Monday, March 31, 2008

NASI JANGAN SELALU JADI BUBUR

Saya meramalkan media baru termasuk blog persendirian atau news portal seperti Malaysiakini, MalaysiaToday, AgendaDaily dan KL Pos, akan memainkan peranan penting dalam pilihan raya umum seperti tulisan di sini dan di sini .

Ia bukan ramalan nujum tetapi pandangan ikhlas seorang wartawan.

Malah saya juga menyatakan bahawa rakyat akan melakukan sesuatu pada PRU12 seperti kenyataan ini:

Jika ditanya golongan yang suka membaca blog atau "blog hopper" (bukan grasshopper), terutama yang mengikuti komen diberikan pembaca blog, sudah pasti mereka merasakan bahawa rakyat negara ini akan "membuat sesuatu" pada pilihanraya kali ini. Apatah lagi dengan pelbagai isu yang diutarakan seperti kenaikan harga barang dan perkembangan politik semasa di negara ini.

Namun, ketika itu tiada pihak mengambil endah atau memperkecil-kecilkan peranan media baru itu dan akhirnya, kita pun tahu keputusan PRU12 yang menyaksikan lima negeri kini diperintah oleh PAS, PKR dan DAP. Ada yang memberi alasan bahawa mereka yang membaca internet hanyalah di kawasan tertentu saja bukanlah di seluruh negara.

Mengapa pula kesan media baru kepada keputusan PRU12 membabitkan seluruh negara?

Jawapannya ialah tindakan pihak tertentu, yang sama ada mereka mencetak bahan dalam internet dan menyebarkan kepada rakan-rakan ataupun mereka memberitahu secara lisan kepada keluarga, saudara-mara dan sahabat handai.

Gerakan membawa penduduk yang tinggal di Lembah Kelang ke negeri tertentu juga menguntungkan parti "pembangkang". Ini kerana anak-anak yang bekerja di Lembah Kelang itu akan "menyebarkan" apa yang dibaca dan didengar kepada ibu bapa dan keluarga yang keluar pengundi pada 8 Mac lalu. Mereka sudah pasti terpengaruh apa yang diberitahu oleh kaum keluarga, sanak saudara atau rakan taulan.

Jangan lupa juga peranan pensyarah di institusi pengajian tinggi swasta dan awam. Mereka ini juga boleh "membuat sesuatu" untuk mempengaruhi anak murid. Apatah lagi bonus yang ditunggu tidak kunjung tiba. Maka mereka bakar kelambu lah.

Oleh itu, sudah sampai masanya UMNO mengambil pendekatan yang sistematik untuk memberi perhatian penuh kepada media baru ini mulai sekarang sehingga hari kiamat.

Reaksi positif Menteri Kabinet juga akan membantu mengubah tanggapan bahawa media baru mampu membawa perubahan. Setidak-tidaknya menggerakkan rakyat - otak, hati dan perasaaan mereka. Seperti yang dinyatakan dulu bahawa kini bukan masanya untuk memperkatakan sama ada sesuatu perkara itu benar atau tidak. Yang penting ialah kepercayaan pembacanya terhadap bahan yang dihamburkan.

Terpulanglah UMNO untuk memperbetulkan keadaan. Buatlah sesuatu. Dulu ada juga dikatakan usaha mewujudkan "cybertroppers". Kini, apa pula. "Pegawai penerangan siber" atau "Penjawab Siber" atau bagilah nama yang sesuai lagi.

Jangan biarkan nasi yang akan dimasak pada masa akan datang menjadi bubur. Tapi ada sesetengah orang suka bubur. Bagi mereka, bubur pun sedap juga, jika dimasukkan ikan bilis, telur masin dan kacang. Sesuai untuk orang tiada gigi.

TIADA AP TERBUKA LAGI

Tiada lagi Permit Import (AP) terbuka yang baru, kata Menteri MITI, TS Muhyiddin Mohd Yassin.

Menurutnya, ia garis panduan dasar yang amat jelas.

Ini yang dilaporkan oleh Buletin Utama TV3 sebentar tadi.

Setahu saya, AP terbuka ini memang sudah tiada lagi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Apa ni?

Sunday, March 30, 2008

SELANGOR JADI KUBU KUAT PKR?

Kejayaan PKR menawan Selangor pada PRU12 dan membolehkan TS Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besarnya, dikatakan mendorong parti itu untuk melangkah setapak lagi - ingin menjadikan negeri itu sebagai kubu kuat mereka.

Jika PAS mempunyai Kelantan sebagai kubu kuat mereka sejak 18 tahun lalu, PKR juga berminat menjadikan Selangor sebagai bastion mereka. Satu impian yang ingin direalisasikan secepat mungkin. Impian yang perlu digerakkan serta-merta.

Untuk itu, PKR menawarkan ribuan ringgit kepada mana-mana pihak yang ingin membuka bahagian dan cawangan. Parti berkenaan juga bercadang untuk memberi elaun tetap kepada peneraju cawangan dan bahagian bagi memastikan mereka dapat menggerakkan segera cawangan dan bahagian PKR di seluruh Selangor. Macam makan gaji le.

Nampaknya, UMNO Selangor perlu bekerja lebih keras lagi.

DR KHIR TOYO KINI BLOGGER

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, kini seorang blogger.

Bagus la tu.

Blognya ialah drkhir.blogspot.com .

Tulislah apa saja. Tanyalah Menteri Besar baru ini boleh ke tunaikan segala janjinya.

PANGLIMA MELAYU PERLU BERTANDING

Pada pemilihan Majlis Tertinggi (MT) UMNO Disember ini, saya ingin melihat lebih ramai panglima dan hulubalang Melayu menawarkan diri untuk bertanding agar parti ini terus relevan dalam memperjuangkan nasib bangsa Melayu pada 50 tahun akan datang.

Kita tidak mahu MT dikuasai oleh "tukang angguk" atau "tukang geleng" yang entah apa-apa tetapi diseimbangkan dengan mereka yang mengangguk dengan dasar yang membela bangsa Melayu tetapi menggeleng terhadap strategi yang memusnahkan orang Melayu. Dasar menaikkan rakan saja, walaupun mereka mentah dan bodoh perlu dibanteras.

Jika sesuatu dasar itu merugikan keseluruhan bangsa Melayu waima pemimpin tertinggi sekalipun perlu diketepikan demi maruah bangsa. Jika seseorang pemimpin itu tidak lagi memperjuangkan nasib bangsa Melayu, waima yang tampan atau cerdik sekalipun perlu diketepikan demi martabat bangsa di tanahair mereka sendiri. Jika pemimpin itu hanya memilih orang yang baik dengannya saja dan membunuh pemimpin lain, perlu juga ditunjukkan jalan keluar agar bangsa Melayu tidak kucar-kacir pada masa akan datang.

Kita jangan terkeliru dan taksub dengan pemimpin tampan dan cerdik tetapi mempunyai pemikiran bercelaru atau adakalanya menjadi pak turut. Kita jangan terlena dengan pemimpin yang pandai berkata-kata tetapi mempunyai jatidiri yang lembik, lemah, rakus dan hanya tahu memenuhi "tembolok" sendiri. Bayangkan, satu senario di mana PRU12 baru saja selesai tetapi 'pemenang pilihanraya' ini sudah memandu kereta mewah baru, daripada hasil wang yang tidak tahu datang dari mana.

Kita mahu pemimpin Melayu mampu membuat keputusannya sendiri yang sudah tentu untuk kepentingan bangsa, bukan peribadi, isteri, keluarga atau rakan taulan. Kita mahu pemimpin Melayu yang belajar tinggi melangit tetapi mempunyai roh Melayu yang tidak akan dijual demi seguni wang daripada CIA, duit Arab, Eropah atau Turki. Melayu mesti memperjuangkan nasib Melayu, bukan mengikut telunjuk orang lain.

PRU12 menyaksikan orang Melayu yang kebingungan sanggup melakukan apa saja demi untuk memastikan mereka terus dapat menyara keluarga. Kelangsungan hidup perlu dipikul oleh diri sendiri tatkala orang lain tidak mempedulikan lagi.

Ketika Melayu susah, janganlah lagi menyusahkan mereka. Surau yang berdekatan rumah, tidak perlu dirobohkan semata-mata untuk "menggalakkan" mereka ke masjid yang memerlukan mereka mengisi minyak motor setiap hari untuk ke masjid. Biarlah mereka bersembahyang di surau berdekatan dengan hanya berjalan kaki dan menyimpan duit minyak motor ke masjid untuk belanja anak ke sekolah.

Orang atas memanglah tidak perasan penderitaan dan kesulitan ini kerana yang bawah terlalu ramai untuk dirasai. Tetapi sekali-sekala cubalah duduk di bawah. Pasti kita akan sedar dan muhasabah diri.

JANGAN TIKAM DARI BELAKANG

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, terus menuju kepada Datuk Seri Idris Jusoh, memeluk dan berbisik sesuatu kepadanya, selepas selesai Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar di hadapan Pemangku Sultan Terengganu, pagi tadi.

Ini dilaporkan oleh Buletin 1.30 tengah hari tadi.

Bagusla tu.

Carik-carik bulu ayam, akan bersatu semula. Itu kata Datuk Rosol Wahid, yang beria-ia benar satu ketika dulu untuk tidak bersetuju dengan perlantikan Datuk Ahmad. Biasa la tu Datuk Rosol.

Dalam politik, semua kena buat. Tidak bersetuju, kemudian bersetuju dan terima jawatan. Itu oklah. Jangan pula tikam dari belakang.

Angkat sumpah dan terus kerja. Rakyat sudah memberi mandat, teruslah kerja.

Saturday, March 29, 2008

BANGSA MELAYU HORMATI RAJA

Lebih 10,000 rakyat (ada yang melaporkan 25,000 orang) menyambut keberangkatan pulang DYMM Sultan Mizan ke Terengganu.

Ini dilaporkan oleh semua media elektronik negara sebentar tadi.

Bangsa Melayu akan menghormati Raja sehingga hari kiamat.

Hanya golongan yang tidak beradab saja yang tidak menghormati Raja. Bagi golongan ini, mereka perlu ditempatkan di Pulau Jerejak, itupun jika dipersetujui oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Pulau Bidong?

Bangsa Melayu yang budiman akan menghormati Raja.

Raja yang budiman akan dihormati oleh bangsa Melayu.

Daulat Tuanku.

DUNIA ISLAM BANTAH FILEM FITNA

Dunia Islam bantah tayangan filem pendek, FITNA oleh pengeluar filem Belanda, Geert Wilder.

Mereka mahu Kerajaan Belanda berusaha membatalkan penayangan filem yang menghina Islam.

Perkara ini dilaporkan oleh Buletin Utama TV3 sebentar tadi.

Wisma Putra turut membantah tayangan filem itu. Kenyataan yang dikeluarkan menyatakan tindakan itu tidak menghormati sensitiviti masyarakat Islam.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pula mahu umat Islam dunia memulau barangan keluaran Belanda.

Jika semua orang Islam berbuat demikian, ia akan memberi impak kepada jualan keluaran Belanda. Bilangan 1.3 bilion masyarakat Islam dunia mampu memberi kesan jika pemulauan itu dilaksanakan.

Friday, March 28, 2008

BERI CD PENGARUHI PENGUNDI

Tengah hari tadi, saya dapat menyaksikan gerai yang menjual CD ucapan pemimpin PKR dan PAS di luar masjid di Bangsar dikerumuni ramai orang.

Mereka menyaksikan tayangan video ucapan pemimpin itu pada PRU12 lalu yang dipasang oleh pemilik gerai berkenaan. Apatah lagi ucapan berapi-api dan diselang-seli dengan jenaka. Masih ada yang tertarik lagi walaupun pilihan raya sudah habis?

Salah satu medium yang membantu kejayaan PKR dan PAS pada PRU12 ialah penggunaan CD untuk mempengaruhi pengundi terutama yang di atas pagar. Usaha itu seperti tindakan menjatuhkan Shah Iran oleh Ayatullah Khomeini satu masa lalu.

Antara CD yang diedarkan ialah "Amanat Tun Dr Mahathir - bekas Perdana Menteri Malaysia", "InsyaAllah Tawan Malaysia" dan "Malam Kita Menang, Esok Minyak Turun".

Apakah UMNO akan mengedarkan CD pada pilihanraya akan datang untuk memberi penerangan kepada pengundi? Bagaimana Ketua Penerangan UMNO?

Thursday, March 27, 2008

SIAPA SOKONG KU LI?

Petang tadi, ketika bersembang dengan kawan-kawan, ada yang bertanya kepada saya pemimpin manakah yang akan menyokong Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, untuk bertanding jawatan Presiden UMNO nanti.

Saya menyatakan sukar untuk mengenalpasti pemimpin-pemimpin berkenaan.

Seorang kawan lagi terus mencelah dengan mengatakan beliau tahu siapa yang akan menyokong Ku Li. Dengan tegas beliau berkata mereka yang "kecewa dan sakit hati" dengan situasi parti sekarang akan menyokong Ku Li. Betul ke pandangan itu?

Saya bertanya kepadanya, "kecewa dan sakit hati" kepada siapa dan mengapa?

Beliau berkata, kecewa dengan apa yang dilalui oleh UMNO pada PRU12 dan sakit hati dengan tindakan pemimpin tertinggi dalam banyak hal. Katanya, UMNO dimalukan pada PRU12 dan kesal dengan tindakan segelintir yang mahu melihat sesetengah pemimpin UMNO tersungkur pada pilihanraya lalu. Alasan mereka ialah ingin mengajar mereka. Apa ni?

Kawan saya terus menyatakan bahawa antara mereka yang akan menyokong Ku Li ialah Datuk Seri Rafidah Aziz, Datuk Radzi Sheikh Ahmad, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Azmi Khalid dan beberapa pemimpin Pemuda UMNO yang lantang mengkritik pucuk pimpinan sayap parti itu baru-baru ini.

Pemimpin berubah kem kerana kecewa atau sakit hati? Lebih baik berubah kem daripada berubah parti. Kalau berubah parti, satu tentu "malapetaka" kepada bangsa Melayu.

Satu perkembangan menarik untuk diperhatikan.

Terus memerhati.

PEMIMPIN UMNO PERLU BERANI

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bersedia untuk bertanding dengan sesiapa saja dalam pemilihan parti pada Disember tahun ini.

Beliau tidak akan lari dan sanggup menghadapi sesiapa saja.

Kenyataan itu dibuat dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Tertinggi UMNO di PWTC, petang tadi.

Perkara ini dilaporkan oleh RTM dan TV3 dalam siaran berita jam 8 malam.

Ini baru anak jantan yang sanggup bertanding dan bersedia menerima risikonya.

Sudah pasti, Ahli Parlimen Guag Musang, Tengku Razalegih Hamzah, yang menawarkan diri untuk bertanding Presiden UMNO akan teruja dengan kenyataan Pak Lah kerana hasratnya untuk bertanding kini mampu terlaksana.

Namun, apakah hasrat itu tidak kesampaian berikutan jumlah pencalonan yang tidak mencukupi?

Saya yakin pemimpin dan ahli UMNO tidaklah sebodoh itu dan tahu apa yang hendak dilakukan ketika ini.

Umpamanya kenyataan berani Datuk Noraini Ahmad (Ketua Puteri) dan Datuk Mohamad Hassan (MB N9)yang mahu pemilihan diadakan tahun ini sedangkan ramai pihak yang berpendapat ia perlu ditangguhkan, menunjukkan masih ada pemimpin Melayu yang mampu menyuarakan apa yang terbaik untuk bangsa dan agamanya.

Melayu mesti berani bersuara.

Tuesday, March 25, 2008

IMPLIKASI KEMELUT POLITIK TERENGGANU

Kemelut politik Terengganu mengetengahkan beberapa persoalan penting:

1. Apakah kesalahan Datuk Seri Idris Jusoh sehinggakan Sultan Mizan tidak mahu melantik beliau menjadi Menteri Besar? Umum mengetahui DS Idris telah berusaha untuk membangunkan Terengganu termasuk melaksanakan proses urbanisasi dan projek pelancongan. Apakah DS Idris amat bersalah sehinggakan beliau tidak boleh diampun?

2. Apakah projek Monsun Cup dan Pusat Tamadun Islam tidak mendatangkan keuntungan kepada Terengganu sehinggakan Sultan Mizan berpandangan DS Idris tidak layak lagi dibenarkan menerajui negeri itu? Apakah pembabitan ahli perniagaan Patrick dalam Monsun Cup terlalu "mendalam dan luas" sehinggakan mengambil peluang orang lain terutama rakyat Terengganu?

3. Apakah DS Idris tersalah langkah dengan menggugurkan beberapa nama besar dalam UMNO Terengganu dalam PRU12 termasuk Tengku Putra yang ada kaitan dengan pihak Istana? Adakah nama-nama besar yang digugurkan itu membuat kesalahan dengan membuat kritikan terbuka terhadap DS Idris terutama pembabitan Jusoh Enterpise?

4. Apakah sokongan 22 ADUN Terengganu kepada DS Idris semata-mata kerana mereka "terhutang budi" kerana dipilih sebagai calon dalam PRU12? Sokongan itu adalah fasa pertama menunjukkan rasa terima kasih memilih mereka. Adakah mereka akan beralih angin apabila mendapati kemelut politik Terengganu ini tidak berkesudahan dan menyusahkan rakyat?

5. Apakah DS Idris diberikan kebenaran bertemu Sultan Mizan untuk memohon maaf di atas segala kesalahan yang dilakukan sehingga menyebabkan Sultan murka? Adakah Sultan Mizan akan mengampun segala "kesalahan" DS Idris selama ini?

6. Adakah rakyat Terengganu melihat kemelut politik Terengganu ini seolah-olah UMNO tidak menghormati atau membelakangkan Institusi Raja? Adakah rakyat Terengganu boleh bersabar dengan keadaan semasa seolah-olah UMNO "menderhaka" kepada Raja mereka?

7. Adakah rakyat Malaysia terutama ahli UMNO merasakan seolah-olah tiada usaha oleh pemimpin tertinggi untuk menjernihkan suasana dengan pihak Istana bagi memaparkan bangsa Melayu menghormati Raja mereka? Bangsa Melayu amat menghormati Raja mereka.

8. Apakah perlu pemimpin UMNO mengeluarkan kenyataan yang boleh memburukkan kemelut politik Terengganu seperti yang diutarakan oleh Datuk Dr Rais Yatim iaitu MB Terengganu yang baru tidak akan bertahan lama dan jatuh ibarat "nangka masak"?

9. Banyak lagi persoalan lain.....

SELAMAT HARI POLIS

Marilah kita mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah memberi perkhidmatan terbaik untuk memastikan Malaysia aman dan selamat.

Mereka berhujan, berpanas dan bersengkang mata untuk memastikan setiap rakyat mengikut perundangan negara.

Marilah kita bekerjasama dengan PDRM untuk membanteras jenayah di negara ini termasuk jenayah kolar putih.

Monday, March 24, 2008

LEPAS SATU, SATU LAGI...

Dalam kehidupan ini, manusia sudah tentu melakukan kesilapan.

Ada kesilapan disengajakan atau ada pula yang tidak disengajakan.

Apapun, jika tersilap atau sesat jalan, ada baiknya kita pulang ke pangkal jalan.

Namun, ada juga orang yang sentiasa membuat kesilapan. Puncanya hanya tuhan saja yang tahu.

Daripada satu kesilapan, beralih ke satu kesilapan, kemudian jadi pula kesilapan yang lain. Tiada kesudahan. Orang macam ini biasanya disuruh "mandi bunga" atau "buang s..." untuk menjernihkan suasana.

Nasihat saya, jika ini berlaku kepada kita, fikirlah masak-masak, apa kesalahan kita.

Lihatlah dengan hati kita.

Dengarlah dengan hati kita.

Buat keputusan dengan mengikut hati kita. Bukan nasihat orang lain.

Sunday, March 23, 2008

AHMAD SAID KINI TERKENAL

Nama Ahmad Said popular satu masa dulu. Ia membabitkan kes TS Eric Chia. Jika rajin carilah berita mengenainya atau bertanyalah dengan orang yang mengetahuinya.

Kini, Datuk Ahmad Said, popular sekali lagi. Ia membabitkan kes Menteri Besar Terengganu.

Saya sedih mendengar beliau dipecat daripada UMNO. Sedih je.

Ketika bersembang dengan kawan pagi ini, saya menggunakan analogi perlantikan ketua pengawas.

Ahmad Said ialah ketua pengawas yang dilantik oleh pengetua.

Guru disiplin yang menjaga mengenai hal-ehwal pengawas mahu melantik orang lain.

Maka guru disiplin pun tidak setuju dengan perlantikan itu dan mengusulkan agar Ahmad Said dipecat daripada sekolah.

Alasan yang diberikan ialah Ahmad Said ada masalah tertentu dan pengawas lain tidak setuju.

Maka, Ahmad Said pun tidak dapat meneruskan persekolahan, walaupun pengetua yang mahu beliau menjadi ketua pengawas. Ahmad Said jadi mangsa?

Kawan saya menyifatkan analogi itu tidak tepat kerana UMNO boleh memecat Ahmad Said dan guru disiplin boleh mengusul Ahmad Said dipecat tetapi pengetua yang mempunyai kuasa untuk memecatnya.

Apapun, bagilah Ahmad Said terus belajar dan jangan pecat beliau dari sekolah.

MELAYU MESTI HORMATI RAJA

Bangsa Melayu yang budiman akan menghormati Raja.

Raja yang budiman akan dihormati oleh bangsa Melayu.

Belajarlah daripada sejarah peristiwa Hang Jebat menderhaka kepada Raja.

Belajarlah daripada kebijaksanaan Bendahara Melaka "menyorokkan" Hang Tuah.

Bangsa Melayu ada peradaban dan tatasusilanya.

Jangan jadi bangsa yang biadap dan kurang ajar.

Hanya Raja zalim disanggah.

Saya amat memahaminya. Asal usul keturunan saya dari Johor dan ramai saudara mara masih di Ledang. Saya keturunan Laksamana Bentan atau Megat Seri Rama. Sejarah pahit bangsa Melayu menyaksikan Sultan Mahmud II (1685 - 1699)mangkat dijulang.

Saturday, March 22, 2008

NAJIB SOKONG PAKLAH

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, memberi sokongan penuh kepada kepemimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurutnya, ahli UMNO perlu memberikan komitmen jitu membantu Presiden UMNO untuk memulih semula dan memantapkan parti untuk kejayaan masa depan.

Perkara ini dilaporkan oleh Warta Negeri RTM jam 5 petang sebentar tadi.

Penyataan sokongan ini dilihat oleh pemerhati politik sebagai amat bermakna berikutan pelbagai perkembangan terbaru dalam UMNO termasuk kesediaan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, menawarkan diri untuk jawatan Presiden UMNO.

Friday, March 21, 2008

SORRY....TIADA GADUH DAN CAKARAN

Menonton Warta Negeri RTM pada jam 5 petang tadi, saya dapat merasakan betapa sakit hatinya Datuk Seri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Jalil mengenai tulisan yang mengatakan mereka bergaduh selepas pengumuman barisan Kabinet oleh Pak Lah.

Kedua-duanya menafikan mereka bertengkar atau bercakaran semata-mata untuk merebut jawatan Menteri atau penasihat bertaraf Menteri yang ditulis oleh seorang wartawan media perdana dalam kolumnya.

Nasihat saya, jika betul wartawan itu menulis perkara yang tidak benar, panggil beliau dan bertanyalah dimanakah wartawan itu mendapat "beritanya". Itu baru betul daripada membiarkan orang membuat spekulasi yang bukan-bukan. Wartawan tulis yang tidak betul? Betul ke?

Tsunami selepas Tsunami Politik?

MELAYU MAHU BERSATU?

Keputusan PRU12 sudah pasti mengejutkan semua pihak, parti kerajaan atau pembangkang. Bagi UMNO, keputusan itu memaparkan ada kalangan bangsa Melayu yang sebelum ini menyokong mereka, sudah beralih angin. Bagi PKR dan PAS, mereka meraih keuntungan daripada rasa kurang senang bangsa Melayu kepada UMNO.

Hakikatnya, PRU12 telah memecahkan bangsa Melayu kepada dua pihak, yang menyokong UMNO dan yang menyokong PKR dan PAS. Hanya segelintir yang menyokong DAP terutama di Pulau Pinang tetapi perkembangan ini amat membimbangkan pemimpin Melayu yang kurang memahami mengapa bangsa Melayu mula menyokong parti yang sentiasa memainkan sentimen perkauman. Pada PRU12 baru-baru ini, DAP memainkan slogan "memberi undi kepada BN akan memperkuatkan bangsa Melayu". Mereka tidak mahu Melayu jadi kuat. Betul ke?

DAP juga memperlekehkan MCA dan Gerakan dengan menggelarkan mereka "budak suruhan UMNO". Tidak hairanlah bangsa Cina menolak MCA dan Gerakan di banyak tempat. Istilah "budak suruhan" memberikan konotasi negatif kepada kaum Cina.

Kejayaan parti pembangkang menguasai lima negeri itu menyebabkan kini ada suara-suara yang ingin menidakkan segala dasar yang membantu orang miskin terutama Melayu. Sebagai contoh "semangat DEB" yang ingin dikurangkan oleh DAP di Pulau Pinang.

Kini orang Melayu termenung memikirkan nasib mereka yang ditentukan oleh pemerintah diterajui oleh DAP di Pulau Pinang. Jika ini boleh berlaku di PP, tidak mustahil perkara itu akan dilaksanakan di semua negeri termasuk Selangor. MB Selangor (DEB poster boy) yang pernah mendapat faedah daripada DEB ingin mengetepikan semangat itu. Entah apa yang difikirkannya, hanya tuhan saja yang tahu.

Semalam, 25 NGO Melayu ingin bersatu untuk memperjuangkan nasib mereka. Objektif Badan Bertindak Perpaduan Melayu adalah sebagai suara bangsa Melayu.

Apa nak jadi ni?

Wednesday, March 19, 2008

AMPUN TUANKU, TITAH TUANKU TEPAT

Saya pernah berhujjah dengan Datuk Seri Shahidan Kassim dan Mufti Perlis mengenai tindakan mereka yang ingin membawa "perubahan" dalam beberapa aspek kehidupan masyarakat Islam di negara ini.

Antaranya tidak perlu membaca talkin seperti yang dilakukan oleh datuk nenek saya. Antara perkara yang dinyatakan ialah "orang mati" itu tidak akan mendengar talkin yang disampaikan di atas kubur. Saya membetulkan mereka dengan mengatakan talkin itu adalah untuk orang hidup iaitu "mengingatkan" mereka yang hadir di majlis pengkebumian berkenaan. Bagi DS Shahidan, tidak semestinya apa yang dilakukan oleh datuk nenek kita betul dan kita mesti berani untuk mengubahnya.

Dalam pertemuan itu, saya hanya meminta mereka "tidak mengelirukan" masyarakat Islam negara ini yang sudah mengamalkan ajaran Islam yang terbaik. Jangan mengelirukan orang Islam dengan pelbagai perubahan yang boleh membingungkan rakyat.

Hari ini, ketika berkenan menerima menghadap wakil rakyat di negeri itu, Raja Perlis meminta sesetengah pihak tidak mengelirukan masyarakat dengan pelbagai perkara yang ingin dibawa oleh mereka. Baginda mahu mereka mengikut perundangan negara.

Ampun tuanku, patik dapat merasai titah dan teguran tuanku itu.

MENTERI ANGKAT SUMPAH

Istiadat Perlantikan dan Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan Kabinet di hadapan DYMM Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan, kini berlangsung di Istana Negara. Turut hadir ialah PM, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri.

Majlis itu didahului oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini diikuti oleh Menteri Kabinet. Kumpulan menteri itu dibahagikan kepada kumpulan lima orang. Mereka mengangkat sumpah memegang jawatan, taat setia dan menyimpan rahsia. Ini diikuti dengan menandatangani ketiga-tiga surat sumpah dan kemudiannya ditandatangani oleh YAA Ketua Hakim Negara dan Ketua Setiausaha Negara.

Majlis itu diteruskan dengan Timbalan Menteri.

Majlis itu disiarkan secara langsung oleh RTM.

DATUK SERI RADZI LETAK JAWATAN

Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad meletakkan jawatan Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional(BN)berkuatkuasa serta-merta.

Perkara itu disiarkan oleh crawler RTM sebentar tadi.

(Cakap-cakap politik menyatakan kemungkinan jawatan Setiausaha Agung UMNO akan diambilalih oleh Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang tidak disenaraikan dalam barisan Kabinet baru yang diumumkan oleh Pak Lah semalam)

YANG GUGUR, JANGAN KECEWA

SMS yang saya hantar kepada mantan Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin, selepas kekalahan beliau di Parlimen Sungai Petani pada 8 Mac lalu ialah "Tok, apa yang berlaku ada hikmahnya". Itulah pegangan saya sejak dari dulu lagi dan sentiasa diingatkan kepada keluarga, saudara-mara dan rakan taulan.

Malah, rakan saya, Budin dalam blognya - Dunia Budin - pernah menulis mengenai kisah raja dan penasihatnya yang sentiasa mengutarakan "ada hikmahnya tuanku". Itulah bahan yang saya gunakan dalam ceramah di seluruh negara.

Sehubungan itu, Menteri yang digugurkan janganlah kecewa seperti mana nasihat saya kepada calon yang kalah dalam PRU12. Ada hikmahnya. Yakin dan percayalah.

Sesetengah pihak mengatakan perkataan "ada hikmahnya" adalah terapi terbaik untuk meredakan sebarang "ketegangan", "kekecewaan" atau "kejutan perasaan". Saya sentiasa mengamalkannya jika tidak terpilih atau dinaikkan pangkat. Umpamanya, jika tidak lagi bersedia untuk dinaikkan pangkat, maka janganlah kecewa kerana ada hikmahnya. Jika dinaikkan pangkat tetapi belum bersedia dan kemudiannya kita gagal menjalankan tugas, maka ia dilihat sebagai tidak cekap, lemah dan lembik.

Jika digugurkan, maka ada hikmahnya. Mungkin kita sudah terlalu lama atau sudah masanya kita berehat dan bermain dengan cucu. Ataupun mungkin tuhan telah meminta kita menghabiskan masa tua dengan beribadat, bertaubat dan memohon ampun. Bukan bermakna kita jahat sebelum ini tetapi sekadar untuk mendekatkan diri dengan tuhan.

YANG TERLEPAS, YANG MELEPAS

Datuk Mukhriz Dr Mahathir terlepas. Terlepas daripada dikenakan sebarang tindakan oleh Pemuda UMNO akibat perbuatannya meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, meletakkan jawatan kerana keputusan buruk BN dalam PRU12. Keputusan tiada tindakan dibuat dalam EXCO Pemuda UMNO, semalam. Mungkin Pemuda dapat merasai kemarahan "anak-anak muda" di seluruh negara yang disuarakan oleh Mukhriz. Betul ke?

Saudara Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula dikatakan melepas. Melepas daripada dilantik menjadi anggota pentadbiran bapa mentuanya. Ini yang diminta oleh ramai pihak termasuk dalam UMNO. Malah, dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT)baru-baru ini dilaporkan beberapa pemimpin yang meminta Pak Lah memikirkan sedalam-dalamnya sebarang hasrat untuk menyertakan Ahli Parlimen Rembau itu. Melepas tetapi belum terlepas lagi.

Bagi Pak Lah, KJ adalah seorang "budak genius" tetapi ketiadaan nama menantunya sudah pasti mengambilkira pandangan semua pihak. Ini dilihat sebagai satu tindakan bijak untuk tidak mencurah minyak dalam api yang marak. Boleh terbakar lagi?

Ada yang mengaitkan prestasi buruk BN amnya dan UMNO khasnya kali ini ada sedikit sebanyaknya mempunyai kaitan dengan KJ. Apakan tidaknya beberapa kerusi Parlimen yang seharusnya dimenangi oleh BN jatuh ke tangan pembangkang kerana calon parachute yang ada kaitan dengan KJ. Malah ada calon Pemuda yang mengaku sendiri beliau dipilih oleh graduan Oxford itu untuk bertanding. Mengapa bising-bising setelah dibantu oleh KJ. Ini yang tidak betul ni. Apapun, nama KJ sudah buruk atau diburukkan.

Apakah KJ dijadikan kambing hitam? Fikirlah secara masak.

Tuesday, March 18, 2008

KABINET BARU 2008

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi:
- Perdana Menteri
- Menteri Kewangan
- (Tan Sri Nor Mohamed Yakcop - Menteri Kewangan Kedua)

Datuk Seri Najib Tun Razak:
- Timbalan Perdana Menteri
- Menteri Pertahanan
- (Tim Men Pertahanan : Datuk Abu Seman Yusop (Ahli Parlimen Masjid Tanah) )

JPM (Menteri)
- Tan Sri Bernard Dompok
- Datuk Seri Nazri Aziz
- Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi
- Datuk Zaid Ibrahim (Kelantan) - Menstrukturkan Institusi Perundangan
- Datuk Amirsham Abdul Aziz (Senator / CEO Maybank) Mengetuai EPU
-(Tim Men : Datuk Ahmad Husni Hanadzlah, Datuk Kong Cho Ha)

KDN (disatukan)
- Datuk Seri Syed Hamid Albar
- (Tim Men: Datuk Chor Chee Heung, Datuk Wan Ahmad Farid)

Kem Perdagangan Antarabangsa (MITI)
- Tan Sri Muhyiddin Yassin
- (Tim Men: Leow Wei Keong (LDP), Yaakob Dungau Sagan)

Kem Pelajaran
- Datuk Seri Hishamuddin Hussein
- (Tim Men: Dr Wee Ka Siong, Datuk Razali Ismail.

Kem Luar
- Datuk Seri Dr Rais Yatim
- (Tim Men: Datuk Tengku Azlan Abu Bakar)

Kem Perusahaan Komoditi
- Datuk Peter Chin Fah Kui
- Kohilan Pillay (Gerakan)

Kem (Kekkwa - disatukan)
- Datuk Shafie Afdal
- (Tim Men: Teng Boon Soon)

Kem Pengajian Tinggi
- Datuk Seri Khaled Nordin
- (Tim Men : Datuk Idris Haron, Dr Hou Kok Chung)

Kem Pertanian
- Datuk Mustapa Mohamed
- (Tim Men: Datuk Rohani Abdul Karim (Sarawak))

Kem Sains, Teknologi dan Inovasi
- Datuk Dr Maximus Ongkili
- (Tim Men : Fadillah Yusof)
Kem Pelancongan
- Datuk Seri Azalina Othman Said
- (Tim Men : Datuk Seri Sulaiman Abdul Taib (Sarawak) )

Kem WP
- Datuk Seri Zulhasnan Rafique
- (Tim Men: Datuk M Saravanan)

Kem Sumber Asli dan Alam Sekitar
- Datuk Douglas Unggas
- (Tim Men: Datuk Abdul Ghafur Salleh (UMNO Sabah) )

Kem Pengangkutan
- Datuk Ong Tee Kiat
- (Tim Men: Datuk Anifah Aman (UMNO Sabah)

Kem Pembangunan Wanita
- Datuk Dr Ng Yen Yen
- (Tim Men: Noriah Kasnon (mantan Setiausaha Parlimen Kem Penerangan)

Kem Perpaduan Usahawan
- Datuk Noh Omar
- (Tim Men: Datuk Saifuddin Abdullah (bekas pemimpin belia dari Pahang)

Kem Kerjaraya
- Datuk Zain Mohamed
- (Tim Men: Yong Khoon Seng)

Kem Tenaga Air Komunikasi
- Datuk Shahziman Abu Mansor
- (Tim Men: Datuk Joseph Salang Gandum)

Kem Kesihatan
- Datuk Leo Tiong Lai
- (Tim Men: Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad)

Kem Penerangan
- Datuk Ahmad Sabery Chik
- (Tim Men: Tan Lian Hoe (Gerakan)

Kem Sumber Manusia
- Datuk S Subramaniam (MIC)
- (Tim Men : Datuk Noraini Ahmad)

Kem Perdagangan Dalam Negeri
- Datuk Shahrir Abdul Samad
- (Tim Men: )

Kem Kemajuan Luar Bandar
- Senator Tan Sri Muhamad Mohd Taib
- (Tim Men: Datuk Joseph Entulu)

Kem Perumahan dan Kerajaan Tempatan
- Datuk Ong Ka Chuan
- (Tim Men: Robert Lau Hoi Chew, Datuk Hamzah Zainuddin)

Kem Belia dan Sukan
- Datuk Ismail Sabri Yaakob
- (Tim Men: Wee Jack Seng)

(Menteri lama yang menang tetapi tiada dalam Kabinet kali ini - Datuk Seri Rafidah Azid, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, Datuk Azmi Khalid, Datuk Dr Abdullah Mohd Zain dan Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis)

Separuh daripada Kabinet adalah muka baru. Tiada perlantikan Setiausaha Parlimen. Jumlahnya daripada 90 orang dikurangkan kepada 68 orang.

Pengumuman itu dibuat oleh DS Abdullah dalam siaran langsung oleh RTM dan TV3 sebentar tadi.

Selepas PRU 2004, Pak Lah telah menubuhkan 31 kementerian. Bagaimanapun selepas PRU 2008, jumlah itu dikecilkan termasuk menggabungkan beberapa kementerian. Majlis itu dibuat hari ini selepas Pengerusi BN itu mengadakan pembincangan selama seminggu dengan pemimpin parti komponen.

PM UMUM BARISAN KABINET TENGAH HARI

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, akan mengumumkan barisan Menteri Kabinetnya tengah hari ini.

Seperti biasa, pengumuman itu akan disiarkan secara langsung oleh RTM.

Adakah ada sesuatu yang mengejutkan kali ini? Sama-sama kita tunggu.

Yang pasti tiada nama Datuk Seri Ong Ka Ting, Datuk Seri S Samy Vellu, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, Datuk Seri Effendi Norwawi dan Datuk Dr Chua Soi Lek dalam barisan kali ini. Mereka mahu mengundur diri dan Dr Chua sudah pun mengundurkan diri.

Empat menteri yang kalah iaitu Datuk Seri Zainuddin Maidin, Datuk Seri Aziz Shamsuddin, Datuk Seri Sharizat Jalil dan Dtk Samy Vellu.

Barisan Menteri Kabinet sebelum ini.

Friday, March 14, 2008

TIDUR SAMA, MIMPI LAIN-LAIN.

Ramai pihak tidak percaya bahawa DAP dan PAS tidak boleh bekerja sama. Saya pernah menulis perkara itu tetapi dimarahi dan menganggap tulisan berkenaan tidak betul.

Hakikatnya, itulah yang berlaku sejak dulu lagi. Malah ayat "langkah mayat saya dulu jika hendak mendirikan negara Islam" pernah diutarakan oleh Karpal Singh kepada pemimpin PAS yang ingin menubuhkan negara Islam. PAS juga tidak bersetuju dengan DAP apabila meminta upacara agama lain disiarkan di televisyen seperti kerajaan menyiarkan azan lima waktu. Mereka buta sejarah dan semata-mata mahu keadilan.

Mereka boleh tidur bersama tetapi mimpi lain-lain.

DAP mahu berkuasa dengan memainkan sentimen perkauman. Pada PRU12, DAP meminta pengundi Cina menolak BN bagi "melemahkan" bangsa Melayu. Apabila kuasa berada di tangan mereka, mereka boleh buat apa saja termasuk menidakkan kepentingan orang Melayu. Apabila perkara itu dibesar-besarkan, maka pandai pula berdolak-dalik, menuduh media tidak betul dan bersandiwara dengan ayat-ayat seperti "menanam tebu ditepi bibir" dan lain-lain. Poorah. Apa punya perangai buruk ni? Kalau hendak melakukannya, buatlah dan jangan berdolak-dalik. Bangsa Melayu pun tahu apa yang dibuat oleh Gerakan di Pulau Pinang terutama kepada orang Melayu. Inikan pula DAP, sudah pasti lebih "hebat" lagi apa yang akan dilakukan nanti. Salah siapa?

Alasan berdolak-dalik itu kerana sepotong ayat yang dikatakan disalahertikan. Ayatnya ialah ......Dasar Ekonomi Baru yang menyebabkan kronisme dan rasuah.... Apabila media menulis parti itu "menolak DEB" mulalah gelabah dan berkata DAP hanya menolak DEB yang menyebabkan kronisme dan rasuah. Mulalah tekan perkataan "yang", tetapi umum tahu ayat itu membuat tuduhan dan tohmahan kepada DEB dengan menekankan "DEB yang menyebabkan kronisme ...."

Tengok betul-betul siapa yang untung hasil DEB. Jangan kata Melayu saja kerana ini akan membuat kaum lain sakit hati. Tindakan itu bahaya. Semua kaum juga mendapat faedah daripadanya. Yang mungkin boleh dimarahi ialah mereka yang membolot kekayaan, bukan Melayu keseluruhannya terutama mereka yang di kampung-kampung tetapi segelintir broker Melayu yang tamak dan usahawan semua kaum termasuk Cina dan India. Usahawan Cina dan India mempunyai cara dan pendekatan untuk memastikan projek kerajaan itu mereka perolehi walaupun ada DEB. Broker Melayu jadi "pak pacak". Semua orang sudah tahu. Tidak payah tipu. Orang tidaklah sebodoh itu. DAP tidak boleh tipu orang lain kerana orang sudah tahu sikap parti itu.

PAS pula mahu berkuasa dengan memainkan sentimen agama. Dapat kuasa mereka mahu mengamalkan ajaran Islam. Jika betul, oklah tetapi jangan hanya dimulut saja. Dalam pada itu, kehadiran PAS juga boleh mengawasi pemimpin parti kerajaan yang berperangai tidak senonoh yang memalukan bangsa Melayu. Ada yang mahu bolot segala-galanya. Lepas satu, satu lagi. Tidak puas dan mahu menjadi paling kaya di negara ini.

Kawan saya, berniaga secara profesional tetapi tidak dapat projek kerana seorang menteri berkata beliau terpaksa bagi kepada "orang tertentu" dan meminta kawan saya memahaminya. Faham? Memanglah boleh faham tetapi takkanlah sepanjang masa. Bukit pun boleh menjadi padang jarak padang tekukur. Sikap itu yang perlu dibanteraskan sama sekali. Tidak kira apa connection mereka. Adik-beradik. Saudara-mara. Rakan taulan. Bagilah peluang yang sama kepada orang lain. Oleh itu tidak hairanlah kakitangan kerajaan di Putrajaya memberi undi kepada PAS.

Marilah kita berfikir masak-masak.

Thursday, March 13, 2008

YANG KALAH, JANGAN KECEWA



Bagi calon yang kalah pada PRU12, jangan kecewa.

Nama-nama besar dalam politik Malaysia juga pernah kalah satu ketika dulu.

1. Tun Dr Mahathir Mohamad (pada 1969, kalah kepada Haji Yusof Rawa dengan 989 undi)
2. Datuk Seri Hadi Awang
3. Lim Kit Siang
4. Lim Guan Eng
5. Karpal Singh (pada 1999, kalah pada Lee Kah Choon dengan 775 undi)

Mereka bangun, bertanding semula dan menang.

Ada bertanding di kawasan yang sama dan menang. Ada yang berpindah kawasan, baru menang. Kit Siang kecundang di Pulau Pinang di tangan TS Dr Koh Tsu Koon dan melarikan diri ke Ipoh Timur dan menang. Guan Eng membawa diri ke Pulau Pinang dan menang. Kini jadi Ketua Menteri. Siapa sangka.

DS Hadi kalah dengan "giant killer" Datuk Abdul Rahman Bakar pada PRU 2004. Tetapi kali ini menang mengalahkan orang baru, Setiausaha Politik Menteri Besar. Pengguguran Rahman amat malang, Setpol pula kecundang dan DS Hadi bertambah garang.

Mat Sabu kalah dua pilihanraya berturut-turut. Mungkin elok juga bersara. Bagaimana?

ORANG MELAYU AKAN MERASAINYA....



Seorang rakan berbangsa Melayu memberitahu saya bahawa beliau menitiskan airmata melihat Tan Sri Dr Koh Tsu Koon di kaca televisyen, bersalaman menyerahkan "kuasa" kepada Lim Guan Eng, pemimpin DAP.

Kenapa pulak?

Beliau sedih mengenangkan nasib Pulau Pinang. Mengapa pulak? Bukankah, gambar itu menunjukkan seorang Pemimpin Cina menyerahkan kepemimpinan kepada seorang lagi Pemimpin Cina.

Tidak baginya.

Pandangan beliau ialah pemimpin "kerajaan" menyerahkan kuasa kepada pemimpin "pembangkang" yang kini berjaya merampas negeri itu.

Rakan itu risau pelbagai perkara yang akan dibuat oleh DAP terhadap penduduk negeri itu. Kenapa pulak? Bukankah Pulau Pinang ramai penduduk Cina, takkanlah pemimpin DAP akan menindas atau menganiaya kaum mereka sendiri.

Bukan, bukan begitu.

Maksud beliau, pelbagai tindakan DAP untuk memalukan kerajaan sebelum ini terutamanya untuk memalukan Pak Lah. Memalukan Pemimpin UMNO, pemimpin Melayu. DAP kata dasar yang diperkenalkan UMNO menguntungkan orang Melayu, contohnya DEB. MCA dan Gerakan dituduh mereka sebagai budak suruhan UMNO.

Beliau hairan mengapa DAP menang besar.

Bukankah DAP yang mempropagandakan jika memilih calon BN maka memperkuatkan UMNO, atau dalam ertikata lain memperkuatkan Melayu? Jadi pengundi Cina di seluruh negara dan Pulau Pinang khasnya memilih DAP.

Yang tidak sedapnya, kata beliau, bangsa Melayu pun terikut-ikut semata-mata untuk membuat perubahan. Mereka ingin perubahan. Tunggulah perubahan-perubahan itu.

Saya. Termenung seketika.

Wednesday, March 12, 2008

PEMBELOT HARUS DIHUKUM


(Salah satu bilik gerakan di Parlimen Permatang Pauh)

Ketua UMNO Bahagian yang melakukan tindakan ini ketika PRU12 perlu dipecat.

1. Tidak mengagih-agihkan peruntukan parti tetapi menyimpannya kerana ingin digunakan dalam Pemilihan UMNO yang akan bermula tidak lama lagi. Tiada wang, tiadalah orang akan membuat kerja memasang poster, bendera atau sepanduk.
2. Tidak mengagih-agihkan peruntukan ke peti-peti undi kerana tidak terpilih menjadi calon PRU. Oleh kerana tiada bayaran kepada pekerja parti, maka banyak tugas terbengkalai seperti pemasangan poster atau bendera.
3. Hanya menggunakan sebilangan kecil saja peruntukan parti kerana ingin membolot untuk diri sendiri dan kaum kerabat. Upah kecil, sikit saja tugas yang akan dilaksanakan.
4. Oleh kerana tidak terpilih menjadi calon PRU, mereka mengarahkan semua orang kuat mereka menutup semua atau sebahagian bilik gerakan. Tiada bilik gerakan, tiadalah pergerakan. Kalau buka lambat, tiada gunanya.
5. Oleh kerana tidak terpilih menjadi calon PRU, mereka mensabotaj calon luar bagi memastikan calon parachute itu kalah dan tersungkur. Kalau orang parti yang sabotaj, calon luar sudah pasti akan menjadi mangsa.

GOLONGAN YANG GEMBIRA


(Mengabadikan kenangan di Parlimen Sungai Petani)

Empat hari saya memerhatikan gelagat rakyat Malaysia selepas PRU12.

Empat hari saya berbual dengan pelbagai jenis orang termasuk yang menang dan kalah. Penyokong BN atau pembangkang. Yang di depan atau di belakang. Pemimpin dan tukang.

Sepuluh golongan yang gembira atau terpaksa bergembira: (nanti tambah lagi..)

1. Pemimpin yang menang tetapi banyak negeri kalah. (tidak boleh memaksa orang letak jawatan. paksaan tidak baik dan tidak hormat. ahli parti menentukan pemimpin mereka, bukan orang lain. sendiri mahu tahulah....paluan berundur???? )
2. Menang walaupun undi merosot. (berjaya menghadapi tsunami politik)
3. Menang walaupun majoriti kecil. (tetap menang tetapi..k........besar.....satu undi pun menang jugak)
4. Menang dan bersemangat untuk menjadi pembangkang terbaik. (dulu memimpin kerajaan negeri tetapi kini mahu jadi pembangkang terbaik.......poorah, memalukan bagi sesetengah pihak...tapi takpe)
5. Menang kerusi sendiri tetapi...(menganiaya orang lain dengan mengesyorkan mereka pindah kawasan dan kalah. kesian juga yang jadi calon parachute)
6. Menang tetapi negeri tergadai. (pindah senyap-senyap...ada tutup pintu...poorah, buatlah yang terbaik. sendiri buat sendirilah tanggung. orang lain takyah campur)
7. Menang tetapi rakyat di seluruh negara tidak suka. (apa ni? yang ini kena berhenti buat perangai yang tidak senonoh lagi. kalau tidak dibendung ia satu malapetaka kepada bangsa Melayu. poorah)
8. Menang kerana propanganda iaitu memilih BN memperkuatkan orang Melayu, berjaya yang turut memperbodohkan sesetengah pihak. (kini mereka yang terpedaya menyesal dan menangis...tiada gunanya...poorah)
9. Menang kerana tuhan bersama mereka. (tuhan akan memakbulkan semua permintaan hambanya termasuk yang tidak baik. tanyalah ustadz. tahu takpe)
10. Menang kerana publisiti meluas mengenai video klip mereka berjaya mewujudkan tsunami politik. (ramai kata tarikh pilihanraya tidak kena sewaktu orang sudah muak dan meluat dengan isu video klip lingam yang mempopularkan semua orang terbabit termasuk yang ambil gambar. maka, menanglah barisan pelakon yang mengambil bahagian. tunggulah dulu kerana ada 15 bulan lagi...siapa nak jawab....siapa pulak penasihat ni?)

Saturday, March 8, 2008

SELAMAT MENGUNDI MALAYSIA



Bergerak bersama rakan taulan
Berpakaian kemas begitu segak
Memandu, menunggang, berkayuh atau berjalan
Tunaikan tanggungjawab dengan bijak

Berpakaian kemas baju berpesak
Jalan teratur bagaikan pendita
Sentiasa tenang fikir masak-masak
Undilah untuk masa depan kita

Friday, March 7, 2008

JANGAN MAIN MASAK-MASAK, TETAPI.....

Istilah "main masak-masak" yang digunakan oleh kanak-kanak di luar bandar ialah bermain dengan rakan-rakan untuk "memasak" menggunakan segala perkara yang boleh digunakan.

Mereka mungkin menggunakan periuk atau pinggan buruk untuk "memasak" (tidak membabitkan api) dan memetik daun pokok untuk dibuat sayur. Adakalanya mereka juga memasak bahan berwarna seperti lego yang dimasukkan ke dalam kuali atau periuk.

Dewasa ini mungkin "main masak-masak" seumpama itu sudah tiada lagi. Ia digunakan dengan periuk atau pinggan plastik mainan yang banyak dijual di pasaran. Jika hendak murah, pengguna boleh membeli keluaran Cina yang berharga antara RM1.50 hingga RM15.00. Tengoklah poket sendiri.

Semalam Perdana Menteri meminta rakyat memikirkan masak-masak dalam menentukan parti pilihan mereka. Bagi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah tentulah beliau mahu pengundi memilih Barisan Nasional yang diterajuinya.

Oleh itu, fikir "masak-masak" dan jangan "main masak-masak".

Apabila main masak-masak pun janganlah pula membabitkan api, nanti terbakar susah pula dibuatnya.

Selalunya jika kita membuat keputusan ketika marah, keputusan itu akan merugikan kita. Bertenang dan fikirlah masak-masak.

JANGAN MENYESAL JIKA TIDAK UNDI MCA

MCA kata DAP tidak membantu kaum Cina.

Mereka hanya tahu memainkan sentimen perkauman tetapi tidak akan dapat menyelesaikan segala masalah orang Cina.

Orang kuatnya menegaskan masyarakat Cina perlu memikirkan perkara ini agar keputusan teruk MCA pada PRU 1986 tidak berulang yang merugikan masyarakat Cina.

Thursday, March 6, 2008

ORANG CINA DAN INDIA PILIH SIAPA?

Artikel Berita Harian hari ini mengupas mengenai arah tuju pengundi Cina dan India pada PRU 12 ini.

Bagi akhbar itu, arah tuju itu didorong oleh apa yang berlaku sejak dua tiga tahun kebelakangan ini. Ini termasuk isu "kesejahteraan perut" dan kumpulan yang berarak untuk menyatakan mereka dipinggirkan sejak 50 tahun lalu.

Penulis akhbar itu juga mengemukakan persoalan mengenai nasib Datuk Seri S Samy Vellu kali ini.

Timbul atau tenggelam?

Wednesday, March 5, 2008

BEKAS IMAM LAYAK WAKILI RAKYAT

Ada kawan memberitahu saya bahawa imej Calon BN Permatang Pauh, Datuk Pirdaus Ismail, sebagai bekas imam besar Masjid Negara "menakutkan" orang bukan Islam. Alasan mereka ialah takkanlah seorang imam besar menjadi wakil rakyat mereka.

Sebenarnya, itulah usaha yang dilakukan oleh pembangkang di Permatang Pauh untuk memastikan orang bukan Islam tidak memilih Datuk Pirdaus. Orang kuat agama, kata mereka.

Sebenarnya, inilah calon yang terbaik untuk dipilih mewakili penduduk.

Oleh kerana beliau berpendidikan agama dan pernah bertugas dengan kerajaan, sudah tentu beliau akan jujur, ikhlas dan bertanggungjawab kepada pengundi di kawasannya. Sejak menjadi pemimpin UMNO, beliau yang berlatangbelakangkan agama, tidak pernah mengeluarkan "fatwa" seperti yang dilakukan oleh pemimpin Pas.

Datuk Pirdaus ingin membawa perubahan di kawasannya.

JANGAN BALING TELUR, MEMBAZIR

Dr Tan Seng Giaw amat fasih berbahasa Melayu. Kefasihannya itu dengan menggunakan tatabahasa dan nahu yang betul adalah lebih baik daripada sesetengah pemimpin Melayu apatah lagi pemimpin India.

Inilah kelebihan Dr Tan yang kini mempertahankan kerusi Kepong pada PRU12.

Beliau juga sering ditemuramah oleh televisyen untuk mendapat pandangannya berhubung dasar-dasar kerajaan. Dr Tan memberikan hujjah yang bernas dan masuk akal. Malah beliau menganggotai sebuah badan kerajaan yang membabitkan pengauditan.

Namun, ada juga yang tidak suka padanya seperti berlaku baru-baru ini.

Dalam laporan Malaysiakini, Dr Tan dikatakan dibaling dengan telur dan beliau menyatakan tindakan itu dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab yang ditaja oleh parti tertentu.

Tidak payahlah baling telur. Goreng pun sedap. Kasihan beliau.

MAHADZIR KHIR PENTINGKAN PARTI


(Datuk Mahadzir Khir sedang berbual dengan salah seorang penduduk Taman Makmur)


(Petugas Bilik Gerakan BN Taman Makmur menyediakan juadah ringan sementara Calon P15 memperkenalkan diri di bilik gerakan)

Bagi sesetengah pihak yang tidak bertanding atau digugurkan dalam PRU kali ini, mereka sudah pasti kecewa atau "marah-marah" dua tiga hari seperti yang berlaku di Terengganu.

Namun, bagi Datuk Mahadzir Khir, tidak bertanding kali ini adalah satu hikmah kerana baginya apa yang berlaku ditentukan oleh Allah SWT. Tidak kecewa dan kecil hati.

Yang penting bagi Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani ini ialah untuk memastikan Calon P15 Sungai Petani, Datuk Seri Zainuddin Maidin, yang menggantikan beliau dan calon BN yang lain di Parlimen itu menang dengan majoriti yang besar.

Beliau turun padang dan gigih mengiringi DS Zam di mana saja di kawasan Sungai Petani. Dalam mood serius, berseloroh dan memberi nasihat, Datuk Mahadzir mahu pengundi Sungai Petani menyokong semua calon BN sepertimana sokongan yang diberikan kepadanya dua PRU yang lalu.

Inilah contoh pemimpin parti yang baik.

Tuesday, March 4, 2008

PANDANGAN SEORANG IDEALIST

Dr Chandra Muzaffar adalah seorang idealist. Saya yakin ketika beliau menyertai Parti Keadilan Nasional (Keadilan) satu masa lalu, Dr Chandra berpandangan peneraju parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah seorang idealist.

Bagaimanapun beliau sedar DSAI hanya seorang ahli politik seperti sesetengah pemimpin parti lain terutamanya pembangkang. Dr Chandra keluar daripada parti dan menjalankan tugasnya sebagai seorang pemikir dan penceramah.

Semalam beliau menceritakan apa yang terbuku di hatinya mengenai bosnya yang lama.

Saya yakin ini semua untuk kepentingan negara, bangsa dan agama.

JANGAN KETUK TONG SAJA

Kawan saya, Norizan Sharif dalam blognya berpendapat DAP adalah parti pembangkang yang untung besar pada PRU 12. Antara alasannya ialah apa yang ingin dibawa oleh DAP iaitu mencari kesalahan terhadap dasar kerajaan dan mengembar-gemburkan kononnya ia selalunya tidak menguntungkan masyarakat Cina, konsisten sejak dulu lagi berbanding parti pembangkang lain yang berubah-ubah terutamanya Pas.

Bagi saya, DAP selalunya untung besar. Dengan memainkan isu perkauman dan menuduh MCA dan Gerakan budak suruhan UMNO, parti itu berjaya menarik pengundi Cina dan kini DAP menangguk keuntungan daripada tindakan PKR menghentam pemimpin Melayu dan Hindraf yang mempersoalkan kebolehan pemimpin MIC.

Berbanding PAS, bulan DAP sejak dulu lagi turun ke riba dan bukannya PAS yang hanya menang besar di Parlimen pada 1999 apabila Keadilan berjaya memainkan sentimen pemecatan pemimpin UMNO yang kini sudah menentang parti yang menaikkan namanya. Pada masa lain, bulan PAS tidak turun ke riba malah ketuanya kalah di Marang pada 2004.

Inilah politik. Ada orang sangat beruntung, ada orang untung dan ada orang ketuk tong. Tidak payahlah kelentong. Semua orang sudah tahu.

Monday, March 3, 2008

BERI PERHATIAN KEPADA PENGUNDI

Calon Parlimen Nibong Tebal, Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman kata "macam ada tiga isteri" dalam berita Berita Harian hari ini.

Macam takpe, jangan betul-betul ada tiga atau empat isteri. Pasti akan menyukarkan seorang wakil rakyat untuk bergerak dan berkhidmat apatah lagi mendapat isteri yang mempunyai 1001 macam permintaan. Macam-macam diminta oleh mereka. Gerenti pening kepala dibuatnya. Melainkan, si suami seorang yang telinga tebal.

Apabila menang pilihanraya nanti, tumpukan perhatian kepada satu isteri saja dan pengundi yang budiman. Yang lebih baik ialah memberi lebih tumpuan kepada pengundi yang telah memilih mereka dan bukannya terlalu mengikut arahan isteri terutama yang membabitkan peruntukan, projek dan politik. Wakil rakyat milik penduduk juga.

Si isteri, tidak payahlah masuk campur. Itu lebih baik dan selamat. Orangpun tidak mengata kita.

SHAHRIZAT YAKIN MENANG

Datuk Shahrizat Jalil antara pemimpin Melayu dalam Kabinet Pak Lah yang berlatarbelakang undang-undang selain Datuk Seri Syed Hamid Albar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Datuk Seri Azalina Othman Said.

Tidak hairanlah selain berusaha memberikan pelbagai bantuan kepada pengundinya di Lembah Pantai terutama ketika banjir dan ditimpa malapetaka, beliau berusaha memperkemaskan segala perundangan membabitkan wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya. Beliau turun padang dan memberikan sokongan kepada pihak berkuasa mencari kanak-kanak yang hilang dengan mengadakan sidang akhbar bersama.

Walaupun, usaha mencari itu gagal menemui kanak-kanak berkenaan, hakikatnya ia memberi kesedaran kepada ibu-bapa di seluruh negara untuk menjaga anak-anak mereka dengan selamat. Kini, ibu-bapa menyedari menghantar anak mereka membeli barang-barang di pasar malam atau pasar mini berseorangan adalah langkah yang silap. Sikap malas, mengundang nahas. Sikap tidak endah, membawa padah.

Datuk Shahrizat juga sentiasa meminta majikan menyediakan tempat bekerja yang baik untuk golongan wanita selain menggalakkan penyediaan ruang untuk kanak-kanak di tempat bekerja ibu agar mudah mereka bekerja membantu keluarga. Beliau juga menggalakkan golongan wanita untuk sentiasa menjaga kesihatan demi keluarga dan membuat pemeriksaan awal terhadap pelbagai kemungkinan serangan penyakit seperti barah payu dara dan hepatitis B.

Dalam laporan Malaysiakini, Datuk Shahrizat yang berhadapan dengan Nurul Izzah Anwar di Parlimen Lembah Pantai, yakin pengundi akan terus memberi sokongan kepadanya dalam PRU12 ini. Keyakinan itu, sudah pasti berdasarkan kegigihannya untuk sentiasa memperjuangkan nasib wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya di negara ini.

JELITA MAC 2008



ANDA bercadang mengerjakan umrah pada musim cuti sekolah Mei ini? Ayuh ikuti program umrah bersama Jelita di bawah bimbingan Ustazah Siti Nor Bahyah dari 26 Mei hingga 6 Jun 2008. Selain mengerjakan ibadat, anda juga berpeluang mengemukakan pelbagai persoalan dan kemusykilan kepadanya di Tanah Suci kelak. Dapatkan keterangan lanjut mengenai program itu menerusi majalah Jelita keluaran Mac.

Sunday, March 2, 2008

TOLONG SAYA SATU MINIT


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, meminta rakyat negeri itu menolongnya satu minit demi untuk kepentingan mereka dan generasi akan datang.

Ikuti rencana Berita Harian mengenai permintaan Dr Khir itu.

Saturday, March 1, 2008

ANJUNG SERI MAC 2008



Rumah Selebriti memaparkan bilik tidur penyanyi Dafi atau Gadaffi Ismail Sabri yang diubah suai oleh ibunya kerana bersimpati melihat Dafi tidur di dalam bilik yang sarat dengan pemberian peminat.

Sentuhan Peribadi membawa kisah tiga pemilik rumah iaitu Jasny Othman yang membentuk kolam ikan di tepi tangga di dalam rumah; Nor Cahaya Budin yang kemaruk menghias dan kediaman mewah Jenny Ting.

Fakta Rujukan mendedahkan 15 rumah termewah di dunia. Ketahui 13 pantang larang di ruang makan, panduan mewujudkan pejabat di dalam rumah dan sertai kuiz mengenai bahan kemasan bilik air menerusi Sanggar. Turut dimuatkan gaya hiasan sesuai dengan zodiak Pieces dan cara membina taman balkoni.

MASJID - DESTINASI PELANCONGAN

DS Hadi Awang menyifatkan tindakan membina masjid untuk tujuan pelancongan seperti dilakukan oleh Kerajaan Terengganu adalah haram. Beliau tidak mahu memahami objektif pembinaan itu untuk membolehkan penduduk dan pelancong bersolat di situ.

Tolonglah baca artikel Berita Harian hari ini agar kita boleh berfikir mengenai fatwa politik pemimpin Pas itu.

SUNGAI PETANI ADA REGU TERBAIK

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahadzir Khalid, yakin Parlimen Sungai Petani akan berkembang maju apabila penduduk kawasan ini terus memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada 8 Mac ini.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Memperkenalkan Calon di Kawasan Parlimen Sungai Petani di Dewan Orang Ramai Tikam Batu, malam tadi.

Empat calon Parlimen dan DUN BN hadir di majlis itu.

Mereka ialah Calon P15 Sungai Petani, Datuk Seri Zainuddin Maidin; Calon N27 Pantai Merdeka, Dato' Dr Shuib Saedin; Calon N28 Bakar Arang, Dato' Soon Kok Hwa dan Calon N29 Sidam, Dato' Fong Chok Gin.



Bagi DS Zainuddin, Sungai Petani adalah satu kawasan yang berpotensi untuk dimajukan sebagai kawasan perindustrian utama di Kedah dan Malaysia. Ia juga sesuai untuk dibangunkan sebagai pusat pengeluar modal insan kelas pertama berdasarkan latarbelakang penduduk di sini.

Sebagai “mini Malaysia”, Sungai Petani yang mempunyai penduduk pelbagai kaum yang jumlahnya melambangkan nisbah sekata seperti negara ini, adalah kawasan Parlimen terbaik untuk dimajukan bagi dijadikan contoh kepada rakyat Malaysia.

Menurutnya, beliau amat bertuah kerana sebagai Calon BN P15 Sungai Petani, beliau mendapat regu terbaik kerana Calon DUN Barisan Nasional di kawasan Parlimen ini adalah pemimpin yang telah menunjukkan kewibawaan dan kepemimpinan terbaik.

Beliau yakin pengundi di Sungai Petani akan memilihnya di P15 Sungai Petani, Calon BN N27, Dato’ Dr Shuib ; Calon BN N28 Bakar Arang, Dato’ Soon dan Calon BN N29, Dato’ Fong pada 8 Mac ini.

DS Zainuddin berkata, gandingan semua Calon BN yang berwibawa dan berkaliber ini berikrar untuk memajukan kawasan Parlimen Sungai Petani agar menjadi kawasan pembangunan modal insan dan perindustrian terbaik di Kedah dan Malaysia.

Impian ini, kata beliau, boleh dilaksanakan.

Menurutnya, kejayaan Sungai Petani juga bergantung kepada kerjasama semua penduduk daripada pelbagai kaum agar mereka dapat membina satu pasukan mantap untuk meneruskan kecemerlangan pembangunan BN dalam tempoh lima tahun akan datang.

DS Zainuddin meminta pengundi Sungai Petani mengundi Calon Barisan Nasional pada 8 Mac ini.

...lagi gambar di Akhbar Cyber .