Thursday, January 31, 2008

ANJUNG SERI FEBRUARI 2008



KEMAS ATAU SERABUT?
Yang Mana Satu Kah Anda?

Adakah rumah anda sentiasa dalam keadaan kemas?Adakah anda bimbang apa orang fikir mengenai rumah anda? Adakah gaya hiasan rumah anda mendapat tentangan keluarga atau pujian jiran? Adakah anda bersedia bertolak ansur dengan pasangan anda mengenai hiasan dalaman atau tidak peduli langsung kehendak mereka? Jawab 30 soalan di dalam Anjung Seri sejujur-jujurnya untuk mengetahui siapa diri anda dalam urusan menghias dan mengemas rumah. ANJUNG SERI keluaran FEBRUARI 2008 kini di pasaran.

Wednesday, January 30, 2008

LOLOQ MENINGGALKAN KITA

Penulis lirik terkenal, Loloq, meninggalkan kita kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

Penulis hiburan tanahair, Saodah Ismail, memberitahu Dunia Tiger mengenai perkara itu sebentar tadi.

Semoga roh Loloq ditempatkan bersama dengan orang-orang yang soleh. Al-Fatihah.

Tuesday, January 29, 2008

ZIELA JALIL DI BEB.COM.MY


Ziela Jalil rela pemergian suami. Ikutilah luahannya di news portal hiburan [ beb.com.my ].

PAKLAH RASMI SDC HARI INI

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, melancarkan Koridor Pembangunan Sabah (SDC), di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.

Majlis itu disiarkan secara langsung oleh RTM 1 pagi ini.

SDC adalah landasan terbaik bagi graduan menganggur menjadi petani dan nelayan moden yang melakukan anjakan terhadap kaedah pertanian supaya hasilnya lebih lumayan.

Ia juga kesempatan bagi pengusaha industri homestay bagi memperbanyakkan jenis perkhidmatan supaya tarikan yang disediakan menjadi buah mulut pengunjung, sama ada dari dalam atau luar negara.

Ikuti tulisan Veena Rusli mengenai SDC dalam BERITA HARIAN [ di sini ].

REKOD BURUK, PERLU BERHENTI

Ahli Parlimen Baling, Datuk Dr Mashitah Ibrahim adalah antara "bidan terjun" politik yang diketengahkan oleh Pak Lah pada PRU 11 yang lalu. Daripada seorang penceramah agama diangkat menjadi calon BN di Parlimen Baling dan setelah menang pilihan raya terus dilantik menjadi Setiausaha Parlimen JPM. Porfolio bidang keagamaan.

Hari ini, dalam Utusan Malaysia, Dr Mashitah menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya prestasi beliau sebagai wakil rakyat tidak memuaskan. Bagi membuktikan tuduhan itu tidak benar, Mashitah mahu mempertahankan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Baling bagi penggal kedua untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada penduduk kawasan itu. Mahu diberikan peluang sekali lagi. Mahu jadi ahli Parlimen lagi.

Tidak ramai calon "bidan terjun" yang menjadi. Yang menjadi hanya yang terbaik. Yang banyak menjadi ahli politik sebenar ialah individu yang berjuang daripada bawah iaitu di peringkat cawangan dengan memegang jawatan kecil seterus menjadi ketua cawangan dan berpindah ke bahagian. Daripada bahagian mereka melebarkan sayap ke peringkat negeri dan nasional. Naik secara perlahan-lahan. Tidak perlu memijak orang. Tidak perlu "membunuh" karier politik orang lain.

Pemimpin seperti ini biasanya seorang yang jujur dan ikhlas, matang, memiliki roh politik yang kuat, memahami kepentingan membela rakyat, membantu penyokong setia dan mempertahankan parti sehingga titisan darah terakhir. Pemimpin sebegini rela berundur daripada menghancurkan parti. Pilihlah mereka sebagai calon.

Sunday, January 27, 2008

ESTRANGED PEMENANG JUARA LAGU TV3

Kumpulan Estranged dengan lagu "Itu Kamu" memenangi AJL TV3 sebentar tadi.

Ia disiarkan secara langsung oleh TV3 daripada Stadium Putra Bukit Jalil.

Pemenang lain ialah:
Etnik Kreatif: "Samudera" (Nora / Johan Nawawi / Ahmad Fedtri Yahya)
Balada: "Izinku Pergi" (Sahri / Azlan Abu Hassan / Sulu Sarawak)
Pop Rock: "Itu Kamu" (Estranged / Rachael Lawrence)
Vokal Terbaik: Jac dan Lah Ahmad ("Ceritera Cinta")
Persembahan Terbaik: Mawi ("Angan Dan Sedar")

Pemenang Juara Lagu membawa pulang trofi dan wang tunai RM25,000 manakala juara setiap kategori mendapat trofi dan wang tunai RM12,000 sementara persembahan terbaik dan vokal terbaik masing-masing memperoleh trofi dan wang tunai RM10,000.

SUHARTO MENINGGALKAN KITA

Bekas Presiden Indonesia, Suharto meninggal dunia petang tadi.

Al-Fatihah untuk roh Allahyarham.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang baru pulang dari Davos, mengucapkan takziah kepada keluarga Presiden Suharto dan Indonesia.

Beliau berdoa kepada Allah SWT agar mencucuri rahmat keatas roh Allahyarham.

KESULITAN TETAMU PERLU ADA GANJARAN

Dalam sebuah akhbar hari ini, Chef Wan meluahkan perasaan tidak puas hati dengan sebuah stesen swasta yang tidak mahu membayar saguhati kepada tetamu rancangan televisyennya. Dalam ertikata lain, "hendak percuma saja setiap masa" apabila menjemput tetamu. Selebriti Chef itu meluahkan perasaannya dalam Mingguan Malaysia.

Luahan itu, jika mengambilkira dengan masa yang "dikorbankan" oleh tetamu, perlu diberi perhatian oleh stesen televisyen berkenaan. Sebagai contoh, jika program itu akan dirakamkan pada jam 9 pagi, tetamu perlu datang setidak-tidaknya satu jam lebih awal iaitu jam 8 pagi. Tetamu itu pula perlu bangun pagi dua jam untuk bersiap sedia ke stesen berkenaan jika jarak rumah mereka jauh. Bayangkan jam 6 pagi dan lebih "mencabar" ialah pada pagi Sabtu atau Ahad. Jika "kesulitan" ini tidak diberi "ganjaran" sudah tentu sesiapapun akan "naik angin". Melainkan orang yang suka sangat keluar TV atau gila publisiti.

Untuk itu, saya memuji RTM kerana setiap kali menjemput saya dalam rancangan bualbicara atau menjadi ahli panel programnya akan diberi "saguhati" melainkan jika urusan keluar TV itu atas permintaan tetamu itu sendiri.

Thursday, January 24, 2008

TAN SRI MEGAT JUNID MENINGGALKAN KITA

Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub, 65, meninggal dunia pada jam 5.25 pagi di Pusat Perubatan Pantai, Bangsar.

Berita ini disiarkan dalam crawler RTM 1, sebentar tadi.

Al-Fatihah untuk Allahyarham. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Takziah kepada keluarga Tan Sri.

Wednesday, January 23, 2008

CONGKAK DI BEB.COM.MY


Ikuti sipnosis Congkak di [ beb.com.my ]. Gambar-gambar lain lihat [ di sini ].

Monday, January 21, 2008

LINGAM TIDAK MENYEDARI RAKAMAN

Saksi Keduabelas, Loh Gwo Burne, memberitahu Suruhanjaya Diraja pagi ini bahawa Datuk VK Lingam tidak menyedari beliau membuat rakaman perbualan telefon itu. Beliau merakamkan perbualan itu menggunakan kamera yang baru dibelinya.

Menurut Loh, beliau tidak menyunting atau mencampur-adukkan visual selama 14 minit itu.

Maklumat itu adalah antara perkara yang dilaporkan oleh TV3 dalam Buletin 1.30 tengah hari sebentar tadi.

PILIHANRAYA UMUM SEMAKIN DEKAT......

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ketika ini sedang mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional di Putrajaya. Turut hadir timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Mesyuarat ini adalah empat hari selepas DS Abdullah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Pilihanraya Umum ke 12 semakin dekat? Siap sedialah. Sudah menempah bush jacket? Ambil gambar yang sesuai untuk poster? Duit secukupnya?

TERUSKAN BERDOA UNTUK SHARLINIE

Saya sebak menonton Warta Jam Satu RTM sebentar tadi mengenai seorang makcik yang ditemuramah oleh stesen nasional itu mengenai pandangannya berhubung kehilangan adik Sharlinie.

Makcik itu ditemui selepas sembahyang hajat yang dianjurkan Pemuda UMNO Kuala Kedah, Kedah malam tadi. Beliau yang tinggal beratus kilometer dan tidak mengenali keluarga Sharlinie, menasihatkan kedua-dua ibu bapa banyak bersabar dan terus berdoa kepada Allah SWT. Sungguh ikhlas dan jujur. Semoga tuhan memakbulkan permohonan orang Kuala Kedah.

Tahniah juga kepada RTM kerana sering mengeluarkan promo mengenai kehilangan Sharlinie dan suspek kes pembunuhan Adun Tenggaroh, Johor.

UMIE AIDA DI BEB.COM.MY


Ikuti luahan Umie Aida di portal berita hiburan [ beb.com.my ].

Sunday, January 20, 2008

TAHNIAH LEE CHONG WEI

Lee Chong Wei memenangi Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2008 mengalahkan pemain Korea Selatan, Lee Hyun Ii dalam tiga permainan sebentar tadi. Permainan berlangsung satu jam satu minit. Beliau meraih hadiah AS$15,000.

Ini kemenangan keempat Chong Wei, anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Beliau memenangi kejohanan super series ini pada 2004, 2005 dan 2006.

Ia disiarkan secara langsung oleh RTM 1. Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Tahniah Chong Wei dan jurulatihnya, Misbun Sidek.

PKR PARTI BERCELARU?

Ramai yang mengetahui bahawa PAS dan DAP tidak boleh bekerjasama. Satu parti hendak menegakkan negara Islam manakala satu parti lagi akan menentangnya. Malah seorang pemimpin kanan DAP, Karpal Singh pernah menyuarakan rasa tidak bersetujunya dengan tindakan PAS itu untuk menubuhkan negara Islam dengan menyatakan perlu "melangkah mayatnya dahulu". Garang bunyinya tu. Tunggulah....kena tunggu sebelum melangkah...

Oleh itu, tidak hairanlah jika ada usaha untuk menunjukkan pakatan itu, pengundi Cina akan menolak DAP seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum sebelum ini apabila PAS menang besar di Kelantan, DAP tersungkur di Pulau Pinang.

Ramai pula tidak mengetahui bahawa dalam usaha pemimpin PKR untuk menunjukkan keakraban mereka dengan PAS, semacam ada "badai yang bergelora" yang berlaku di belakang tabir. Ini menyebabkan hubungan sebenar kedua-dua parti itu ibarat retak menanti belah. Nampak macam baik tetapi sebenarnya tidak. Pemimpin kedua-dua parti dikatakan "saling mengata" antara satu sama lain. Yang terbaru ialah daripada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat. Cakap yang benar Tok. Semua orang hendak tahu di belakang tabir tu.

Ikuti tulisan Hanafiah Man mengenai kenyataan Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam [ Agenda Daily ].

Saturday, January 19, 2008

PASTIKAN ORANGNYA BETUL....

Bersembang dengan kawan sebentar tadi dan antara perkara yang menarik yang dibincangkan ialah tindakan seorang isteri pemimpin politik yang "tersalah" memberi arahan kepada "orang suruhannya" mengenai sesuatu perkara.

Yang menarik ialah penerima panggilan itu menjadi binggung kerana arahan itu tidak ada kena mengena dengan tugasnya sama ada dalam syarikat atau dalam politik. Tetapi kerana isteri pemimpin politik itu bercakap seolah-olah beliaulah jenderal dan penerima panggilan adalah seorang prebet yang perlu mendengar tanpa banyak soal, beliau tidak dapat menjelaskan keadaan sebenarnya sehinggalah tamat perbualan mereka.

Akibatnya, banyaklah rahsia terbongkar. Isteri pemimpin politik itu pula tidak menyedari bahawa orang di sebelah sana itu bukan "orang sebenar" yang perlu melaksanakan tugas yang diberikan itu. Mungkin terlampau yakin dan isteri pemimpin politik itu merasakan "besar" untuk sesiapa mempersoalkannya, maka keluarlah arahan seperti tembakan roket daripada pesawat pejuang. Atau peluru yang keluar daripada muncung M16. Laju dan boleh mendatangkan maut.

Oleh itu, berhati-hatilah ketika memberi arahan agar maklumat rahsia tidak jatuh ke tangan "musuh" kita.

Amat malang sekali terutama jika ia membabitkan hal peribadi.

Friday, January 18, 2008

JAMAL ABDILLAH DI BEB.COM.MY



Ikuti berita Jamal Abdillah di news portal hiburan [ beb.com.my ].

HANYA KAWAN BIASA : EUSOFF CHIN

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin, memberitahu Suruhanjaya Diraja, pagi ini bahawa beliau mengenali Datuk VK Lingam sejak 17 tahun lalu. Menurutnya, hubungan beliau dengan Lingam, cuma sebagai kawan biasa.

Tun Eusoff, yang juga saksi ke 11, juga memberitahu beliau tidak pernah berbincang dengan Lingam mengenai perlantikan hakim.

Perkara ini antara yang dilaporkan oleh TV3 dalam Berita Terkini 12 tengah hari dan RTM pada Warta Jam 12.

RACUN MEMBUNUH, APA SUDAH JADI?

Ramai yang mati di Iraq, Pakistan, Afghanistan mahupun di Thailand. Punca kematian disebabkan oleh peperangan, letupan bom atau serangan pengganas. Alhamdulillah, Malaysia sentiasa selamat daripada kejadian seumpama itu. Yang banyak mati di negara ini ialah kumpulan yang hilang akal ketika memandu atau menunggang basikal. Yang lain akibat kejadian ragut atau dibunuh oleh kumpulan tidak berhati perut.

Namun, rakyat Malaysia harus menadahkan tangan bersyukur kepada tuhan kerana tiada malapetaka yang berlaku di Kuantan semalam. Ole kerana tindakan seorang individu, seramai 88 murid terhidu racun serangga yang disembur di kawasan taman sekolah. Bayangkan apa akan berlaku jika racun itu boleh menyebabkan maut, maka 88 murid akan terkorban. Hilanglah anak muda harapan bangsa. Apakah kita mahu perkara seumpama itu terus berlaku barulah pihak berkuasa mengambil usaha untuk membendung dan memastikan ia tidak berlaku. Racun, jangan dipandang remeh. Racun membunuh. Malah, ubat yang beracun yang diperolehi di klinik atau hospital juga ditampalkan dengan sticker "racun". Ini untuk mengingatkan manusia terutama kanak-kanak.

Bagi saya, kejadian menyembur racun serangga sehingga murid-murid sesak nafas, loya dan muntah tidak sepatutnya berlaku. Jangan disebabkan kelalaian seseorang boleh menyebabkan ramai generasi muda terkorban. Tolonglah tengok perkara ini. Jangan lalai. Jangan seronok hendak "menswastakan" perkhidmatan itu dan ini sehingga nyawa boleh tergadai. Ada perkhidmatan boleh diswastakan, ada juga memerlukan pemerhatian dan pengawasan teliti. Duit boleh dicari, nyawa sudah tentu tidak boleh diganti. PIBG sekolah, bagaimana?

Ikuti berita dalam [ Utusan Online ].

Thursday, January 17, 2008

ADNAN KENAL LINGAM DAN VINCENT TAN

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang dipanggil sebagai saksi petang ini, memberitahu Suruhanjaya Diraja, bahawa beliau mengenali peguam Datuk VK Lingam. Beliau juga mengenali Tan Sri Vincent Tan sejak tahun 1970an lagi dan ia hanya membabitkan perniagaan.

Perkara itu adalah antara yang dilaporkan oleh TV3 dalam Berita Terkini jam 4 petang, sebentar tadi.

SAYA BUAT KEPUTUSAN SENDIRI

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata beliau membuat keputusan sendiri dan tidak dipengaruhi oleh sesiapa berhubung perlantikan hakim. Beliau membuat pengakuan itu dalam inkuiri Suruhanjaya Diraja, pagi ini.

Perkara itu dilaporkan oleh TV3 dalam Berita Terkini Jam 12 tengah hari sebentar tadi.

GAJI TINGGI, PEGAWAI SEDIA MENANTI

Saya amat mengalu-alukan kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, semalam mengenai hasrat kerajaan untuk mengambil yang terbaik, tanpa mengira gender atau latarbelakang, dalam usaha meningkatkan prestasi sektor awam. Ini adalah usaha terbaik yang perlu disegerakan bagi membendung dan memperbaiki pelbagai kelemahan yang masih ada dalam sektor awam daripada terus berlaku dan menjadi budaya sepanjang masa seperti malas, tidak kreatif dan aktif, sentiasa mengikut buku dan waktu, suka melepak di kantin dan curi tulang. Bukan semua, tetapi masih ada.

Dalam pada itu, kerajaan juga perlu memberi gaji dan kemudahan yang terbaik kepada pegawai kerajaan bagi menggalakkan lebih ramai cerdik pandai untuk menyertai sektor awam atau mengalakkan mereka terus "kekal" dalam kerajaan terutama yang masih muda dan mampu memberi sumbangan cemerlang.

Secara perbandingan, pegawai yang bergred S54 akan dibayar gaji dan elaun antara RM6,000 hingga RM8,000 dan mereka ini biasanya berumur antara 40 hingga 50 tahun. Bayangkanlah di sektor swasta di mana ada pegawai yang hanya berumur antara 25 hingga 32 tahun sudah mendapat RM10,000 dengan jawatan sebagai pengurus besar. Apatah lagi mereka memegang pengurus besar kanan yang boleh mendapat habuan daripada RM20,000 hingga RM25,000.

Satu tangga selepas S54 ialah JUSA C. Bagi Ketua Pengarah di gred JUSA C atau JUSA B pula mereka mendapat antara RM 10,000 hingga RM15,000 sedangkan dalam sektor swasta, CFO, COO, CEO atau MD boleh mendapat di antara RM25,000 hingga RM50,000. Pegawai JUSA C diberikan kereta tanpa pemandu manakala JUSA B ke atas diberikan kereta dan pemandu. Di sektor swasta, di peringkat pengurus besar sudah disediakan pemandu apatah lagi di peringkat CFO, COO, CEO atau MD. Bayangkan betapa besarnya jurang gaji dan kemudahan lain yang diperolehi oleh pegawai sektor swasta dan sektor awam. Maka itu, hendak kerja kerajaan atau swasta?

Wednesday, January 16, 2008

TDM BERI KETERANGAN PETANG INI

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, akan memberi keterangannya petang ini dalam inkuiri Suruhanjaya Diraja berhubung klip video yang menunjukkan perbualan seorang peguam menerusi telefon mengenai perlantikan, sebagai saksi ketujuh.

Pagi ini, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsuddin Osman memberi keterangannya. Perkara ini dilaporkan oleh TV3 dalam Buletin 1.30 petang.

SIAPA SUKA BUKA BAJU DEPAN ORANG RAMAI?

Mengapa manusia membuka baju? Untuk menukar baju yang lama kepada yang baru. Baju lama yang dipakai semalaman atau seharian. Baju "busuk" yang ingin dibasuh atau dihantar dobi. Membuka baju untuk membersihkan diri atau mandi. Membuka baju dalam bilik (orang lain tidak nampak) kerana kepanasan disebabkan kipas atau penghawa dingin tidak berfungsi. Membuka baju untuk mengurut atau berubat.

Pakcik di kampung pun ada yang membuka baju dan hanya memakai pakai kain pelikat untuk lepak di tepi bendang atau bawah pokok mangga. Tetapi sudah membuka baju sebelum keluar rumah. Hanya sekadar "tidak berbaju" di kawasan dekat-dekat rumah saja. Tidaklah membuka baju di hadapan orang ramai. Tidak menunjukkan aksi bagaimana membuka baju hingga nampak semua bahagian atas. Banyak lagilah punca manusia membuka baju yang mempunyai tujuan tertentu tetapi mengikut adab sopan dan tidak memalukan diri sendiri.

Ahad lalu, ada artis yang buka baju kerana keseronokan. Apa halnya ni? sudah mabuk ke? Faizal Tahir, bekas anggota kumpulan nasyid Mirwana yang kemudian bertukar menjadi penyanyi rock membuka baju ketika mengadakan konsert ulang tahun keempat 8TV di Central Park Avenue, Bandar Utama. Nasib baik sudah menjadi bekas anggota kumpulan nasyid. Jika tidak sudah tentu orang kata dunia ini hendak terbalik apabila anggota kumpulan nasyid membuka baju. Tetapi sekali fikir pun sebelum ini ramai penyanyi rock yang "gila-gila" dalam persembahannya tetapi tidak pula sampai membuka baju, apatah lagi ketika membuat persembahan siaran langsung.

Ini kes luar biasa. Dulu ada artis bercium depan orang ramai. Kini ada orang buka baju pula. Bukankah orang gila saja yang membuka baju depan orang ramai?

Tuesday, January 15, 2008

LEBIH BAIK CABUT DARIPADA KALAH

Anak orang kuat DAP, Guan Eng hendak cabut dari Melaka untuk bertanding di Perak atau Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum 12 akan datang. Walaupun, LGE menafikan perkara itu tetapi ia sudah menjadi "open secret" bagi orang politik bahawa beliau perlu keluar dari Bumi Hang Tuah demi kelangsungan hidup politiknya. Ini kerana beliau bukan saja menghadapi kekuatan calon lawan tetapi juga konflik dalamannya di Melaka yang tidak akan membantunya memenangi pilihan raya kali ini.

Bapanya, LKS pula dikatakan akan mencuba nasib di Melaka atau terus kekal di Ipoh Timur bagi meneruskan usaha mereka untuk menentang UMNO. Bagi kedua-dua beranak itu, UMNO dikatakan adalah musuh utama mereka. Menurut LGE, mereka tidak boleh melawan UMNO tetapi hanya meletakkan calon mereka di kawasan MCA atau Gerakan. Ini membolehkan mereka "menerangkan" kepada masyarakat Cina di kawasan yang ditandingi apa yang ingin dilakukan oleh DAP jika mereka memenanginya.

Eloklah cabut sebelum tercabut.

Sunday, January 13, 2008

MEMINTA DERMA, BIARLAH BERTEMPAT.

Pasar Tani Mega di Shah Alam, Selangor setiap Ahad semakin sesak. Seawal jam 8 pagi, pengunjung sudah berduyun-duyun datang untuk "mencari dan membeli" pelbagai barangan daripada ikan, sayur, daging sehinggalah barang-barang lama dan suratkhabar. Ada juga yang datang untuk bersarapan bersama keluarga. Ada nasi kerabu, apam balik, pelbagai jenis kuih dan termasuk juga pop-corn yang kebiasaannya dijual di panggung wayang.

Kini semakin ramai pula peminta sedekah. Ada yang duduk, berdiri atau bergerak cara "mengensot" sedikit demi sedikit untuk menagih simpati pengunjung. Pagi ini, ada beberapa orang pula warga asing yang meminta sedekah. Ini berdasarkan kepada pertuturan mereka. Yang ini, pihak berkuasa perlu bertindak. Jangan pula mereka datang ke negara ini untuk meminta sedekah, mentang-mentanglah rakyat negara ini berhati baik dan mulia.

Dalam pada itu, ada juga rumah anak yatim dan madrasah yang meletakkan kotak derma untuk menggalakkan pengunjung bersedekah. Sambil membeli ikan atau daging sambil itu bersedekah kepada rumah anak yatim. Pagi ini ada rumah anak yatim dari Perak yang turut dihadiri oleh dua kakitangan yang memakai kopiah putih. Kedua-dua mereka hanya duduk di situ dan tersenyum. Ramai juga yang bersedekah. Mulia juga hati orang Shah Alam dan kawasan sekitarnya.

Usaha murni membawa kotak di tempat orang ramai ini boleh membantu menambah tabung pengurusan mereka. Namun saya tidak bersetuju dengan tindakan sesetengah pusat kebajikan yang mengarahkan kanak-kanak untuk menjual pelbagai jenis barangan bagi menambahkan dana mereka. Kanak-kanak ini akan menunggu di hadapan bank atau di restoran mamak untuk meminta pengunjung di situ menderma menerusi pembelian barang-barang yang dibawa oleh mereka. Saya rasa ini tidak begitu baik.

Baru-baru ini, saya didatangi oleh seorang kanak-kanak di Stesen Petronas Alam Megah, Shah Alam, Selangor yang ingin menjual barang-barang sambil menderma. Saya mengangkat tangan meminta maaf kerana ingin segera mengisi minyak dan pergi ke suatu tempat. Saya rasa membiarkan kanak-kanak meminta derma di stesen minyak ini tidak bagus malah amat berbahaya kepada kanak-kanak itu dan pengunjung stesen minyak.

Oleh itu, pengusaha stesen minyak perlu memastikan kegiatan seumpama itu tidak berlaku demi keselamatan semua pihak. Oleh kerana terlalu asyik untuk menjual barang-barang, kanak-kanak itu mungkin terleka dan tidak memperdulikan dengan kenderaan yang banyak "lalu-lalang" di stesen berkenaan. Ini pasti mengundang padah.

Saturday, January 12, 2008

BERHUJAH SECARA ANAK JANTAN

Seorang teman menelefon sebentar tadi bertanya mengapa saya menyiarkan komen yang diberikan oleh orang yang tidak meletakkan nama sebenar atau nama samaran. Dalam ertikata lain yang menggunakan anonymous atau tidak bernama.

Bagi saya, pandangan dan ulasan yang diberikan tanpa menyertakan nama adalah orang yang ingin meluahkan perasaan atau memberikan maklumat tetapi tidak mahu orang lain mengetahui siapa mereka. Mereka ini mahu tetapi takut. Takut orang lain tahu dan takut untuk memberitahu siapa diri mereka sebenar. Ini seperti juga kumpulan yang pernah memberi pelbagai gelaran termasuk monyet dan anjing lompatan kerajaan. Panggillah apa saja asalkan hati senang. Yang penting niat kita menulis.

Pada saya, pandangan yang dikemukakan oleh pengulas dan pembaca blog ini adalah luahan hati mereka dan terpulanglah kepada kita untuk mempercayainya. Apabila orang menggelar kita monyet tetapi pada hakikatnya kita bukan, maka sudah pasti kita tidak akan terasa apa-apa melainkan kita tergolong dalam kumpulan haiwan itu.

Saya berharap pembaca blog ini tidak menabur fitnah atau membuat tohmahan kerana ia dilarang oleh agama dan boleh merosakkan imej orang lain. Kita boleh meluahkan perasaan tetapi janganlah sampai menabur fitnah dan membuat pelbagai tuduhan. Ceritalah yang benar terutama yang memberikan pengajaran kepada orang lain.

Elakkan fitnah dan maklumat palsu. Tepuk dada, tanyalah selera sendiri.

Friday, January 11, 2008

ADUN TENGGAROH DITEMBAK MATI

ADUN Tenggaroh (Johor), Datuk S. Krishnasamy, ditembak mati di bangunan MIC Johor di Johor Bahru petang ini, kata Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sharif.

Berita ini dilaporkan oleh Berita Terkini TV3 dan Warta Jam 4 RTM.

JIKA MATI, BIARLAH ORANG MENGETAHUINYA

Ketika bekerja di Taman Desa, Kuala Lumpur beberapa tahun lalu, saya mengunjungi rumah wartawan akhbar tempatan yang dijumpai mati beberapa hari kerana beliau tinggal berseorangan. Jirannya mengetahui beliau sudah meninggal dunia kerana bau yang mengganggu hidung mereka. Nasib baik ada jiran yang perihatin.

Di Sydney, Australia, mayat seorang pesara yang berusia 64 tahun, hanya dijumpai di kediamannya selepas setahun meninggal dunia. Menurut laporan agensi berita, mayat Jorge Chamb, ditemui Selasa lalu, apabila sekumpulan polis dan bomba memecah masuk sebuah flat kediaman satu bilik milik kerajaan di pinggir bandar Yagoona, itupun setelah timbul keraguan mengenai kebajikan dirinya. Mayatnya telahpun reput teruk dan rekod bank miliknya menunjukkan beliau telah meninggal dunia setahun sebelum ini. Apa halnya ni?

Dalam kehidupan sekarang, adakalanya ketika kita masih hidup pun orang tidak peduli. Orang tidak menjenguk atau melawat kita. Orang tidak menelefon atau bertanya khabar. Harap-haraplah apabila kita mati nanti ada orang yang mengetahuinya dan menziarah. Yang penting ada orang membaca Al-Fatihah untuk kita.

Jauhilah kejadian seperti di Sydney, Australia. Amat menyedihkan.

JAGALAH ANAK-ANAK KITA DENGAN BAIK



Apabila saya memberitahu kisah kehilangan kanak-kanak kecil sekarang, AJ terus mengingatkan Cynta agar tidak "pandai-pandai" berjalan berseorangan. "Dalam shopping complex atau Tesco pun kakak tidak boleh jalan sorang-sorang. Tidak boleh jalan dengan adik saja. Mesti ada abang, daddy atau mama." AJ mengingatkan adiknya.

"Kakak selalunya tidak pergi jauh daripada Daddy dan mama." kata Cynta.

AJ meneruskan ingatan kepada adiknya, "Abang selalu tengok adakalanya kakak jalan-jalan sorang-sorang. Kakak tahu tak, sekarang ini ramai orang yang crazy, suka ambil budak kecil, bawa sana sini. Ingatlah pesanan daddy tu. Cynta dan Iyra perlu pasti setiap masa jalan dengan orang dewasa. Lagi satu jangan main dekat taman permainan jika tidak ada orang dewasa ikut. Hari itu, kakak kata ada orang Bangla kat taman dan mereka buka baju. Itu pun tak elok. Ingat tu."

Begitulah kasih sayang seorang abang. Begitu juga ibu dan bapa.

Cerita Sharlinie dalam [ Berita Harian ].

Wednesday, January 9, 2008

DATUK IBRAHIM DAN THE MALAY MAIL

Minggu lalu seorang teman menelefon saya mengucapkan tahniah kerana membeli The Malay Mail. Wow... (seperti kata Husin Lempoyang, penjual unta dalam filem Tan Sri P Ramlee) Silap oranglah beb. Saya tidak ada duit dan belum bercadang untuk membeli mana-mana akhbar di negara ini. Apatah lagi akhbar yang popular satu masa dulu. Sudah tentu harga berjutalah.

Sebenarnya, orang yang membeli The Malay Mail ialah rakan lama, Datuk Ibrahim Mohd. Beliau kini memiliki Blue Inc yang menerbitkan beberapa majalah termasuk Going Places, majalah rasmi Penerbangan Malaysia (MAS). Tahniah brader.

Sumber memberitahu saya perjanjian pembelian The Malay Mail itu ditandatangani minggu lalu. Ia membabitkan jumlah kecil (bagi sesetengah orang) tetapi besar bagi saya (boleh makan seumur hidup). Difahamkan ada beberapa pilihan diberikan kepada petugas The Malay Mail sekarang termasuk berpindah ke NST atau diberikan VSS. Difahamkan juga lebih kurang 16 orang di Jabatan Pengarang akan diminta mengundur diri kerana pelbagai faktor. Timbalan Pengarang The Malay Mail, Yushaimi Yahaya akan dikekalkan dan ada ura-ura dinaikkan pangkat manakala seorang lagi Timbalan Pengarang tidak diketahui nasibnya.

Apapun tahniah kepada Datuk Ibrahim Mohd. Long live brader.

BETTER LATE THAN NEVER

Better late than never. Itulah istilah paling tepat untuk menggambarkan arahan terbaru kerajaan bahawa semua lapangan terbang utama di seluruh negara tidak dibenarkan menggunakan perkhidmatan pekerja asing selaras dasar kerajaan yang mahu rakyat tempatan mengisi jawatan barisan depan dalam industri pelancongan negara.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelancongan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, semalam.

Sebenarnya sikap untuk menjaga keselamatan dalam diri kebanyakan rakyat negara ini masih rendah. Dalam ertikata lain, mereka tidak peduli dengan keselamatan diri, keluarga dan negara. Mereka mengambil sikap tidak ambil pusing apabila memperkatakan mengenai keselamatan. Anak dibiarkan bersendirian di tempat orang ramai dan kompleks beli-belah. Enjin kereta dibiarkan hidup kerana ingin mengeluarkan wang dari ATM. Pintu rumah tidak dikunci kerana pergi membeli barang-barang di kedai runcit kira-kira 50 meter. Motosikal ditinggalkan seharian di tempat sunyi.

Tidak hairanlah apabila ditanya adakah mengambil langkah-langkah keselamatan untuk menjaga diri dan harta, jawapan yang diberikan "tidak ada" kerana mustahil perkara itu boleh berlaku dalam keadaan seperti ini atau dalam keadaan seperti itu. Itulah pemikiran yang ada sekarang. Tidak kisah dan tidak peduli.

Itu sebabnya kita perlu memastikan pintu rumah dan pintu pagar ditutup jika mahu keluar rumah. Jika pasang grill sekalipun, perlu dikunci kerana jika ada grill tetapi tidak dikunci, tidak ada gunanya juga. Jika ada kereta, pasanglah alat mencegah kecurian termasuk kunci di stereng atau di gear. Inilah sikap yang perlu ada untuk menjaga keselamatan. Begitu juga golongan wanita yang gemar memakai pakaian seksi dan suka jalan berseorangan di tempat sunyi atau gelap. Jawapannya nahas dan jangan pula menyesal serta menyalahkan orang lain.

Begitu juga lapangan terbang. Walaupun ia tempat orang ramai terutama bagi penumpang daripada pelbagai pelusuk dunia, ia tetap kawasan keselamatan kerana pelbagai perkara boleh berlaku di situ. Oleh itu, tidak masuk akal membenarkan orang asing untuk bekerja di lapangan terbang yang boleh dikategorikan sebagai kawasan keselamatan. Begitu juga di stesen televisyen terutama yang dimiliki kerajaan.

Mengapa pekerja asing bekerja di lapangan terbang? Jawapannya ialah kerana kontraktor yang diberikan projek seperti membersihkan lapangan terbang itu suka mengambil pekerja asing. Mengapa suka mengambil pekerja asing? Jawapannya kerana bayaran gajinya murah dan mereka tidak banyak soal dalam kerja. Persoalannya tidakkah kontraktor itu, yang pasti orang tempatan (kalau orang luar satu persoalan lain pula), memikirkan mengenai keselamatan lapangan terbang negara ini. Macam-macam boleh dilakukan jika kita sudah berada dalam lapangan terbang itu terutama di kawasan sensitif termasuk di golden lounge yang dikunjungi ramai orang kenamaan.

Fikirkanlah mengenai keselamatan diri, keluarga dan negara.

Tuesday, January 8, 2008

TIDAK CUKUP ATAU TIADA KAWALAN?

Semalam, seorang teman menelefon mengatakan bahawa kekurangan minyak masak di negara ini adalah satu misteri apatah lagi memikirkan bahawa Malaysia sebuah negara pengeluar. Jika dikatakan kejadian sorok atau penyeludupan oleh peniaga atau individu dari negara jiran, keadaan ini tidaklah seburuk yang dihadapi sekarang. Masalah sekarang terlalu besar untuk dilakukan oleh "orang kerdil". Baginya, sudah pasti ia membabitkan kumpulan yang lebih besar dan terancang.

Pagi ini, saya juga membaca perkara yang sama dalam akhbar Utusan Malaysia di mana seorang pembaca Mohd Arif Atan dari Universiti Malaya menyatakan pendapatnya.

Dalam ruangan pendapat beliau menulis: "Adalah musykil, bagaimana sebuah negara pengeluar dan pembekal minyak sawit utama di dunia boleh mengalami krisis ini? Tidakkah wujud "tangan-tangan" yang sengaja mencipta sentimen cemas di kalangan pengguna lantaran mahu menaikkkan harga barang kawalan tersebut dalam jangka masa terdekat? Ke mana perginya hampir 50,000 tan metrik minyak masak di pasaran kini, jika tidak wujudnya kemungkinan pakatan bersama antara 23 buah pengilang minyak masak serta para pembekal yang terbabit? Tidak keterlaluan dikatakan ini adalah petanda untuk harga minyak masak dinaikkan. Lihatlah nanti sekiranya harga minyak masak dinaikkan, secara tiba-tiba pula bekalan minyak masak mencukupi malah melambak-lambak di pasaran."

Pagi ini juga saya mendengar berita radio yang menyatakan bahawa bayaran tambang bas sekolah juga akan dinaikkan jika kerajaan menetapkan peraturan bahawa bas melebihi 20tahun tidak boleh digunakan sebagai bas sekolah. Satu lagi ialah tidak membenarkan bas sekolah yang "tua" digunakan untuk bas persiaran. Persatuan pengusaha bas sekolah meminta syarat itu dilonggarkan kerana banyak pengusaha akan rugi. Selepas itu, ada pula berita harga tambang bas ekspres akan dinaikkan kerana kerajaan mengarahkan bas ekspres dipasang alat pengesan GPS.

Apa halnya ni? Semua orang hendak membuat ugutan, tarik tali, memohon kelonggaran terhadap keselamatan, sorok barang, seludup, berpakat mencari untung, sabotaj ekonomi dan banyak lagi yang menyebabkan rakyat biasa menderita. Apakah ini caranya terbaik untuk mendapat perhatian yang menyebabkan orang lain susah? Ini tidak betul dan perlu diperbetulkan segera. Jika tidak, rakyat akan terus menjadi "mangsa" kumpulan yang tamak dan rakus untuk mengaut keuntungan berlipat ganda. Memang berniaga untuk untung. Tetapi fikirkanlah juga kesusahan orang lain dan jangan pula kerana hendak untung melakukan perkara yang negatif.

Monday, January 7, 2008

HALANG RAKYAT ASING LARIKAN MINYAK

Jika rakyat asing banyak berbelanja di Malaysia ia akan mendatangkan pendapatan kepada rakyat dan negara ini. Itu sebabnya Kementerian Pelancongan sentiasa menggalakkan mereka datang ke negara ini untuk melancong dan berbelanja. Lagi banyak mereka belanja, banyaklah pendapatan negara.

Namun, jika rakyat asing terutama dari Thailand dan Singapura datang ke negara ini semata-mata untuk membeli minyak masak dalam bilangan yang banyak, ia perlu dihalang dan dibanteras. Tindakan mereka itu akan mengurangkan jumlah minyak masak di negara ini dan mendatangkan kesulitan kepada rakyat Malaysia terutama peniaga kecil.

Semalam di Kompleks Imigresen Rantau Panjang, Kelantan, anggota Pasukan Gerakan Am menahan lelaki rakyat Thailand yang cuba membawa keluar 112 peket minyak masak. Dua keuntungan yang diperolehi oleh rakyat asing dengan membeli minyak masak di sini kerana ia murah dan boleh mendapat untung dengan menjualnya semula. Begitu juga dengan kegiatan menyeludup diesel yang banyak berlaku pada masa lalu.

Dalam perkembangan yang sama, Bernama melaporkan bekalan minyak masak di negara jiran tidak kehabisan dan boleh diperolehi dengan mudah. Bekalan minyak masak dari Malaysia boleh diperolehi seperti biasa walaupun harganya lebih tinggi sedikit berbanding dengan biasa.

Seorang suri rumah di Sungai Golok bernama Kak Jah dilaporkan berkata minyak masak dari Malaysia menjadi pilihannya sejak dahulu kerana yakin mengenai kebersihannya. Beliau berkata bekalan di tempatnya sentiasa mencukupi sekalipun ada menyatakan minyak masak dari Malaysia sukar di bawa masuk ke negara ini. Apa halnya ni?

Sunday, January 6, 2008

JANGAN JADI ORANG MINYAK

Jika dulu kurang gula, kini minyak masak pula.

Kekurangan bekalan minyak masak menyusahkan rakyat terutama peniaga yang menggunakannya setiap hari. Amat menyedihkan ialah peniaga yang bergantung hidup kepada perniagaan seperti penjual goreng pisang, penjual vadei atau penjual char kuay. Tiada minyak masak, tiadalah pendapatan. Tiada pendapatan, mana hendak mencari duit untuk menyara keluarga. Apa ni?

Dalam laporan Malaysiakini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jika rakyat negara ini tidak bertindak "panic buying" dan tiada kegiatan menyorok, maka bekalan minyak masak akan mencukupi.

Siapa punya kerja menyorok minyak masak ni? Tolonglah jangan berbuat demikian kerana ia menyusahkan orang lain. Mungkin kegiatan menyorok itu boleh mendatangkan "keuntungan" sedikit kepada mereka tetapi ingatlah juga rakyat yang menderita akibat tindakan mereka itu. Carilah keuntungan cara lain dan berhentikan tabiat suka menyorok bekalan harian ini.

Pihak berkuasa tolonglah bertindak segera untuk mengurangkan penderitaan peniaga yang bergantung hidup kepada minyak masak ini. Jangan biarkan rakyat terus susah dan menderita. Kesihan tengok wajah-wajah mangsa ini di kaca televisyen setiap malam yang mengeluh tiadanya bekalan minyak masak ini.

Jika dapat tangkap golongan yang menyorok ini, ambil sedikit minyak dan lumurkan ke seluruh badan mereka dan kemudian bawa mereka keliling kampung atau bandar. Pakaikan pelekat, "orang minyak yang suka menyorok minyak." Mereka ini memang jahat dan perlu dihukum agar tidak melakukannya lagi. Ada idea lain yang bernas untuk menghukum orang macam ini?

Saturday, January 5, 2008

JM BERIANI DI SHAH ALAM

Kalau mengunjungi Tesco Shah Alam jangan lupa singgah di Restoran JM Beriani.

Petang tadi, pekena beriani sekeluarga. Jam 3 petang, restoran itu penuh dengan pelanggan yang ingin menikmati pelbagai jenis beriani. Ini termasuk beriani ayam, daging dan kambing. Tetapi jangan lupa mencuba beriani gam kambing. Lepas makan pasti hendak mencari katil dan bantal.

Kejayaan JM Beriani ini membuktikan bahawa makanan Malaysia boleh diketengahkan sebagai makanan pilihan dan kegemaran ramai jika disediakan dengan baik dan bersih. Perkhidmatan juga mesti cepat dan betul.

Sebelum ini, saya datang pada sebelah pagi dan restoran itu baru hendak dibuka. Kelihatan pemilik atau pengurusnya memberikan arahan terakhir termasuk memastikan pekerja memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. Ada juga pekerja yang kena tegur kerana kesalahan-kesalahan sebelum ini.

Hari ini, orang yang sama - pemiliknya - juga rajin membersihkan sudu dan tempat membasuh tangan sambil mata melihat pekerjanya. Ada juga seorang warga emas yang mundar mandir membantu di restoran itu. Mungkin bapa kepada pemilik JM Beriani.

Saya pernah mengunjungi restoran satu lagi di Subang Jaya. Apapun tahniah kepada pemiliknya. Pasti datang lagi.

MALAYSIAN BUSINESS 1ST - 16 TH JAN 2008



WHO will be the movers and shakers of 2008? Malaysian Business identifies the corporate players and companies that are likely to hog the limelight in 2008. We also look the various sectors and industries that are forecast to make the news. Also, don’t forget to check out our pullouts which interviews industry experts – Housing & Property gives the outlook for next year while mb-e tells us what’s in store for ICT in 2008. Get your copy of MALAYSIAN BUSINESS 1st-16th January 2008 issue TODAY!

Friday, January 4, 2008

SMART TAG OH SMART TAG!

Apa bagusnya smart tag? Betul jawapan yang anda berikan. Ia bagus jika ketika plaza tol sesak dan jika waktu hujan terutama yang lebat.

Tetapi, petang ini ketika hujan lebat, smart tag berdekatan RTM bukan saja tidak membantu tetapi menyusahkan. Ini kerana lorong smart tag ada tanda pangkah warna merah. Maksudnya tidak berfungsi. Maka kesesakan lebuh raya daripada RTM hinggalah plaza tol untuk ke Subang Jaya.

Mereka yang "happy" "gembira" "ceria" atau "menarik nafas lega" kerana mempunyai smart tag ketika hujan lebat menjadi "muram" "marah" "frust" dan pelbagai lagilah kerana lorong smart tag tidak berfungsi dan terpaksa pula "minta laluan" untuk masuk ke lorong "touch n go". Apa ni? Bagus ke tak bagus? Tengok-tengoklah sikit.

ISU VIDEO : WANITA DIREMAN EMPAT HARI

Seorang wanita direman oleh polis Johor selama empat hari berhubung isu video yang membabitkan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Perkara itu dilaporkan oleh Warta Perdana RTM dan Buletin Utama TV3 jam 8 malam ini.

DR CHUA TIDAK AKAN "DUDUK DIAM"

Mengikut firasat saya, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, tidak akan duduk diam atau berdiam diri sehingga "individu" atau "kumpulan" yang menyebabkan kejatuhannya dikenalpasti dan seterusnya mendapat pembalasan yang setimpal. Apa strategi yang digunakan, hanya beliau saja yang mengetahuinya. Namun, beliau pasti "menjejak" pengkhianat yang menghancurkan imej dan kerjaya politiknya. Hakikat ini jelas daripada tiga sidang akhbar yang diadakan sejak 1 Januari lalu. Yang terbaru ialah semalam, selepas beliau berkemas di pejabatnya untuk persediaan penggantinya. Beliau terus meluahkan segala yang terbuku dan pengamatannya yang saya kutip dalam media tempatan dan agensi berita.

"Kesilapan besar saya sejak datang ke Kuala Lumpur ialah untuk melaksanakan tugas saya sebagai Menteri Kesihatan dan naib presiden MCA. Sebagai Menteri Kesihatan dan naib presiden MCA, saya terpaksa pergi ke seluruh negara untuk mengetahui kemudahan perubatan dan membolehkan anggota MCA mengenali saya kerana saya adalah muka baru dalam politik peringkat nasional. Saya merasa bangga telah melawat lebih 100 hospital dan lebih 50 kemudahan kesihatan semasa saya menjawat jawatan menteri selama tiga setengah tahun."

Dr Chua berkata beliau terkejut apabila melawat sesetengah hospital, beliau terperanjat apabila diberitahu bahawa tidak ada ahli politik pernah melawat hospital berkenaan walaupun telah beroperasi sejak lebih 30 tahun. "Saya ingatkan mereka bergurau atau beramah sopan santun tetapi bila saya lihat hospital tersebut ia adalah benar...tidak ada siapa yang pernah melawat hospital itu.

"Satu contoh ialah banyak kemudahan kesihatan seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Sentul, Wangsa Maju...tidak ada ahli politik pernah melawat tempat kesihatan ini walaupun telah mula beroperasi dalam 60-an. Dan kerana ini dan apabila saya menemui anggota parti semasa saya membuat lawatan, banyak spekulasi bahawa saya ada agenda dan saya bercita-cita tinggi ...saya fikir itulah kesilapan terbesar saya."

Daripada kenyataan itu menggambarkan bahawa "kerja keras" yang dilakukan oleh Dr Chua disalahertikan oleh sesetengah pihak terutama pemimpin partinya. Akibatnya beliau sudah tentu dijadikan "target" agar tidak terus berjaya menaiki tangga setapak lagi. Sudah tentu selepas kejayaanya memegang jawatan Naib Presiden, beliau pasti akan bertanding jawatan seterusnya - Timbalan Presiden dan Presiden.

Malah, media dikatakan memburukkan keadaan dengan spekulasi mereka yang memberi kesan kepada perjalanan politiknya. "Ini bertambah buruk disebabkan akhbar. Akhbar sentiasa melaporkan bahawa Dr Chua ialah pencabar terhadap timbalan presiden, terhadap presiden. Akhbar membantu membunuh karier politik saya, secara jujur...jadi kebenaran ialah mata pena itu lebih tajam daripada pedang."

Kenyataan yang dihamburkan oleh Dr Chua ini menyakinkan saya bahawa beliau tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam partinya terutama usaha untuk memastikan beliau "kencundang" sebelum melangkah ke tengah gelanggang. Usaha memalitkan kekotoran ini penting untuk menggelakkan Dr Chua menjadi "gergasi" yang tidak boleh dikawal lagi yang mampu "membunuh" semua orang dan muncul sebagai juara.

Daripada maklumat yang diperolehi daripada rakan sekolahnya, Dr Chua adalah seorang pelajar yang baik dan tidak banyak bercakap. Rakannya itu mengenali bapanya yang mempunyai kedai menjual barang-barang harian. Beliau juga kagum dengan prestasi Dr Chua dalam politik dan yakin beliau mampu menjadi pemimpin tertinggi parti. Namun, keyakinan rakan itu terhenti pada awal tahun baru berikutan pengakuan pelajar High School Batu Pahat mengenai video yang disebarkan di beberapa tempat di Johor.

Thursday, January 3, 2008

TRANSKRIP SIDANG MEDIA DR CHUA

Tindakan Utusan Malaysia menyiarkan transkrip sidang media bekas Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek, semalam adalah langkah bijak bagi membolehkan rakyat negara ini mengetahui apa yang terbuku dalam hati pemimpin MCA berkenaan.

Pembaca boleh memahami apa yang tersurat dan tersirat daripada jawapan Dr Chua terutama mengenai kes videonya, politik tanahair dan apa yang ingin dilakukan selepas ini.

Akhbar New Straits Times dan The Star juga membuat transkrip sidang media itu.

Ikutilah transkrip sidang media yang disiarkan oleh Utusan Malaysia.

"SAYA ucap ribuan terima kasih kerana sudi hadir dan dengan ini saya nak umumkan bahawa saya sudah menyampaikan hasrat saya kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Presiden MCA bahawa saya meletakkan jawatan sebagai Menteri Kesihatan serta-merta.

Sehubungan dengan itu, saya juga meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Labis, Naib Presiden MCA peringkat kebangsaan, sebagai Pengerusi Perhubungan MCA Johor dan Ketua MCA Bahagian Batu Pahat.

Namun saya tetap akan menyokong kepimpinan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dan sebagai ahli MCA biasa saya akan taat setia kepada MCA. Dan kerana saya berasal dari Johor dan Batu Pahat, walaupun saya tidak memegang jawatan mulai hari ini, saya akan tetap bersama-sama dengan kawan seperjuangan saya di dalam parti MCA.

Sebagai seorang ahli parti yang sudah memegang jawatan dalam kerajaan selama hampir 20 tahun, saya tetap akan menyokong kerajaan Barisan Nasional.

Soalan dan jawapan di sepanjang sidang media:

Soalan: Apakah sebab Datuk Seri membuat keputusan sedemikian?

SOI LEK: Selepas saya buat pengakuan, saya berharap rakyat Malaysia menerima permohonan maaf saya. Tetapi malangnya daripada maklum balas yang saya terima, saya perhatikan rakyat Malaysia tidak boleh terima.

Dengan itu, saya berpendapat jika saya terus memegang jawatan dalam parti atau kerajaan, ia akan menjadi satu bebanan kepada kerajaan dan parti khasnya dalam konteks Islam Hadhari dan juga dalam konteks apa yang disarankan oleh Presiden MCA mengenai budaya politik bersih.

Walaupun saya berharap peletakan jawatan saya berasaskan isu moral, ia menjadi satu iktibar kepada pemimpin-pemimpin lain dalam parti baik daripada MCA mahupun parti komponen lain.

Saya berpendapat, sesiapa yang melakukan kesilapan atau kerana kelemahan-kelemahan tertentu, maka dia sebagai pemimpin kena bertanggungjawab. Dan saya sudah tampil ke hadapan, berdepan dengan bukan hanya pemimpin negara dan parti bahkan dengan rakyat jelata, (tetapi) nampaknya ia tidak boleh diterima.

Dengan itu, saya ingat lebih baik kepada saya – dan keluarga saya – untuk meletakkan jawatan supaya saya tidak menjadi satu beban kepada kepimpinan negara.

Bilakah Datuk Seri hantar surat peletakan jawatan?

SOI LEK: Saya sudah menghantarnya sebelum saya jumpa kamu semua tetapi saya berasa masa (menghantar surat) tidak penting. Apa yang penting, saya telah membuat pengumuman rasmi dan surat berkenaan telah dihantar kepada pejabat Perdana Menteri.

Mulai dari hari ini saya akan jadi rakyat biasa. Dengan itu saya berharap saya tidak akan dijadikan sebagai sasaran oleh pihak tertentu.

Perdana Menteri telah memberi jaminan kepada saya bahawa kerajaan akan menyiasat punca dan siapa di belakang pita rakaman itu supaya ia tidak menjadi satu amalan di negara ini untuk menjatuhkan sesiapa.

Saya percaya jika ini berjaya, saya bukanlah orang pertama dan terakhir yang menjadi mangsa kepada cara itu untuk menjatuhkan seorang pemimpin baik di peringkat negeri mahupun di peringkat kebangsaan. Saya pasti saya bukan orang pertama dan bukan orang terakhir.

Adakah Datuk Seri tahu siapa yang terlibat?

SOI LEK: Seperti yang saya katakan, saya tidak mahu buat spekulasi.

Saya merayu kepada ahli-ahli MCA jangan membuat spekulasi siapa yang buat atau melakukan tindakan tersebut terhadap saya. Ini adalah tidak sihat.

Apakah yang dimaksudkan dengan budaya politik bersih?

SOPI LEK: Apa yang lebih penting dan apa yang diharapkan oleh rakyat Malaysia dan dituntut oleh rakyat Malaysia ialah kebersihan dari segi tidak ada rasuah dan juga dalam soal tidak ada kelemahan-kelemahan moral dan etika. Itu kepada saya lebih penting dan lebih sukar dicapai.

Pemimpin kerajaan, terutama dalam negara demokrasi, dipilih oleh rakyat. Jadi keputusan terpulang kepada rakyat.

Adakah Datuk Seri masih berminat untuk aktif dalam politik?

SOI LEK: Saya telah meletakkan semua jawatan saya. Jika saya mahu aktif semula saya perlu bermula dari awal seperti pada tahun 1978. Saya perlu mula dari cawangan dan bahagian tetapi saya berasa saya tidak lagi muda untuk melakukan itu semua.

Apakah perancangan Datuk Seri selepas ini?

SOI LEK: Saya harap saya akan jadi seorang wartawan. Saya rasa berdasarkan pengalaman saya dalam politik, saya mampu dan saya boleh jadi (wartawan).

Kenapa pilih wartawan?

SOI LEK: Adakah itu salah? Saya tidak pandai berniaga. Sebab itu saya mengatakan sesiapa yang ingin menjadikan saya sasaran datang daripada komponen perniagaan atau kumpulan yang dikatakan musuh saya dalam perniagaan. Saya tidak pernah terlibat dalam perniagaan semenjak saya jadi ahli politik.

Sesiapa juga yang cakap saya terlibat dalam perniagaan adalah bohong. Mungkin ia menggunakan nama saya atau kawan-kawan saya.

Adakah Datuk Seri tahu siapa yang layak menggantikan tempat Datuk Seri dalam Kabinet?

SOI LEK: Itu kamu perlu tanya kepada Perdana Menteri. Saya berasa saya bukan orang yang berhak untuk berkata sedemikian. Sekarang, setiap kali saya bercakap dengan kamu semua, saya hanyalah sebagai Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek. Bukan Yang Berhormat lagi.

Bagaimanakah Datuk Seri melihat kedudukan MCA Johor berikutan keputusan Datuk Seri?

SOI LEK: MCA Johor mempunyai satu organisasi yang kukuh, sebab itu kita menjadi kubu kuat parti. Tetapi di samping ia menjadi kubu kuat di dalam parti, ia menjadi sasaran. Itu biasa dalam politik. Kalau bukan, ia tidak dipanggil politik.

Semenjak saya dilantik menjadi Menteri Kesihatan, saya sudah berusaha sedaya upaya untuk memenuhi permintaan daripada rakyat, daripada ahli MCA, daripada kepimpinan kerajaan.

Apakah pandangan Datuk Seri terhadap golongan yang membuat rakaman secara curi?

SOI LEK: Dalam bilik peribadi di hotel dan kamu rakamkannya, dan selepas itu kamu edarkannya, adakah kamu berasa itu merupakan budaya politik yang sihat?

Apakah sumbangan terbesar Datuk Seri sepanjang menjadi Menteri Kesihatan?

SOI LEK: Tak usahlah... itu sudah menjadi sejarah. Tidak perlu saya mengulas. Saya sudah jadi rakyat biasa. Lebih baik rakyat yang menjadi pengadil kepada apa yang saya lakukan sebagai Menteri Kesihatan.

Saya ingat itu lebih bermakna. Lagipun saya tidak mahu nanti orang akan cakap saya memandai-mandai.

(Renungan Rimau : Mengenai soalan "Adakah Datuk akan menceburi bidang perniagaan?" mengikut akhbar New Straits Times, jawapan yang diberikan ialah: "No, I don't like to do business. That's why I never said the tape came from business circles, or business enemies because I have never been involved in business and politics at the same time". Terjemahannya ialah: "Tidak, saya tidak suka berniaga. Itu sebabnya saya tidak pernah berkata bahawa pita itu datang daripada kumpulan perniagaan, atau musuh perniagaan kerana saya tidak pernah terlibat dalam perniagaan dan politik pada masa yang sama". Kenyataan beliau ini atau dalam istilah penyiaran "upsound atau sound bite" yang dipaparkan dalam Buletin Utama TV3 malam tadi.

Mengenai topik yang sama, The Star menyiarkan soalan dan jawapan berhubung pembabitan Dr Chua dalam perniagaan iaitu: "Do you think it was probably political sabotage? I have been in politics for more that 20 years. I do not participate in any business activities. I do not think any business people have anything against me. I do not think it is about money because I did not receive any calls of blackmail." Terjemahannya: " Adakah anda fikir ia ada kemungkinan sabotaj politik? Saya berkecimpung dalam politik lebih 20 tahun. Saya tidak menyertai sebarang aktiviti perniagaan. Saya tidak fikir ada golongan perniagaan yang mempunyai masalah dengan saya. Saya tidak fikir ia mengenai wang kerana saya tidak menerima sebarang panggilan atau ugutan."

Wednesday, January 2, 2008

DR CHUA MAHU JADI WARTAWAN

Sidang akhbar bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, hari ini mengenai pengumuman perletakan jawatannya sebagai menteri, semua jawatan dalam parti dan Ahli Parlimen Labis, membuka perspektif baru dalam perkembangan politik negara. Pengakuan dan perletakan jawatan itu mungkin akan menjadi budaya baru dalam politik negara di mana jika seseorang pemimpin bersalah, beliau perlu bertindak sebagai "anak jantan" untuk mengaku kesalahannya dan bertanggungjawab untuk meminta maaf dan mengundurkan diri. Beliau sendiri berkata, tindakannya itu bolehlah dianggap berani kerana tidak menafikan atau mengatakan "video itu bukan dirinya tetapi sesuatu yang palsu" seperti yang dibuat oleh sesetengah pihak sebelum ini. Selain itu, Dr Chua ketika menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh wartawan menyusun kata-katanya yang sehinggakan ada perkara yang tersirat di sebalik jawapannya.

Menonton paparan sidang akhbar dalam Buletin Utama TV3, saya mendapati ada jawapan yang diberikan mampu memberi pengajaran kepada semua ahli politik di negara ini agar berhati-hati dalam gerak-geri kerana mereka mungkin juga boleh menjadi "mangsa" seperti beliau pada masa akan datang. Beliau juga menyatakan mengetahui apa yang berlaku dalam politik negara tetapi tidak mahu menjelaskannya dengan lebih lanjut.

Ketika ditanya apakah yang akan dilakukan selepas ini, Dr Chua terus menjawab untuk menjadi wartawan. Dengan raut mukanya yang serius, beliau meneruskan kata-kata bahawa beliau tidak tahu berniaga dan yakin sesiapa yang melakukan perkara ini bukanlah musuh perniagaannya kerana beliau bukan tahu berniaga. Beliau berhenti di situ seolah-olah membiarkan sesiapa saja dalam sidang media itu atau penonton berita televisyen membaca apa yang tersirat yang ingin disampaikan.

DR CHUA SOI LEK LETAK JAWATAN

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang membuat pengakuan beliau adalah lelaki dalam satu video yang disebarkan, meletakkan jawatan sebagai Menteri Kesihatan dan semua jawatan dalam parti serta Ahli Parlimen Labis berkuatkuasa serta merta.

Berita itu disiarkan oleh RTM dalam news flash dan Warta Jam 4 RTM.

Tuesday, January 1, 2008

BERITA PERTAMA DALAM BEB.COM.MY


(Gambar dalam laman web beb.com.my)

Apa hal Maya Karin dan Fasha Sandha? Seorang duduk di timur, seorang di selatan. Itu yang berlaku semasa tayangan gala filem ‘Anak Halal', filem yang diarahkan oleh pengarah yang sama mengarahkan Puaka Tebing Biru, Osman Ali. Ikuti celoteh Cik Bedah dalam [ beb.com.my ] yang akan dilancarkan bulan ini.

TAHUN LAWAT KEDAH DAN TERENGGANU

Dua negeri - Kedah dan Terengganu - menjadikan tahun 2008 sebagai tahun melawat negeri itu.

Kedah ingin memperkenalkan pelbagai tempat menarik termasuk Pulau Langkawi dan jelapang padinya manakala Terengganu pula ingin menonjolkan keistimewaannya dalam mengekalkan pelbagai warisan selain pulau yang indah dan menarik. Hari ini juga Kuala Terengganu dinaikkan taraf menjadi bandaraya.

Semoga kedua-dua negeri berjaya mencapai sasaran bilangan pelancong tahun ini.

BERUNDUR, KEMUDIAN KEMBALI SEMULA

Semua berita prime time televisyen - TV3, RTM dan Bernama TV - memulakan pengakuan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa beliaulah lelaki dalam video yang diedarkan di beberapa tempat di Muar dan Batu Pahat. Beliau seterusnya meminta maaf kepada rakyat Malaysia di atas perbuatannya dengan seorang rakan baik yang dirakamkan di satu bilik yang kelihatan seperti bilik hotel.

Daripada visual video yang ditunjukkan oleh Buletin Utama jam 8 malam, ia adalah rakaman yang terancang dan membabitkan lebih satu kamera. Pengakuan dan minta maaf itu adalah baik. Namun, Dr Chua tetap mahu meneruskan khidmatnya sebagai Menteri dan beliau sudah memberitahu mengenai kes video itu kepada Perdana Menteri dan Timbalannya serta Presiden MCA.

Berita mengenai video itu disiarkan dalam akhbar-akhbar Cina dan news portal, Malaysiakini, sebelum ini. Hari ini, Dr Chua membuat sidang akhbar di MCA Labis yang turut dihadiri oleh pemimpin BN lain.

Bagi saya, Menteri Kesihatan itu elok menerima nasihat penganalisis politik, Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim dalam laporan BU TV3 yang menyatakan bahawa langkah terbaik yang perlu dilakukan oleh Dr Chua ialah meletakkan jawatan. Ini kerana seorang pemimpin yang telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan norma masyarakat pasti akan sukar untuk meneruskan kehidupan sebagai pemimpin. Beliau juga akan menjadi "masalah" kepada Barisan Nasional dalam menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

Ramai pemimpin UMNO yang "bermasalah" pada masa lalu meletakkan jawatan dan setelah nama mereka dibersihkan atau orang ramai sudah lupa dengan "peristiwa" berkenaan, mereka kembali dan memegang jawatan dalam parti seperti biasa.

SELAMAT TAHUN BARU

Semoga Malaysia terus aman dan harmoni pada 2008.

Semoga rakyat Malaysia mempertahankan perpaduan yang menjadi teras kestabilan politik, sosial dan ekonomi negara.

Semoga rakyat negara ini terus hidup bersatu-padu dan menentang sebarang anasir luar yang berusaha memecah-belahkan ikatan perpaduan kita.

Semoga rakyat Malaysia memilih kerajaan yang mampu memberikan tahap kehidupan yang sempurna dan pengagihan kekayaan sama rata kepada semua lapisan masyarakat.

Semoga rakyat Malaysia memilih pemimpin yang mampu membawa Malaysia ke satu tahap yang cemerlang dan dihormati oleh masyarakat antarabangsa.

Tarikh 8.8.08 pasti akan menjadi tarikh istimewa untuk mengadakan majlis tertentu.