Sunday, March 8, 2009

MASALAH DI HUJUNG BENUA ASIA


Petang tadi, saya berada di hujung benua Asia - Tanjung Piai. Kawasan Taman Negara itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi orang ramai melawat kawasan paya bakau. Pasti menyebabkan pengunjung berpeluh terutama di waktu tengah hari.

Di akhir lawatan itu mereka boleh mendapatkan sijil khas.

Sijil itu berbunyi, "This certificate bears witness that the person of .....has reached the geographical marker which is officially designated as the southernmost tip of mainland Asia located at Tanjung Piai, Mukim Serkat, 82030, Pontian, Johor Darul Ta'zim, Malaysia on .......2009". Ditandatangani oleh Pengarah Johor National Park Corporation. Jangan lupa ambil sijil tu, selepas lawatan. Kena bayar sikit la.

Saya juga sempat bertemu dengan pengusaha yang menyediakan makanan dan minuman sebelum masuk ke Taman Negara itu. Hanya gerai bukannya restoran. Mengapa tidak membuka restoran kak oi? Kemudahan elektrik tiada di situ. Apa? Mengapa jadi begini? Bukankah di Taman Negara itu sudah ada elektrik.

Eloklah pihak berwajib melihat masalah Kak Fauziah tu. Menurutnya, beliau mahu memajukan tanah miliknya yang terletak berdekatan dengan Taman Negara itu. Macam-macam projek. Tetapi disebabkan tiada kemudahan asas, maka niatnya terbantut untuk membuka resort. Ada juga pihak yang 'mengintai' tanahnya itu. Tetapi beliau tidak mahu menjualnya. Beliau tidak mahu duit 'sekepok' tetapi mahu memajukan tanahnya.

Maka ketika 'pekena' teh tarik dengan Koma di situ, kami berpeluh-peluh kerana tiada kipas dan cuaca pun amat panas sekali. Kami turut menjeling di sebelah gerai Kak Fauziah yang kelihatan seolah-olah 'ada kerja-kerja' membina resort di situ.

Kak Fauziah menjelaskan, beliau menyewa tempat yang belum siap itu kepada pekerja yang sedang menyiapkan satu projek di taman negara. Sewa sebagai tempat duduk dan meletakkan barang-barang pembinaan mereka. Sewanya murah sekali.

Bila lagi nak siap resort itu kak oi?

"Entahlah... mungkin saya nak buat projek lain."

Projek apa kak?

Projek sarang burung.

Sarang burung?

Buatlah apa yang terbaik kak oi. Tanah, tanah kakak.

Saturday, March 7, 2009

PERJUANGAN MELAYU UNTUK MALAYSIA (2)

Semalam saya memberitahu satu perjumpaan 'pejuang Malaysia' daripada pelbagai kaum bahawa saya sanggup mati untuk mempertahankan negara. Memastikan Malaysia sentiasa aman dan rakyat pelbagai kaum boleh hidup dalam keadaan bersatu padu dan penuh setiakawan. Rakyat bebas untuk menjalani kehidupan sebagai manusia berguna. Bukan bergaduh atau bertengkar isu remeh temeh atau isu yang dipolitikkan.

Saya berharap rakyat negara ini menjadi pejuang negara untuk memastikan tiada anasir dalam dan luar negara memporak-perandakan negara ini sesuka ini. Tiada ahli politik yang suka menyemaikan semangat 'benci-membenci' atau 'bermusuhan' dengan melaungkan slogan politik sempit seperti 'apartheid', 'bumiputeraisme','memperkuatkan Melayu' atau mencaci Perlembagaan yang sudah dipersetujui oleh semua bapa bangsa sebelum ini. Tiada yang boleh mempersoalkan perkara 152 atau 153 dalam Perlembagaan.

Saya juga menentang mereka tidak kira pemimpin kerajaan atau pembangkang yang tidak menghiraukan kesusahan rakyat terutama golongan peniaga Cina, Melayu, India, Kadazan, Iban, Sikh, Murut atau apa kaum sekalipun. Saya akan menentang mereka yang memperkayakan 'kelompok' mereka sendiri tanpa menghiraukan mereka yang di bawah yang perlu bertungkus-lumus untuk mendapat sesuap nasi.

Apabila saya berada di Kuantan antara perkara yang diluahkan oleh peniaga di sana ialah 'pengagihan' perniagaan di kawasan di luar Kuala Lumpur. Apa salahnya jika ada projek di kementerian diagihkan sehingga ke pekan seperti Kuantan bagi membolehkan peniaga mendapat keuntungan. Mereka menunggu ibarat 'buah yang tidak gugur' dan terpaksa mengharapkan projek kerajaan negeri yang adanya tidak kunjung tiba.

Saya selalu percaya bahawa kata-kata Tun Abdul Razak Hussein yang menyatakan 'jika orang Melayu gembira, kaum lain juga akan gembira. Begitu juga sebaliknya'. Oleh itu semua pihak perlu memastikan orang Melayu mendapat hak mereka dan semua pemimpin Melayu perlu memastikan ia terus berlaku. Jangan tidur dan leka.

Umpamanya, jika ahli politik mengetuai sesuatu kementerian, fikirkan untuk menolong peniaga di Kuantan tidak kira Cina, Melayu atau India untuk projek tertentu terutama yang diadakan di kawasan berkenaan. Umpamanya, jika ada pelancaran di Kuantan, banner atau buntings boleh dibuat di kedai di Kuantan bukanya semua dibuat di Kuala Lumpur.

Alasan yang diberikan ialah boleh 'jimat belanja' jika semua buat di Kuala Lumpur. Biarlah 'belanja lebih' demi untuk kepentingan peniaga di Kuantan atau Kangar bukannya 'belanja lebih' demi untuk perut kelompok tertentu. Jangan terus menjadi 'perompak' tapi tolonglah peniaga dan orang bawah.

Friday, March 6, 2009

ZUBIR ALI MENINGGALKAN KITA

Zubir Ali, komposer terkenal yang menjadi kenalan kami sejak di ITM meninggal dunia hari ini.

Semoga rohnya ditempatkan bersama-sama roh orang-orang yang soleh.

Al-Fatihah.

Thursday, March 5, 2009

KALAU BERANI CAKAPLAH DI LUAR DEWAN

Oleh AgendaDaily

Sudah acap kali wakil rakyat pembangkang berselindung disebalik hak dan keistimewaan atau kekebalan sebagai ahli Parlimen dengan membuat macam-macam tuduhan serta dakwaan terhadap pihak yang tidak mereka senangi.

Bagi mereka yang kerap berada di Parlimen dan ikuti persidangan Dewan Rakyat, mereka sudah dengar macam-macam perkataan termasuk dialog Pemuda UMNO celaka yang dituturkan pengerusi DAP Karpal Singh.

Ada sesetengah daripada mereka sengaja ‘tembak peluru’ dan bila sudah panas serta Speaker arah mereka tarik balik, sebilangan besar akur tetapi realitinya perkataan tohmahan dan tuduhan sudah dilafaz.

Semua wakil rakyat termasuk penyokong kerajaan tahu, mereka tidak boleh didakwa jika membuat dakwaan atau tuduhan di dalam Dewan.

Sebab itulah, bila sudah panas ada wakil rakyat yang melemparkan tuduhan dan tohmahan diminta buat kenyataan di luar Dewan bagi membolehkan pihak yang dikaitkan membuat dakwaan.

Insiden yang menimpa Karpal apabila dikepung beberapa pemimpin Pemuda UMNO Selangor, baru-baru ini juga ada kaitan dengan hal ini apabila mereka mendesak ahli parlimen Bukit Gelugor itu mengulangi perkataan Pemuda UMNO celaka di luar Dewan.

Ketika persidangan Rabu, Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek macam sudah tak tahan lagi dengan sikap wakil rakyat pembangkang yang dianggapnya cuba menjadikan Parlimen sebagai tempat menyebarkan fitnah.

Beliau sanggup bertikam lidah dengan menjawab dakwaan Ahli Parlimen DAP Jelutong, Ooi Chuan Aun kononnya seorang pegawai kanan Kementerian Penerangan ditangkap di sebuah hotel bersama seorang pengacara hos rancangan televisyen baru-baru ini.

Soalan tambahan itu berbangkit ketika Shabery menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Sambil menafikan kejadian itu, menteri berkenaan berkata perkara itu tidak mungkin berlaku kerana pihak yang didakwa dalam tuduhan tersebut berada di London ketika itu.

Ooi kemudiannya bangun dan bertanya apakah tindakan yang diambil jika perkara itu adalah fitnah.

"Saya rasa jelas Yang Berhormat buat fitnah. Tak wajar buat kenyataan dalam dewan. Saya rasa … boleh buat di luar. Kalau mereka yang dituduh rasa tak benar tindakan boleh diambil.

"Saya rasa orang ramai tak tahu (perkara) ini. Saya pun tak tahu, tak terima SMS ini.

"Sebab itu saya tanya siapa dia, sebut namanya. Saya tahu dia tak ada dalam negara. Kalau saya sebut tak ada, tak adalah," katanya.

Menurut Shabery lagi, tidak wajar menyebarkan fitnah terhadap orang yang tidak bersalah dan kenyataan ini pula datang daripada seorang pemimpin dari parti pembangkang dan seolah-olah dipersetujui oleh semua (pembangkang).

“Sebab itu saya katakan, kalau ini jadi amalan seorang ahli Yang Behormat yang sepatutnya secara terhormat mengeluarkan kata-kata yang baik, ini mencermin pemikiran keseluruhan rakan-rakan YB,” tegasnya.

Katanya, pembuat fitnah adalah Ahli Parlimen Jelutong sendiri.

Shabery berkata, perbuatan Ahli Parlimen itu adalah untuk mengambil kesempatan waktu kamera (televisyen) sedang ada untuk disebarkan diseluruh negara selepas ini.

Beliau berkata, perkara ini tidak wajar diperpanjangkan dan tidak perlu lagi disentuh kerana fitnah berjalan setiap masa, setiap waktu dan setiap tempat dan ia bukannya tugas dan tanggungjawab kementerian untuk menjelaskannya.

"Saya rasa kalau YB suka buat sesuatu bagi mengaibkan orang lain, sebab keluarga orang lain aib, suatu masa berlaku pula kepada YB dan keluarga YB. Dan saya rasakan perkara ini tak guna untuk (kita) berbuat demikian," katanya.

Katanya, Ahli Parlimen tidak sepatutnya membuat tuduhan secara kategori kerana ia menyalahgunakan hak dan kebebasan dalam Dewan Rakyat.- 4/3/2009

(Renungan Rimau : Kapal Singh penakut cakap Pemuda UMNO celaka dalam Parlimen. Ramasami pun penakut (harapkan badan saja besar) cakap apartheid dalam Dewan Rakyat. Kini, Ooi pula bangkitkan soal mengenai pegawai kanan MOI yang beritanya tidak betul (cakaplah benda lain bro). Mereka semua ini menggunakan keistimewaan berada di dalam dewan. Kalau betul-betul berani, cakaplah kat luar dewan. Ramai yang akan disaman ataupun kena 'belasah' oleh ahli politik. Berani buatlah kat luar. Itup kalau ada 'teloq'. Mungkin takde kot.).

Wednesday, March 4, 2009

PRK BATANG AI - 29 MAC

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memutuskan penamaan calon Pilihan Raya Kecil N29 Batang Ai akan diadakan pada 29 Mac (Ahad) manakala jika ada pertandingan akan diadakan pada 7 April (Selasa).

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, dalam lintas langsung TV1 sebentar tadi. Pengumuman itu dibuat selepas mesyuarat khas di Kuching hari ini.

Ini bermakna tiga PRK di Bukit Selambau (Kedah), Bukit Gantang (Perak) dan Batang Ai (Sarawak) diadakan serentak.

Dua bukit dan satu batang.

Selamat bertanding.

KERAJAAN PASIR DUA BUTIR



Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN
utusanperak@utusan.com.my

BERSIDANG di bawah pokok! Jika sebelum ini ia hanya menjadi bahan lawak, pakatan pembangkang menjadikannya satu realiti.

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dipengerusikan Speaker, V. Sivakumar yang dirancang diadakan di Bangunan Perak Darul Ridzuan akhirnya berlangsung di bawah pokok berhampiran kawasan letak kereta kira-kira 100 meter daripada bangunan tersebut.

Kedegilan pemimpin pembangkang mengadakan sidang itu walaupun dilarang pihak polis menggambarkan sikap sebenar mereka yang langsung tidak mempedulikan kedaulatan undang-undang.

Doa dibacakan oleh Setiausaha Dewan, Misbahul Munir Masduki yang baru sehari dilantik. Ia juga menandakan sidang di bawah pokok bermula.

Apa yang berlaku ini bukan lagi perkara pelik dalam senario politik negara sekarang, lebih-lebih lagi membabitkan parti pembangkang.

Jika tujuan mereka mahu membubarkan DUN selain menyokong kedudukan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, itu boleh dilakukan di mahkamah.

Namun mereka memilih untuk melakukan provokasi. Tujuannya untuk menguji sejauh mana pihak polis akan bertindak ke atas mereka.

Jika berjaya, ini akan dijadikan pula 'modal' politik bagi meraih undi menjelang pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak 7 April ini.

Tidak sukar lagi untuk menjangka taktik dan strategi golongan ini. Kesanggupan mereka berdepan dengan sebarang kemungkinan selama ini telah terbukti menjadi 'azimat' dalam usaha meraih simpati masyarakat.

Tidak mustahil 'kelembutan' pihak polis mengambil tindakan ke atas kumpulan-kumpulan begini menyebabkan mereka 'lebih berkuasa daripada pihak berkuasa.'

Walaupun sedar menjalankan sidang di bawah pokok tidak akan mengubah apa-apa keputusan sebelum ini, apatah lagi hak untuk membubarkan DUN terletak di bawah kuasa Sultan tetapi matlamat mereka hanyalah 'untuk menarik perhatian.'

Justeru, mereka memilih untuk 'memalukan' negara menerusi tindakan-tindakan luar biasa dan kenyataan-kenyataan kesat di kain rentang.

Hakikatnya, pakatan pembangkang telah diberi kesempatan untuk mentadbir Perak selama 11 bulan sebelum ini. Dalam tempoh itu, mereka sepatutnya dapat membuktikan kemampuan yang ada untuk melakukan segala kebajikan dan kebaikan untuk masa depan rakyat.

Malangnya, tiada apa yang boleh dibanggakan lebih-lebih lagi oleh masyarakat Melayu tentang apa yang telah dilaksanakan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

Lebih malang, Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak itu sanggup menjadi 'kuda tunggangan' sekutunya DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mencapai maksud politik mereka yang terselindung selama ini.

Negara kini berhadapan dengan cabaran ekonomi. Bagi pemimpin yang waras akal fikirannya, ini sewajarnya dijadikan fokus utama mereka dalam mencari jalan atau ruang ke arah mengurangkan beban rakyat.

Maknanya, jika pemimpin itu sama ada mewakili kerajaan atau pembangkang berjiwa murni dan ikhlas untuk membantu rakyat, mereka tidak akan sanggup melakukan tindakan yang menyusahkan rakyat.

Jika Allahyarham Tan Sri P. Ramlee masih hidup, beliau pasti tertawa melihat babak jenaka ketua hilang kuasa yang diselitkan dalam filem arahan terakhirnya, Laksamana Do Re Mi.

Antara babak menarik dalam filem itu ialah tentang persidangan negeri Pasir Dua Butir yang terpaksa berlangsung di bawah pokok dalam kawasan lapang akhirnya benar-benar menjadi realiti dalam senario politik Perak.

(Renungan Rimau : Filem kita adalah wajah kita. Tabik kepada Tun P Ramlee (insyaAllah) kerana boleh melihat (macam tok nujum) bagaimana rakyat negara ini 'satu hari' akan bersidang di bawah pokok. Macam dalam filem beliau itu. Kita semua tahu tujuan persidangan itu diadakan semalam. Bagi mereka, setidak-tidaknya akan menimbulkan rasa kesihan atau 'simpati' daripada orang ramai. Namun, saya yakin rakyat sekarang sudah bijaksana untuk memikirkannya. Datuk Ismail Kassim (Ahli Parlimen dari Arau, Perlis) dalam program RTM Langsung dari Parlimen pagi tadi, memberi pandangan mereka yang menggunakan cara ini termasuk 'matlamat menghalalkan cara' berfikirlah untuk kepentingan negara. Baginya, negara akan hancur dan musnah jika ada pihak terus menerus mengamalkan cara berpolitik sebegini.)

Tuesday, March 3, 2009

PENYAKIT BARU BOO DAN RAMA

Keputusan PRU 2008 juga menyaksikan kemunculan Ahli Parlimen baru yang mula memaparkan perangai entah apa-apa. Mereka sudah mengikut perangai bos mereka yang memainkan sentimen perkauman sempit. Antaranya ialah Dr Boo Cheng Hau yang kini menjadi Pengerusi DAP Johor dan Dr P Ramasamy (Ahli Parlimen DAP Batu Kawan, Pulau Pinang) yang membuat kenyataan berbaur etnik.

Kedua-dua mereka membuat dakwaan bahawa Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh UMNO mengamalkan dasar apartheid.

Khamis minggu lalu, Dr Boo yang juga Ketua Pembangkang DUN Johor mendakwa amalan ‘bumiputeraisme’ atau pemikiran membantu golongan Bumiputera yang diamalkan oleh di negeri ini menyamai ideologi apartheid. Katanya, amalan itu bersifat apartheid kerana berasaskan politik perkauman iaitu golongan yang dominan diberikan keutamaan dalam mendapatkan bantuan.

Semalam di Dewan Rakyat, Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang membuat dakwaan yang sama kerana tidak puas hati dengan jawapan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr Hou Kok Chung terhadap soalan asal yang dikemukakannya. Ramasamy bertanya mengapakah kementerian itu tidak mengambil sebarang inisiatif atau keputusan untuk melantik ahli-ahli akademik dari golongan bukan Bumiputera sebagai naib canselor di universiti awam.

Dalam jawapannya, Dr Hou menjelaskan pelantikan pengurusan tertinggi universiti khususnya naib canselor adalah dilaksanakan oleh satu badan bebas ditubuh oleh kerajaan yang dikenali sebagai Jawatankuasa Tetap Carian.

“Asas pemilihan adalah berdasarkan kepada kriteria-kriteria seperti visi dan misi, kepemimpinan dan pengurusan, pencapaian akademik, pengiktirafan, keperibadian unggul dan kemahiran berkomunikasi. Calon-calon yang dikenal pasti akan ditapis melalui temuduga dan dinilai berdasarkan kriteria berkenaan serta prestasi mereka semasa di temuduga. Kaedah pemilihan ini memberi layanan yang sama kepada setiap calon tanpa mengira kaum. Setiap calon layak akan berpeluang untuk menjawat jawatan naib canselor.’ Menurut Dr Hou, jawatankuasa yang diwujudkan untuk membuat pemilihan dianggotai oleh pelbagai kaum dan tidak terikat dengan dasar UMNO.

Politik ‘baru’ yang dibawa oleh Boo dan Rama ini sebenarnya tidak sihat untuk negara majmuk seperti Malaysia. Janganlah timbulkan perkara yang bodoh jika mengaku diri seorang terpelajar dan bekas ahli akademik. Jangan jadi bodoh. Mereka sebenarnya perlu balik ke sekolah untuk belajar sejarah penubuhan negara ini daripada hanya celupar untuk mengeluarkan hujah yang menyakitkan hati orang lain.

Kedua-dua orang ini perlu menghayati kata-kata pemimpin terkemuka kaum India di negara ini iaitu Tun V.T. Sambanthan yang menyelar konsep ‘kesamarataan Malaysian Malaysia’ yang asalnya dibawa oleh PAP dan kini diapi-apikan oleh DAP dan PKR.

Berucap di Parlimen pada 1 Jun 1965, Tun Sambanthan berkata, “Jika kita lihat di serata negara Asia dan Asia Timur, kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon dan juga tidak diterima di Burma. Sama halnya dengan kaum Cina, mereka tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan negara-negara lain. Di Burma, seperti yang kita semua maklum, kaum India telah diusir keluar, di Ceylon mereka tidak diberikan taraf warganegara seperti juga di Burma. Tetapi apa yang berlaku di Malaya? Di sini kita mendapati pemimpin Melayu berkata, “Kita akan menerima mereka sebagai saudara, kita akan memberikan mereka peluang untuk menjadi warganegara. Dimanakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan santun dan tertib selain daripada bangsa Melayu. Dimanakah anda boleh mendapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang?. Fikirkanlah Boo dan Rama.

Monday, March 2, 2009

MOHAMAD AZIZ - TIMBALAN PENGERUSI

Jawatan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO sah dimenangi oleh Datuk Mohamad Aziz (Ahli Parlimen Sri Gading) ekoran pesaingnya Datuk Ahmad Bahari mengumumkan tarik diri hari ini.- AGENDANEWS.

Tahniah. Selamat menjalankan tugas.

PERJUANGAN MELAYU UNTUK MALAYSIA (1)

Pemilihan UMNO akan diadakan tidak sampai sebulan lagi. Ketika ini, calon, tukang juak, pencacai dan ejen politik kelihatan amat sibuk keliling pelusuk negara untuk mempromosikan diri calon agar terpilih pada 26 Mac ini. Ia satu tugas yang berat lagi memenatkan. Ia satu tugas mencabar dan menguji kekuatan minda serta fizikal.

Menjadi harapan dalam kesibukan ini, tidak ada yang terkulai layu menyembah bumi. Jika berlaku bukan saja hasrat calon tidak kesampaian tetapi menambah 'beban' parti untuk menghadapi pilihanraya kecil yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Dalam kesibukan berkempen ini, pelbagai 'barangan' atau buah tangan dibawa untuk ahli UMNO di seluruh negara. Dari Perlis hingga ke Sabah. Ada yang membawa semangat untuk meremajakan UMNO agar relevan sepanjang masa. Ada yang membawa janji untuk menggerakkan lebih tiga juta ahli untuk terus menyokong parti walaupun dilanda ombak menggunung terutama selepas Mac 2008.

Ada yang mencurahkan perasaan mengenai apa yang berlaku sekarang seolah-olah merobek hati Melayu dan perjuangan perlu diteruskan bagi menebus maruah Melayu. Perlu memilih pemimpin berani dan tegas. Bukan lembik dan berhati-hati. Perlu memilih pemimpin yang tahu perjuangan sebenar Melayu. Tiada perjuangan kental berterusan, maruah bangsa terjerumus ke dalam longkang.

Ada pula yang membawa 'wang' untuk diagih-agihkan kepada G7 dan perwakilan yang menentukan nasib calon mereka. Golongan ini adalah pembawa kuman yang mendatangkan barah kepada bangsa. Mereka berani berbuat demikian semata-mata untuk memastikan calon menang dan memegang jawatan. Tindakan mereka licik sehingga sukar untuk dikesan atau penerima sanggup menutup mulut kerana kocek sudah penuh. Bayangkan, ada G7 setakat ini sudah 'mengutip' RM18,000 daripada ejen calon.

Persoalannya siapa yang menang pada pemilihan akan datang?

Adakah calon yang membawa semangat untuk membawa perubahan? Adakah mereka yang memberi janji untuk menyokong pemimpin tertinggi parti? Adakah calon yang berani dan tegas? Atau mereka yang sanggup berkorban bersama-sama ahli untuk memulihkan UMNO yang dikatakan semakin ke tepi sekarang? Atau mereka yang memikirkan survival politik Melayu dalam negara majmuk?

Ataupun mereka yang suka menabur wang untuk mengejar jawatan yang boleh menggandakan pelaburan? Tepuk dada tanya perjuangan anda, bukan selera dan nafsu.

Sekadar renungan - "..negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisme Melayu yang hidup subur dan kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu. Faktor-faktor dan hakikat inilah yang melahirkan Negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia. (DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah. Kuala Kangsar, 5 November 2008)

Sunday, March 1, 2009

BERHATI-HATILAH SEBELUM 'TERKENA'

Baru-baru ini, Presiden Barack Obama, ada menyebut 'zaman ketua pegawai eksekutif untuk bersenang-lenang sudah tamat' apabila memperkatakan usaha Amerika Syarikat untuk menggerakkan semula ekonominya yang semakin bercelaru sekarang.

Baginya, semua orang perlu berjimat cermat termasuk ketua pegawai eksekutif syarikat terutama yang dimiliki oleh kerajaan. Sudah tentu ramai yang menyokongnya terutama golongan pekerja yang banyak dibuang kerja atau graduan masih mengganggur.

Di Malaysia, saya yakin Menteri Kewangan akan memantau kegiatan pengerusi atau ketua pegawai eksekutif syarikat yang dimiliki kerajaan agar tidak 'boros' dan menggunakan kemudahan dengan sewenang-wenangnya. Tumpuan perlu diberikan kepada mereka yang mengambil kesempatan daripada kedudukan sebagai pengerusi atau ketua pegawai eksekutif untuk memenuhi 'nafsu serakah' dan impian yang belum tercapai. Antaranya ialah mahu sentiasa mendapat kemudahan kelas pertama termasuk membawa sesiapa saja dalam 'rombongan' lawatan ke luar negara. Bayangkanlah berapa banyak wang perlu dibelanjakan untuk membawa 'treler' mereka ini yang biasanya dikhaskan untuk kelas pertama dengan penuh kemewahan. Alahai.....

Ini penting untuk memastikan dalam menghadapi kemelut ekonomi dunia sekarang, mereka ini mempunyai 'hati perut' untuk berjimat-cermat dan bukannya 'melantak' wang rakyat sesuka hati mereka terutama yang baru menikmati kedudukan yang baik.

Yang lebih menyedihkan ialah mereka ini menjadi 'raja' dengan menikmati segala kemudahan kelas pertama di atas peluh, tangisan dan darah pekerja-pekerja bawahan yang ada antaranya sukar untuk membeli susu anak-anak mereka. Golongan tidak berhati perut ini juga suka mengherdik orang bawahan yang bekerja sebagai seorang hamba yang taat kepada tuannya kerana semata-mata lambat melayan nafsu mereka.

Saya yakin SPRM perlulah menghantar ejen-ejen kenit untuk melihat, mendengar dan mengambil tindakan terhadap mereka yang amat gelojoh dengan memberi pelbagai arahan kepada orang bawah. Mereka selalunya menghebohkan bahawa mereka amat rapat dengan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau Menteri Kewangan.

SPRM jangan takut dan bimbang dengan golongan sebegini. Persetankanlah 'ugutan' bahawa mereka amat baik dengan pemimpin tertinggi. Terus melakukan tindakan dan jangan memilih bulu. Mereka inilah yang telah, sedang dan akan menjadi barah untuk meruntuhkan syarikat milik kerajaan atau agensi kerajaan. Mereka inilah 'raja' yang tidak ada jajahan. Mereka inilah pemusnah kota yang dibina oleh orang amanah dan jujur.

Berhentikanlah sebelum wajah kita dipaparkan di media kerana keterlanjuran dan nafsu serakah. Ingatlah kubur yang sedia menanti. Hanya sehelai kain saja yang akan dibawa.