Friday, August 31, 2012

SAMBUTAN MERDEKA55 2012

KUALA LUMPUR : Selamat menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan ke 55 Malaysia. Semoga negara ini terus berdaulat, bermaruah, merdeka dan aman makmur. Marilah kita bersama-sama berjanji untuk memastikan Malaysia sentiasa sejahtera dan tidak dimusnahkan oleh petualang dan pengkhianat negara. Negara sejahtera, rakyat bahagia.

Wednesday, August 29, 2012

BUKAN SAUDAGAR JANJI

Oleh Ibrahim Yahaya
(datuktiger@yahoo.com)

Suasana bagaimana yang membolehkan sesebuah negara itu menyambut kemerdekaan? Jawapannya mudah - apabila negara itu stabil dan aman. Tiada perang saudara, tiada persengketaan, tiada rusuhan kaum dan tiada demonstrasi jalanan yang menghancurkan negara.

Oleh kerana Malaysia aman dan makmur, sekali lagi tahun ini kita menyambut  Kemerdekaan Negara Ke-55 dalam suasana harmoni. Perpaduan dan keamanan yang wujud bukan datang dengan sendirinya tetapi dipupuk dan dibajai sejak merdeka.

Sejak dua bulan lalu pelbagai persiapan dilaksanakan oleh kerajaan terutamanya Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) sebagai penganjur bersama. Rakyat turut bersama memeriahkan sambutan hari kemerdekaan dengan memasang bendera di rumah, pejabat dan kenderaan.

Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Ke-55 pada tahun ini menandakan genap 55 tahun kerajaan di bawah kepemimpinan Barisan Nasional (BN) sehingga mencapai tahap amat membanggakan pada hari ini. Tiada siapa yang boleh menafikannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam ucapannya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PM di Pekan, Pahang Ahad lalu meminta rakyat tidak membuat ‘perubahan’ yang belum pasti menjamin kemakmuran dan kesejahteraan mereka.

Menurutnya, bukan semua perubahan membawa kepada sesuatu yang baik dan rakyat tidak harus meletakkan kepercayaan kepada pihak yang menonjolkan diri mereka sebagai pilihan alternatif yang lebih baik. Apatah lagi, munculnya saudagar janji.

Sebaliknya, kata beliau, mengekalkan kepercayaan kepada BN yang selama 55 tahun terbukti memimpin negara dengan membawa begitu banyak kemajuan adalah tindakan yang terbaik bagai memastikan untung nasib rakyat terus terbela.

Untuk itu, rakyat sendiri perlu tepuk dada, tanya diri mereka dan tidak terpengaruh dengan tohmahan pembangkang yang menidakkan perjuangan murni kerajaan selama ini sebaliknya mereka gemar memainkan isu remeh-temeh yang tidak berfaedah.

Bagi Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, Malaysia berjaya mencapai kemerdekaan hasil kesepakatan rakyat dan  pemimpin daripada pelbagai latar belakang. Sepakat membawa berkat.

Kemerdekaan, katanya, adalah suatu anugerah yang tidak ternilai harganya kepada penduduk Malaysia. Namun begitu, kemerdekaan ini, bukanlah sesuatu jaminan bahawa ia akan terus dinikmati oleh generasi akan datang.

“Kemerdekaan ini hanya akan terus dinikmati seandainya wujud ikatan perpaduan yang kental di antara rakyat berbilang kaum seperti sedia terjalin dan akan terus kekal menjadi pegangan semua rakyat Malaysia.

“Sejarah membuktikan dalam tempoh 55 tahun lamanya, kita sama-sama berjaya mengekalkan perpaduan melalui komitmen seluruh rakyat Malaysia secara berterusan.

“Kita perlu sedar bahawa tanpa sikap toleransi pemimpin terdahulu, tidak mungkin kita berada di tahap ini dan dapat menikmati pembangunan serta kemewahan sekarang. Saya yakin dan pasti,  Wawasan 2020 bukan lagi satu visi yang ingin dicapai tetapi ia mesti direalisasikan bagi membawa rakyat ke mercu kejayaan.” katanya sempena Merdeka 55 tahun ini,” katanya sempena Merdeka 55.

Selaras tema 55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati bagi Sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini, Dr Rais mahu agar seluruh rakyat Malaysia membulatkan tekad dan terus komited dalam merencanakan agenda negara ke arah pencapaian status negara maju menjelang tahun 2020.
Menurutnya, kita tidak boleh cepat berpuas hati dengan kejayaan yang  dicapai, bahkan perlu terus berganding bahu memacu negara ke puncak jaya. Di bawah teraju kepemimpinan Perdana Menteri,  Malaysia kian kukuh dan utuh di mata dunia.

Dr Rais berkata, pelbagai kejayaan dicapai dan hasilnya sudah dinikmati rakyat. Pelbagai bantuan serta insentif disalurkan untuk manfaat rakyat keseluruhannya tanpa mengira kaum, latar belakang dan pendirian politik.

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA), Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) serta pelbagai sajian khidmat lain adalah antara bukti betapa kerajaan berjaya mentadbir urus kepentingan negara dengan baik sehingga dapat melaksanakan pelbagai program kebajikan yang membela nasib rakyat khususnya yang berpendapatan rendah.

KPKK sendiri melaksanakan Komuniti 1Malaysia yang bertujuan untuk membantu memperbaiki kehidupan rakyat di seluruh negara di samping mewujudkan pasukan sukarelawan yang bersedia untuk berkhidmat sepanjang masa.

Dr Rais yang juga pengerusi penganjur Merdeka 55 berkata, kejayaan tidak mungkin dapat dicapai tanpa pembabitan semua rakyat  di negara ini. Bersatu teguh, berpecah roboh seperti satu ikatan lidi yang membentuk penyapu yang kuat dan bermakna.

“Perpaduan yang wujud mesti terus dipupuk dan dibajai. Tanggungjawab ini harus dipikul bersama oleh rakyat tanpa mengira kaum, agama, bangsa, umur serta latar belakang pendidikan, agar perpaduan yang  terjalin tetap terpelihara.

“Rakyat negara ini harus ingat negara ini bukanlah milik mutlak generasi kini tetapi harus kita pertahankan untuk diwariskan kepada generasi akan datang. Kita tidak mahu masa depan negara dipertaruhkan hanya kerana sikap pentingkan diri sendiri dan sikap sambil lewa. Kita mahu terus mengukir sejarah dan membangunkan negara ini mengikut acuan sendiri. “ katanya.

Dr Rais mengajak rakyat daripada semua peringkat untuk bersama memeriahkan Merdeka 55 di Dataran Merdeka pada sebelah pagi dan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada sebelah malam 31 Ogos ini. Pelbagai acara dan persembahan akan diadakan termasuk tweet merdeka oleh Perdana Menteri dan rakyat di Bukit Jalil.

Beliau mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh ahli Jawatankuasa Induk Kebangsaan Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 2012, atas komitmen berterusan bagi memastikan semua acara yang dirancang sepanjang sambutan hari kemerdekaan ini dapat berlangsung dengan jayanya. 

(Artikel ini disiarkan oleh Berita Harian hari ini)

Tuesday, August 28, 2012

BENTUK JIWA MERDEKA


MEMBENTUK jiwa merdeka dengan semangat Malaysia adalah tugas semua pihak. Jika di sekolah ia menjadi tugas guru, manakala apabila seseorang itu keluar dari bangku sekolah, dia seharusnya membentuk dirinya berjiwa merdeka dengan semangat Malaysia.

Adalah menjadi tugas pemimpin masyarakat, badan-badan bukan kerajaan dan juga pemimpin politik untuk mewujudkan rakyat berjiwa merdeka dengan semangat Malaysia. Isu politik tidak seharusnya memecahbelahkan masyarakat dengan pandangan dan pendapat yang boleh membawa pelbagai kontroversi.

Tugas pemimpin adalah menyampaikan amanat ke arah kebenaran. Islam mahukan sebagai pemimpin mukmin bukanlah pengumpat dan yang suka mengutuk, yang keji dan ucapannya kotor. Sebagai pengikut, seseorang itu tidak seharusnya mengangkat orang yang bercita-cita akan kedudukan.
...
Sila dapatkan naskhah Utusan Malaysia hari ini.

Thursday, August 23, 2012

MOKHZANI - WINNABLE CANDIDATE?

Oleh Mummy Rokiah


Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah mengingatkan rakyat negeri Kedah supaya jangan mengulangi kesilapan dalam memilih kerajaan pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.
Kononnya kesilapan yang dilakukan pada PRU 2008 perlu ditebus bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara.
Persoalannya siapakah yang membuat kesilapan, rakyat Kedah kah atau kepimpinan BN/UMNO Kedah pada ketika itu? Mustahil rakyat yang membuat kesilapan. Yang sebenarnya rakyat ingin menghukum BN/UMNO Kedah yang ketika itu kerana mereka tidak berjiwa rakyat dan rakyat sudah ‘fed up’ dengan kerakusan kuasa dan harta barisan kepimpinan Kedah dan mereka ingin mengajar BN/UMNO yang sedikit kurang belajar.
Realitinya sehingga ke hari ini suhu sokongan rakyat kepada BN/UMNO Kedah masih terkapai-kapai dan masih memerlukan mesin bantuan hayat. Masih teraba-raba mencari calon-calon ‘winnable’.
Pendekatan soft power Ustaz Azizan dilihat sebagai ‘rakyat friendly’ malah Ustaz Azizan sanggup tidak tunduk kepada golongan radikal dalam partinya sendiri seperti Mahfuz Omar yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Kedah Sato Sdn Bhd GLC Kerajaan Kedah kerana tidak sebulu dengan Ustaz Azizan.
Ustaz Azizan juga tidak merongkah struktur operating procedure tinggalan Kerajaan BN/UMNO Kedah malah masih menyimpan rapi peti-peti rahsia yang berisi ulat MB Kedah yang sebelumnya.
Mokhzani berkopiah lebai mendekati rakyat di Merbok
Terkini, perkembangan politik Kedah yang menarik sepanjang bulan Ramadan ini yang mendapat perhatian sejuk ialah anak Tun Mahathir. Ramai rakyat Kedah menarik nafas lega apabila Mukhriz disebut-sebut akan menjadi MB Kedah kalau BN/UMNO Kedah kembali menguasai Kedah tetapi tidak ramai yang melihat seorang lagi tokoh anak Tun Mahathir yang tidak kurang pengaruhnya iaitu Datuk Mokhzani.
Beliau dilihat sebagai winnable candidate khasnya kawasan Parlimen Merbok. Kawasan tersebut yang pernah diwakili Tun Daim Zainudin dan Tan Sri Zainudin Maidin adalah kawasan yang berkembang pesat memerlukan tokoh nasional seperti Mokhzani. Menurut sumber beliau bukannya asing di kawasan tersebut malah pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Merbok, Bendahari UMNO Negeri dan begitu kerap turun ke kawasan tersebut sejak 1999 lagi tanpa publisiti murahan. Cuma tangga politik beliau seringkali dicantas kepimpinan UMNO kawasan tersebut.
Kerapkali apabila diajukan soalan kepada beliau, bagaimana jika beliau menjadi calun dalam PRU13 yang akan datang jawapannya adalah beliau tidak bercita-cita untuk menjadi wakil rakyat dan hanya memberi sokongan kepada parti. Realitinya inilah calun yang harus diberi pertimbangan yang tidak gila kuasa.
Dalam sebuah majlis di kawasan beliau baru-baru ini wajah beliau berubah sama-sekali dengan memakai kopiah putih mendekati rakyat akar umbi. Mokhzani adalah calun yang harus diberi perhatian.

Tuesday, August 21, 2012

RUMAH TERBUKA SERI PERDANA



1. Rakyat sanggup beratur panjang untuk masuk ke Seri Perdana bersalaman dengan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.
2. Ada antara mereka menjadi amalan setiap tahun untuk mengunjungi Seri Perdana bersama keluarga dan sanak-saudara.
3. PM, TPM dan Dasury di pentas orang ramai untuk majlis memotong kek dan menyanyikan pelbagai lagu patriotik termasuk Jalur Gemilang dan 1Malaysia.

Monday, August 20, 2012

SELAMAT HARI RAYA

Oleh Ibrahim Yahaya

PUTRAJAYA : Bilangan pengunjung yang melawat rumah terbuka bersama PM dan Jemaah Menteri di Seri Perdana amat ramai dan mereka gembira dengan pelbagai kegiatan yang disediakan oleh JPM dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelancong asing mengambil kesempatan  rumah terbuka yang diadakan setahun sekali untuk bersalaman dengan PM dan isteri serta Jemaah Menteri yang mengambil giliran bertugas sepanjang hari.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Dr Rais Yatim yang bertugas sejak pagi hingga petang menyifatkan bilangan pengunjung yang ramai adalah manifestasi sokongan rakyat terhadap kepemimpinan di samping mempereratkan hubungan kaum.

Beliau yakin majlis seumpama ini membolehkan rakyat Malaysia mengenal antara satu sama lain di samping memahami budaya rakyat di negara ini. Mereka berpeluang untuk berbual mesra di samping mengikuti persembahan yang diadakan sempena majlis itu.

(Penulis mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin kepada sanak-saudara, rakan taulan dan peminat blog DUNIATIGER ini. Semoga amalan kita diberkati Allah SWT).

Wednesday, August 15, 2012

PENERBIT DAPAT DUIT RAYA

Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR :  Sembilan penerbit filem tempatan hari ini menerima rebat duti hiburan berjumlah RM7.2 juta manakala 6 orang mendapat insentif tayangan filem cereka berjumlah RM2.5 juta daripada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Dr Rais Yatim.

Dalam majlis anjuran Finas itu seramai 15 persatuan perfileman tempatan menerima sumbangan duit raya

Senarai Syarikat/Penerbit Menerima Duti Hiburan Filem Tempatan 2010 dan 2011 berjumlah RM7,205,616.90
  1. Tayangan Unggul Sdn Bhd                      RM751,651.00
  2. Astro Shaw Sdn. Bhd.                            RM580,209.55
  3. Primeworks Studios Sdn. Bhd.                RM1,479,264.30
  4. Skop Production Sdn. Bhd.                     RM2,726,278.22
  5. KRU Studios Sdn. Bhd.                          RM161,972.05
  6. SDAF Pictures Sdn. Bhd.                        RM28,957.00 
  7. Lineclear Motion Pictures Sdn. Bhd.        RM41,894.90
  8. Woohoo Pictures Sdn. Bhd.                    RM1,264,164.65
  9. White Merpati Entertainment Sdn. Bhd.   RM171,225.23
Senarai Syarikat/Penerbit menerima Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) 2011 berjumlah RM2,594,491.44
  1. Metrowealth Pictures Sdn. Bhd.
  2. Excellent Pictures Sdn. Bhd.
  3. Empat Semudra Plantation Sdn. Bhd.
  4. De Baron Sdn. Bhd.
  5. outLOUD Studios Sdn. Bhd.
  6. Cinematic Pictures Sdn. Bhd.

Tuesday, August 14, 2012

BAHASA ALAHAI BAHASAKU

Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR : Jika anda pernah mendengar ungkapan bahawa 'budaya orang Melayu tidak akan berubah sehingga kiamat' sebelum ini, eloklah diperhatikan semula sekarang setidak-tidaknya mengenai bahasa. Apabila ombak menghempas di pantai, maka banyaklah perubahan akan berlaku.

Kebelakangan ini boleh dibilang dengan jari pemimpin yang benar-benar memperjuangkan bahasa Melayu di negara ini. Tolong beritahu siapakah pemimpin yang anda tahu memperjuangkan bahasa? Setidak-tidaknya pemimpin itu sentiasa mengingatkan kita bahawa pentingnya untuk mempertahankan bahasa Melayu.

Jika dicongak keliling, sudah tentulah ramai yang bersetuju bahawa Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Dr Rais Yatim adalah pemimpin yang sentiasa mengingatkan rakyat negara ini mengenai kepentingan untuk menegakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sebagai pencinta bahasa, beliau bukan saja menegur kealpaan dalam menjaga bahasa tetapi juga mengarahkan agensi di bawah KPKK untuk terus melaksanakan program bahasa bagi memastikan Bahasa Melayu terus dipertahankan sebagai bahasa ilmu dalam setiap bidang.

Untuk itu, pelbagai program sudah, sedang dan akan dirancang untuk memastikan penyertaan semua kaum dalam program pembudayaan bahasa yang bermatlamat untuk menjadikannya sebagai bahasa berwibawa dalam membentuk tamadun yang cemerlang.

Terbaru ialah Panggung Bahasa yang akan dilancarkan tidak lama lagi membabitkan penyertaan kebanyakan agensi di bawah KPKK seperti JKKN, RTM, Perpustakaan Negara, Jabatan Warisan, Istana Budaya dan ASWARA. Ia satu pencernaan kesungguhan Dr Rais untuk memastikan bahasa itu terus dinaikkan martabatnya.

Kita tunggu perlaksanaan Panggung Bahasa selain meneliti program yang berjalan seperti Pidato Kenegaraan dan  Sketsa Rukun Negara oleh Jabatan Penerangan dan agensi yang lain.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia teruslah memastikan bahasa kebangsaan tidak dirojakkan dalam pertuturan di samping menggunakan bahasa Inggeris dalam ungkapan yang sepatutnya digantikan dengan bahasa Melayu.

Pembuat iklan juga perlu memastikan bahawa mereka menggunakan bahasa Melayu yang baik dan bukan mencampuradukkan dengan perkataan Bahasa Inggeris yang bukan-bukan.








Sunday, August 12, 2012

HULURLAH DUIT DEMI NEGARA

Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR : Sebelum mana-mana pihak tersinggung, penulis mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbangkan wang ringgit untuk majlis sambutan kemerdekaan di Dataran Merdeka dan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ini penting kerana tulisan ini bertujuan untuk menegur pihak yang liat untuk mengeluarkan duit walaupun dihantar beberapa surat meminta mereka memberi sumbangan.

Malah surat yang dihantar  pula daripada pemimpin tertinggi negara yang mahu mereka bersama-sama menyambut kemerdekaan ini bersama dengan rakyat dan kerajaan.

Tanpa kemerdekaan, Malaysia tidak akan maju dan sudah tentulah tiada peluang melakukan perniagaan. Bagaimanapun, dengan kepemimpinan kerajaan yang baik membolehkan suasana politik, sosial dan ekonomi berjalan baik dan mewujudkan iklim perniagaan yang cemerlang.

Ini membolehkan syarikat-syarikat yang berniaga di negara ini mendapat keuntungan terutama syarikat telekomunikasi yang melihat pertumbuhan baik dari tahun ke tahun.

Oleh itu, apabila kerajaan memohon mereka memberi bantuan diperlukan untuk menjayakan sambutan kemerdekaan menerusi sumbangan kewangan atau benda, mereka seharusnya terbuka hati untuk segera berbuat demikian tanpa menunggu di saat-saat akhir apatah lagi bersikap 'tunggu dan lihat'.

Tindakan tidak endah ini sudah tentu tidak sihat jika melihatkan kepada keuntungan yang mereka perolehi kerana kerajaan berjaya mewujudkan iklim perniagaan yang baik.

Lebih malang jika syarikat yang dikuasai oleh kerajaan (GLC) bersikap degil dan tidak mempedulikan arahan. Mereka bersikap kedekut dan selalu menyatakan bahawa ini duit pemegang saham yang perlu dipertahankan. Bukan banyak tetapi sumbangan yang berpatutan, sepertimana peruntukan yang mereka tetapkan bagi program kebajikan atau CSR.

Sudah sampai masanya kerajaan meneliti semula siapa yang menerajui GLC ini untuk memastikan mereka mengikut segala permintaan kerajaan terutama yang membabitkan kerjasama untuk menjayakan program kerajaan dan rakyat.


Friday, August 10, 2012

LOGO APA PULAK NI?



Seorang blogger mendakwa logo hari kemerdekaan pembangkang ada unsur-unsur elemen Kristian. Betul ke? Malas nak ceritalah, bacalah blog Helen Ang di alamat ini - http://helenang.wordpress.com/.
....

Thursday, August 9, 2012

TANDA PUTERA MILIK FINAS

Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR : Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa filem Tanda Putera, yang banyak diperkatakan kebelakangan ini adalah milik FINAS dan bukannya DP Shuhaimi Baba. Ini kerana FINAS yang mengeluarkan modal bagi membolehkan SUMI menyiapkan filem itu.

Oleh itu, jika FINAS mengambil keputusan untuk menayangkan filem itu lewat daripada tarikh yang ditetapkan sudah tentulah tiada siapa yang boleh mempertikaikan tindakan itu. Yang penting, FINAS mempunyai sebab tertentu yang menyebabkan mereka menangguhkan penayangan filem itu.

Seperti yang disebut oleh KP FINAS, Naguib Razak, tindakan menangguhkan tayangan itu bagi membolehkan FINAS merangka strategi pemasaran yang terbaik bagi memastikan filem itu mendapat sambutan daripada masyarakat.

Sudah tentu strategi pemasaran itu perlu memandangkan filem HATI MALAYA yang kebetulan diarahkan oleh SUMI tidak mendapat sambutan sebelum ini. Sudah tentulah FINAS tidak mahu pisang berbuah dua kali dan jika berlaku ia memberi kesan kepada nama baik FINAS.

Sehubungan itu, eloklah kita berfikiran rasional dengan keputusan FINAS itu dan tidak mengembar-gemburkan keadaan sehingga boleh menimbulkan kontroversi yang berpanjangan.

Jangan membuat spekulasi atau tuduhan berdasarkan 'dengar-dengar' tetapi bersangka baik apa yang dilakukan oleh FINAS demi kepentingan industri filem di negara ini.

Sunday, August 5, 2012

Saturday, August 4, 2012

PRETYY BETTY MAKIN CANTIK

CANTIK MENARIK....pasti suaminya akan suka. Cuma nak tanya, siapa perunding kecantikan Betty? Sekadar bertanya.

KENYATAAN DSU DR RAIS YATIM

KENYATAAN MEDIA MENTERI PENERANGAN KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN, DATO' SERI UTAMA DR RAIS YATIM.

'Tema 55 Tahun Merdeka Janji Ditepati adalah keputusan Jemaah Menteri.

Yang dimainkan Malay Mail itu merupakan gara-gara politik bangkangan yang tidak senang dengan pencapaian dan kejayaan kerajaan setakat ini.

KPKK teguh dengan tema itu dan tidak akan berganjak. Kami di kementerian bertanggungjawab menterjemahkan kejayaan negara 55 tahun kebelakangan ini lantas menjiwainya dengan isian setimpal.


Pembangkang dan sekutunya memang rasa terhimpit dengan tema ini kerana mereka kini ketara sangat tidak ada rekod pencapaian.

Janji kerajaan kepada rakyat terisi sudah. Di musim ulang tahun merdekalah perihal ini perlu dihayati dan dirayakan.

Jasa perjuangan lampau juga wajar diingati. selamat menyambut #merdeka55. MERDEKA!!"

Thursday, August 2, 2012

PENYAMUN JANJI ROMPAK RAKYAT

Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR : Tidak kira siapa yang memilih tema Hari Kemerdekaan ke 55 tahun iaitu JANJI DITEPATI, sama ada DS Najib Razak atau secara konsensus iaitu Kabinet, hakikatnya tema itu kini menghantui pemimpin pembangkang, setidak-tidaknya dari DAP.

Seperti dirasuk hantu, pemimpin pembangkang terjerit-jerit dalam ceramah mereka di sana sini untuk menentang penggunaan tema Merdeka55 itu.

Pelbagai alasan diberikan termasuklah ia tema UMNO atau BN. Mereka mendakwa ia satu tema politik dan tidak sesuai untuk menyambut kemerdekaan. Malah mereka memperkenalkan tema sendiri untuk Merdeka55. Bagi pembangkang, mereka sajalah yang betul.

Seperti dirasuk jembalang, pembangkang kelihatan amat takut dan gementar dengan perkataan Janji Ditepati kerana jika mereka menyokongnya ia satu manifestasi penerimaan mereka terhadap apa yang sudah dilakukan oleh kerajaan. Bagi mereka, jika disokong ia satu malapetaka kepada politik mereka.

Apa pilihannya? Maka difatwakan oleh pemimpin tertinggi mereka untuk menentang habis-habisan penggunaan tema ini. Bagi mereka, ia boleh melunturkan segala tohmahan yang dicipta mereka bahawa kerajaan tidak membela rakyat. Tema ini perlu ditentang habis-habisan dan segeralah mencari seramai mungkin penyokong tegar untuk menentangnya.

Maka digunakanlah segala askar upahan termasuk dalam Majlis Peguam untuk menggunakan medium media sosial mempertikaikan tema itu. Memperkecilkannya dan mengajak masyarakat menyifatkan  tema itu sebagai tema UMNO dan BN, bukan kerajaan.

Tumpuan pembangkang ialah untuk melabelkan tema itu sebagai tema politik sedangkan mereka tahu ia adalah hamparan sebenarnya apa yang dilakukan oleh kerajaan.

Segala tindakan mereka bermatlamat untuk memastikan tema itu tidak digunakan dan disisihkan.

Kerajaan tetap menyatakan tema itu tidak mempunyai sebarang konotasi politik sebaliknya memaparkan bahawa apa yang dijanjikan sejak merdeka sudah dilaksanakan. Mudah dan tepat terhadap perjuangan kerajaan selama ini. Bukan niat untuk menipu.

Ini sudah tentu menjadi tamparan hebat kepada pembangkang yang selalu dilabelkan oleh PM sebagai saudagar janji. Sebagai saudagar mereka menjaja perniagaan janji yang adakala dibeli oleh rakyat terutama mereka yang terkeliru atau taksub kepada pemimpin pembangkang.

Cuba kira berapa banyak janji pembangkang yang sudah dilontarkan daripada penghapusan cukai tertentu, PTPN sehinggalah yang terbaru mengenai harga kereta. Pasti berbilion ringgit.

Bagi sesetengah pihak perkataan saudagar janji yang digunakan itu terlalu lembut sebaliknya perkataan yang lebih keras perlu diberikan kepada pemimpin yang suka menabur janji iaitu Penyamun Janji.

Mereka merompak minda rakyat. Adalah dibimbangkan rakyat muflis untuk berfikir. Minta dijauhkan.




Wednesday, August 1, 2012

UITM BENTENG TERAKHIR MELAYU


UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UITM) kini tidak seperti ITM dulu. Mahasiswanya kini tidak seperti dulu. Kini mereka mendapat PTPTN, dulu tiada. Pelajar miskin dulu rata-rata akan menderu ke Dewan Makan untuk menikmati juadah makan tengah hari, makan malam atau sarapan yang tidak seberapa, dengan lazatnya.

Kami semua bersyukur ketika itu. Amat-amat bersyukur, kerana wang di poket ada kalanya terputus. Makan tengah hari pada hari Jumaat ditunggu-tunggu kerana ia merupakan hidangan istimewa: nasi beriani dengan ayam masak merah. Hari-hari biasa selalunya ikan cencaru keras yang disebut dengan panggilan ikan jaket.

UiTM kini lain daripada ITM dulu. Pelajar-pelajar datang ke kampus berkereta. Sekurang-kurangnya Kancil atau MyVi. Parking di dalam kampus di Shah Alam penuh sehinggakan parking pensyarah pun diambil alih. Telefon tangan canggih-canggih belaka. iPad dan tablets tidak asing. Belajar dalam suasana yang amat selesa. Mereka cukup beruntung.

Namun UiTM sekarang bukan seperti ITM dulu. Dulu perjuangan mereka ialah untuk masa depan bangsa. Pelajar-pelajar baru didedahkan dengan semangat lagu Warisan: Anak Kecil Main Api. Semua mereka menyanyikan lagu itu dengan linangan air mata. Dulu sekitar 1970‘an pejuang-pejuang pelajar berjuang untuk masa depan bangsa dan negara.

Kini UiTM sudah mempunyai pelajar seperti Khalid Mohd. Ismath. Pelajar yang diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu. Pada 1970-an ITM pun mempunyai pelajar seperti dia bernama Ibrahim Ali, tapi perjuangan mereka berbeza. Ibrahim berjuang atas idealisme siswa, sementara Khalid atas dasar menjadi alat parti politik.

‘‘Jauh bezanya pelajar sekarang dan dulu. Dulu kami Kesatuan Siswa ITM (KSITM) berslogankan Bumiputera Bertindak. Memperjuangkan untuk ITM ditukar menjadi Universiti. Berjuang untuk kursus-kursus diploma tertentu dinaik taraf menjadi ijazah. Itu perjuangan kami. Kami tidak diperkuda-kudakan oleh mana-mana parti politik," katanya yang menjadi Presiden KSITM pada 1974, sewaktu berlakunya demonstrasi besar-besaran oleh para pelajar ITM.

Tarikh demonstrasi ialah 22 April 1974. Berlaku tunjuk perasaan terhebat dan luar biasa membabitkan 6,000 pelajar ITM. Tepat jam 12 tengah malam, kesemua 6,000 pelajar itu berbaris panjang dan berarak dari Shah Alam untuk ke bangunan Parlimen bagi menuntut taraf ITM dinaikkan.

Dalam perjalanan itu, menurut Ibrahim, 1,500 ditangkap, kira-kira 200 ke 300 dibawa di hospital, hanya lebih kurang 300 sahaja yang berjaya tiba di bangunan Parlimen.

Yang luar biasa, semasa berjalan mereka tiba di Stesen Kereta Api Batu 3, sekumpulan pelajar merampas kereta api dan para pelajar kejuruteraan mengambil alih membawa jentera itu untuk ke Kuala Lumpur.
Polis terpaksa bertindak dan ‘‘kami dapat melihat tabung-tabung gas pemedih api ditembak bagaikan percikan bunga api."

‘‘Hasil daripada peristiwa itu, ITM ditutup, namun kampus itu diambil alih oleh para pelajar selama dua minggu. Pelajar Hotel Catering menyediakan makanan, pelajar Komunikasi (Mass Comm) melakukan perang saraf media, pelajar kejuruteraan menjalankan peranan mereka.

‘‘Kami bertahan selama dua minggu di kampus Shah Alam, Jalan Othman dan Seksyen 17 Shah Alam."
Kemudian perundingan dengan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein pun berjalan. ‘‘Saya mengetuai perjumpaan dengan Tun Razak dan Tan Sri Ghazali Shafie (Menteri Dalam Negeri) di Jabatan Perdana Menteri. Pada waktu itu semua ibu bapa kepada Exco-Exco KSITM dibawa ke Kuala Lumpur dan ditempatkan di Hotel Hilton untuk memujuk para pemimpin pelajar menghentikan tunjuk perasaan."
Dalam perundingan itu, cerita Ibrahim lagi, Tun Razak memberikan surat perakuan kepadanya selaku Presiden KSITM bahawa kerajaan bersetuju untuk menaik taraf sebahagian daripada Diploma ITM menjadi Ijazah Am, tetapi dengan syarat pulang ke kampung dahulu.

ITM kemudian ditutup selama sebulan. Para pemimpin itu tidak pulang ke kampung, sebaliknya berkampung di bangunan MAYC di Jalan Syed Putra setelah mendapat kebenaran daripada Presiden MAYC ketika itu, Sanusi Junid (Tan Sri). ITM kemudian dibuka semula sebulan selepas itu sekitar awal Jun 1974. Sebahagian Diploma kemudian diiktiraf sebagai Ijazah Am.
‘‘Itulah perjuangan kami ketika itu," kata Ibrahim, bekas pelajar Komunikasi Massa ketika itu yang kemudian Diplomanya diiktiraf sebagai Ijazah Am. Ibrahim kemudian disumbat ke dalam ISA pada Disember tahun yang sama kerana terbabit dalam demonstrasi Baling dan demonstrasi menuntut ITM dijadikan Universiti.

Perjuangan beliau tidak habis sampai di situ sahaja. Perjuangannya bagi menuntut ITM dijadikan universiti tidak putus-putus. Selepas keluar daripada tahanan ISA pada 1978, beliau menyertai politik. Menjadi Ahli Parlimen Pasir Mas pada 1986 beliau masih tidak putus bercakap mengenai ITM untuk dijadikan universiti.
‘‘Saya dilantik menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada 1992 dan masih bercakap mengenai isu yang sama sehinggakan Dr. Mahathir pernah berseloroh Ibrahim tak ada kerja lain asyik cakap pasal perkara itu sahaja.

‘‘Pada 1999 saya dilantik menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjaga hal ehwal undang-undang, saya mengadakan perhimpunan siswazah ITM di Stadium Malawati Shah Alam dengan menjemput Dr. Mahathir merasmikannya. Semua tokoh-tokoh korporat besar negara lulusan ITM turut hadir. Datuk Najib Tun Razak selaku Menteri Pelajaran juga hadir. Sebelum saya berucap saya sekali lagi bertanya kepada Dr. Mahathir memohon supaya beliau mengumumkan ITM dijadikan universiti.

‘‘Dr. Mahathir kemudian toleh ke arah Najib dan bertanya kalau dia umum ITM jadi universiti hari ini bolehkah dari segi perundangan? Najib berkata, tiada masalah ia boleh dilakukan. Maka pada hari itu bertukarlah ITM menjadi universiti atau dikenali sebagai UiTM," kata Ibrahim kepada saya dalam satu pertemuan selepas majlis penganugerahan oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kepada Pengarah pertama ITM, Tan Sri Arshad Ayub dengan Anugerah Bintang Pahlawan Pribumi Perkasa serta diangkat sebagai Bapa Modal Insan Pribumi Perkasa, Ahad lalu.

Ibrahim masih tidak puas hati. Beliau mahu melihat sebuah universiti Melayu Bumiputera itu yang selama ini dipandang rendah oleh orang lain, termasuk bangsanya sendiri, dipandang tinggi. Ibrahim bertanya kepada Dr. Mahathir, UiTM perlu ditubuhkan Fakulti Perubatan, atau jika tidak ia akan terus dipandang rendah.

‘‘Dr. Mahathir kemudian meluluskan penubuhan fakulti perubahan UiTM yang kini adalah antara fakulti yang paling susah untuk dimasuki berdasarkan meritnya yang tinggi," katanya.

Perjuangan belakang tabir Ibrahim terhadap ITM dan UiTM tidak selesai apabila dengan menggunakan inisiatifnya, beliau menubuhkan Yayasan Budiman, yayasan yang kini menaja para pelajar sederhana yang miskin mencapai cita-cita mereka untuk menjadi kumpulan profesional melalui program Destinasi Anak Bangsa. Para pelajar sederhana ini diambil menjalani kursus pra-diploma selama enam bulan dengan dibiayai oleh yayasan ini sehinggalah mereka mampu melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan atau kejuruteraan dan menjadi akauntan dan jurutera profesional.

Itulah perjuangan para pemimpin pelajar dahulu. Bukan macam Khalid Mohd. Ismath yang terbabit dalam perhimpunan Bersih baru-baru ini. Dia dipengaruhi oleh Ambiga, Tian Chua, Mat Sabu dan lain-lain. ‘‘Jauh bezanya perjuangan kami dengan para pelajar sekarang. Kami tidak dipengaruhi oleh parti politik. Dulu kami tidak mengizinkan langsung dipengaruhi oleh mana-mana parti politik. Kami bukan anti kerajaan, tapi kami berjuang untuk suasana kampus yang lebih baik, duit poket lebih dan untuk anak bangsa. Kami tidak menentang kerajaan dan kami masih boleh berunding dengan para menteri, TPM dan PM," katanya.

Semasa di bawah Arshad Ayub dulu, kata Ibrahim beliau menggalakkan para pelajarnya berfikiran kritikal, tetapi berpandukan kepada isu-isu dan bukan untuk menentang kerajaan.
Ibrahim menjangkakan dengan pindaan undang-undang Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) yang membenarkan para pelajar menjawat jawatan dalam parti politik maka keadaan akan menjadi lebih teruk lagi.

‘‘Para pelajar sekarang suka take side. Dan lebih teruk apabila para pelajar ini dibawa oleh parti-parti politik pembangkang semasa cuti untuk dicuci fikiran mereka menentang kerajaan," katanya.
Itulah yang membezakan ITM dan UiTM sekarang. Sebuah institusi yang masih boleh bertahan dalam situasi politik UMNO semasa, dan tidak pasti kedudukannya jika kerajaan sekarang terjunam dalam pilihan raya ke-13 kelak.

Hayat UiTM sebenarnya berada di hujung tanduk.