Saturday, April 27, 2013

PILIHLAH PEMIMPIN BERHEMAH : RAIS



KOTA KINABALU, 26 April (Bernama) -- Rakyat Malaysia seharusnya hanya menerima pemimpin yang berhemah dan penuh diplomasi untuk menjadi perdana menteri bagi meneruskan kesinambungan pembangunan negara ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata rakyat juga tidak harus menerima individu yang mengeluarkan kata-kata kesat terutamanya terhadap pemimpin yang banyak berjasa kepada negara seperti bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Setiap warga negara perlu beri tamparan kepada (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan pimpinannya disebabkan komen itu yang menyalahi nilai-nilai Timur dan perlu menolak mereka daripada menjadi pemimpin.

"Jika perkataan ini boleh diucapkan sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, sudah pasti ia boleh dikeluarkan lagi di masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang warga KPKK Sabah di sini, Jumaat.

Rais berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris Jumaat yang melaporkan Anwar sebagai berkata Dr Mahathir untuk 'mati sahaja' daripada berkempen untuk Barisan Nasional (BN).

Anwar dipetik sebagai berkata: "Sudah mau mati, dah 83 tahun. Berapa lama lagi? Kalau dah nak mati, mati saja lah."

Anwar mengeluarkan kenyataan itu semasa berceramah di Kampung Abdullah, Segamat, Johor yang turut disertai calon PKR bagi kerusi Parlimen Segamat Datuk Chua Jui Meng dan calon PAS bagi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusajaya Salahuddin Ayub.

Rais berkata kebiadaban Anwar yang menggunakan perkataan 'mati' semasa berkempen terhadap Dr Mahathir itu seolah-olah mengguris perasaan rakyat kerana perkataan itu tidak seharusnya digunakan khususnya oleh seorang ketua pembangkang yang beragama Islam dan berbangsa Melayu.

Selain itu, Rais juga menempelak Anwar yang silap mengatakan Dr Mahathir kini berusia 83 tahun, sedangkan usia sebenar tokoh negara itu adalah 87 tahun.

Pada majlis itu, Rais menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan sijil simpanan premium bernilai RM1,000 kepada seramai 95 warga KPKK Sabah termasuk Ketua Biro Bernama Sabah Newmond Tibin.

Rais turut menyampaikan Bantuan Seni Kreatif 1Malaysia kepada 27 Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) yang terlibat dalam bidang seni dengan setiap organisasi menerima sumbangan RM20,000.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KPKK Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Datuk Yong Soo Heong.- BERNAMA

No comments: