berstatus premium. Brabus diedarkan oleh Kumpulan NAZA.

Persoalan kedua. Jika orang luar yakin dengan rakyat Malaysia mengapa ada pemimpin negara ini tidak yakin dengan usahawan tempatan terutamanya Melayu? Cuba fikir-fikirkan. Sorong papan tarik papan, buah keranji di atas perahu, suruh kapan dia kapan, akhirat nanti kalau kena aku tak tahu. Siapa nak jawab?

PROJEK LOCKER PELAJAR (3)


(Pelajar menggunakan locker. Gambar hiasan)

Maklumat terbaru daripada GURINDAM JIWA mengenai projek locker di sekolahnya.

Projek Locker Sekolah Rendah Agama Integrasi Bandar Baru Bangi telah pun bermula dengan Dokumen Terma dan Surat Akuan Penyerahan Locker telah diserahkan kepada ibu bapa melalui pelajar untuk tindakan ibu bapa selanjutnya.

Dokumen Terma ini amatlah asas dan boleh diperbaiki dari semasa ke semasa.

Dipaparkan di sini bukan untuk apa, sekadar boleh dijadikan contoh.

Saya percaya pihak PIBG SRAI BBB bersedia menerima apa-apa cadangan membina, terutamanya dari pakar-pakar undang-undang dan juga pakar-pakar bahasa seperti wartawan veteran kita di sini, ehem. ;-)


Bacalah [ Projek Locker SRAI BBB
] untuk mengetahui objektifnya.

Wednesday, June 27, 2007

PRU12 : RAMALAN TOK NUJUM (3)


(Datuk Noraini Ahmad)

PRU12 sudah pasti akan menyaksikan kemunculan wira-wira Presiden UMNO atau "all the presidents men" yang selama ini membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dari jauh dan dekat.

Pemimpin pelbagai peringkat ini telah memberikan khidmat terbaik kepada Perdana Menteri yang membolehkan DS Abdullah mentadbir negara ini tanpa sebarang masalah besar dan meruncing. Sokongan tidak berbelah-bahagi dan kesetiaan kepada pemimpin ini membolehkan pentadbiran Datuk Seri Abdullah mengharungi pelbagai cabaran termasuk kritikan daripada tokoh-tokoh politik UMNO dan pembangkang. Ada yang terlalu kasar dan menyakitkan.

Antara wira-wira itu ialah Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Osman Desa; Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Datuk Reezal Merican Naina Merican dan Ahli Majlis Tertinggi yang juga Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria.

Beberapa lagi individu yang setia kepada Paklah dan sentiasa memberi sokongan padu kepada Presiden UMNO seperti Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad; Bendahari UMNO, Datuk Azim Zabidi dan bekas EXCO Perlis, Datuk Zahidi Zainol Abidin, akan diberikan tempat untuk bertanding.

Tan Sri Nor yang kini senator sudah pasti diberikan tempat di salah satu kawasan Parlimen di Pulau Pinang untuk membolehkan beliau meneruskan tugas membantu Paklah menjaga portfolio kewangan. Ini kerana segala usaha dan rancangannya sudah mula menampakkan hasil termasuk memantapkan keupayaan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan prestasi Bursa Malaysia. Dua lagi pemimpin yang akan diberikan tempat di Pulau Pinang ialah Datuk Osman dan Datuk Reezal Merican.

Datuk Azim pula akan mendapat tempat di kawasan Parlimen di Perak bagi membolehkannya memegang jawatan timbalan menteri atau menteri setelah BN membentuk kerajaan. Beliau juga disebut-sebut antara nama yang dipertimbangkan untuk menerajui kerajaan negeri. Datuk Norza, seorang akauntan pula dijangka bertanding di Wilayah Persekutuan. Beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO bagi mewakili Pergerakan Pemuda UMNO. Langkah beliau menerbitkan sebuah buku mengenai Paklah mendapat kritikan hebat daripada penulis blog.

Datuk Noraini yang dilahirkan di Batu Pahat dijangka mendapat kawasan di Johor. Kesempatan diberikan kepada Datuk Noraini ialah kerana beliau adalah Ketua Puteri UMNO sejak 2004 selain mempunyai kelayakan yang baik iaitu Ijazah Sarjana Muda Perdagangan Kuantitatif Analisis dan Kewangan, University of Saskatchewan, Kanada dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Universiti Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur.

Datuk Zahidi, yang pernah memegang jawatan EXCO Perlis dikatakan akan mengambil tempat di salah satu kawasan Parlimen di Perlis. Selain beliau, beberapa nama lagi dipertimbangkan untuk diberi tempat termasuk Ketua Pemuda Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman.

Namun, "ramalan" mengenai kemasukan Khairy Jamaluddin (KJ) dalam PRU12 kali ini masih "samar-samar" kerana beliau dikatakan belum berminat bertanding dalam pilihanraya. Yang pasti KJ mahu terus membantu bapa mentuanya menerusi pembabitann secara aktif dalam Pergerakan Pemuda UMNO. KJ adalah Naib Ketuanya yang dilihat penyokong kuat Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn.

HANG NADIM MODEN (9)


(Khairul ketika latihan memandu musim sejuk di Sweden)

Saya menitiskan air mata apabila mendapat SMS ini daripada Khairul minggu lalu. Sedih kerana mengenangkan nasib mereka di bumi sendiri. Sedih kerana mereka ibarat anak yatim yang nasibnya tidak terbela. Ketiadaan ibu bapa menyebabkan tiada siapa yang boleh membantu mereka. Apatah lagi kini mereka terpaksa menghadapi ibu tiri yang bengis, ganas dan kasar. Ibu tiri yang tidak berperikemanusiaan. Sedih juga kerana angkara manusia sebangsanya. Apakan daya untuk melawan arus besar dan deras ini. Namun, Hang Nadim moden ini tidak berputus asa. Mereka terus mencuba dan mengharapkan ada cahaya di hujung terowong.

SMS Khairul.

Assalamualaikum. Lama juga cerita hang nadim tidak menjadi bahan story datuk. Ramai yang dok tanya. Tetapi nampaknya tidak ada cerita yang hendak diceritakan. Kami tengah mencari jalan lain, sebab susah sangat hendak tembus tembok besar China. Tetapi tidak mengapa, harap-harap Hang Nadim Moden tidak terbunuh angkara kesilapan orang kita. Terima kasih banyak-banyak kerana memberi sokongan selama ini. Mudah-mudahan ada jalan di penghujung tembok besar China.

Kami akan menggandakan usaha kami setakat yang termampu. Sebab yang di depan bukan orang biasa. Oleh itu, perlukan usaha luar biasa juga. InsyaAllah dengan berkat doa dan sokongan daripada semua, kami harap ada sinar menanti kami. Tq.


Marilah kita sama-sama berdoa agar Hang Nadim Moden ini berjaya dalam usaha mereka.

Tuesday, June 26, 2007

PRU12: RAMALAN TOK NUJUM (2)

Berita asalnya dikatakan muncul pada Ahad dalam akhbar Oriental Daily yang menyebut bekas Setiausaha Agung MCA, Tan Sri Dr Ting Chew Peh, sebagai berkata, tiada seorangpun pemimpin tertinggi MCA mempunyai "keberanian" atau "guts" bertanding di kawasan pilihanraya yang majoritinya penduduk kaum Cina sejak pilihanraya 1982.

Pada Pilihanraya Umum (PRU) 1982, Presiden, Tan Sri Lee San Choon, yang mencabar bekas orang kuat dan Pengerusi DAP, Dr Chen Man Hin di Seremban (60 peratus pengundi Cina) menang di kawasan itu. Seremban kini mempunyai 48 peratus pengundi Cina.

Akhbar itu juga menyebut Dr Ting berkata, "pemimpin kini memilih untuk bertanding dalam kawasan pilihanraya "campur" dan bergantung kepada undi orang lain (bukan Cina)untuk menang. Tiada menteri atau timbalan menteri daripada parti (MCA) bertanding dalam kawasan majoritinya pengundi Cina."

Dr Ting seterusnya dilaporkan berkata, pemimpin tidak seharusnya melabelkan kubu pembangkang seperti Cheras dan Seputeh sebagai kawasan hitam dan "orang kuat" parti perlu ada keberanian untuk menghadapi pembangkang di kawasan-kawasan berkenaan.

Hari ini, artikel yang ditulis oleh Giam Say Khoon dalam akhbar The Sun menjelaskan hanya tiga daripada lapan pemimpin MCA bertanding dan memenangi di kawasan Parlimen yang mana ramai pengundi Cina pada PRU11 pada 2004. Mereka ialah Naib Presiden, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek (Labis - 49.07 peratus Cina); Naib Presiden, Datuk Donald Lim (Petaling Jaya (Selatan) - 46.59 peratus Cina) dan Ahli Parlimen Bentong, Datuk Liow Tiong Lai (48.54 peratus Cina).

Pemimpin lain hanya bertanding di kawasan yang majoritinya pengundi bukan Cina iaitu Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting (Tanjong Piai, Johor); Timbalannya, Datuk Seri Chan Kong Choy (Selayang, Selangor); Naib Presiden, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn (Alor Gajah, Melaka); Datuk Ong Tee Keat (Pandan, Selangor) dan Ketua Wanita, Datuk Dr Ng Yen Yen (Raub, Pahang).

Maklumat yang ditimbulkan sungguh menarik untuk dianalisis oleh rakyat negara ini terutama pengundi budiman.

Bagaimana pula aliran pemilihan kawasan pilihanraya untuk pemimpin-pemimpin tertinggi MCA pada PRU12? Apakah DS Ong akan terus berkubu di Tanjong Piai manakala timbalannya, DS Chan terus juga berpaut di Selayang? Apakah ada pemimpin kanan MCA yang akan mencalonkan diri atau "merelakan diri" bertanding menentang DAP di kawasan yang disebutkan "hitam" oleh sesetengah pemimpin MCA seperti di Cheras atau Seputeh?

Sama-sama kita tunggu dan lihat perkembangan menarik ini dalam PRU12. Bila tarikhnya? November 2007 atau Mac 2008? Bagi sesetengah pemerhati politik, mereka sudah mempunyai jawapannya - tarikh PRU12 dan kawasan yang akan ditandingi oleh pemimpin MCA.

FADZRIE HAZIS MENANG ANUGERAH AFC

TAHNIAH. Anak murid di Akademi TV3 (kini MII), "anak buah" ketika di RTM dan wartawan Berita Harian, Mohd Fadzrie Hazis, memenangi artikel terbaik Mei dalam Pertandingan AFC Asian Cup 2007-Persatuan Penulis Sukan Malaysia.

Artikel beliau ialah mengenai kebangkitan semula penyerang berbisa, Indra Putra Mahayuddin selepas menghadapi kecederaan. Kemunculan semula Indra Putra menyegarkan semangat pemain dan mengembalikan prestasi pasukan bolasepak negara.

Artikel Fadzrie akan disiarkan dalam [ The-AFC.com ] dalam sembilan bahasa.

Pemenang sebelum ini ialah wartawan Utusan Malaysia, Abdul Ha Fiz Ahmad dan wartawan Malay Mail, Rizal Hashim.

PENYAKIT LAMA BERULANG KEMBALI


(Hidayat dan Hanim ketika melawat IY di UMMC tahun lalu)

Ketika mengalami sakit belakang tahun lalu, punca utama yang doktor beritahu ialah kemungkinan serangan kuman yang disebabkan oleh TB atau batuk kering. Saya terkejut dan pelik bagaimana kuman batuk kering boleh menyerang tulang belakang. Namun, itulah hakikatnya ada kemungkinan akibat kuman batuk kering. Akhirnya, setelah diperiksa dengan teliti, doktor menyakinkan saya bahawa kuman itu berpunca daripada masalah yang membabitkan buah pinggang. Atau lebih tepat kencing kotor disebabkan penyakit batu karang.

Bagi saya, penyakit batuk kering ini sudah lama tidak menyerang MALAYSIA. Mungkin ia sudah diatasi sebelum merdeka lagi. Namun, kini ia kembali semula berikutan kemasukan ramai pekerja dari Indonesia, Myanmar, Vietnam, India dan Bangladesh. Tahun lalu, saya diberitahu seorang wartawan menghidapi penyakit batuk kering yang menyebabkan rakan sepejabatnya terpaksa melalui peperiksaan terperinci mengenai batuk kering dan mereka diberikan ubat khas.

Semalam ketika bersembang dengan rakan, seorang doktor gigi, beliau menyebut bahawa penyakit AIDS sudah jatuh nombor tiga daripada senarai kuman yang ditakuti. Betul ke?Pertama ialah Hepatitis B, diikuti batuk kering dan AIDS. Ini kerana kuman daripada dua penyakit pertama lebih "gagah" atau lebih "super" berbanding AIDS yang akan mati serta-merta di luar badan manusia. Jika pakai sarung tangan tidak mencukupi kerana ia boleh merebak menerusi penafasan dan cara lain.

Penyakit pertama dan kedua itu sebenarnya timbul semula kerana masalah yang dibawa oleh pekerja dari luar negara. Oleh itu, Malaysia yang dulu bebas daripada penyakit-penyakit "kuno" ini terpaksa menghadapi serangan baru ini berikutan tindakan pekerja luar menipu tahap kesihatan mereka sebelum diluluskan untuk bekerja di negara ini.

Menjadi harapan, masalah ini tidak serius seperti yang diperkatakan sehingga kita terpaksa menghadapi ancaman penyakit seperti ini yang banyak berlaku di Bangladesh atau India. Di kedua-dua negara itu, oleh kerana jumlah penduduk mereka ramai, apabila berlaku wabak penyakit kuno ini sudah pasti tidak menimbulkan kepanikan atau kebimbangan. Secara perbandingan, jika sepuluh mati daripada sepuluh juta, ia sudah tentu tidak menakutkan. Tetapi, jika ia berlaku di Malaysia sudah tentu Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) atau dunia luar akan mula memerhati kita dan media antarabangsa akan segera membuat "bising" dan serangan mengenai tahap kesihatan di sini. Ia tentu memberi kesan negatif kepada imej negara dari segi wujudnya penyakit berjangkit.

Sudah pasti ia tidak baik untuk rakyat Malaysia dan boleh menjejaskan pelbagai bidang di negara ini seperti perniagaan, perindustrian, pendidikan dan pelancongan.

Monday, June 25, 2007

PRU12 : RAMALAN TOK NUJUM (1)

Sebut pilihanraya umum, soalan utama yang ditimbulkan ialah TARIKHNYA. Tidak kira di kedai kopi di Masjid Tanah, Melaka atau starbuck coffee di Bangsar, Kuala Lumpur. Ada yang meramalkan akhir tahun ini (November 2007) dan tidak kurang juga yang menyebut awal tahun depan (Mac/April 2008). Masing-masing mempunyai hujjah dan alasan mereka sendiri. Ramalan dibuat berdasarkan kepentingan diri, individu atau kumpulan atau geng tertentu. Ada yang mengena, ada juga sebaliknya.

Muncullah tok nujum yang akan membuat ramalan mengenai "siapa yang kena" seperti ungkapan popular seniman Ibrahim Pendek dalam filem Ali Baba Bujang Lapok. Maka berputarlah ramalan mereka mengenai siapa yang akan menjadi calon dan siapa pula yang akan digugurkan. Seterusnya, mereka meramalkan menteri besar, ketua menteri, menteri atau timbalan menteri yang akan dipencenkan. Timbul pula nama yang akan diketengahkan sebagai calon pilihan raya. Ada yang mengena, ada juga sebaliknya.

Muncullah "spin doctor" atau "doktor pusing" atau "doktor bedah" atau "doktor cucuk" atau "doktor reka-reka" untuk mengetengahkan calon-calon mereka dalam pelbagai medium dan yang terkini ialah media baru atau new media iaitu blog. Maka muncullah artikel mengenai siapakah yang akan dibawa ke pusat dan dihantar balik ke negeri.

Artikel ini berdasarkan hujjah penulis atau spin doctor yang antaranya memberi alasan seperti "masalah penyakit", "lemah dan lembab", "terlalu kuat dan pintar -hang nadim", "amat perlu di peringkat pusat", "sudah terlalu lama pegang jawatan", "tidak disukai oleh tingkat 4", "bukan pilihan KJ" dan macam-macam lagi yang boleh menyakinkan pembaca untuk terus membuat "spinning" terhadap artikel itu. Ada yang mengena, ada juga sebaliknya.

Selain itu, beberapa isu-isu terkini yang ditonjolkan yang membuat pemimpin tertinggi menukarkan seseorang pemimpin di negeri ialah seperti isu Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), penggondolan bukit-bukau dan masalah banjir, cakap tidak serupa bikin, cakap berdegar-degar dan tidak tahu control apabila perlu, tidak produktif dan proaktif serta tidak membantu menaikkan imej parti dan kerajaan.

Walaupun, ramai perunding atau penasihat politik yang akan memberitahu "bos" mereka agar tidak mengendahkan artikel atau "cakap-cakap" seperti itu, namun ia tetap menjadi igauan kepada "bos" mereka kerana penulisan itu mencacatkan imej mereka. Mungkin boleh memulakan kudis buta atau kayap.

Namun, nasihat saya sebagai wartawan ialah janganlah terlalu sangat memikirkan mengenai penulisan atau artikel yang disiarkan dan peganglah falsafah intan yang dihayati selama ini.

Jika kita intan atau diamond, kita tetap intan walaupun ada orang yang akan mencampakkan kita ke dalam lumpur atau longkang. Apabila intan itu dibasuh dan dibersihkan ia akan bersinar dan tetap menjadi intan yang bernilai dan dipuja.

Cuma jangan biarkan mereka sorokkan intan itu dalam tempat yang tidak diketahui orang. Ini kerana walaupun mereka intan, nilai mereka tidak diketahui sehingga orang menemuinya. Tak tahulah bila waktunya. Dalam maksud tu. Perrrrggggh.

Sunday, June 24, 2007

MAS GOLDEN LOUNGE "HILANG"


(Pemandangan dalam LTASI. Gambar oleh IY)

Alhamdulillah, Siti Mariana, yang dikatakan hilang sudah pulang ke rumah. Ini yang dilaporkan oleh The One and Only Rocky @ Ahirudin Attan dalam blognya [ Rocky's Bru ] pada jam 7 malam tadi.

Namun, petang tadi saya tercari-cari MAS Golden Lounge di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Johor.

Kemanakah hilangnya golden lounge itu?

Mengikut pekerja di situ, golden lounge itu ditutup sejak tahun lalu.

Mengapa ditutup? Penumpang dari Johor Bahru tak perlu makan ke? Oppps...mereka kena keluar duit sikitlah dengan membeli makanan di cafe dalam lapangan terbang berkenaan. Perrrgggghhh. Macam mana ni?

GADIS HILANG

SEORANG gadis berusia 22 tahun dilaporkan hilang dalam perjalanan ke Klang antara jam 7 hingga 8 malam Jumaat.

Menurut Presiden All-Blogs, Ahirudin Attan @ Rocky, gadis itu, Siti Mariana, pelajar di Kolej Universiti Teknologi Malaysia Shah Alam, hilang ketika menaiki kereta Kancil metallic grey BHF 7472 dari Shah Alam menghala ke Klang.

"Ayahnya, Capt Suhaimi Aziz, membuat laporan polis jam 4.15 pagi Sabtu selepas pelbagai usaha mencari gadis itu melalui rakan-rakan dan saudara mara gagal," tulis Rocky dalam blognya Rocky's bru.

(Marilah kita mendoakan agar Siti Mariana, selamat dilindungi Allah SWT).


Bacalah [ Rocky's Bru ] untuk berita selanjutnya.

Saturday, June 23, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (23)

Aku baru balik daripada meraikan perkahwinan Kunyit. Ini perkahwinannya yang kedua selepas kematian isterinya, Jarah. Kunyit menunggu hampir dua tahun sebelum mengahwini isteri barunya, Jompot. Majlis itu dibuat ala kadar hanya untuk memberitahu masyarakat beruk di Bukit Putra mengenai berita baik itu.

Aku diminta berucap sebagai ketua perwakilan beruk. Tidak panjang tetapi penting. Aku mengingatkan masyarakat beruk supaya bersatu padu. Rapatkan barisan. Bersatu teguh, bercerai roboh. Jika beruk bersatu, mereka boleh menghadapi segala cabaran dan rintangan mendatang. Mereka boleh memerangi anjing liar. Beruk boleh menghadapi petualang yang hipokrit atau beruk plastik. Tiada halangan menggunung yang menjadi masalah jika beruk bergerak sebagai satu kumpulan.

Kunyit adalah seekor beruk yang bersemangat waja. Pelbagai usaha dilakukannya untuk memastikan kehidupannya sempurna sepanjang masa. Dia rajin mencari buah-buah hutan untuk dijadikan bekalan makanan atau barang pertukaran dengan beruk lain.

Kunyit juga rajin untuk turun ke bawah bukit untuk mencari makanan yang dibuang oleh manusia. Pernah dia mendapat sebiji kek strawberi yang tertulis perkataan "Selamat Hari Jadi Malaysia". Itu berlaku beberapa bulan lalu.

Pada mulanya, dia tidak berani mengambilnya kerana kek itu masih elok. Mungkin manusia tertinggal atau terjatuh daripada motosikal yang ditungganginya. Namun, apabila tiada yang mengambilnya keesokan harinya, Kunyit membawa kek itu untuk dirasai oleh beberapa ekor beruk lagi. Ini termasuk Jinnah dan anaknya, Jibam.

Kunyit juga seorang suami yang baik. Dia menjaga dengan penuh kasih sayang ketika Jarah sakit. Jarah menghadapi penyakit bengkak tengkok. Mungkin jangkitan kuman. Pelbagai ramalan dan anggapan daripada beruk lain. Ada juga yang menyifatkan penyakit Jarah itu sebagai kena sampuk oleh jembalang tanah di bawah gaung. Kebetulan, Jarah jatuh sakit selepas dia turun ke gaung untuk mencari makanan di situ.

Sekembalinya daripada gaung berkenaan, Jarah terus demam dan tengkoknya mula bengkak. Pada hari kedua, bengkak itu mula mengeluarkan nanah yang busuk. Sungguh meloyakan. Namun, Kunyit tetap menjaga isterinya dengan penuh kasih sayang. Tok Dukun Pandei (TDP) turut membantu. Jarah diberikan pelbagai jenis ubat yang terdapat di hutan Bukit Putra termasuk daun herba. TDP berusaha untuk mengubati Jarah tetapi alam besar yang menentukannya. Jarah mati selepas tiga minggu menderita dengan penyakit bengkak tengkok. Badannya kurus kering dan matanya tersembul keluar.

Isteri Kunyit yang baru, seekor janda yang juga kematian suami. Jompot kehilangan suami beberapa bulan lalu akibat dipanah petir. Ketika itu, suaminya, Bujal sedang mengambil petai di atas pokok sebelah tiang telekomunikasi di atas Bukit Putra. Tiba-tiba petir menyambarnya. Badan Bujal hampir hangus dan dia terpelanting ke tanah. Tengkoraknya retak dan badannya berkecai. Satu keadaan yang amat memilukan.

Sejak itu, Jompot cergas dalam membantu kerja-kerja aku untuk memastikan nasib masyarakat beruk sentiasa terbela. Ketika bertugas di satu majlislah, dia bertemu dengan Kunyit dan cinta mereka bersemarak. Akulah yang menasihatkan mereka untuk berkahwin. Ini kerana tidak ada gunanya mereka membujang dan terlalu mengenangkan pasangan yang sudah pergi. Pasti cinta dulu akan tersemat dihati. Namun, banyak ruang-ruang lagi dalam hati mereka untuk cinta berputik dan berbunga.

Kehidupan perlu diteruskan. Selamat pengantin baru Kunyit. Semoga berkekalan hingga ke akhir hayat. Layarkan bahtera baru.

LORONG SMART TAG YANG PANJANG


(Lorong Smart Tag yang kosong inilah menjadi idaman semua. Gambar oleh IY)

Saya menggunakan smarttag sejak 1990an lagi. Terima kasih kepada PLUS kerana menghadiahkannya. Ia amat berguna terutama di Plaza-plaza tol yang sibuk dengan kenderaan di waktu pagi dan petang.

Namun, sejak kebelakangan ini, lorong smarttag adakalanya lebih panjang daripada lorong tunai atau touch n go. Ini menyebabkan saya kadangkala terfikir mengapa menggunakan smarttag kalau saya terpaksa menunggu di barisan yang panjang. Saya akan masuk ke lorong touch n go jika tidak ramai orang. Tetapi lorong itu juga panjang.

Saya dapati salah satu punca lorong smarttag panjang ialah smarttag pengguna tidak berfungsi. Terpaksalah kakitangan PLUS keluar daripada tempat kerja mereka untuk membantu pengguna smarttag itu. Punca utama ialah bateri smarttag mereka lemah.

Tindakan PLUS menawarkan harga murah untuk smarttag baru-baru ini adalah satu usaha murni dan terpuji. Namun, PLUS jangan lupa untuk memastikan lorong smarttag tidaklah panjang lagi dengan bertambahnya pengguna smarttag pada masa akan datang.

Saya berbangga kerana PLUS kini diterajui oleh wanita, Puan Noorizah Haji Abdul Hamid yang pernah saya temui dalam satu majlis berbuka puasa dianjurkan oleh UEM sedikit masa dulu.

Menjadi harapan saya Pengarah Urusan PLUS yang baru akan melihat perkara ini. Mungkin boleh mendidik pemilik smarttag yang tidak "smart".

Thursday, June 21, 2007

TERUS SUBURKAN PERPADUAN


(Hasrat tinggi menggunung untuk melihat Malaysia terus harmoni)

Setiap kali saya minum pagi bersama Iyra di kedai kopi Cina di Petaling Jaya, hati saya terharu dan gembira kerana menyaksikan suburnya hubungan pelbagai kaum di negara ini.

Kedai itu dimiliki oleh tauke Cina dan beliau menyewakan ruang kepada peniaga India Muslim untuk menjual nasi campur, nasi beriyani dan roti canai. Nasi lemak di kedai itu dibekalkan oleh peniaga Melayu. Pelanggannya pelbagai kaum dan yang ramainya ialah bangsa Melayu, lelaki dan perempuan.

Apabila minum pagi di kedai kopi itu, saya akan menyaksikan beberapa kali pasangan dua kaum minum pagi di situ. Mula-mula dua lelaki - Melayu dan India masuk. Kemudian dua lelaki - India dan Cina pula datang untuk menikmati makanan di kedai kopi itu. Seterusnya pasangan Cina dan Melayu pula masuk untuk memulakan pagi mereka dengan roti bakar dan kopi pekat. Ada juga kumpulan India dan Melayu duduk semeja. Melayu dan Cina. Mereka berbual dan adakalanya ketawa terbahak-bahak apabila bercerita mengenai sesuatu yang mencuit hati. Alangkah suburnya perpaduan. Mereka yang tidak suka perpaduan pasti akan "jatuh sakit" melihat suasana ini.

Semalam, saya pergi ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk pemeriksaan doktor mengenai tulang belakang selepas pembedahan tahun lalu. Di situ juga, saya melihat seorang gadis bersawo matang seperti Melayu datang untuk mengambil nombor giliran. Kemudian dia menghilang. Sekejap lagi, gadis sawo matang itu muncul semula bersama dengan seorang lelaki Cina dan wanita India. Lelaki itu memimpin wanita berkenaan dengan cermat dan penuh kasih sayang. Rupa-rupanya gadis sawo matang macam Melayu itu adalah anak pasangan Cina dan India berkenaan. Tidak lama kemudian, adik gadis itu muncul. Wajahnya sering tak tumpah macam gadis berkenaan.

Saya gembira melihat dua suasana itu. Matilah sikap perkauman dan lemparkan sikap itu jauh-jauh. Saya berdoa agar perpaduan terus subur di negara tercinta ini. Didiklah generasi baru sekarang mengenai perpaduan.

Wednesday, June 20, 2007

HISHAM MAKIN SEGAR




(Gambar-gambar sebelum pembedahan. Lawatan dan kata-kata semangat rakan-rakan menguatkan lagi semangat Hisham untuk masuk ke bilik pembedahan)

Kesedihan saya semalam bertukar menjadi hari yang amat menggembirakan hari ini.

Apa tidaknya kerana kesihatan seorang rakan, Datuk Hishamuddin Aun, yang menjalani pembedahan baru-baru ini, kini bertambah baik. Inilah doa kita selama ini.

Datuk Hisham kini boleh makan apa yang diinginkan dan tidak perlu bergantung kepada "makanan berkhasiat" hospital. Sup dan tom yam amat digemarinya sekarang. Malah, Datuk Hisham ada ketikanya melepak di Bangsar dengan rakan-rakannya selepas melakukan fisioterapi.

Kesihatan Datuk Hisham bertambah baik adalah satu berita yang menggembirakan. Ia sekaligus menangkis sebarang ramalan atau anggapan sesetengah pihak mengenai tahap kesihatannya. Tiada cerita yang lain...hakikatnya.. beliau kini semakin sihat.

Dalam perbualan saya di telefon, Datuk Hisham yang kedengaran gembira dan ceria mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatannya. Suaranya di telefon kini sudah kembali "original" bukan seperti ketika baru keluar hospital. Menurut beliau, hanya Allah SWT yang akan dapat membalas doa rakan-rakan.

Ketika melalui pengalaman sebelum dan selepas pembedahan ini, beliau boleh menyaksikan sikap rakan-rakan sejati yang memberi sokongan dan semangat kepadanya dan keluarga.

Sikap jujur dan ikhlas mereka jelas terpancar.

Tuesday, June 19, 2007

HANG NADIM MODEN (8)

SEMALAM ADALAH HARI YANG AMAT MENGECEWAKAN.


(saya berehat seketika untuk menenangkan fikiran)

Monday, June 18, 2007

PROJEK LOCKER PELAJAR (2)

Petang ini, saya sempat berbual di telefon dengan Guru Besar SK Sri Petaling (SSP), Puan Hajjah Bibi Maria Hussain, mengenai Projek Locker Pelajar (PLP). Beliau yang kedengaran peramah dan dinamik, menyambut baik hasrat untuk membantu SSP.

Sehubungan itu, Puan Hajjah Bibi Maria berjanji akan membantu saya dari segi mendapatkan quotation untuk membina locker pelajar di samping mengenalpasti tempat yang sesuai bagi menempatkan almari atau locker berkenaan.

Saya yakin projek ini boleh dilaksanakan secepat mungkin demi kepentingan pelajar di sekolah berkenaan.

Oleh itu, bakal-bakal penyumbang budiman terutama syarikat GLC dan sektor swasta bolehlah bersiap-sedia untuk memperuntukkan sumbangan anda bagi merealisasikan projek ini.

Ia mungkin boleh dijadikan projek contoh, menggabungkan pembabitan sekolah dan sektor swasta, yang boleh diikuti Kementerian Pelajaran dalam melaksanakan projek locker pelajar di semua sekolah di seluruh negara.

HANG NADIM MODEN (7)


(MERCEDES BENZ KLEEMANN)

HARI INI ADALAH HARI PENENTU KEPADA NASIB HANG NADIM.

INI KERANA PADA HARI INILAH JAWATANKUASA DASAR AUTOMOTIF NASIONAL AKAN BERMESYUARAT UNTUK MEMPERTIMBANGKAN PERMOHONAN LESEN IMPORT R & D (R&D AP) DARIPADA KLEEMANN ASIA PASIFIK SDN BHD (KAP).

R&D AP INI PENTING UNTUK MEMBOLEHKAN KAP YANG DITERAJUI OLEH AZAD DAN KHAIRUL MEMBAWA MASUK KERETA MERCEDES BENZ YANG SUDAH DIBELI DARIPADA KLEEMANN DENMARK UNTUK DIPAMERKAN DI NEGARA INI.

IA JUGA LANGKAH PERMULAAN UNTUK MENJADIKAN MALAYSIA SEBAGAI IBU PEJABAT DAN HAB KLEEMANN DI RANTAU ASIA PASIFIK.

JIKA MEREKA MENDAPAT KELULUSAN, MAKA BERMULALAH PERJALANAN PERNIAGAAN KAP YANG SERBA MENCABAR SEJAK FEBRUARI LALU UNTUK MEMBUKTIKAN USAHAWAN MALAYSIA KHASNYA MELAYU MAMPU BERSAING DAN BERJAYA DALAM PEMASARAN KOMPONEN UNTUK KERETA BERSTATUS PREMIUM.

MARILAH KITA BERDOA AGAR NASIB AZAD DAN KHAIRUL, YANG MENCARI REZEKI DI BUMI SENDIRI, AKAN TERBELA OLEH PEMIMPIN NEGARA YANG SENTIASA MEMIKIRKAN UNTUK MEMBANTU USAHAWAN MALAYSIA TERUTAMANYA MELAYU SEJAK MERDEKA LAGI.

INILAH HADIAH TERBAIK UNTUK HANG NADIM SEMPENA MENYAMBUT 50 TAHUN KEMERDEKAAN.

APATAH LAGI, USAHA DUA ANAK MUDA INI, YANG TIDAK SERIK MENGHADAPI ONAK DAN DURI, MAMPU MEMBUKTIKAN HASRAT PERDANA MENTERI, DATUK SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI AGAR MELAYU MEMPUNYAI TOWERING PERSONALITY DAN TIMBALANNYA, DATUK SERI MOHD NAJIB TUN RAZAK AGAR MELAYU MENJADI GLOKAL, AKAN TERCAPAI. INSYAALLAH.

Saturday, June 16, 2007

PROJEK LOCKER PELAJAR (1)


(Sekolah Kebangsaan Sri Petaling, Petaling Jaya)

Sekolah ini amat istimewa kepada saya. Bukan kerana bersekolah di sini tetapi tiga anak saya memulakan pendidikan rendah mereka di Sekolah Kebangsaan Sri Petaling. Sehingga ini, tiada sumbangan besar yang saya berikan kepada SSP. Hanyalah sumbangan kecil untuk penganjuran sukan sekolah atau sumbangan lain yang diminta oleh pengurusan sekolah dari semasa ke semasa.

Oleh itu, saya berfikir untuk memulakan satu projek berfaedah untuk SSP. Buat masa ini, saya terfikir untuk melancarkan Projek Locker Pelajar (PLP). Itupun jika ada sokongan pengurusan dan PIBG sekolah serta ibu bapa pelajar. Mungkin juga diperlukan penaja yang budiman. Kalau dah ada dalam perancangan, baguslah. Masa akan datang, mungkin ada cadangan lain yang lebih bernas lagi untuk SSP. Saya yakin, PLP boleh berjaya kerana guru besar SSP sungguh dinamik. Lihatlah bagaimana tempat menunggu berbumbung SSP sekarang memberi keselesaan kepada pelajar dan ibu bapa. Melindungi pelajar daripada panas dan hujan. Pengurusan yang cukup dinamik dan berpandangan jauh.

PLP ini timbul apabila melihat anak saya yang akan berdiri tegak setelah memikul beg sekolah yang penuh dengan buku teks dan latihan. Macam robot. Adakalanya tidak boleh berpusing. Berat ke? Soalan simpati. Sudah tentulah daddy. Mengapa beg berat? Banyak buku yang perlu dibawa.

Yang berbadan besar sudah tentulah tiada masalah. Bagaimana pula dengan pelajar berbadan kecil seperti Iyra (sebutan Aira). Sungguh kesihan. Janganlah merosakkan tulang belakang. Pasti menyakitkan.

Pembinaan almari atau locker seperti di sekolah-sekolah negara maju sudah tentu meringankan "beban" yang dibawa oleh pelajar. Mereka boleh menyimpan buku-buku di locker mereka sendiri. Hanya buku yang diperlukan untuk membuat kerja rumah dibawa balik ke rumah. Yang lain, boleh ditinggalkan atau "ditukar" mengikut jadual kelas mereka. Ada pendapat yang menyatakan locker di sekolah juga adalah tempat simpanan peribadi pelajar selain di bilik mereka di rumah.

Jika sekolah di negara-negara maju boleh menyediakannya, mengapa di Malaysia tidak boleh dilaksanakan. Mungkin ada sekolah di negara ini sudah mempunyai locker pelajar tetapi tidakkah ia boleh diperluaskan ke semua sekolah di seluruh negara. Ada duit ke? Bagaimana pandangan dan pendapat YB Menteri Pelajaran?

Friday, June 15, 2007

100 BILION SEL DALAM OTAK BAYI

Cuba bayangkan angka 100 bilion sel. Satu angka besar yang sukar digambarkan. Saya difahamkan itulah jumlah sel yang ada dalam otak bayi ketika dilahirkan. Bagaimanapun sel itu akan mati atau berkembang dari semasa ke semasa bergantung kepada cara anda menggunakan otak. Kusut atau kembang.

Sel otak akan mati jika anda menggunakan otak untuk mengingatkan kedudukan sesuatu benda atau memikirkan kesalahan lampau. Umpamanya, apabila cuba mengingatkan di manakah anda meletak kunci kereta. Ketika itu, mungkin berjuta-juta sel otak akan mati kerana otak "diperah" dan "dikerah" untuk mengingatkan "tempat" kunci itu disimpan. Itu sebabnya di negara maju, rakyatnya tidak menggunakan otak semata-mata untuk mengingatkan kepada perkara remeh seperti kedudukan kunci atau bil letrik. Untuk mengatasinya mereka menyediakan tempat menggantung kunci atau semua bil agar mudah untuk mengambilnya apabila diperlukan.

Begitu juga jika anda berfikir mengenai kesalahan lalu. Usah terlalu mengingatkan kesalahan yang dilakukan. Jadikannya sebagai sempadan. Apa yang perlu ialah memperbaiki kesilapan itu dan membuat yang lebih cemerlang pada masa hadapan. Jika anda terlalu memikirkan kesalahan lalu, maka berjuta-juta sel otak akan mati.

Saya sering mengingatkan pembaca berita di TV3 dan RTM (masa dulu-dulu) agar tidak mengingatkan "kesalahan pertama" ketika membaca berita pada hari bertugas. Apabila mereka terlalu memikirkan "kesalahan" itu, maka mereka akan membuat kesalahan seterusnya dan ada yang gugup sehingga tamat penyiaran berita berkenaan.

Selain itu, pelbagai kisah duka mengenai suami yang kematian isteri menjadi tidak siuman apabila terlalu memikirkan "kehilangan" orang tersayang itu. Bagi orang Islam, mereka perlu reda dan teruskan kehidupan seperti biasa. Jika bertemu jodoh maka kahwinlah dengan "orang baru" yang dikasihi. Kasih sayang terhadap isteri pertama itu tetap bersemadi dihati tetapi kehidupan sebagai manusia biasa perlu diteruskan. Kehidupan tidak terhenti setakat itu. Begitu juga benda lain. Perrrggggh.

Namun, jika otak digunakan untuk memikirkan perkara yang berfaedah seperti sumbangsaran atau brainstorming, maka sel otak akan bertambah dan mengelakkan anda menjadi nyanyuk. Bagi orang Islam, apabila anda membaca Al-Quran, ia secara automatik menambahkan bilangan sel otak kerana roh kitab yang meresapi ke otak dan tubuh selain ilmu daripada pemahaman isi kandungan kitab suci berkenaan.

Kesimpulannya, anda perlu menggunakan otak untuk perkara-perkara yang berfaedah dan jangan "menyalahgunakannya" dengan perkara yang boleh mematikan sel otak. Kebanyakan orang kaya atau bijak pandai akan mempunyai buku kecil di poket mereka untuk menulis perkara yang ingin dilaksanakan bagi mengelakkan tindakan "memerah" otak untuk mengingatkan "cadangan bernas" yang difikirkan ketika di kedai makan atau di tempat tertentu. Hiduplah secara bijaksana dan bijaksini.

Thursday, June 14, 2007

PENDAKIAN SOLO 50 PUNCAK KINABALU

Pernahkah anda mendaki Gunung Kinabalu di Sabah? Jika sudah sampai ke puncak 4,095 meter gunung itu, maka anda adalah antara ratusan ribu manusia yang harus berbangga dengan pencapaian peribadi. Simpanlah sijil mendaki yang diperolehi dengan baik untuk menjadi bahan tontonan anak cucu nanti. Saya juga menyimpan sijil pendakian itu untuk dijadikan inspirasi kepada keturunan saya pada masa akan datang. AJ sudah melakukannya.

Pengalaman mendaki Gunung Kinabalu amat indah sekali. Sukar untuk dilupakan termasuk kepenatan mendaki ribuan anak tangga untuk menuju ke puncak. Selain menikmati suasana indah termasuk meyaksikan pelbagai flora dan fauna di puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara, pendaki juga boleh melihat pemandangan indah dari atas gunung.

Udaranya sungguh nyaman dan mengasyikkan dengan bunyi serangga-serangga kecil seolah-olah gembira dengan kedatangan pendaki. Itulah sekali saya berada di puncak Gunung Kinabalu dan bagi saya, kejayaan itu amat mendalam dan bermakna sekali. Cubalah merasakan keindahan suasana itu walaupun sekali dalam hidup anda.

Kini, ada usaha gemilang mendaki Gunung Kinabalu sempena 50 tahun kemerdekaan. Pendakian solo ini ingin dijayakan oleh Saudara Mohd Noor Mat Amin, jurugambar akhbar Utusan Malaysia pada Julai depan. Pendakian ini bukan sekali, dua atau tiga kali tetapi sebanyak 50 kali dalam tempoh 50 hari. Perrrggghh. Itulah yang ingin dilakukan oleh rakan saya, Mohd Noor.

Pendakian solo sehingga puncak Gunung Kinabalu yang dilakukan setiap hari selama 50 hari tanpa henti ini sempena menyambut ulangtahun kemerdekaan negara ke 50 tahun. Ia bersesuaian dengan Tahun Melawat Malaysia 2007 dan akan dapat membuktikan kepada dunia bahawa di Malaysia juga mempunyai destinasi terbaik melakukan pelbagai cabaran.

Projek itu diilhamkan oleh Mohd Noor, anggota Ekspedisi Malaysia-Everest 97 yang telah mencatatkan pengalaman menerusi buku bertajuk Jejak ke Puncak. Beliau bakal menjadi pendaki pertama di dunia dengan melalukan pendakian solo ke puncak Gunung Kinabalu sebanyak 50 kali tanpa henti selama 50 hari. Pihak World Guiness Records akan mengiktiraf kejayaan ini.

Selamat mendaki Saudara Mohd Noor.

Wednesday, June 13, 2007

HANG NADIM MODEN (6)


(Azad, Khairul dan rakan di HQ Kleemann)

Ketika bersembang dengan Azad dan Khairul, saya sering menasihatkan mereka agar menjadikan Kumpulan Naza sebagai ikon mereka dalam industri automotif. Ini kerana berkat kegigihan, disiplin dan komitmen tinggi dalam bidang perniagaan, Kumpulan Naza muncul sebagai antara syarikat terkemuka negara yang menyediakan banyak pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Saya rasa layak untuk memperkatakan mengenai kejayaan Kumpulan Naza kerana saya mengikuti perjalanan kumpulan ini sebagai wartawan dan pelanggan. Sebagai wartawan, saya mengikuti evolusi Naza daripada sebuah syarikat kereta terpakai di Kampung Baru, Kuala Lumpur kepada pengedar kereta Korea dan Eropah yang amat disegani. Malah Naza kini sudah mengeluarkan kereta jenama mereka sendiri dan menyediakan banyak pekerjaan di kilangnya di Gurun, Kedah. Kumpulan itu juga terbabit dalam beberapa bidang lagi seperti perhotelan dan pembangunan hartanah.

Sebagai pelanggan, saya membeli Mercedes Benz, Honda Integra, Honda CRX, Honda Accord dan Honda CRV daripada Naza di Kampung Baru. Layanan mesra Tok Aji dan anak-anak buahnya sejak dari mula lagi membuat saya sentiasa tertarik untuk membeli kereta daripada Naza. Malah Tok Aji yang sudah menjadi orang kuat Kumpulan Naza masih peramah, berbudi bahasa dan berhati mulia. Ini terbukti dalam setiap pertemuan dengannya dan yang terbaru ialah pada April lalu.

Bagi Azad dan Khairul, penubuhan Kleemann Asia Pasifik Sdn Bhd (KAP) adalah satu manifestasi kepercayaan dan keyakinan pengurusan syarikat multinasional kepada keupayaan anak tempatan. Ia adalah satu tanggungjawab besar untuk dipikul dan memastikan KAP mampu meningkatkan jualan kereta berstatus premium di rantau Asia Pasifik.

Kejayaan atau kegagalan KAP akan mencerminkan setakat mana kemampuan rakyat Malaysia untuk menjadi pemain utama atau main player dalam industri automotif di rantau ini. Mereka mempertaruhkan maruah bangsa dan negara dalam memikul kepercayaan dan tanggungjawab besar mereka. Kumpulan Naza telah membuktikan keupayaan rakyat Malaysia dan kini giliran KAP untuk mengikuti jejak langkah gemilang kumpulan berkenaan.

Sehubungan itu, kerajaan perlu membantu KAP dengan memberikan segala keperluan seperti permit import R & D bagi membolehkan mereka memulakan langkah menjadikan Malaysia sebagai ibu pejabat Kleemann dan hab kereta berstatus premium di rantau Asia Pasifik. Kumpulan Naza telah berjaya menjual kereta mampu milik dan berstatus premium seperti Brabus kepada rakyat Malaysia dan tidak ada sebab KAP tidak boleh melakukannya jika mereka mempunyai disiplin dan komitmen yang tinggi. Yang penting, mereka perlu diberi peluang membuktikannya.

Nota: Baca mengenai [ Kumpulan Naza ] dan bidang yang diterokainya.

HUJAN OH HUJAN

(Nyanyian dulu)
Hujan oh hujan, mengapa engkau turun?
Macamana aku tak turun, katak panggil aku
Katak oh katak, mengapa panggil hujan?
Macamana aku tak panggil, api menyala besar
Api oh api, mengapa engkau menyala?
Macamana aku tak menyala, manusia suka membakar
Manusia oh manusia, mengapa engkau suka membakar?
Macamana aku tak bakar, sebab nyamuk banyak
Nyamuk oh nyamuk, mengapa engkau banyak?
Macamana aku tak banyak, air hujan turun
Hujan oh hujan, mengapa engkau turun?
Macamana aku tak turun, katak panggil aku
(nyanyilah berterusan hingga beberapa hari)

(Nyanyian sekarang)
Hujan oh hujan, jangan engkau turun
Mengapa pulak aku tak boleh turun, aku ada hak
Hujan oh hujan, jangan cakap pasal hak
Mengapa pulak aku tiada hak, memang aku berhak
Hujan oh hujan, dengar cakap aku
Mengapa pulak aku nak dengar, aku punya suka
Hujan oh hujan, jangan ikut suka
Mengapa pulak tak boleh, cuba engkau cerita
Hujan oh hujan, air engkau banyak
Apa salahnya air aku banyak
Apabila air kau banyak, nanti Kuala Lumpur banjir

Nota: Hujan bermula kira-kira jam 4.50 petang di Kuala Lumpur.

Tuesday, June 12, 2007

PERSAHABATAN MELANGKAU BANGSA


(Pokok Persahabatan. Hasil karya Noor Cynta Camilia)

Hari ini, saya mendengar cerita daripada seorang ayah yang begitu gembira dengan perkembangan terbaru mengenai anaknya. Beliau memberitahu saya anaknya dipelawa untuk bekerja dengan syarikat rakannya. Pelawaan si rakan itu berdasarkan hubungan erat mereka sejak dari kecil lagi. Ini kerana si ayah sentiasa menggalakkan anaknya berkawan dengan semua bangsa. Semua bangsa, sepanjang masa.

Ramai rakan anaknya sering bertandang ke rumahnya. Ada yang datang untuk makan tengah hari dan ada juga yang bermalam dirumahnya. Mereka tidur beramai-ramai dalam bilik anaknya. Adakalanya macam ikan sardin. Satu bilik, satu bau.

Banyak kali berlaku rakan Cina yang tidur di rumahnya tolong mengejut anak beliau untuk bangun sembahyang subuh. Ada juga yang bersahur bersama keluarganya ketika mereka bermalam pada bulan Ramadan. Anaknya pula sering memintanya membeli buah limau atau pokok limau untuk dihadiahkan kepada rakan pada Tahun Baru Cina. Sehingga hari ini, rakan Cinanya terus beragama Buddha.

Inilah kemanisan persahabatan. Masing-masing menghormati antara satu sama lain. Rakan Cinanya kini mempelawa anak beliau bekerja dengannya. Hasrat mereka untuk menjadi sebuah syarikat "Ali Baba" yang termasyhur di negara ini. Setidak-tidaknya membuktikan kepada dunia bahawa persahabatan melangkau sempadan bangsa dan agama.

Semangat persahabatan antara kaum dan bangsa ibarat sebatang pokok yang perlu dibaja sepanjang masa. Ini penting agar akar persahabatan itu kukuh bagi menunjangi pokok untuk hidup sehingga beratus-ratus tahun.

Monday, June 11, 2007

HANG NADIM MODEN (5)


(Khairul menandatangani perjanjian dengan syarikat China)

Ramai yang tertanya-tanya mengapa saya beriya-iya benar ingin membantu dua anak muda ini yang kini digelar Hang Nadim. Adakah saya ada kepentingan dengan syarikat usahasama ini? Adakah saya seorang pengarah syarikat berkenaan? Adakah saya akan dijanjikan habuan tertentu? Adakah saya berniat untuk memburuk-burukkan seseorang? Jawapan kepada semua soalan itu ialah tidak, tidak dan tidak.

Saya tidak ada kepentingan dalam syarikat ini. Saya bukan pengarahnya. Kedua-dua anak muda ini tidak pernah berjanji untuk memberi habuan kepada saya. Tiada niat saya untuk memburuk-burukkan seseorang. Semua kenyataan itu betul. Sebagai abang kepada adik yang mempunyai impian besar ini, saya hanya ingin membantu.

Kesempatan bertemu anak muda ini apabila seorang teman meminta saya membantu menghantar siaran media mengenai mereka kepada media cetak dan elektronik. Itupun mengenai penubuhan syarikat usahasama Kleemann Asia Pasifik Sdn Bhd (KAP). Media cetak dan elektronik yang bijaksana membantu menyiarkan berita yang membanggakan Malaysia itu.

Selepas itu, teman membawa saya menemui kedua-dua anak muda ini. Saya tidak pernah mengenali mereka sebelum ini. Sebagai wartawan, saya amat tertarik untuk mendengar kejayaan mereka dalam menyakinkan pengurusan tertinggi Kleemann Denmark. Mereka menerangkan satu persatu daripada membuat proposal, sehinggalah ke presentation dan menandatangani perjanjian perkongsian pintar itu. Malah mereka juga menceritakan pengalaman memandu musim sejuk di Sweden bagi memastikan mereka mampu mengendalikan pemasaran kereta berstatus premium itu. Mereka perlu melalui latihan itu demi masa depan perniagaan. Mereka turut menceritakan pengalaman dalam industri automotif ini, yang lebih sepuluh tahun, termasuk perjanjian dengan syarikat kereta di China pada tahun sebelumnya.

Selepas itu, tiada berita daripada mereka sehinggalah mereka menceritakan masalah dan kerumitan yang dihadapi awal bulan lalu. Ketika itulah saya mengetahui "pengalaman pahit" yang mereka terpaksa lalui semata-mata kerana mereka diberi penghormatan untuk mengadakan usahasama dengan Kleemann Denmark. Sungguh menyedihkan.

Kejayaan mereka itu dilihat oleh sesetengah pihak sebagai "kegagalan" pihak tertentu yang telah diberikan kepercayaan terlebih dahulu. Akibatnya Hang Nadim Moden ini menerima tempiasnya dan bermulalah "perjalanan sukar" mereka sehinggalah terpaksa berusaha menemui pemimpin-pemimpin negara yang mungkin boleh membantu dan menyegerakan permohonan mereka.

Janji untuk membantu itu ada tetapi mereka terpaksa menunggu dan menunggu sehinggakan Kleemann Denmark bertanya mengapa mereka tidak mendapat segala bantuan yang diperlukan sebagai usahawan di negara sendiri. Ini amat memilukan. Apatah lagi janji manis dan harapan yang diberikan oleh sesetengah pemimpin dalam ucapan berapi-api mereka sebelum ini.

Persoalan ini yang sukar dijawab kerana kuasa ada ditangan pihak tertentu. Dua anak muda ini berusaha menghantar permohonan untuk mendapat permit import mereka tetapi ditolak. Hang Nadim Moden ini tidak berputus asa dan terus menghantar semula.

Kini mereka hanya menunggu saja kerana kerajaan perlu bermesyuarat terlebih dahulu untuk membuat keputusan mengenai permohonan mereka. Saya yakin kerajaan akan meluluskannya. Namun, segerakanlah permohonan mereka bagi membolehkan anak muda ini meneruskan perniagaan mereka. Ini sekaligus membuktikan kemampuan usahawan Malaysia di bumi sendiri. Kemampuan dua anak muda Melayu.

Nota: Baca Dasar Automotif Nasional untuk mengetahui objektif pembentukan dasar berkenaan.

TAK MAIN GOLF KE?

Semalam, seorang kawan mengajak saya bermain golf. Saya sudah lama tinggal, apatah kini menghadapi sakit belakang. Seterusnya beliau berkata, "kalau tak main golf, mana nak dapat projek atau kontrak? Mengapa begitu? "Yelah, kalau main golf dengan orang yang bagi projek, ada canlah". Takpelah. "Kita orang lantik seorang yang hanya main golf dengan pegawai kerajaan atau orang tertentu. Itu saja kerjanya. Kita bagi kereta dan driver kepadanya." Baguslah tu.

Sebenarnya, sejak dari dulu lagi, permainan golf ini amat diminati oleh golongan yang ingin meningkatkan status mereka. Bermain golf katakan. Bagi yang baru mengenalinya sudah tentu akan tergila-gila untuk mempelajarinya dari semasa ke semasa. Tidak hairanlah jika ada peluang, maka berkejarlah ke padang golf. Tidak kira masa. Apatah lagi jika ada orang yang sanggup belanja.

Ada juga syarikat yang menganjurkan kejohanan golf untuk "mempertingkatkan" perniagaan mereka. Ketika itu, peluang untuk bertemu dengan "bakal-bakal" rakan kongsi atau orang yang boleh memberikan projek atau kontrak akan terjalin rapat. Selepas kejohanan itu, disusuli pula dengan kejohanan kecil lain semata-mata untuk "merapatkan hubungan".

Untuk menganjurkan sesuatu kejohanan bukanlah murah. Tetapi ada syarikat yang sanggup berbuat demikian semata-mata untuk menunjukkan "kekuatan kewangan" mereka. Pernah satu ketika, seorang pegawai tinggi mengarahkan anak buahnya menganjurkan kejohanan golf yang membabitkan perbelanjaan yang tinggi. Untuk memberi cenderahati membabitkan beg golf, jam mewah dan cigar kepada peserta menjangkau lebih RM1,000. Tidak hairanlah ada peserta yang tidak hadir menghantar "wakil" mereka semata-mata untuk "mengutip" cenderahati yang disediakan. Ini termasuk menghantar driver mereka.

Sunday, June 10, 2007

HANG NADIM MODEN (4)


(Khairul dan Azad di China)


(Khairul bergambar dengan Perdana Menteri. Beliau berdiri di belakang PM.)

Jumaat lalu, Khairul menelefon saya. Menurut beliau, kawan-kawannya kini memanggil beliau dan Azad sebagai Hang Nadim. Mereka bangga dengan panggilan itu tetapi masih merendah diri dengan mengatakan mereka tidaklah sehebat mana. Cuma, mereka juga mempunyai impian untuk berjaya seperti juga Tan Sri Nasimuddin SM Amin yang kini menerajui Kumpulan Naza bersama keluarganya. Seperti Naza, yang bermula sebagai penjual kereta terpakai di Kampung Baru, impian itu boleh terlaksana jika kerajaan terutamanya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz membantu mereka.

Bagi Khairul dan Azad, harapan mereka amat tinggi agar kerajaan membantu mereka untuk membuktikan kebolehan usahawan Malaysia. Kumpulan Naza telah membuktikannya dengan usaha bersungguh-sungguh mereka dan bantuan kerajaan.

Kini giliran Kleemann Asia Pacific Sdn Bhd (KAP) pula perlu dibantu bagi memastikan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai ibu pejabat Kleemann di Asia Pasifik dan hab kereta berstatus premium di rantau ini akan berjaya. Yakin dan percayalah mereka mampu menjayakannya.

Menurut Khairul, bukan mudah untuk menyakinkan Kleemann Denmark membenarkan mereka menubuhkan syarikat usahasama. Mereka pergi ke sana sebagai usahawan tulen tanpa nama-nama besar atau sokongan pemimpin negara atau menteri.

Pertama mereka perlu membuat presentation mengenai proposal pemasaran mereka. Ketika presentation itu, mereka terpaksa menghadapi pelbagai pertanyaan yang perlu dijawab dengan bijaksana. Mujurlah pengalaman kedua-dua mereka dalam industri automotif bukan setahun dua tetapi melebihi sepuluh tahun. Pengalaman ini termasuk bekerja dan menjadi pengedar dengan Hicomobil, Proton Edar, Kumpulan Naza, General Motors dan Chevrolet membolehkan mereka menyakinkan pengurusan tertinggi Kleemann Denmark. Selepas tiga bulan membuat presentation, Kleemann Denmark bersetuju untuk mengadakan perkongsian pintar untuk menubuhkan KAP. Kejayaan ini adalah satu kebanggaan kepada negara. Kini tiba masa untuk membuktikannya.

Pengurusan tertinggi Kleemann Denmark juga tertarik dengan Dasar Automotif Nasional yang amat baik untuk membangunkan industri automotif negara. Mengikut dasar yang dibuat oleh kerajaan itu, syarikat automotif amat mudah menjalankan perniagaan mereka jika mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Oleh itu, Azad dan Khairul berharap keyakinan syarikat multinasional itu untuk menjadikan Malaysia sebagai hab akan berterusan bagi meningkatkan industri automotif di negara ini. Jika perlaksanaan DAN tidak sama dengan dasar yang dibentuk, sudah tentu hasrat untuk merancakkan industri automotif negara akan tinggal impian. Jangan biarkan mereka "lari" melabur di negara lain. Malaysia yang akan rugi dan melepas.

Berilah peluang kepada Hang Nadim Moden ini. Bantulah anak muda ini. Mereka mempunyai akal fikiran dan modal. Cuma, mereka memerlukan permit import R&D (R&D AP) untuk membawa masuk kereta untuk dipamerkan di negara ini. Kereta untuk R&D dan dipamerkan, bukan kereta untuk dijual. Kereta itu sudah dibeli dan kini berada di Denmark. Pemimpin negara tolonglah bantu mereka.

Friday, June 8, 2007

CUTI-CUTI MALAYSIA: SIRI 4



Tiada yang ganjil mengenai pokok rambutan ini. Tetapi ia amat istimewa kerana terletak di rumah ibu di kampung. Apabila buahnya masak bersama sebatang pokok lagi, maka kita berpesta "rambutan" sehingga "boleh pengsan".

Jika anda berpeluang ke Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah, Melaka anda seolah-olah berada di Kebun Rambutan Besar kerana setiap rumah mempunyai setidak-tidaknya sebatang pokok rambutan.

Jika anda mengikuti Pedas ke Melaka ketika musim rambutan ranum maka amat indahnya permandangan buah rambutan yang kekuningan dan kemerah-merahan. Malah ketika musim itulah ada penduduk kampung yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual buah rambutan dan manggis.

Cuti-cutilah di kampung halaman masing-masing.

HANG NADIM MODEN (3)



(Khairul, walaupun muda tetapi bersedia membuktikan keupayaannya bersama Azad)










Ramai kawan-kawan yang menelefon saya bertanya mengapa menggunakan tajuk Hang Nadim dalam siri artikel mengenai kejayaan anak Melayu. Menurut mereka, dalam kisah Hang Nadim yang memberikan idea agar menggunakan batang pisang menggantikan tubuh manusia untuk menangkis serangan todak di Singapura, anak muda itu akhirnya dibunuh. Dibunuh kerana kebijaksanaannya.

Apakah relevannya kematian anak muda itu dengan pencapaian dua anak muda Melayu masa kini?

Saya menjelaskan bahawa pemilihan tajuk Hang Nadim itu untuk memperingatkan pemimpin negara agar kejayaan dua anak muda Melayu moden ini tidak berulang dengan "kematian" mereka akibat perasaan cemburu dan irihati pihak tertentu. Ini kerana sejak dari awal lagi mereka telah menghadapi pelbagai dugaan dalam menjayakan misi mereka untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kereta berstatus premium. Ini termasuk sindiran dan cemuhan mengenai keupayaan mereka di samping usaha memperkecilkan rancangan besar Azad dan Khairul bagi membuktikan bangsa Melayu mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Sebagai wartawan, saya amat tersentuh dengan cerita mereka yang terpaksa "bergelut" bersendirian menghadapi rintangan dan halangan di bumi sendiri yang menjanjikan pelbagai dasar membantu Melayu.

Malah, walaupun syarikat automotif antarabangsa telah memberikan sepenuh kepercayaan kepada mereka namun usaha untuk memulakan perniagaan mereka masih tersekat dengan peraturan tertentu. Menurut Khairul, mereka berdua telah berusaha menemui pemimpin negara untuk membantu mempercepatkan urusan peraturan itu dan sehingga kini masih menunggu dan terus menunggu.

Khairul bimbang keyakinan dan kepercayaan syarikat pengurusan antarabangsa terhadap dasar kerajaan terutama Dasar Automotif Nasional akan terhakis kerana pelbagai karenah birokrasi yang tidak membina. Buktikan perlaksanaan DAN adalah sebaik dasar itu sendiri. Jangan hanya hebat di kertas tetapi tidak sebaik perlaksanaannya. Sudah tentu amat memilukan.

Saya berdoa agar pemimpin-pemimpin negara terutama mereka yang terbabit secara langsung dalam industri automotif dapat membantu mereka bagi menyaksikan kecemerlangan anak Melayu melaksanakan idea cemerlang mereka.

Sudah tentu kita tidak mahu dua anak muda Melayu ini menerima nasib seperti Hang Nadim. Biarlah mereka bijak seperti Hang Nadim tetapi tidak "dibunuh" oleh pihak tertentu akibat cemburu dan irihati seperti kisah Hang Nadim dalam Singapura dilanggar todak.

Thursday, June 7, 2007

CUTI-CUTI MALAYSIA: SIRI (3)


(Cynta menikmati nasi lemak dan air oren)

(Resort di Padang Kemunting, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka)

LAVA GUNUNG BERAPI BERI AURA TENAGA

Pagi tadi, berjumpa seorang kawan yang menunjukkan bekas air yang diperbuat daripada bahan logam yang dicampurkan dengan lava gunung berapi.

Air daripada bekas berkenaan dikatakan mampu memperbetulkan perjalanan darah dan memberi tenaga baru atau "aura baru" kepada penggunanya. Bekas air dan pendant daripada lava itu kini banyak digunakan oleh ahli sukan negara.

Dalam pada itu, beberapa ujian dibuat terhadap saya dan beberapa rakan. Ada pesakit strok, pesakit tulang belakang dan "orang tua". Keputusannya amat menakjubkan. Malah saya menganggapnya seperti satu magik atau silap mata.

Kebelakangan ini, pelbagai barangan atau ubat yang dijual kepada orang ramai. Semuanya dikatakan mempunyai keistimewaannya tersendiri.

Terpulanglah kepada kita untuk menilainya. Namun, jangan tersalah pilih, nahas akibatnya.

HANG NADIM MODEN (2)




(Azad selepas latihan memandu musim sejuk di Sweeden)

Bagi Azad dan Khairul, peluang yang diberikan oleh Kleemann Denmark untuk menjalinkan perkongsian pintar dengan menubuhkan syarikat usahasama adalah satu pengiktirafan kepada rakyat Malaysia khasnya bangsa Melayu.

Ia membuktikan bahawa jika usahawan Melayu boleh mengutarakan idea yang cemerlang sudah pasti syarikat antarabangsa akan bersedia untuk mengadakan usahasama.

Lebih membanggakan ialah kesediaan Kleemann untuk menubuhkan syarikat usahasama sedangkan sebelum ini syarikat antarabangsa hanya melantik syarikat tempatan sebagai pengedar mereka.

Malah Kleemann Denmark bukan saja memberi kepercayaan kepada mereka untuk menyusun pemasaran di Malaysia tetapi lebih besar daripada itu iaitu di rantau Asia Pasifik.

Ini bermakna tugas pemasaran kereta berstatus premium itu yang perlu disusun oleh mereka meliputi negara-negara di Asia Pasifik dan lebih manis lagi Malaysia dipilih sebagai hab syarikat.

Kleemann Denmark yakin dan percaya Dasar Automotif Nasional yang disediakan oleh kerajaan akan membantu dan menyokong merancakkan industri automotif di Malaysia.

Wednesday, June 6, 2007

CUTI-CUTI MALAYSIA: SIRI 2




(Pelbagai gaya sebelum makanan tiba)



(Dinner meraikan hari lahir IYRA)

PRIME MINISTER TO WED JEANNE ABDULLAH

PUTRAJAYA, June 6 (Bernama) -- Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi will marry Jeanne Abdullah, 53, on Saturday, the Prime Minister's Office announced Wednesday.

The wedding will take place at the prime minister's official residence, Seri Perdana, here and will be attended by close relatives, the Prime Minister's Office said in a statement.

Jeanne was born in Kuala Lumpur on July 29 1953 and is the eldest of four siblings.

She was educated at Sekolah Menengah Assunta and has wide experience in administration and hotel management and has worked as supervisor of the official residence of the deputy prime minister and manager of the Seri Perdana Complex.

Jeanne has two daughters, Nadiah and Nadene.

Abdullah's wife, Datin Seri Endon Mahmood, died on Oct 20 2005 after a long battle with breast cancer.

Abdullah, 67, has two children, a son Kamaluddin and a daughter Nori, from his marriage of 40 years with Endon.

HANG NADIM MODEN (1)


(Azad (duduk) dan Khairul (berdiri kanan))

Perhatikan perkembangan ini di Malaysia hasil kecemerlangan dua anak muda Melayu yang mendapat kepercayaan dan keyakinan syarikat automotif antarabangsa.

1. Pertama kali dalam sejarah automotif negara syarikat tempatan diberi kepercayaan untuk menjalinkan usahasama dengan syarikat pengeluar kenderaaan mewah berstatus premium. Kleemann Asia Pacific Sdn Bhd (KAP) adalah syarikat usahasama melalui perkongsian pintar antara syarikat pengeluar jenama Kleemann dari Denmark dan syarikat tempatan. KAP menjadi syarikat tempatan pertama dan tunggal menjalinkan kerjasama dengan syarikat automotif luar yang membabitkan kenderaan berstatus premium serta menjadikan Malaysia sebagai hab untuk pasaran Asia Pasifik.

2. Pertama dalam sejarah automotif negara ini, syarikat tempatan diberi kepercayaan untuk memasang kenderaan berjenama Kleemann di Malaysia bagi pasaran tempatan dan Asia Pasifik yang akan diusahakan di Pantai Timur. InsyaAllah.

Saya berharap rakyat Malaysia berdoa agar usaha ini akan menjadi kenyataan tanpa sebarang gangguan atau halangan daripada pihak tertentu. Ini sejajar dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agar bangsa Melayu memiliki Towering Personality, di mana mereka duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain. Ini menepati saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak agar Melayu menjadi Glokal, hebat di peringkat antarabangsa tetapi bertunjangkan kebangsaan.

Monday, June 4, 2007

HISHAM BALIK RUMAH


(Hisham ketika awal 1990an. Beliau hadir di rumah terbuka IY)

Datuk Hishamuddin Aun akan balik ke rumah hari ini dari PMC. Datin Linda mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada keluarganya selama ini. Hanya Allah SWT saja yang dapat membalas budi baik anda semua.

CUTI-CUTI MALAYSIA : SIRI 1


(Iyra menikmati kek harijadi)