Tuesday, May 5, 2009

KEDINGINAN YANG AMAT DIPERLUKAN

Posting Keempat - 6.15 petang (Paro, 4.15 ptg - minum petang)

Tahukah anda burung gagak adalah 'burung negara' di Bhutan. Perrgggh.

Lelaki di Bhutan akan memakai pakaian campuran 'kimono' dan 'skirt'. Ia dikenali sebagai 'gho'. Jika hendak duduk, pastikan anda sentiasa memikirkan bahawa anda memakai skirt. Jika wanita sudah biasa dengan pemakaian skirt itu.

Ada lelaki yang duduk tanpa memikirkannya. Ahhh..sudah tentu pandangan yang pelik.

Apapun, lelaki Bhutan berbangga mengenakan 'gho'. Dengan stokin panjang.

Yang wanitanya pula ialah 'kira'.

(Kira yang dipakai oleh wanita Bhutan. Sumber gambar oleh Ven S Dhammika)



Posting Ketiga - 4.15 petang (Paro, 2.15 ptg - selepas makan tengahari)

Ada cerita dari Bhutan. Seorang wanita berjalan kaki sejauh 500 kilometer semata-mata untuk mengundi dalam pilihan raya. Ya... berjalan kaki sejauh itu. Seperti dari JB ke Perlis.

Dalam perjalanan melalui lebuhraya, ramai yang ingin menumpangkannya. Tetapi beliau tidak mahu. Pening kepala jika menaiki kereta. Jalan pun bagus, boleh kurus badan. Perrrggghhhh.

DIY sebulan di Bhutan? Kurus? Pasti. Gadafi perlu ke Bhutan untuk kurus sikit. Azmah? Murni? N? Ahha....Haida pun sesuai kot. YahMZ dirasakan teramatlah perlu.

Hasrat wanita Bhutan ini murni. Mahu memastikan beliau mengundi dalam pilihan raya. Alangkah baiknya ramai rakyat Malaysia seperti ini. Mahu menjadi pengundi yang bertanggungjawab dan bijak. Jangan semborono. Dapatlah Ahli Parlimen yang suka berhenti...apabila dia suka. Apa ni?

Posting Kedua - 3.10 petang (Paro, 1.10 ptg - berhenti makan tghari)

Pagi tadi terbangun awal. Gara-gara sudah kebiasaan bangun awal. Jam tangan menunjukkan 5.30 pagi. Bersiap sedia untuk mesyuarat sarapan pagi dengan Presiden, jam 7.30 pagi.

Rupa-rupanya baru 3.30 pagi. Bhutan dua jam ke belakang. Ada juga orang macam ini didunia.

Apapun mesyuarat berjalan lancar. Yang pelik, mata tidak mengantuk. Mungkin mesyuarat dijalankan dengan baik tanpa banyak 'cakap' atau 'omong kosong'.

Banyak ilmu dan pengetahuan mengenai anggota pertubuhan. Kelainan yang diperlukan.

Posting Asal - 10.59 pagI (berhenti minum pagi)

Salam dari Paro, Bhutan. Menghadiri satu mesyuarat penting mengenai kerjasama sebenua.

Baru kesempatan untuk berkongsi minda dan pengalaman. Ini kerana jauh di pendalaman dunia. Di bumbung dunia. Tetapi Paro di lembah hening. Telefon genggam terus digenggam. Tiada peluang untuk berkomunikasi.

Apapun, kedinginan di sini membolehkan saya melupakan kesibukan kota.

Wednesday, April 29, 2009

AL-FATIHAH

Isteri Ketua Menteri Sarawak, Puan Sri Laila Taib, meninggal dunia jam 3.45 petang ini.

Semoga roh Allahyarham akan ditempatkan bersama roh orang-orang yang soleh.

Al-Fatihah.

Tuesday, April 28, 2009

TERBAIK UNTUK RAKYAT (1)

Untuk menjadi terbaik, kita memerlukan pegawai yang terbaik. Untuk mencari pegawai terbaik, pada mulanya lihatlah di dalam. Jika tiada, lihatlah pula di luar. Ramai yang berbakat. Ramai yang terbaik.

Bagaimanapun, sanggupkah mereka bekerja dalam kerajaan? Apakah halangan sebenarnya? Adakah ia membabitkan imej penjawat kerajaan? Ataupun membabitkan gaji? Sudah tentulah ini yang perlu diberikan perhatian jika ingin memenuhi kemahuan Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan pagi ini di depan penjawat awam di PICC, Putrajaya mahu perkhidmatan kepada rakyat adalah yang terbaik. Untuk itu, beliau mahu pegawai yang terbaik dalam GLC atau sektor swasta diambil bekerja untuk kerajaan.

Pengambilan ini penting bagi menyuntik semangat baru dalam perkhidmatan awam. Semangat baru ini diharapkan akan menaikkan semangat penjawat awam lain dalam persaingan yang sihat. Adakalanya mereka boleh belajar daripada budaya korporat yang dibawa oleh orang GLC.

Dalam pada itu, tidak dinafikan perkhidmatan awam kini semakin baik dan ada antaranya lebih baik daripada sektor swasta. Perkhidmatan yang semakin baik ini mampu dilaksanakan kerana peneraju sektor awam mahu untuk berubah sejajar dengan perkembangan semasa.

Umpamanya, jika sebelum ini untuk mendapatkan pasport saja mengambil tempoh masa yang lama. Tetapi sekarang dalam masa beberapa jam saja, pasport anda sudah tersedia. Malah perkara ini disentuh oleh DS Najib dalam ucapan pagi ini.

Sebenarnya, jika penjawat awam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, sudah tentu kerajaan tidak dimusuhi atau dibelasah sepanjang masa.

Monday, April 27, 2009

HARAPAN TINGGI TERHADAP RAIS

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
(Utusan Malaysia)

KEMBALINYA Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim ke Kementerian Penerangan dan penyusunan semula tiga kementerian di bawah Rais memperlihatkan anjakan dalam barisan Kabinet baru.
Kementerian Penerangan; Kementerian Kebudayaan, Perpaduan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi kini dikenali sebagai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Pembentukan Koridor Raya Multimedia (MSC) pada akhir 90-an dianggap sebagai pencetus dasar "langit terbuka Malaysia". Ia menjadikan Akta Penyiaran (Pindaan 1997) sudah tidak relevan. Akta itu terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Penerangan untuk mengawal selia stesen penyiaran kerajaan dan juga swasta.

Disebabkan Akta Penyiaran tidak relevan dengan dasar langit terbuka, maka pada 1999 diwujudkan Akta Komunikasi dan Multimedia dan penubuhan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Ini membuatkan kawal selia di bidang penyiaran berpindah dari Kementerian Penerangan kepada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.

Cabaran utama penyiaran negara ini adalah untuk memastikan isi kandungan berpaksikan kepada tatasusila budaya setempat.

Tetapi dasar langit terbuka pula difahami sebagai suatu yang menuntut keterbukaan seluas-luasnya tanpa sempadan. Maka banyak larangan dalam Akta Penyiaran sudah tiada dalam Akta Komunikasi dan Multimedia.

Kelonggaran dan SKMM mengakibatkan ada stesen penyiaran yang sudah terpesong jauh dan menjadi pemangkin kepada penularan budaya songsang dari luar. Semua ini tidak menjadi suatu yang sensitif dalam Akta Komunikasi dan Multimedia. Apa lagi ia terpisah dengan kementerian yang bertanggungjawab dalam hal-hal kebudayaan dan kesusilaan.

Kerana itu apabila kerajaan menyusun semula Kementerian Penerangan yang di dalamnya ada kebudayaan dan juga hal ehwal komunikasi, ia diharap memperlihatkan keterbukaan yang ada batasan. Banyak perkara yang ada dalam Akta Penyiaran dulu perlu diberi perhatian oleh kementerian baru ini. Antaranya isi kandungan di stesen penyiaran tempatan.

Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, pemilihan Dr Rais menerajui kementerian itu tepat kerana beliau memahami soal budaya dan prihatin mengenainya.

"Saya berharap kementerian ini akan memberi penekanan kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan dalam bidang penyiaran dan komunikasi," tegas beliau. Menurutnya, kementerian baru itu harus memberi penekanan untuk memahamkan rakyat mengenai Perlembagaan Malaysia terutama Akta 152 yang menyentuh tentang kedudukan bahasa Melayu.

Selama ini bahasa Melayu terpinggir dan diletakkan pada kedudukan yang tidak sewajarnya. Menggunakan bahasa Melayu bukanlah bererti sudah memartabatkan bahasa Melayu kalau tidak dengan susun kata dan nahu yang betul.

Apabila bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan, ini bukan bahasa orang Melayu tetapi bahasa rasmi rakyat Malaysia. Tidak ada pihak lain yang lebih berpengaruh daripada media elektronik. Kalau media elektronik dimanfaatkan untuk memacu jurus pemikiran rakyat ke arah pembangunan minda, hasilnya lebih ketara.

Menggabungkan bidang penyiaran, komunikasi dan kebudayaan di bawah satu kementerian adalah langkah pragmatik untuk mengatasi kerenah birokrasi. Ini kerana ketiga-tiga bidang ini berhubung kait antara satu dengan lain. Malah penyusunan semula ini juga akan mengangkat kedudukan Kementerian Penerangan yang telah diambil bidang kuasanya selepas kewujudan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sebelum ini ada pihak mempersoalkan Kementerian Penerangan apabila ada stesen televisyen swasta yang sewenang-wenang melanggar adab dan etika budaya dalam isi kandungannya. Tetapi hakikatnya itu di luar bidang kuasa kementerian itu. Kandungan di stesen televisyen sekarang begitu kacau-bilau dan pengaruh budaya luar sangat ketara. Sama ada radio atau televisyen, kedua-duanya semakin hilang adab. Tetapi semua ini dianggap sebagai "pembaharuan" yang mesti diterima di bawah dasar langit terbuka.

Walaupun kita menjengah langit terbuka tetapi stesen-stesen penyiaran tempatan perlu memahami tanggungjawab sosial selain tuntutan perniagaan. Persaingan dalam bidang penyiaran dengan kewujudan lebih banyak stesen penyiaran belum memberikan yang terbaik kepada masyarakat. Malah jauh lebih buruk daripada segi nilai berbanding isi kandungan RTM ketika belum wujud stesen swasta.

Jangan terkejut atau pura-pura terkejut kalau dikatakan ada stesen penyiaran negara ini menjadi pemangkin yang merosakkan bahasa Melayu. Malah membawa gaya hidup hedonisme dalam isi kandungan penyiaran. Semua ini berlaku dengan bebas tanpa sebarang sekatan selepas Kementerian Penerangan tidak mempunyai kuasa ke atas stesen penyiaran swasta.

Ada stesen penyiaran yang dengan sengaja memaparkan campur aduk bahasa Melayu dengan Inggeris dan menjadi satu prasyarat untuk membolehkan sesebuah program diterima oleh stesen berkenaan. Malah Dr Rais diharap akan memulihkan kembali kedua-dua saluran televisyen RTM supaya berada pada landasan yang sewajarnya. RTM perlu menjadi agen pembudayaan dan bukan agen propaganda murahan.

Dengan tercetusnya fenomena baru bidang komunikasi iaitu kewujudan jutaan blog yang digerakkan oleh blogger, Rais diharap dapat memanfaatkan ruang undang-undang yang ada untuk mendisiplinkan sesetengah blogger. Tindakan undang-undang diperuntukkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia ke atas individu yang menyebarkan berita palsu dan juga fitnah. Biarlah kalau ada pihak yang menganggap penguatkuasaan undang-undang komunikasi sebagai mengekang kebebasan media. Kalau mereka sedar, kewujudan Internet di negara ini adalah satu tanda kebebasan media.

Dengan kecanggihan teknologi komunikasi, penyebar fitnah atau berita palsu boleh dikesan dalam sekelip mata. Tetapi malangnya sebelum ini peruntukkan undang-undang yang ada dijadikan perhiasan. Undang-undang komunikasi tidak digunakan semaksimum mungkin untuk memberi keadilan kepada mangsa yang difitnah.

Undang-undang adalah perlu untuk mendidik rakyat bertanggungjawab di atas sesuatu yang dilakukan. Rakyat wajar membezakan antara pandangan yang kritikal dengan fitnah. Dan kita memerlukan pandangan kritikal bukan fitnah.

Maka harapan yang tinggi diletakkan ke bahu Rais yang sebelum ini memimpin Kementerian Kebudayaan, Perpaduan, Kesenian dan Warisan dengan jayanya. Pemilihan tokoh yang memahami dan prihatin kepada soal budaya dan adab susila seperti Dr Rais di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dijangka mengubah kesongsangan yang ada. (Penulis ialah Penolong Pengarang )

Saturday, April 25, 2009

SELANGOR LAWAN KELANTAN

Malam ini kemuncak Piala FA antara Selangor dan Kelantan.

Pasukan mana pilihan anda dan rasional pemilihan itu.

Saya rasa pasukan Selangor akan menjadi juara dengan kemenangan 3-2.

RTM akan menyiarkan siaran langsung mulai jam 9 malam di TV1.

Selamat memberi pandangan.

Selamat menonton RTM.

Program sukan terbaik hanyalah di RTM.

ADA JUGA MANUSIA MACAM INI

Pagi Sabtu ini, eloklah saya ceritakan satu kisah menarik.

Alkisah ada satu cerita mengenai seorang teman.

Beliau tidak gemar berjalan jauh apatah lagi menggunakan kapalterbang. Demi tugas, adakalanya beliau terpaksa juga menggunakan kapalterbang.

Yang peliknya, beliau akan telan pil tidur. Maka tidurlah beliau sehingga sampai ke tempat yang ingin dikunjungi. Bantuan untuk membolehkan beliau bangun dari tidur ialah jam loceng.

Alkisahnya, satu ketika beliau pun telan pil tidur selepas menaiki kapalterbang. Tetapi 'dosa besar' yang dilakukannya ialah tidak menekan punat 'senyap' kepada jam locengnya.

Hendak menjadi cerita, beliau yang sedang 'mamai' dikejutkan oleh pramugari yang menjerit kepadanya, 'halo, apakah anda ingin mengejut penumpang lain dengan bunyi jam loceng itu'.

Ketika itu, beliau melihat ramai penumpang yang menunjukkan 'muka marah' mereka atau 'bengang' kerana dikejutkan oleh bunyi jam loceng berkenaan. Waduh-waduh, tentulah bisingnya satu kapalterbang. Nasib baik pilot tidak terkejut dan berpatah balik.

Pengajarannya ialah jika hendak telan ubat tidur, tekanlah punat 'senyap' pada jam loceng anda. Jangan menyusahkan orang lain. Jangan paksa orang bangun disebabkan 'kepintaran' kita. Jangan kejut orang yang sedang dilamun mimpi.

Sendiri mau ingatlah.

Friday, April 24, 2009

MARI KITA TONTON BOLA

Esok, saya akan menonton perlawanan akhir bolasepak di Stadium Bukit Jalil antara Selangor dengan Kelantan. Harap-harap permainan yang bermutu akan dipersembahkan oleh kedua-dua pasukan. Jika tidak rugi masa saja. Ataupun lebih baik relaks di rumah selepas penat bekerja.

Apapun, sebagai rakyat negara ini, saya amat berharap mutu permainan pasukan bolasepak negara dipertingkatkan daripada semasa ke semasa. Bukan di takuk lama. Bukan di tangga yang 'memalukan' dalam kedudukan carta FIFA. Apa sudah jadi? Perlulah baiki.

Jika kita mengambilkira kedudukan pasukan futsal negara, sudah tentulah boleh dijadikan matlamat. Pasukan futsal negara kini adalah nombor dua dalam ASEAN dan nombor 10 atau 11 di Asia. Bolehlah tahan juga berbanding bolasepak - kategori ratus.

Marilah sama-sama kita memikirkan bagaimana untuk mempertingkatkan mutu permainan bolasepak di negara ini. Apa caranya? Kita fikirkan sendiri. Mari duduk ramai-ramai dan cari punca masalahnya. Kepemimpinan? Jika ia adalah penghalang, apakah rancangan kita untuk mengubahnya.

Permainan bolasepak amat digemari di negara ini. Hampir semua kanak-kanak lelaki yang gemar bersukan, sudah pasti tahu bermain bola. Jika ada kaki dan bola, sudah pasti permainan itu boleh bermula.

Ketika ini, banyak tanah-tanah kosong dan padang untuk bermain bola. Di bandar, mungkin sudah kurang kerana pembangunan. Tetapi di kampung masih banyak kawasan lapang untuk bermain bola.

Apakah halangannya yang menyebabkan mutunya merosot? Mungkin pemain kita tidak bersemangat seperti di masa lalu? Mungkin tiada lagi insentif untuk mengekalkan minat mereka? Apakah pemikiran mereka dikongkong? Apakah mereka sudah penat bermain? Perlukan mencari lebih ramai pemain baru? Semua ini perlu difikirkan agar pasukan bolasepak kita menjulang kembali.

Saya amat yakin Menteri Belia dan Sukan, Dato' Ahmad Shabery Cheek, mampu melakukan sesuatu. Memantapkan pasukan bolasepak negara.

Ini kerana DASC seorang yang dinamik, berfikiran membina bukan jumud, suka menerima nasihat dan teguran dan yang paling penting sentiasa mahu menjadi yang terbaik. Ayuh, DASC marilah kita bersama-sama membangunkan kembali tahap pasukan bolasepak kita.

Jika kita biarkan ia terus di tahap ini, maka ia akan reput dan hancur.

Thursday, April 23, 2009

TAKYAH PERMAIDANI MERAH

Mula hari ini, berhentikan sambutan meriah untuk pemimpin. Tiada lagi permaidani merah. Bukan tidak hormat tetapi sekadar untuk berjimat-cermat. Takkan tidak sedar bahawa kita sekarang merasai 'bahang' kemelut ekonomi dunia.

Kawan saya yang menjalankan restoran yang untuk golongan pertengahan dan atasan kini "tercungap-cungap" untuk mendapat pelanggan. Nasib baiklah perniagaan sampingan iaitu kateringnya dapat membantu beliau membayar gaji kepada pekerjanya.

Berbalik kepada sambutan tadi, saya rasa semua orang bersetuju dengan langkah ini. Ejen kenit memberitahu saya bahawa Perdana Menteri juga turut bersetuju agar sambutan besar-besaran ini diberhentikan untuk memastikan langkah berjimat-cermat ini benar-benar dilaksanakan. Bukan cakap di mulut saja tetapi mengamalkannya.

Bayangkan jika setiap pemimpin 'turun padang', maka berapa banyak wang akan habis untuk menyiapkan pelbagai perkara termasuk minuman dan makanan, tempat duduk, khemah atau peralatan audiovisual dan sebagainya. Adakala perbelanjaan memakan ratusan ribuan ringgit. Kali ini kita berjimatlah untuk memastikan duit ada untuk masa depan.

Satu lagi dalam majlis tertentu, tidak payahlah membuat 'salutation' sampai berjela-jela sehingga menyebabkan orang menjadi bosan. Terus saja ke matlamat ucapan. Business like. Cukuplah menyebut beberapa nama saja atau tetamu kehormat saja.

Memanglah bangsa Malaysia digalakkan untuk berbudi bahasa tetapi cukuplah menyebut beberapa nama saja. Jangan pulak datang lambat, ucapan berjela-jela pasti rakyat akan menjadi marah. Kini perlu fikir betul-betul. Rakyat mesti selalu diutamakan. Amacam, setuju tak?

Monday, April 20, 2009

GUNAKAN ROTAN APABILA PERLU

Lobak dan rotan. Jika hendak memastikan sesuatu perkara itu diikuti atau dipatuhi, adakalanya kita perlu menggunakan lobak. Memberi muka atau insentif tertentu. Ada masanya pula kita menggunakan rotan. Menggunakan kuasa atau menguatkuasakan undang-undang.

Pemilihan kaedah ini bergantung kepada keadaan. Jika keadaan tidak berkecamuk, mungkin kaedah menggunakan lobak amat sesuai. Zaman selesa dan tiada masalah. Ketika keadaan tidak menentu atau ada pihak degil untuk mengikut kata, mungkin sesuai untuk menggunakan rotan.

Umpamanya dalam bidang komunikasi membabitkan stesen penyiaran, usaha bersepadu perlu ada untuk menjayakan konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri. Satu Malaysia adalah satu konsep dan amalan. Ia perlu dihayati oleh rakyat semua peringkat.

Untuk itu siapa yang bertanggungjawab? Sudah tentu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang perlu memantau kandungan stesen penyiaran agar sentiasa membantu menjayakan Satu Malaysia atau program kerajaan lain seperti Kempen Budi Bahasa.

Fungsi Bahagian Pemantauan SKMM perlu disemarakkan. Ia perlu diperkukuhkan agar semangat dan keberkesanan penguatkuasaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM98) diserlahkan sebagai perundangan yang perlu dipatuhi oleh pengamal media.

Bahagian Pemantauan SKMM perlu mengawal selia dan menguatkuasakan semua peraturan yang terkandung dalam Kod Kandungan AKM98 terhadap semua stesen penyiaran agar mereka sentiasa berhati-hati dalam menyiarkan semua rancangan TV. Tiada kompromi terhadap perkara-perkara dasar ini apatah lagi apabila menceritakan usaha membina negara bangsa.

Mungkin ada keperluan Kod Kandungan AKM98 disemak semula. Sebarang kelemahahan boleh dibaiki agar stesen penyiaran sedar "satu hari nanti'' mereka yang nakal akan dirotan.

Kod kandungan mestilah berupaya menjadi kod etika yang lengkap bagi mengawasi program tempatan dan luar Negara.

Kod Kandungan hendaklah berupaya menjadi satu garis panduan dan tatacara yang unggul dalam menentukan kandungan yang dipersembahkan kepada penonton oleh penyedia perkhidmatan dalam industri komunikasi dan multimedia Malaysia bermutu tinggi dan menepati norma atau nilai tempatan yang menjadi tunggak pembentukan Negara Bangsa.

Satu Malaysia - konsep dan amalannya perlu dijayakan oleh semua pihak.

Sunday, April 19, 2009

MEMBINA NEGARA BANGSA

JELEBU 19 April — Media swasta termasuk televisyen dan radio diminta membuat pembaharuan dengan meletakkan kepentingan negara di hadapan nilai komersial mereka.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Dato Seri Utama Dr Rais Yatim berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan media swasta dalam masa terdekat bagi membincangkan pembaharuan yang akan dilakukan itu agar ia memenuhi aspirasi membina negara.

Pembaharuan itu bagaimanapun akan dibuat supaya tidak merugikan amalan komersil dan nilai keuntungan yang menjadi tunjang utama pihak swasta ini, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Seni Budaya di Simpang Pertang hari ini.

DSU Dr Rais berkata beliau telah meneliti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang menyentuh tidak kurang dari 52 peranan menteri berkaitan untuk menggerakkan jentera kerajaan dan swasta bagi membina negara dan bangsa Malaysia,

“Jika semua media mematuhi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, isu menyalahkan mereka oleh beberapa pihak tidak akan timbul...soalnya sekarang ialah ada saluran yang langsung tidak membawa mesej membina negara bangsa,” katanya. - BERNAMA

Ikuti temuramah Mingguan Malaysia hari ini dengan Dr Rais di di sini .

(Renungan Rimau : Jika semua stesen penyiaran negara ini mengutamakan kepentingan negara daripada segala-galanya, maka AKM 98 tidak perlu digunakan apatah lagi semua orang memahami Kod Kandungan yang terkandung dalam AKM 98. Cuma adakah stesen swasta melantik kumpulan pemantau yang mengawal selia kandungan itu terdiri mereka yang benar-benar layak atau setengah masak? Jika separuh masak, sudah tentu program yang disiarkan tidak akan membantu negara, malah boleh meruntuhkan bangsa. Fikir-fikirlah.)