Wednesday, April 29, 2009

AL-FATIHAH

Isteri Ketua Menteri Sarawak, Puan Sri Laila Taib, meninggal dunia jam 3.45 petang ini.

Semoga roh Allahyarham akan ditempatkan bersama roh orang-orang yang soleh.

Al-Fatihah.

Tuesday, April 28, 2009

TERBAIK UNTUK RAKYAT (1)

Untuk menjadi terbaik, kita memerlukan pegawai yang terbaik. Untuk mencari pegawai terbaik, pada mulanya lihatlah di dalam. Jika tiada, lihatlah pula di luar. Ramai yang berbakat. Ramai yang terbaik.

Bagaimanapun, sanggupkah mereka bekerja dalam kerajaan? Apakah halangan sebenarnya? Adakah ia membabitkan imej penjawat kerajaan? Ataupun membabitkan gaji? Sudah tentulah ini yang perlu diberikan perhatian jika ingin memenuhi kemahuan Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan pagi ini di depan penjawat awam di PICC, Putrajaya mahu perkhidmatan kepada rakyat adalah yang terbaik. Untuk itu, beliau mahu pegawai yang terbaik dalam GLC atau sektor swasta diambil bekerja untuk kerajaan.

Pengambilan ini penting bagi menyuntik semangat baru dalam perkhidmatan awam. Semangat baru ini diharapkan akan menaikkan semangat penjawat awam lain dalam persaingan yang sihat. Adakalanya mereka boleh belajar daripada budaya korporat yang dibawa oleh orang GLC.

Dalam pada itu, tidak dinafikan perkhidmatan awam kini semakin baik dan ada antaranya lebih baik daripada sektor swasta. Perkhidmatan yang semakin baik ini mampu dilaksanakan kerana peneraju sektor awam mahu untuk berubah sejajar dengan perkembangan semasa.

Umpamanya, jika sebelum ini untuk mendapatkan pasport saja mengambil tempoh masa yang lama. Tetapi sekarang dalam masa beberapa jam saja, pasport anda sudah tersedia. Malah perkara ini disentuh oleh DS Najib dalam ucapan pagi ini.

Sebenarnya, jika penjawat awam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, sudah tentu kerajaan tidak dimusuhi atau dibelasah sepanjang masa.

Monday, April 27, 2009

HARAPAN TINGGI TERHADAP RAIS

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
(Utusan Malaysia)

KEMBALINYA Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim ke Kementerian Penerangan dan penyusunan semula tiga kementerian di bawah Rais memperlihatkan anjakan dalam barisan Kabinet baru.
Kementerian Penerangan; Kementerian Kebudayaan, Perpaduan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi kini dikenali sebagai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Pembentukan Koridor Raya Multimedia (MSC) pada akhir 90-an dianggap sebagai pencetus dasar "langit terbuka Malaysia". Ia menjadikan Akta Penyiaran (Pindaan 1997) sudah tidak relevan. Akta itu terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Penerangan untuk mengawal selia stesen penyiaran kerajaan dan juga swasta.

Disebabkan Akta Penyiaran tidak relevan dengan dasar langit terbuka, maka pada 1999 diwujudkan Akta Komunikasi dan Multimedia dan penubuhan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Ini membuatkan kawal selia di bidang penyiaran berpindah dari Kementerian Penerangan kepada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.

Cabaran utama penyiaran negara ini adalah untuk memastikan isi kandungan berpaksikan kepada tatasusila budaya setempat.

Tetapi dasar langit terbuka pula difahami sebagai suatu yang menuntut keterbukaan seluas-luasnya tanpa sempadan. Maka banyak larangan dalam Akta Penyiaran sudah tiada dalam Akta Komunikasi dan Multimedia.

Kelonggaran dan SKMM mengakibatkan ada stesen penyiaran yang sudah terpesong jauh dan menjadi pemangkin kepada penularan budaya songsang dari luar. Semua ini tidak menjadi suatu yang sensitif dalam Akta Komunikasi dan Multimedia. Apa lagi ia terpisah dengan kementerian yang bertanggungjawab dalam hal-hal kebudayaan dan kesusilaan.

Kerana itu apabila kerajaan menyusun semula Kementerian Penerangan yang di dalamnya ada kebudayaan dan juga hal ehwal komunikasi, ia diharap memperlihatkan keterbukaan yang ada batasan. Banyak perkara yang ada dalam Akta Penyiaran dulu perlu diberi perhatian oleh kementerian baru ini. Antaranya isi kandungan di stesen penyiaran tempatan.

Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, pemilihan Dr Rais menerajui kementerian itu tepat kerana beliau memahami soal budaya dan prihatin mengenainya.

"Saya berharap kementerian ini akan memberi penekanan kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan dalam bidang penyiaran dan komunikasi," tegas beliau. Menurutnya, kementerian baru itu harus memberi penekanan untuk memahamkan rakyat mengenai Perlembagaan Malaysia terutama Akta 152 yang menyentuh tentang kedudukan bahasa Melayu.

Selama ini bahasa Melayu terpinggir dan diletakkan pada kedudukan yang tidak sewajarnya. Menggunakan bahasa Melayu bukanlah bererti sudah memartabatkan bahasa Melayu kalau tidak dengan susun kata dan nahu yang betul.

Apabila bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan, ini bukan bahasa orang Melayu tetapi bahasa rasmi rakyat Malaysia. Tidak ada pihak lain yang lebih berpengaruh daripada media elektronik. Kalau media elektronik dimanfaatkan untuk memacu jurus pemikiran rakyat ke arah pembangunan minda, hasilnya lebih ketara.

Menggabungkan bidang penyiaran, komunikasi dan kebudayaan di bawah satu kementerian adalah langkah pragmatik untuk mengatasi kerenah birokrasi. Ini kerana ketiga-tiga bidang ini berhubung kait antara satu dengan lain. Malah penyusunan semula ini juga akan mengangkat kedudukan Kementerian Penerangan yang telah diambil bidang kuasanya selepas kewujudan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sebelum ini ada pihak mempersoalkan Kementerian Penerangan apabila ada stesen televisyen swasta yang sewenang-wenang melanggar adab dan etika budaya dalam isi kandungannya. Tetapi hakikatnya itu di luar bidang kuasa kementerian itu. Kandungan di stesen televisyen sekarang begitu kacau-bilau dan pengaruh budaya luar sangat ketara. Sama ada radio atau televisyen, kedua-duanya semakin hilang adab. Tetapi semua ini dianggap sebagai "pembaharuan" yang mesti diterima di bawah dasar langit terbuka.

Walaupun kita menjengah langit terbuka tetapi stesen-stesen penyiaran tempatan perlu memahami tanggungjawab sosial selain tuntutan perniagaan. Persaingan dalam bidang penyiaran dengan kewujudan lebih banyak stesen penyiaran belum memberikan yang terbaik kepada masyarakat. Malah jauh lebih buruk daripada segi nilai berbanding isi kandungan RTM ketika belum wujud stesen swasta.

Jangan terkejut atau pura-pura terkejut kalau dikatakan ada stesen penyiaran negara ini menjadi pemangkin yang merosakkan bahasa Melayu. Malah membawa gaya hidup hedonisme dalam isi kandungan penyiaran. Semua ini berlaku dengan bebas tanpa sebarang sekatan selepas Kementerian Penerangan tidak mempunyai kuasa ke atas stesen penyiaran swasta.

Ada stesen penyiaran yang dengan sengaja memaparkan campur aduk bahasa Melayu dengan Inggeris dan menjadi satu prasyarat untuk membolehkan sesebuah program diterima oleh stesen berkenaan. Malah Dr Rais diharap akan memulihkan kembali kedua-dua saluran televisyen RTM supaya berada pada landasan yang sewajarnya. RTM perlu menjadi agen pembudayaan dan bukan agen propaganda murahan.

Dengan tercetusnya fenomena baru bidang komunikasi iaitu kewujudan jutaan blog yang digerakkan oleh blogger, Rais diharap dapat memanfaatkan ruang undang-undang yang ada untuk mendisiplinkan sesetengah blogger. Tindakan undang-undang diperuntukkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia ke atas individu yang menyebarkan berita palsu dan juga fitnah. Biarlah kalau ada pihak yang menganggap penguatkuasaan undang-undang komunikasi sebagai mengekang kebebasan media. Kalau mereka sedar, kewujudan Internet di negara ini adalah satu tanda kebebasan media.

Dengan kecanggihan teknologi komunikasi, penyebar fitnah atau berita palsu boleh dikesan dalam sekelip mata. Tetapi malangnya sebelum ini peruntukkan undang-undang yang ada dijadikan perhiasan. Undang-undang komunikasi tidak digunakan semaksimum mungkin untuk memberi keadilan kepada mangsa yang difitnah.

Undang-undang adalah perlu untuk mendidik rakyat bertanggungjawab di atas sesuatu yang dilakukan. Rakyat wajar membezakan antara pandangan yang kritikal dengan fitnah. Dan kita memerlukan pandangan kritikal bukan fitnah.

Maka harapan yang tinggi diletakkan ke bahu Rais yang sebelum ini memimpin Kementerian Kebudayaan, Perpaduan, Kesenian dan Warisan dengan jayanya. Pemilihan tokoh yang memahami dan prihatin kepada soal budaya dan adab susila seperti Dr Rais di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dijangka mengubah kesongsangan yang ada. (Penulis ialah Penolong Pengarang )

Saturday, April 25, 2009

SELANGOR LAWAN KELANTAN

Malam ini kemuncak Piala FA antara Selangor dan Kelantan.

Pasukan mana pilihan anda dan rasional pemilihan itu.

Saya rasa pasukan Selangor akan menjadi juara dengan kemenangan 3-2.

RTM akan menyiarkan siaran langsung mulai jam 9 malam di TV1.

Selamat memberi pandangan.

Selamat menonton RTM.

Program sukan terbaik hanyalah di RTM.

ADA JUGA MANUSIA MACAM INI

Pagi Sabtu ini, eloklah saya ceritakan satu kisah menarik.

Alkisah ada satu cerita mengenai seorang teman.

Beliau tidak gemar berjalan jauh apatah lagi menggunakan kapalterbang. Demi tugas, adakalanya beliau terpaksa juga menggunakan kapalterbang.

Yang peliknya, beliau akan telan pil tidur. Maka tidurlah beliau sehingga sampai ke tempat yang ingin dikunjungi. Bantuan untuk membolehkan beliau bangun dari tidur ialah jam loceng.

Alkisahnya, satu ketika beliau pun telan pil tidur selepas menaiki kapalterbang. Tetapi 'dosa besar' yang dilakukannya ialah tidak menekan punat 'senyap' kepada jam locengnya.

Hendak menjadi cerita, beliau yang sedang 'mamai' dikejutkan oleh pramugari yang menjerit kepadanya, 'halo, apakah anda ingin mengejut penumpang lain dengan bunyi jam loceng itu'.

Ketika itu, beliau melihat ramai penumpang yang menunjukkan 'muka marah' mereka atau 'bengang' kerana dikejutkan oleh bunyi jam loceng berkenaan. Waduh-waduh, tentulah bisingnya satu kapalterbang. Nasib baik pilot tidak terkejut dan berpatah balik.

Pengajarannya ialah jika hendak telan ubat tidur, tekanlah punat 'senyap' pada jam loceng anda. Jangan menyusahkan orang lain. Jangan paksa orang bangun disebabkan 'kepintaran' kita. Jangan kejut orang yang sedang dilamun mimpi.

Sendiri mau ingatlah.

Friday, April 24, 2009

MARI KITA TONTON BOLA

Esok, saya akan menonton perlawanan akhir bolasepak di Stadium Bukit Jalil antara Selangor dengan Kelantan. Harap-harap permainan yang bermutu akan dipersembahkan oleh kedua-dua pasukan. Jika tidak rugi masa saja. Ataupun lebih baik relaks di rumah selepas penat bekerja.

Apapun, sebagai rakyat negara ini, saya amat berharap mutu permainan pasukan bolasepak negara dipertingkatkan daripada semasa ke semasa. Bukan di takuk lama. Bukan di tangga yang 'memalukan' dalam kedudukan carta FIFA. Apa sudah jadi? Perlulah baiki.

Jika kita mengambilkira kedudukan pasukan futsal negara, sudah tentulah boleh dijadikan matlamat. Pasukan futsal negara kini adalah nombor dua dalam ASEAN dan nombor 10 atau 11 di Asia. Bolehlah tahan juga berbanding bolasepak - kategori ratus.

Marilah sama-sama kita memikirkan bagaimana untuk mempertingkatkan mutu permainan bolasepak di negara ini. Apa caranya? Kita fikirkan sendiri. Mari duduk ramai-ramai dan cari punca masalahnya. Kepemimpinan? Jika ia adalah penghalang, apakah rancangan kita untuk mengubahnya.

Permainan bolasepak amat digemari di negara ini. Hampir semua kanak-kanak lelaki yang gemar bersukan, sudah pasti tahu bermain bola. Jika ada kaki dan bola, sudah pasti permainan itu boleh bermula.

Ketika ini, banyak tanah-tanah kosong dan padang untuk bermain bola. Di bandar, mungkin sudah kurang kerana pembangunan. Tetapi di kampung masih banyak kawasan lapang untuk bermain bola.

Apakah halangannya yang menyebabkan mutunya merosot? Mungkin pemain kita tidak bersemangat seperti di masa lalu? Mungkin tiada lagi insentif untuk mengekalkan minat mereka? Apakah pemikiran mereka dikongkong? Apakah mereka sudah penat bermain? Perlukan mencari lebih ramai pemain baru? Semua ini perlu difikirkan agar pasukan bolasepak kita menjulang kembali.

Saya amat yakin Menteri Belia dan Sukan, Dato' Ahmad Shabery Cheek, mampu melakukan sesuatu. Memantapkan pasukan bolasepak negara.

Ini kerana DASC seorang yang dinamik, berfikiran membina bukan jumud, suka menerima nasihat dan teguran dan yang paling penting sentiasa mahu menjadi yang terbaik. Ayuh, DASC marilah kita bersama-sama membangunkan kembali tahap pasukan bolasepak kita.

Jika kita biarkan ia terus di tahap ini, maka ia akan reput dan hancur.

Thursday, April 23, 2009

TAKYAH PERMAIDANI MERAH

Mula hari ini, berhentikan sambutan meriah untuk pemimpin. Tiada lagi permaidani merah. Bukan tidak hormat tetapi sekadar untuk berjimat-cermat. Takkan tidak sedar bahawa kita sekarang merasai 'bahang' kemelut ekonomi dunia.

Kawan saya yang menjalankan restoran yang untuk golongan pertengahan dan atasan kini "tercungap-cungap" untuk mendapat pelanggan. Nasib baiklah perniagaan sampingan iaitu kateringnya dapat membantu beliau membayar gaji kepada pekerjanya.

Berbalik kepada sambutan tadi, saya rasa semua orang bersetuju dengan langkah ini. Ejen kenit memberitahu saya bahawa Perdana Menteri juga turut bersetuju agar sambutan besar-besaran ini diberhentikan untuk memastikan langkah berjimat-cermat ini benar-benar dilaksanakan. Bukan cakap di mulut saja tetapi mengamalkannya.

Bayangkan jika setiap pemimpin 'turun padang', maka berapa banyak wang akan habis untuk menyiapkan pelbagai perkara termasuk minuman dan makanan, tempat duduk, khemah atau peralatan audiovisual dan sebagainya. Adakala perbelanjaan memakan ratusan ribuan ringgit. Kali ini kita berjimatlah untuk memastikan duit ada untuk masa depan.

Satu lagi dalam majlis tertentu, tidak payahlah membuat 'salutation' sampai berjela-jela sehingga menyebabkan orang menjadi bosan. Terus saja ke matlamat ucapan. Business like. Cukuplah menyebut beberapa nama saja atau tetamu kehormat saja.

Memanglah bangsa Malaysia digalakkan untuk berbudi bahasa tetapi cukuplah menyebut beberapa nama saja. Jangan pulak datang lambat, ucapan berjela-jela pasti rakyat akan menjadi marah. Kini perlu fikir betul-betul. Rakyat mesti selalu diutamakan. Amacam, setuju tak?

Monday, April 20, 2009

GUNAKAN ROTAN APABILA PERLU

Lobak dan rotan. Jika hendak memastikan sesuatu perkara itu diikuti atau dipatuhi, adakalanya kita perlu menggunakan lobak. Memberi muka atau insentif tertentu. Ada masanya pula kita menggunakan rotan. Menggunakan kuasa atau menguatkuasakan undang-undang.

Pemilihan kaedah ini bergantung kepada keadaan. Jika keadaan tidak berkecamuk, mungkin kaedah menggunakan lobak amat sesuai. Zaman selesa dan tiada masalah. Ketika keadaan tidak menentu atau ada pihak degil untuk mengikut kata, mungkin sesuai untuk menggunakan rotan.

Umpamanya dalam bidang komunikasi membabitkan stesen penyiaran, usaha bersepadu perlu ada untuk menjayakan konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri. Satu Malaysia adalah satu konsep dan amalan. Ia perlu dihayati oleh rakyat semua peringkat.

Untuk itu siapa yang bertanggungjawab? Sudah tentu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang perlu memantau kandungan stesen penyiaran agar sentiasa membantu menjayakan Satu Malaysia atau program kerajaan lain seperti Kempen Budi Bahasa.

Fungsi Bahagian Pemantauan SKMM perlu disemarakkan. Ia perlu diperkukuhkan agar semangat dan keberkesanan penguatkuasaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM98) diserlahkan sebagai perundangan yang perlu dipatuhi oleh pengamal media.

Bahagian Pemantauan SKMM perlu mengawal selia dan menguatkuasakan semua peraturan yang terkandung dalam Kod Kandungan AKM98 terhadap semua stesen penyiaran agar mereka sentiasa berhati-hati dalam menyiarkan semua rancangan TV. Tiada kompromi terhadap perkara-perkara dasar ini apatah lagi apabila menceritakan usaha membina negara bangsa.

Mungkin ada keperluan Kod Kandungan AKM98 disemak semula. Sebarang kelemahahan boleh dibaiki agar stesen penyiaran sedar "satu hari nanti'' mereka yang nakal akan dirotan.

Kod kandungan mestilah berupaya menjadi kod etika yang lengkap bagi mengawasi program tempatan dan luar Negara.

Kod Kandungan hendaklah berupaya menjadi satu garis panduan dan tatacara yang unggul dalam menentukan kandungan yang dipersembahkan kepada penonton oleh penyedia perkhidmatan dalam industri komunikasi dan multimedia Malaysia bermutu tinggi dan menepati norma atau nilai tempatan yang menjadi tunggak pembentukan Negara Bangsa.

Satu Malaysia - konsep dan amalannya perlu dijayakan oleh semua pihak.

Sunday, April 19, 2009

MEMBINA NEGARA BANGSA

JELEBU 19 April — Media swasta termasuk televisyen dan radio diminta membuat pembaharuan dengan meletakkan kepentingan negara di hadapan nilai komersial mereka.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Dato Seri Utama Dr Rais Yatim berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan media swasta dalam masa terdekat bagi membincangkan pembaharuan yang akan dilakukan itu agar ia memenuhi aspirasi membina negara.

Pembaharuan itu bagaimanapun akan dibuat supaya tidak merugikan amalan komersil dan nilai keuntungan yang menjadi tunjang utama pihak swasta ini, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Seni Budaya di Simpang Pertang hari ini.

DSU Dr Rais berkata beliau telah meneliti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang menyentuh tidak kurang dari 52 peranan menteri berkaitan untuk menggerakkan jentera kerajaan dan swasta bagi membina negara dan bangsa Malaysia,

“Jika semua media mematuhi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, isu menyalahkan mereka oleh beberapa pihak tidak akan timbul...soalnya sekarang ialah ada saluran yang langsung tidak membawa mesej membina negara bangsa,” katanya. - BERNAMA

Ikuti temuramah Mingguan Malaysia hari ini dengan Dr Rais di di sini .

(Renungan Rimau : Jika semua stesen penyiaran negara ini mengutamakan kepentingan negara daripada segala-galanya, maka AKM 98 tidak perlu digunakan apatah lagi semua orang memahami Kod Kandungan yang terkandung dalam AKM 98. Cuma adakah stesen swasta melantik kumpulan pemantau yang mengawal selia kandungan itu terdiri mereka yang benar-benar layak atau setengah masak? Jika separuh masak, sudah tentu program yang disiarkan tidak akan membantu negara, malah boleh meruntuhkan bangsa. Fikir-fikirlah.)

Saturday, April 18, 2009

SATU MALAYSIA - AZIMAT KERAMAT

Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan slogan Malaysia Boleh, ramai yang meragui keberkesanan kata-kata semangat itu. Ada yang merasakan ia hanya satu lagi slogan diutarakan oleh Perdana Menteri sebagai catatan sejarah pemerintahannya.

Namun, selepas 22 tahun menerajui negara ini, slogan itu menjadi satu azimat kepada rakyat negara ini untuk bertindak dalam keadaan paling terbaik bagi mencapai sesuatu. Slogan itu membolehkan Malaysia menghantar anak watannya mengelilingi dunia dengan belayar secara solo. Malaysia mendaki gunung tertinggi di dunia di mana rakyat tempatan berjaya menakluki Gunung Everest yang selama ini menjadi impian saja. Inilah kekuatan slogan dan semangat itu. Membina jiwa besar dan berusaha ke arah terbaik.

Kini, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan SATU MALAYSIA. Hasrat murni ini berpijak kepada usaha membentuk satu negara bangsa. Ia mendokong satu jiwa besar untuk berubah daripada sikap menempurungkan diri dalam etnik tertentu kepada depangan tangan seluas-luasnya untuk menerima bahawa 'kita adalah satu' walaupun ada pelbagaian.

Satu Malaysia seperti juga slogan Malaysia Boleh sudah tentu dipandang sinis ataupun skeptik sesetengah pihak akan kejayaannya. Hakikatnya inilah sikap rakyat Malaysia yang selalunya memandang sepi terhadap sesuatu hasrat murni pemimpin. Malah ada yang menyifatkannya sebagai kelangsungan idea pihak tertentu iaitu Malaysian Malaysia.

Hakikatnya, Satu Malaysia ini lebih besar daripada Malaysian Malaysia. Ia lebih realistik. Ia satu permulaan perjuangan untuk menyatukan negara ini menerusi jiwa besar untuk bersatu dalam pelbagaian. Perjuangan tanpa menidakkan hak kaum tertentu seperti termaktub dalam Perlembagaan. Bukan Malaysian Malaysia yang hanya satu slogan politik sempit. Hakikatnya rakyat telah menolak Malaysian Malaysia kerana ia mengetepikan hak bangsa dan menegakkan kesamarataan yang tidak berpaksi.

Apa yang ingin diketengahkan oleh Perdana Menteri Keenam ialah mengajak rakyat Malaysia berfikir di luar lingkungan. Rakyat perlu berfikir sebagai satu entiti Malaysial. Tanpa menidakkan kepentingan kaum sendiri, mereka perlu melihat ikatan yang lebih besar iaitu rakyat Malaysia. Tentunya ia menagih kekuatan mental dan jiwa.

Contoh yang mudah dilontarkan oleh Perdana Menteri ialah jika berlakunya kemalangan di jalanraya, kita tidak berhenti semata-mata ingin melihat siapakah mangsa itu sebelum menetapkan sama ada untuk membantu atau sebaliknya. Satu Malaysia menghambat kita untuk membantu mangsa kemalangan itu tanpa memikirkan individu itu Melayu, Cina atau India.

Selain itu, dalam memberikan bantuan kepada golongan pintar, ia tidak terbatas kepada kaum tertentu saja. Ia perlu merentasi faktor kaum sebaliknya menekankan perkara asas iaitu kebijaksanaan faktor utama bantuan dihulurkan. Tindakan murni berorientasikan rakyat secara keseluruhannya. Ia bukan lagi, aku aku dan kau dengan dunia keengkauanmu.

Satu Malaysia tidak mustahil untuk dicapai. Ia memerlukan satu transfomasi minda yang hebat. Ia menagih rakyat negara ini mencairkan semangat perkauman menebal sebaliknya memberi tumpuan kepada pembinaan bangsa Malaysia yang amat serasi.

Semoga Satu Malaysia ini menjadi katalis kepada satu perjalanan panjang untuk membawa rakyat negara ini membuka hati dan minda mereka untuk berjiwa besar dan ikhlas. Tanpa jiwa besar dan keikhlasan, ia akan hanya menjadi mimpi di siang hari.

Tuesday, April 14, 2009

MESYUARAT PERTAMA BANYAK IDEA

Esok, mesyuarat Kabinet pertama DS Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri. Bersejarah dan amat bermakna. Ia sudah pasti permulaan kepada perjalanan politik anak PM yang kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang telah banyak berjasa kepada rakyat negara ini.

Mesyuarat pertama ini pasti menjadi pentas kepada Perdana Menteri untuk menerangkan kepada anggota Jemaah Kabinet halatuju yang ingin dibawanya. Visi dan misinya.

Halatuju ini perlu jelas dan difahami agar Menteri dapat melaksanakannya dengan sempurna. Perkara yang kabur perlu diterangkan. Yang sudah terang perlu dinyatakan novelty di sebalik perubahan itu. Ini termasuklah pengecilan bilangan Kementerian.

Antara perkara yang mungkin ingin difahami ialah mentiadakan Kementerian Keusahawanan dan penggabungan Kementerian Penerangan dengan komunikasi, kesenian dan kebudayaaan. Kementerian yang menjaga kepentingan Melayu. Satu lagi kementerian yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat dan memantau media elektronik di negara ini

Sebagai anak panglima Melayu, DS Najib sudah pasti tidak mengabaikan kepentingan untuk memajukan bangsa Melayu dan Bumiputera. Golongan ini adalah majoriti di negara ini dan sudah tentu perlu mendapat pembelaan sewajarnya. Apatah lagi hak mereka termaktub dalam Perlembagaan yang tidak perlu dipertikaikan oleh orang lain. Persetankan mereka yang sentiasa mengungkit atau menangguk di air keroh dengan memainkan sentimen perkauman sempit ini untuk kepentingan politik.

Perdana Menteri sudah pasti mahu melihat bahawa nasib bangsa Melayu terbela seperti mana yang dilakukan oleh ayahandanya dengan memperkenalkan FELDA yang telah banyak membantu orang Melayu di seluruh negara. Ini bukan perkara main-main kerana 'sumpah' bangsa Melayu amat kuat terhadap pemimpin yang mengkhianati mereka.

Pemimpin yang hanya memikirkan kepentingan peribadi dengan menolak kepentingan bangsa akan dilaknatkan seperti yang terjadi kepada individu tertentu sekarang. Pemimpin ini sudah pasti akan terkapai-kapai dan melolong ke sana ke sini untuk mengejar jawatan.

Hakikatnya, DS Najib amat sedar mengenai usaha membina negara bangsa, membela golongan yang memerlukan terutama Bumiputera dan Melayu. Sudah pasti mesyuarat pertamanya esok akan menyediakan medan untuk beliau menerangkannya.

Monday, April 13, 2009

TUGAS BARU KOMITMEN BARU

Hari ini kebanyakan Menteri dan Timbalan Menteri memulakan tugas baru mereka. Masuk pejabat baru dan menemui pegawai Kementerian terutama pengurusan kanan. Sudah tentu pelbagai arahan dan halatuju yang ingin dibawa oleh Menteri akan dinyatakan. Perlu jelas dan menyakinkan.

Ada Menteri yang suka berlari. Maka pegawai dan kakitangan kementerian perlu berlari. Jika tidak terdaya, mereka perlu berlari anak, takut-takutlah ketinggalan jauh di belakang.

Pegawai pengawal iaitu Ketua Setiausaha (KSU) perlu mengikut gerak-geri dan rentak Menteri dan menyalurkan arahan 'boss' ke bawah. Ini penting untuk memastikan segala aspirasi Menteri dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Tiada yang tertinggal atau cacat cela. Apatah lagi Menteri lama yang berpengalaman.

Bagi Menteri baru, KSU perlu menerangkan apa yang sudah dilaksanakan selama ini termasuk halangan atau kesulitan termasuk masalah kekurangan. Pasti KSU akan menerangkan projek atau program yang sudah dirancang termasuk yang diluluskan oleh PM dan TPM. Boleh diteruskan atau diubah mengikut kesesuaian.

Arahan Menteri baru perlu dilaksanakan segera untuk memastikan rakyat mendapat faedah dan perkhidmatan terbaik. Jika pegawai dan kakitangan tidak proaktif atau berfikir di luar lingkungan, maka amat sukar bagi Menteri memberikan yang terbaik kepada rakyat.

Kerajaan kini kesuntukan masa untuk menarik sokongan rakyat yang telah beralih angin. Mereka mempunyai kira-kira dua tahun lebih sebelum terpaksa menyerahkan kuasa kepada rakyat semula.

Sunday, April 12, 2009

SETIAP OUTPUT MESTI ADA OUTCOME

Menjadi Menteri dan Timbalan Menteri dalam 'dream team' Perdana Menteri sekarang bukanlah mudah tetapi ia memerlukan komitmen tinggi. Apakan tidaknya kerana DS Najib Tun Razak kini sudah menetapkan satu petanda aras mengenai prestasi mereka. Malah KPI mereka dijaga oleh seorang Menteri yang ada pihak melabelkannya sebagai 'ketua pengawas' atau 'guru disiplin'.

Bagi memastikan KPI mereka cemerlang, sudah tentu setiap tugas dan tanggungjawab yang diberikan memberikan kesan atau impak yang tinggi. Tidak guna banyak output tetapi tiada outcome. Tiada guna banyak ceramah tetapi rakyat masih menolak parti.

Oleh itu, Menteri dan Timbalan Menteri perlu berkerja keras untuk rakyat. Mereka perlu sentiasa mendengar apa yang dikehendaki oleh rakyat terutama dalam menghadapi kemelut ekonomi sekarang. Mereka perlu bercakap atau berinteraksi dengan golongan massa untuk memahami keperluan dan kekurangan selama ini. Lihat, dengar, memahaminya dan bertindak tangkas.

Menteri perlu selalu turun padang dan melihat sendiri penderitaan rakyat dan bukannya 'remote control' atau 'autopilot' dari pejabat berhawa dingin. Selepas turun padang, Menteri perlu merencanakan apa yang terbaik untuk mengurangkan atau menyelesaikan sebarang masalah dengan kadar segera. Jangan pula selalu turun padang tetapi masalah yang ada tidak dapat diatasi atau diselesaikan. Nanti orang kata 'habuk pun tarak'.

Umpamanya, Menteri yang menjaga barang-barang keperluan rakyat perlu berani bertindak terhadap 'lintah darat' yang menaikkan harga barang terutama ketika musim perayaan. Jangan memberikan janji kepada rakyat atau suka dilihat turun padang tetapi tiada 'outcome'. Ketika itu, rakyat bukan mengadu kepada kerajaan tetapi kepada orang lain yang sentiasa menunggu atau mengambil kesempatan.

Menteri juga perlu melihat penderitaan rakyat walaupun di kawasan yang dimenangi oleh pembangkang. Umpamanya di Lembah Pantai, pelbagai masalah yang dihadapi oleh rakyat perlu diselesaikan oleh kerajaan. Mereka ini bukanlah tidak menyokong kerajaan tetapi disebabkan masalah mereka tidak diselesaikan segera maka berlakulah 'beralih angin'.

Jika hendak melihat wakil rakyat di situ mengatasinya mungkin terpaksa menunggu sehingga 'kucing bertanduk' terutama masalah keperluan harian termasuk lif di flet atau pangsapuri. Ikutlah sikap pengurus baru-baru ini yang turun padang dan segera menyelesaikannya. Rakyat gembira dan bertepuk tangan.

Rakyat pasti akan 'letih' dan sudah tentu tidak menyukai pengurus 'dream team' dalam tempoh jangka panjang jika mereka dilupakan. Rakyat akan menyalahkan pengurus gara-gara pemain-pemainnya lemah, malas, lembab, tidak proaktif, gila publisiti, hidung tinggi atau tidur sepanjang masa. Elakkan kelemahan dulu tidak berulang.

Saturday, April 11, 2009

PEMAIN SIMPANAN ADA PERANANNYA

Semuanya bola. Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyebut perlawanan bola, apabila menyatakan bahawa beliau akan memberikan kad kuning atau merah kepada Menteri dan Timbalan Menteri jika mendapati ada yang tidak berfungsi dengan baik seperti mana yang dikehendaki. Analoginya bola.

Semalam analogi bola timbul lagi. Lokasi ialah di Auditorium Perdana RTM ketika pertemuan dengan kakitangan Kementerian Penerangan (MOI). Menteri Belia dan Sukan, Dato' Ahmad Shabery Cheek, menyifatkan usaha pembentukan Barisan Kabinet pada Khamis lalu ibarat tugas pengurus pasukan bolasepak memilih 'dream team' untuk melaksanakan satu misi memenangi perlawanan.

Sebagai pengurus pasukan, Perdana Menteri memilih pasukan bolasepaknya dan setiap pemain diberikan tugas sebagai penyerang, pemain pertahanan, sayap, midfielder ataupun penjaga gol. Ada juga menjadi pemain simpanan bukan kerana tidak pandai bermain tetapi kerana faktor tertentu. Antaranya ialah kemungkinan untuk mengelakkan pemain itu tercedera lagi atau kena dua kali kad kuning.

Oleh itu, setiap Menteri yang dipilih termasuk dirinya perlu memastikan 'pasukan' mereka menang dalam posisi apa sekalipun. Ini bermakna penyerang perlu berusaha bersungguh-sungguh menyumbat gol manakala penjaga gol pula jangan membiarkan gawangnya bolos. Begitu juga pemain lain yang saling bantu membantu.

Bagi pemain simpanan, mereka janganlah bersedih kerana mereka juga mempunyai peranan satu hari nanti dalam perlawanan akan datang. Ini bermakna pemimpin yang tidak terpilih perlu reda bahawa kali ini pengurus memberi peluang kepada pemain lain dulu untuk memastikan 'dream team' memenangi perlawanan. Janganlah kalah selalu.

(Renungan Rimau : Dulu ada pemain bolasepak yang mengambil rasuah dan dibuang daerah. Oleh itu, pemain bolasepak jangan mengambil rasuah kerana bukan saja dibuang daerah tetapi nama akan menjadi 'busuk' dan memalukan kaum keluarga. Tidak mengapa menjadi pemain simpanan daripada dilabelkan sebagai pemain rasuah. Faham-faham sajalah.)

Friday, April 10, 2009

SIAPA LAYAK MENJADI PENGERUSI MPE?

Siapa akan menjadi Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi (MPE)? Ini soalan yang saya tanya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam pertemuan dengan pengarang kanan media selepas pengumuman Barisan Kabinet semalam.

Beliau menjawab bahawa 'belum ada lagi calonnya'. Belum ada? Pasti sudah ada dalam fikiran PM, cuma menunggu masa yang sesuai untuk mengumumkannya. Jawatan pengerusi ini bertaraf Menteri. Siapakah agaknya? Ramai calon di pasaran.

Bagi saya, usaha mewujudkan MPE ini amat baik seperti juga penubuhan MTEN ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad. MPE akan dapat membantu kerajaan dalam menasihatkan apakah pendekatan dan langkah terbaik untuk dilaksanakan segera bagi membantu rakyat menghadapi kemelut ekonomi dunia sekarang.

Masalah kegawatan ekonomi ini perlu diatasi segera terutama golongan yang benar-benar terjejas terutama golongan peniaga dan pekerja. Syarikat yang terjejas juga perlu dibantu seperti mana yang dilakukan dalam pakej rangsangan ekonomi 1 dan 2.

Peniaga kehilangan keuntungan kerana jumlah jualan yang merosot. Pekerja yang hilang pekerjaan kerana syarikat terpaksa 'gulung tikar' kerana tiada permintaan eksport. Tiada permintaan, maka tiadalah penawaran atau pengeluaran produk. Syarikat yang banyak terjejas ialah dalam bidang pembuatan terutama mereka yang mengeksport ke Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.

Rakyat yang menghadapi masalah ini perlu dibantu sejajar dengan slogan pemerintahan DS Najib sekarang iaitu mengutamakan rakyat. Ketika ini, pelbagai usaha sudah dilakukan oleh kerajaan termasuk menyediakan peluang pekerajaan dan mendaftar mereka yang hilang pekerjaan. Bagaimanapun, usaha seumpama itu perlu berterusan agar segala masalah yang ada diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

Oleh itu, Menteri yang terbabit secara langsung dalam usaha ini perlu memikirkan sesuatu di luar lingkungan agar masalah rakyat ini diberikan perhatian. Tiada sokongan rakyat, tiadalah kerajaan.

Thursday, April 9, 2009

KABINET BARU UTAMAKAN RAKYAT

Tiada yang lebih mengharukan apabila menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, benar-benar mahu membawa perubahan. Bukan cakap kosong tetapi amat serius untuk memastikan negara melalui perubahan besar.

Sejak dilantik Jumaat lalu, beliau menunjukkan indikasi mengenai rasa tanggungjawabnya untuk membantu rakyat. Secara simboliknya beliau membebaskan rakyat yang sudah insaf mengikut ISA dan seterusnya ingin mengkaji akta berkenaan.

Keesokan harinya beliau turun padang untuk bertemu rakyat. Bersalam dengan mereka. Minum teh tarik. Dan yang lebih penting ialah mengetahui masalah rakyat di Kampung Kerinci.

Hari ini, DS Najib melakukannya lagi - semata-mata untuk rakyat. Mengumumkan Kabinet Rakyat. Mengemukakan muka baru dan lama untuk memastikan kepentingan rakyat diutamakan. Malah Perdana Menteri membuat pendekatan baru iaitu mengadakan KPI bagi setiap Menteri dan Timbalan Menteri.

Ini semata-mata untuk memastikan Menteri dan Timbalan Menteri bekerja kuat untuk rakyat. Ia menagih anggota Kabinetnya memberikan komitmen tinggi kepada rakyat. Bukan main-main. Bukan main golf seperti dinyatakan oleh seorang wartawan kanan bahawa ada Timbalan Menteri mengaku bahawa beliau 'tiada kerja' dan asyik main golf. Apa ni? Lebih baik jadi blogger seperti yang dikehendaki oleh DS Najib sekarang.

DS Najib mahu barisan Kabinet yang dilantik itu disenangi rakyat. Bukan yang suka membazir termasuk menampal wajah mereka di billboard. Menteri mesti bijaksana dan mengikuti peredaran zaman. Individu begini diberikan tempat.

Ini termasuk mereka yang articulate seperti Datuk Seri Dr Rais Yatim yang kini menjadi Menteri Penerangan, Komunikasi, Kebudayaan dan Kesenian. Ini yang dinyatakan oleh Perdana Menteri dalam pertemuan dengan pengarang kanan media tempatan, sejurus pengumuman petang tadi.

Beliau melantik muka baru seperti Ahmad Maslan dari Pontian, Dr Puad Zakarshi dari Batu Pahat dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Shirlin dari Sabah bagi meremajakan kerajaan. Mereka mampu memberi input-input terbaik terutama yang membabitkan golongan muda dan remaja. Mereka ini akan menjadi pemimpin akan datang.

Perdana Menteri juga mahu pemimpin muda seperti Dato Ahmad Shabery Cheek yang kini menerajui KBS memperhebatkan usaha untuk mendekati golongan belia dan remaja agar mereka benar-benar bersama kerajaan. Golongan ini penting kerana merekalah yang menentukan kerajaan pada masa akan datang.

Pengumuman hari ini adalah satu daripada proses panjang untuk membawa perubahan kepada negara ini. Malaysia mempunyai rakyat yang berwibawa, berbakat dan mampu membawa negara ini ke arah yang lebih baik dan cemerlang.

Tuesday, April 7, 2009

BN MENANG BATANG AI

Keputusan PRK Batang Ai - BN Menang

BN 3,907
PKR 2,053
Majoriti 1,854

60 EARTH HOUR


selepas....


sebelum....

JUARA HITS 1 musim 6

Monday, April 6, 2009

SABARLAH....DS NAJIB AKAN UMUMKAN

Selepas pemilihan Perhimpunan Agung UMNO 2008, rakyat menyaksikan Datuk Seri Najib Tun Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Keenam Malaysia. Habis satu bab. Peralihan kuasa yang berjalan dengan sempurna dan tertib. Tidak di sesetengah negara yang terpaksa menumpahkan darah atau hura-hara sehingga menyusahkan rakyat.

Kini tumpuan diberikan kepada barisan Kabinet baru. Ia sudah pasti akan diumumkan dalam beberapa hari lagi kerana sebagai pemimpin yang dinamik, DS Najib pasti mahu memastikan Kabinet segera dibentuk untuk melaksanakan program kerajaan. Banyak lagi kerja yang perlu dilaksanakan. Sudah pasti ia akan disegerakan. Sabar.

Dalam pada itu, banyak sms yang disebarkan mengenai jumlah menteri yang akan dilantik. Ada juga yang menyebarkan nama-nama menteri yang keluar dan mereka yang akan masuk. Daripada mana kumpulan ini tahu? Ada ejen kenit ke?

Ada juga yang menyampaikan SMS berdasarkan perkiraan mereka berhubung keputusan Perhimpunan Agung UMNO yang lalu. Kata mereka, yang menang akan masuk dan yang kalah akan keluar. Betul ke begitu? Saya pasti pemilihan seperti itu bukanlah cara yang terbaik untuk memilih pemimpin.

DS Najib pernah meminta perwakilan UMNO memilih pemimpin yang ada integriti dan berwibawa sebagai ahli Majlis Tertinggi. Pemimpin yang berintegriti dan berwibawa sepatutnya dalam Kabinet.

Selain itu, adakah yang kalah akan keluar? Hakikatnya, apakah kita ingin menyamakan pemimpin yang kalah merebut jawatan Majlis Tertinggi dengan pemimpin yang kalah merebut jawatan Timbalan Presiden atau Naib Presiden? Itulah yang perlu kita fikirkan bersama.

Siapakah yang akan masuk?

Sunday, April 5, 2009

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN DI RTM

Posting Kedua - 1.20 petang

Antara kenyataan TS Muhyiddin dalam temuramah dengan RTM.

1. Semangat jentera BN cukup tinggi dan ini ditambah dengan kenyatan terbaik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, selepas mengangkat sumpah.

2. BN menggunakan pendekatan mesra rakyat dan memberi tumpuan kepada segala masalah rakyat. Ini yang dilakukan oleh BN sejak dari dulu lagi dan akan diteruskan.

3. Angin perubahan di kalangan rakyat dan ia adalah kesan yang baik.

4. Kekuatan calon BN ialah boleh membawa isu yang ingin diketengahkan oleh masyarakat di bawah kepada kerajaan di setiap kawasan pilihan raya. Pendekatan kepimpinan baru ini akan dapat menyakinkan rakyat untuk mendapat khidmat terbaik.

5. Pilihanraya Kecil bukan referendum terhadap pimpinan tertinggi tetapi sebagai kerajaan bertanggungjawab BN sentiasa memastikan rakyat mendapat khidmat terbaik setiap masa.

6. Isu yang ditimbulkan ialah isu nasional dan tempatan. BN memberi penerangan dan menjelaskan isu yang dibangkitkan untuk memastikan rakyat tidak diberikan maklumat yang tidak betul atau mengelirukan.

7. Usaha Perdana Menteri melawat beberapa kawasan semalam ialah untuk mendengar masalah mereka dan ini sudah pasti akan menjadi pendekatan kepemimpinan baru.

8. Minta pengundi keluar awal dan jangan dengar khabar-khabar angin. Gunakan segala hak dan kesempatan mereka untuk memilih calon yang mampu membawa kebaikan kepada mereka.


Posting Awal - 1 petang

Saksikan secara langsung Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, ditemuramah di RTM dalam Nasional@1 sekarang.

Beliau akan ditemuramah oleh Prof Dr Sivamurugan Pandian, hos Fokus Pilihanraya di RTM.

Friday, April 3, 2009

TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI


DIY bersama panel FORUM KHAS - ERA BAHARU - Ketua Pengarang Berita Publishing Sdn Bhd, Datuk A Kadir Jasin & Pengerusi Universiti Kuala Lumpur, Dato' Rais Zainuddin di TV1 (3 April 2009). Forum membincangkan mengenai kepimpinan DS Najib yang akan mula menerajui negara pada hari ini.



SIDANG MEDIA SOCCER STAR MALAYSIA 1 april 2009




PELANCARAN PILIH KASIH ( 1.4.2009)








APA YANG SANGAT MENGELIKAN HATI TU

TRANSFORMASI RTM KE ERA DIGITAL 31 Mac 2009



PERSIDANGAN INDUSTRI KREATIF 16-17 Mac 2009



PELANCARAN RTM MUZIK aktif #180 ASTRO






rasmilah sudah saluran MUZIK aktif di saluran 180 Astro


BINTANG RTM 2009


bersama bakal bintang

PERHIMPUNAN AGONG UMNO 2008






Perhimpunan Terakhir sebagai Seorang Negarawan Nombor Satu