Thursday, January 15, 2009

KEROPOK LEKOR KUALA TERENGGANU (5)

Malam ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, akan bersama-sama dengan rakyat terutama orang Terengganu untuk bersembahyang hajat meminta Allah SWT melindungi penduduk Palestin daripada kekejaman Rejim Zionis.

Sembahyang hajat akan diadakan di Stadium Negeri, Kuala Terengganu dan semua dijemput hadir untuk bersama-sama memohon kepada Illahi agar penderitaan rakyat Palestin dapat dikurangkan daripada pengganas dunia.

Oleh itu, orang ramai termasuk pemimpin dan ahli Pas dan parti pembangkang lain, bolehlah datang beramai-ramai untuk kita bersembahyang sunat jemaah memohon doa agar Malaysia juga turut aman daripada ancaman luar.

Dalam doa itu, mereka juga boleh memohon apa saja termasuk meminta Allah SWT memenangi calon parti masing-masing. Begitu juga jika mereka mahukan calon bebas memenangi kerusi Parlimen dalam pertandingan kali ini.

Sesungguhnya, apa yang berlaku dalam Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu ada hikmahnya. Apa pun sekali keputusannya ialah BN masih memerintah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Namun, yang selalu diwar-warkan oleh pemimpin BN ialah mengenai kesinambungan pembangunan di P.036 agar penduduk di situ terutama bangsa Melayu di Wakaf Mempelam turut sama membangun.

Jika penduduk Wakaf Mempelam dan Batu Burok yang merupakan penyokong kuat pembangkang masih mahu terus memberi undi kepada calon mereka, itu hak mereka. Itulah hak mereka untuk menentukan masa depan anak cucu mereka.

Allah SWT mendengar segala doa penyokong BN atau pembangkang. Hanya Allah SWT yang menentukan dan maha mengetahui apakah hikmah sesuatu kemenangan dan kekalahan itu kepada BN dan PAS. Tidak payahlah tuduh menuduh termasuk pengundi hantu.

Hikmah kepada parti? Hikmah kepada pemimpin parti? Hikmah kepada calon? Hikmah kepada penduduk di P.036? Dapat merasainya tetapi yakin semuanya ada hikmah.

Wednesday, January 14, 2009

HILANG KUASA, JIWA TERKSEKSA

Pernahkan anda hilang kuasa? Ini yang akan berlaku kepada orang yang pernah berkuasa. Jika anda tiada kuasa sebelum ini, tiada apa yang akan anda rasa. Tetapi bagi orang yang pernah berkuasa, jika hilang kuasa pasti jiwa akan terseksa.

Ada orang hilang kuasa akan mengigau dan meracau. Mereka akan berusaha untuk memastikan kuasa itu tidak terus terlepas termasuk bertemu pihak tertinggi. Tuhan tidak mahu jumpa pula. Ketika pertemuan itu, pelbagai fitnah dan pembohongan akan berlaku. Tidak peduli dan sanggup membuat yang tidak betul. Apa daa...

Ada pemimpin yang tiada kuasa akan berusaha mendapatkan kuasa itu semula - walaupun dengan cara tidak betul mungkin membabitkan nyawa. Mereka terlalu taksub dengan kuasa kerana pelbagai sebab termasuk menjaga kroni atau tidak mahu hidup tanpa kuasa.

Apa pun kehilangan kuasa, seperti juga kehilangan kereta, satu peristiwa memeritkan.

Pada 20 Januari ini, George Bush akan hilang kuasa. Hilang kuasa sebagai Sherif Dunia. Beliau terpaksa menyerahkan kuasa sebagai Presiden Amerika Syarikat kepada Barack Hussein Obama, pemimpin hitam putih pertama yang dilantik. Bapanya hitam, emaknya putih jadi hitam putih bukan pemimpin kulit hitam. Pemimpin berwarna.

Oleh itu, kita berharap George Bush tidak mengigau dan meracau.

Mungkin meracau apabila dihadapkan ke Tribunal Jenayah Perang? Mungkin juga.

Tuesday, January 13, 2009

HILANG KERETA JIWA DERITA

Pernahkah anda hilang kereta? Pasti satu pengalaman yang amat menyakitkan. Apatah lagi jika kereta itulah satu-satu kenderaan ke tempat kerja atau menghantar anak sekolah. Pasti memilukan dan mahu segera ditangkap "sang penyamun".

Kawan saya hilang kereta setahun lalu. Katanya, ia satu pengalaman yang memeritkan. Bukanlah kerana itu hanya satu-satu kereta tetapi ia baru dibeli. Kereta mahal pula tu. Bukanlah tidak boleh menuntut insurans tetapi pengalaman yang menyusahkan dan adakala menjengkelkan.

Selama seminggu, beliau seperti orang gila yang akan bertandang ke pelbagai tempat termasuk hotel dan kompleks beli-belah untuk mencuba membuka kereta sejenis menggunakan kunci automatiknya. Dari hari ke hari beliau mencuba tetapi gagal.

Beliau mendapat ilham begitu kerana mengikut nasihat rakannya yang berjaya mengesan keretanya tetapi "gagal" untuk mendapatkan semula kerana aduannya tidak segera dilayan terutama pengawal di pelabuhan terbabit.

Apa yang berlaku ialah rakannya yang mengesyaki keretanya dicuri oleh sindiket yang menghantar ke luar negara, bertindak berani menekan kunci automatik di setiap kontena yang ditemui di Pelabuhan Klang.

Akhirnya, selepas beberapa minggu, beliau mencubanya akhirnya tekanan kunci automatik itu telah menyebabkan alarm sebuah kereta berbunyi dalam sebuah kontena yang ingin diangkut ke atas kapal. Beliau yakin itu keretanya.

Bagaimanapun, nasibnya tidak baik kerana kapal itu berlepas begitu saja disebabkan pengawal di kawasan berkenaan lambat membantu. Pihak berkuasa yang datang selepas itu tidak dapat membantu kerana kapal yang membawa kontena itu sudah tidak kelihatan.

Inilah taktik yang digunakan oleh kumpulan penyamun untuk mendapatkan "barangan percuma" untuk dijual di pasaran antarabangsa. Memang penyamun tarbus.

Ketika membuat laporan polis, kawan saya bertemu dengan lebih 10 orang yang tinggal di taman berhampiran yang turut membuat laporan kehilangan kereta pada malam yang sama. Memanglah ada sindiket penyamun yang mencuri menggunakan kontena.

Monday, January 12, 2009

ISRAEL KE TRIBUNAL PENJENAYAH PERANG

Marilah kita menggesa dunia agar menubuhkan satu tribunal perang untuk membicarakan jembalang dunia seperti George Bush dan Ehud Olmert serta pemimpin Israel lain.

Mereka ini adalah manusia zalim yang memang seronok melihat darah rakyat Palestin mengalir di bumi mereka.

Marilah kita mengheret mereka ke tribunal jenayah dengan bukti-bukti jelas kezaliman mereka membunuh terutama orang awam.

Israel berlindung di sebalik alasan untuk mempertahankan diri dari serangan Hamas. Mereka dilindungi Amerika Syarikat dan sekutu lain yang takut dengan pelopi Yahudi.

Jika anda amat membenci jembalang dunia terutama Yahudi, marilah kita bersama-sama menyatakan rasa meluat dan menyampah terhadap tindakan Zionis ini yang gemar "meratah daging" rakyat Palestin dan menunjukkan keangkuhan mereka. Mereka juga memaparkan seolah-olah tidak takut dengan PBB atau usul yang dikemukakan.

Keduanya, jika diwujudkan satu pasukan keamanan dunia untuk membantu rakyat Palestin, ayuh.... rakyat Malaysia yang mempunyai kekuatan diri untuk menawarkan diri menjadi tentera yang sedikit sebanyak boleh menyekat kemaraan Israel.

Petang ini pun, satu Sidang Parlimen Khas diadakan untuk mengutuk Israel dan kita mengucapkan syabas kepada Ahli Parlimen baik kerajaan atau pembangkang yang bersatu hati mengecam rejim zionis ini.

Sunday, January 11, 2009

APA TINDAKAN MELAYU PERAK?

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN

KOTA BHARU 10 Jan. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa orang Melayu di Perak yang mempunyai tanah berstatus pajakan 99 tahun agar menuntut kepada kerajaan negeri itu untuk melanjutkan tempoh pajakan tanah mereka untuk 999 tahun.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, langkah itu wajar dilakukan seperti mana pengurniaan hak milik kekal oleh kerajaan kepada penduduk kampung baru.

Tegas beliau, hak yang sama perlu diberikan kepada orang Melayu di negeri tersebut dan kerajaan pakatan pembangkang wajar melakukannya dengan adil tanpa mengira kaum.

Menurutnya, orang Melayu harus sedar tanpa tanah, nasib mereka tidak ubah seperti rakyat Palestin yang hilang negeri kepada rejim Zionis.

"Oleh itu, Perkasa menggesa orang Melayu di Perak memohon supaya tanah masing-masing dilanjutkan kepada 999 tahun, 'sediakan payung sebelum hujan' jangan pula nasib yang menimpa kepada rakyat Palestin akan berulang di negeri ini.

"Orang Melayu harus sedar tanpa tanah, hilang tanah maka hilang negeri seperti rakyat Palestin hilang negeri kepada Zionis," tegasnya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada 30 Disember lalu, kerajaan Perak telah memberikan hak milik tanah kekal selama 999 tahun kepada 11 penduduk kampung baru di Kampung Kuala Rui, Gerik walaupun diarah menangguhkannya sehingga Majlis Tanah Negara (MTN) membuat keputusan berhubung perkara tersebut.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kurniaan itu adalah simbolik kepada keputusan kerajaan negeri menukar status pajakan kepada hak milik kekal untuk kampung baru dan kampung tersusun di negeri ini.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut mencabar kerajaan Perak supaya semua permohonan yang dibuat oleh orang Melayu di negeri tersebut diluluskan kerana sebagai kaum pribumi mereka berhak.

"Sehingga hari ini, saya tidak dengar ada orang Melayu di kampung tersusun yang mendapat hak milik kekal tanah seperti mana di kampung baru," katanya.

"Adakah ini dinamakan kerajaan yang adil atau pun hanya untuk menjaga kepentingan politik supaya kaum Cina akan terus menyokong kerajaan negeri boneka Pas," katanya.

Katanya, rakyat Perak harus sedar tentang keadaan itu supaya apa yang berlaku kepada penduduk Palestin tidak berulang di negeri itu suatu masa nanti.

(Renungan Rimau : Tanah adalah perkara penting dalam hidup kita. Tanah adalah sesuatu yang tidak boleh ditambah walaupun kita kaya raya. Allah SWT juga tidak akan menambah tanah kita atau negara ini melainkan kita menjadi lanun merampas tanah hak orang lain. Menceroboh dan menjajah. Dalam ertikata lain, kita serang negara lain dan dapat tanah mereka seperti penjajah dulu-dulu. Sekarang dah tak boleh lagi kecuali Rejim Zionis yang bermaharajalela sekarang. Oleh itu, jagalah tanah kita dan tidak sewenang-wenangnya membahagi-bahagikan kepada kumpulan tertentu semata-mata untuk mendapat sokongan mereka. PAS ini tidak sedar dan apabila mereka bangun daripada mimpi, tanah pun tergadai)

Saturday, January 10, 2009

GUNAKAN STRATEGI YANG BETUL

Perkataan penasihat adakalanya agak sensitif sekarang. Ada jadi penasihat ugama, penasihat media atau penasihat ekonomi. Ada yang nama saja penasihat tetapi tidak pernah memberi nasihat sekalipun. Malah ada yang memperlekehkan mereka. Apa daaa? Kalau faham bahasa Tamil, mungkin penasihat ini, orang akan jerit macam ini, "hei parpu...cuma ere da, wong gayoum" - tolong carilah makna yang paling dekat. Tapi ringkasannya ialah jangan jadi orang yang tidak berguna macam kulit bawang.

Cerita mengenai Sime Darby hendak mengambil Institut Jantung Negara (IJN) mungkin sudah habis. Tetapi daripada risikan DuniaTiger, syarikat multinasional ini mempunyai niat tersendiri iaitu membantu IJN terutama bagi memastikan pakar jantungnya tidak "lari" ke tempat lain. Antaranya menaikkan gaji pakar dan menyediakan pelbagai kemudahan di IJN Kuala Lumpur. Dalam ertikata lain, IJN di Kuala Lumpur tetap akan menjadi IJN seperti lalu.

Namun, Sime Darby juga berminat untuk membuka lagi satu hospital yang sama di Selatan Semenanjung untuk menyediakan perkhidmatan yang sama tetapi kali ini lebih komersial dan disasarkan kepada golongan yang banyak wang. Kumpulan jutawanlah.... yang mempunyai rumah di London, New York atau Paris. Bukan macam saya yang ada satu-satu rumah di Subang Jaya. Itupun masih berhutang. Apa daa..

Namun, niat dan hasrat baik Sime Darby ini tidak diterangkan terlebih awal. Oleh kerana pembongkaran berita pengambilalihan ini yang kurang jelas menyebabkan isu itu "meletup" dan pelbagai tuduhan dilemparkan kepada syarikat berkenaan. Malah imej syarikat itu terus dikritik, mungkin ada orang sakit hati dengan proses penyatuannya dulu menyebabkan ada yang jadi General Manager menjadi Senior Manager. Apa daa..

Sepatutnya "pakar-pakar pr atau doktor pusing" perlu menerangkan dengan jelas niat Sime Darby itu terlebih dahulu termasuk memberitahu kepada rakyat bahawa IJN Kuala Lumpur tidak akan dikomersialkan tetapi menggunakan namanya untuk pembukaan sebuah lagi IJN untuk orang kaya. Tetapi malangnya...rahsia dah terbongkar dan orang pun menjadi marah. Apa daa..

Lain kali, eloklah cari penasihat yang baik dan pakar bagi menasihatkan perkara-perkara sebegitu. Ini penting untuk memastikan penasihat tidak menjadi punahsihat.

KEROPOK LEKOR KUALA TERENGGANU (4)

Posting Kedua - 4.25 petang

Calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh bukan calon siapa-siapa - DS Najib Tun Razak menjelaskan kenyataan sesetengah pihak bahawa Wan Farid adalah calon Paklah.

Posting Asal - 4.08 petang

Jentera BN perlu terus memberi penjelasan mengenai isu utama yang dieksploitasi pembangkang terutamanya kepada pengundi Melayu sepanjang kempen PRK Kuala Terengganu - TS Muhyiddin Yassin.

Penduduk tempatan masih menghargai dan menyokong BN, jadi saya yakin kita mungkin menang dalam majoriti lebih besar kali ini - TS Muhyiddin Yassin.

Masalah pengundi Cina dan India perlu diberikan perhatian dan tidak tumpu kepada pengundi Melayu saja - TS Muhyiddin Yassin.

MAHATHIR NEGARAWAN BANGSA

Seperti artis popular, semua yang hadir menunggu kedatangan Tun Dr Mahathir Mohamad di Wisma TV Angkasapuri malam tadi mahu bersalam dan memberi senyuman kepadanya.

Semacam dirasuk hantu mereka juga mahu bergambar dengan negarawan bangsa ini walaupun selepas pemimpin ini kelihatan keletihan setelah memberikan pandangan dalam program Blog@1 yang dihoskan oleh Datuk Ahmad Talib, malam tadi.

Mahathir bukan satu nama asing lagi. Ia nama besar dan akan sentiasa menjadi sebutan di negara ini. Ada yang membesar ketika pemerintahannya. Apa lagi yang sudah dewasa dan mengetahui apa yang dilakukan oleh Mahathir kepada bangsa dan negara.

Mahathir pun, bukanlah dipuja oleh semua orang. Bagi yang membencinya, pelbagai gelaran diberikan termasuk mahafiraun atau menuduhnya sebagai perosak bangsa dan bahasa. Beliau sering dikaitkan dengan "kegilaannya" untuk membina bangunan besar. Mahathir juga dilihat mewujudkan manusia yang memandang materialistik di negara ini.

Bagi pemujanya, Mahathir adalah insan yang menaikkan taraf bangsa Malaysia. Ia menggerakkan bukan saja dalam bentuk fizikal tetapi aspek kerohanian menerusi pelbagai kata pendorong yang membentuk individu berdaya tahan dan berdaya saing.

Mahathir mahu rakyat negara ini menjadi manusia yang disegani. Bukan darimana mereka datang tetapi apakah kualiti yang ada di dalam diri sehingga sesiapa saja di dunia ini menyanjungi kebolehan rakyat negara ini sepanjang masa.

Bagi Mahathir, tiada yang mustahil kecuali untuk menjadi tuhan. Sebagai manusia mereka boleh menjadikan diri mereka disegani di semua peringkat dengan idea bernas dan berketrampilan. Bukannya memperjuangkan isu bodoh dan kepentingan diri.

Walau apapun diperkatakan oleh orang terutama musuhnya terhadap Mahathir, gelagat orang ramai yang berada di Wisma TV Angkasapuri semalam memaparkan bahawa beliau adalah negarawan bangsa yang akan dikenangi dalam sejarah Malaysia.

He is still very sharp and witty. Whatever people say about him, we cannot deny the fact that his ideas and words cast a great influence on others.

Semoga Allah SWT memanjangkan usia dan memberi kekuatan kepadanya untuk memberi pandangan yang baik untuk bangsa dan negara.

Dalam hidup, ada yang suka kepada kita dan sebaliknya ada yang akan membenci sehingga sanggup menabur fitnah, menghina, mengata dan memperkecilkan kita. Biarlah si Luncai terjun dengan labu-labunya. Pandai bercakap entah apa-apa.

Jadilah intan, walaupun dicampak ke dalam lumpur, kita tetap intan dan akan bersinar satu hari nanti.

Friday, January 9, 2009

KEROPOK LEKOR KUALA TERENGGANU (3)

Pilihanraya Kecil (PRK) Kuala Terengganu P.036 amat penting kepada pemimpin UMNO. Sesetengah pihak berpendapat inilah PRK terakhir bagi Paklah sebelum menyerahkan takhta kepada penggantinya. Ada pula yang menyatakan inilah PRK yang akan memberi petunjuk kepada sokongan bangsa Melayu terhadap DS Najib Razak.

Apapun, ia pasti memberikan banyak petunjuk.

Ketika BN menggunakan pendekatan Mesra Rakyat sebagai tagline mereka untuk menarik pengundi KT, pendekatan pembangkang pula cacamarba dengan ada pemimpin yang mula mengutarakan kegagalan kerajaan sekarang atau hukum hudud.

Malah, Anwar Ibrahim menyifatkan penduduk KT telah dizalimi oleh UMNO selama ini seperti Israel menzalimi Palestin. Hanya kenyataan terakhir saja betul. Yang awal itu, hanya untuk meraih undi penduduk. Propanganda yang menyongsang arus.

Ketika ini, BN dan PAS berusaha untuk memastikan calon mereka mendapat tempat dihati pengundi. Laungan Kit Siang bahawa penggundi Cina adalah "king maker" adalah cubaan untuk mewar-warkan sesuatu agenda agar ia menarik perhatian ramai. Inilah taktik ahli politik veteran yang pandai memainkan sentimen rakyat.

BN yang menampilkan Wan Farid bekerja keras untuk memaparkan calon mereka seorang pemimpin nasional yang perlu dipilih bagi memastikan suara penduduk di dengar di semua peringkat terutamanya di kerajaan persekutuan.

PAS pula ingin memaparkan calon mereka disayangi oleh penduduk Wakaf Mempelam sehingga memilih mereka berpenggal-penggal walaupun penduduk tahu tiada pembangunan yang dilakukan kepada tahap kehidupan mereka yang seolah-olah merempat di pinggir bandar. Apakah mereka tidak boleh berfikiran seperti orang lain?

Namun, undi di tiga DUN iaitu Ladang, Batu Buruk dan Bandar agak seimbang setakat ini malah BN mengekalkan kerusi di Bandar yang mempunyai ramai pengundi Cina. BN yang mengambil pendekatan "kerja kuat" nampaknya mula mendatang hasil terutama penerimaan penduduk di situ terhadap Wan Farid, yang kelihatan serius tetapi mudah mesra dengan rakyat di bawah.

DR M DI BLOG TV1 MALAM INI


Perdana Menteri Keempat dan blogawan terkemuka, Tun Dr Mahathir Mohamad, akan menjadi tetamu rancangan Blog TV1 malam ini jam 10.30 malam.

Pengacara blog malam ini ialah blogawan, Datuk Ahmat Talib.

Selamat menonton.