Saturday, January 31, 2009

KARNIVAL SUKAN BES RTM PAGI ESOK

Posting Kedua - 12.40 malam

Ucapan takziah kepada sahabat saya, Datuk Hafifi Hafidz, atas pemergian anak lelakinya ke rahmatullah petang tadi.

Majlis pengkembumian akan diadakan pada jam 10 pagi esok.

Semoga roh anaknya ditempatkan bersama-sama orang-orang yang soleh.

Al-fatihah.

Posting Asal- 10.07 malam

Bagi menjalinkan silaturahim antara kakitangan, Bahagian Berita Ehwal Semasa (BES) RTM akan menganjurkan Karnival Sukan di padang RTM mulai jam 9 pagi esok.

Jurucakap penganjur, Jalil Mat Dom, berkata karnival ini adalah acara tahunan BES sejak 2005.

Sebelum ini ia dikenali sebagai Piala Merdeka RTM iaitu satu pertandingan bolasepak antara unit dalam BES.

Untuk tahun ini, program itu diperkembangkan lagi yang meliputi sukan rakyat termasuk acara tarik tali dan juga pertandingan untuk kanak-kanak dan wanita.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada penaja utama karnival Pos Malaysia Bhd dan penaja lain termasuk F & N.

Karnival itu akan dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Datuk Kamaruddin Siaraf.

Friday, January 30, 2009

PAKLAH KATA NASARUDIN LEMAH

Paklah jarang memarahi orang, walaupun ramai yang marah padanya. Pelbagai gelaran diberikan kepadanya termasuk lembik dan lemah. Namun, beliau tetap tabah dan berusaha memperbaiki segala kekurangan itu termasuk parti yang diterajuinya.

Hari ini, dalam akhbar giliran Paklah pula menyatakan kemarahannya kepada ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang menyertai PKR Ahad lalu. Baginya, ADUN Bota itu "lemah" kerana meletakkan kepentingan diri daripada perjuangan UMNO. Sebagai ahli dan pemimpin UMNO, kata Paklah, semua orang ada masalah dan perlu berani untuk menghadapinya.

Beliau layak berkata demikian kerana selepas PRU ke 12 Mac lalu, Paklah tidak merajuk atau lari daripada gelanggang tetapi terus berusaha untuk mengukuhkan parti termasuk bertemu dengan ahli dan pemimpin UMNO dari seluruh negara. Itupun, beliau dituduh menggamalkan "politik wang" disebabkan mahu bertemu ahli akar umbi.

Ahli dan pemimpin UMNO, janganlah jadi lemah kerana masalah tertentu. Beranilah menghadapinya walaupun negeri kini tumbang di tangan orang lain. Kalau kita lemah, jangan mengharapkan orang akan menjadi lemah. Mereka akan menjadi kuat.

Thursday, January 29, 2009

PERAK DAPAT MENTERI BESAR BARU?

Perkembangan politik di Perak kini dikatakan semakin menarik dengan usaha terbaru BN dan pembangkang untuk "menawan" hati ADUN di Perak menyertai parti mereka. Ini untuk membolehkan pertambahan kerusi DUN bagi parti mereka.

Ketika ini, pembangkang mempunyai 32 kerusi daripada 59 kerusi DUN termasuk ADUN Bota manakala BN pula mempunyai 27 kerusi. BN hanya memerlukan tiga kerusi lagi untuk membentuk kerajaan negeri dan ketika ini mereka dikatakan sudah berjaya "menawan" tiga ADUN pembangkang.

ADUN pembangkang itu dikatakan berminat menyertai BN kerana beberapa faktor termasuk isu pemberian tanah 999 tahun kepada penduduk kampung baru. Mereka rela mengorbankan kepentingan parti demi kepentingan bangsa selain naik muak dengan pasangan keluarga dalam DAP yang memberi arahan melampau-lampau sehingga tidak masuk akal.

BN dikatakan sedang bersiap sedia untuk mengambilalih kerajaan negeri jika apa yang dilakukan sejak sebulan lalu menjadi kenyataan. Sudah pasti mereka perlu mencari seorang pemimpin untuk menjadi Menteri Besar Perak yang baru.

Perletakan jawatan Datuk Seri Tajol Rosli sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri membolehkan usaha melantik seorang muka baru menjadi kenyataan. Beberapa nama disebut akan mengambilalih jawatan itu pada masa akan datang. Perak tidak ketandusan pemimpin termasuk mereka yang mempunyai kelayakan doktor falsafah seperti Datuk Dr Zambry Abdul Kadir yang dilihat antara pemimpin pelapis negeri itu.

Bagaimanapun, pembangkang pula membuat dakwaan bahawa dua lagi ADUN BN akan menyertai mereka membolehkan jumlah kerusi pembangkang meningkat kepada 35 kerusi. Jika ini berlaku, sudah tentu BN sukar untuk mencapai impian mereka.

Wednesday, January 28, 2009

JANGAN TIPU DAN KECEWAKAN PENGUNDI

Oleh : Ibrahim Yahaya
(Sinar Harian/ Rabu / 28-1-09)


Wakil rakyat bertukar parti bukan satu perkara yang luarbiasa. Ada wakil rakyat yang berpindah parti ketika masih menjadi Adun atau Ahli Parlimen. Ada juga yang menyertai parti lain selepas tamat menjadi wakil rakyat. Ada juga yang tidak pernah menjadi wakil rakyat tetapi bertukar parti selepas berbelas tahun berjuang dalam parti sejak zaman muda lagi. Mereka mempunyai alasan tersendiri.

Apabila ahli atau pemimpin parti pembangkang menyertai Barisan Nasional (BN), persepsi ramai ialah individu itu mungkin akan diberikan ganjaran tertentu sama ada dalam bentuk jawatan atau pengiktirafan. Ada yang diberikan serta-merta dan ada juga dalam tempoh tertentu. Nasib badan masing-masing.

Bagi yang menyertai BN menjelang Plihanraya Umum, sudah pasti persepsi masyarakat ialah individu itu akan dipilih sebagai calon BN terutama di kawasan asalnya. Keadaan ini adakalanya menimbullkan rasa kurang senang terutama bagi mereka yang sudah menanam cita-cita untuk menjadi wakil rakyat menyebabkan BN tidak mendapat sokongan sepenuhnya kerana ada pihak yang merajuk atau membawa diri. Yang lebih menyedihkan berlakunya perbuatan sabotaj daripada mereka yang diketepikan.

Ada juga individu yang menyertai BN khasnya UMNO kerana tertarik dengan pendekatan pemimpin tertinggi seperti dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan kagum dengan kepemimpinan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Namun ada juga yang menyatakan Dr Mahathir yang berusaha memujuk DSAI menyertai UMNO agar pemimpin ABIM itu tidak menyertai PAS. Selebihnya adalah sejarah.

Tahun lalu, orang kanan DSAI, Ezam Mohamad Nor, yang pernah menjadi ahli UMNO dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyertai semula UMNO kerana yakin dengan kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ezam amat menyanjungi usaha Paklah menghapuskan rasuah dan penyelewengan.

Ezam turut berkempen di Pilihanraya Kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu yang tentu ingin mendedahkan segala penyelewengan DSAI selama ini. Malangnya, ramai yang merasakan usaha beliau itu bukan saja tidak memberi kesan tetapi juga menyebabkan banyak kerja “memperbetulkannya” selepas itu.

Kebelakangan ini, beberapa pemimpin UMNO menyertai pembangkang termasuk Kapten (B) Zahar Hashim yang menyertai PAS. Ada yang menyatakan tindakan itu ada kaitan dengan permohonan projeknya ditolak atau tidak mendapat tempat lagi di kalangan pemimpin tertinggi parti.

Ahad lalu, ADUN Bota, Perak Datuk Nasarudin Hashim menyertai PKR kerana yakin parti itu boleh menjadi parti alternatif untuk orang Melayu di samping tidak senang dengan pergolakan yang berlaku dalam UMNO terutama kemelut kepemimpinan dan politik wang.

Dalam kenyataan akhbar Nasaruddin yang diperoleh dari laman web Ketua Umum PKR, DSAI, Adun Bota itu berkata, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya penyokong dan pengundi di kawasan DUN Bota. Apa pula kata mengundi? Perlukah Nasaruddin meletakkan jawatan?

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Nasaruddin menewaskan calon PKR, Kapten (B) Usaili Alias dengan majoriti 2,068 undi. Beliau memperoleh 6,556 undi. Nasaruddin adalah wakil rakyat BN pertama menyertai parti pembangkang selepas pilihan raya umum ke-12. Dengan penyertaan itu, pakatan pembangkang kini mengukuhkan lagi penguasaan mereka di Perak dengan 32 kerusi DUN berbanding 27 daripada BN.

Penyertaaan Nasaruddin dalam PKR tidaklah satu perkara mengejutkan kerana memandangkan apa yang berlaku kepadanya kebelakangan ini. Beliau yang sebelum ini menjadi Ahli Parlimen Parit diminta bertanding di DUN Bota pada PRU ke 12 yang lalu. Selain itu, jawatan beliau sebagai Pengerusi Felcra tidak disambung dan kekalahannya dalam pertandingan Ketua Bahagian Parit tahun lalu pasti meruntun jiwa. Hati mana yang tidak panas jika tidak terpilih menjadi Ketua Bahagian kerana faktor tertentu.
Persepsi ramai sudah tentu menyatakan tindakan Nasaruddin itu sebagai orang yang kecewa atau tidak mempunyai harapan lagi dalam parti. Itu mungkin pandangan orang jika dilihat daripada peristiwa yang berlaku dalam kerjaya politik Nasharuddin. Bagaimanapun, faktor sebenar hanya beliau saja yang tahu.

Bagaimanapun, ada pula yang menyatakan kemasukan Nasaruddin dalam PKR sebagai persediaan pembangkang untuk menukar Menteri Besar Perak sekarang. Alasan yang dinyatakan mereka ialah Datuk Seri Nizar Jamaluddin tidak mampu menghadapi tekanan daripada pemimpin DAP terutama Pengerusi DAP Negeri yang dikatakan berlagak sebagai “diktator” yang membuat pelbagai arahan kepada Nizar.

Arahan terbaru DAP agar diberikan tempoh 999 tahun kepada pemilik tanah di Kampung Baru menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pemimpin Melayu pembangkang yang melihat ini adalah tindakan menghakis “Ketuanan Melayu” dari segi pegangan tanah di negara ini.

Oleh itu, pemimpin pembangkang Melayu Perak mengkehendaki seorang MB yang lebih tegas dan tidak bertindak seperti lembu dicucuk hidung yang mengikut sesiapa saja yang menariknya. Pemimpin baru itu mesti berani menghadapi DAP terutamanya isu yang membabitkan kepentingan bangsa Melayu.

Pemimpin baru itu mesti mengetahui apa yang dilakukan oleh DAP selama ini termasuk “menyerbu masuk” SEDC dan Perbadanan Pertanian Perak untuk melihat apa yang boleh mendatangkan keuntungan kepada penghuni kampung baru di samping untuk mendapatkan undi bukan Melayu.

Ini penting untuk dijadikan hujah ketika berbincang dengan pemimpin DAP agar segala tindakan pembangkang di Perak bukan saja menyakitkan hati bangsa Melayu tetapi juga Sultan Perak yang amat mengambil berat dengan perkembangan yang dilakukan oleh kerajaan negeri.

Berbalik kepada tindakan Nasaruddin, ramai pemimpin Perak termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali menyifatkan tindakan Adun Bota itu sebagai amat mengecewakan dan tindakan seorang pembelot kepada parti serta bangsa Melayu. Tindakan yang amat jelik dan menjengkelkan.

Mereka juga berharap Nasaruddin akan pulang ke pangkal jalan bagi membantu UMNO menghadapi pembangkang dalam PRU ke 13. Penyertaannya dalam PKR bukanlah satu perkara besar tetapi menjejaskan imej UMNO Perak dan pasti mengecewakan Paklah dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagi DS Najib, adalah tidak wajar wakil rakyat BN meninggalkan parti semata-mata kerana masalah peribadi atau perasaan tidak puas hati. Tidak puas hati dengan siapa?

Timbalan Perdana Menteri berkata, adalah juga tidak wajar bagi wakil rakyat BN mengetepikan parti ketika sokongan dan kesetiaan mereka kepada parti amat diperlukan. Tidak pernahkah Adun Bota terfikir apa yang telah diberikan oleh parti kepadanya?

''Semua wakil rakyat yang berniat meninggalkan parti mesti faham bahawa UMNO dan BN telah terlalu banyak menabur jasa kepada rakyat dan negara pada keseluruhannya,'' katanya selepas majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Parti Gerakan di Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Najib ditanya tindakan Nasaruddin menyertai PKR.

Ditanya sama ada beliau akan bertemu Nasaruddin berhubung tindakan tersebut, Najib berkata, beliau tidak berbuat demikian sebaliknya akan berjumpa DS Tajol Rosli sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak untuk mengetahui cerita sebenar.
"Saya agak terkejut dengan perkara ini. Walaupun dua hari lalu kita ada dengar ura-ura beliau akan melompat parti, tetapi ia masih lagi memberikan kejutan kepada kita," katanya.

Ditanya adakah BN akan mengambil tindakan memujuk Nasaruddin supaya membatalkan hasratnya, Najib berkata: "Saya berharap ini boleh dilakukan.

''Tetapi nampaknya dia (Nasaruddin) bersungguh-sungguh dan sangat serius dengan tindakannya, jadi kita akan tengok apakah yang boleh dilakukan".

Sementara itu bercakap kepada pemberita di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina MCA di Wisma MCA di Kuala Lumpur, Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO menafikan ada ramai lagi ADUN yang akan meninggalkan BN.

Beliau berkata, cakap-cakap berhubung kemungkinan lebih ramai ADUN BN menyertai pembangkang hanyalah khabar angin dan tidak boleh dipercayai. "Semua itu khabar angin sahaja, saya tidak fikir (ada lagi yang akan berpaling tadah)," katanya.

Kesimpulannya penyertaan Nasaruddin dalam PKR seharusnya dijadikan satu perkara yang diberikan perhatian berat oleh UMNO bagi memastikan ia tidak menjejaskan imej parti berkenaan.

Walau apapun alasan yang ingin diberikan oleh pemimpin UMNO Perak termasuk menuduh Nasaruddin sebagai seorang yang kecewa tetapi hakikatnya bagaimana seorang pemimpin UMNO yang telah menghayati dasar perjuangan parti itu beralih arah. Apa sudah jadi?

Tindakan Nasaruddin itu sudah pasti memberikan “peluru” kepada parti pembangkang terutama PKR untuk memperbaharui propaganda mereka bahawa lebih ramai wakil rakyat BN akan menyertai pembangkang dan seterusnya membolehkan mereka menubuhkan kerajaan.

Walaupun beliau hanya seorang Ahli DUN tetapi ia satu tindakan “lompat” yang dicanang oleh DSAI selama ini tambahan pula kemenangan PAS yang juga sekutu rapat PKR di Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu P036 yang menyaksikan Mohd Abdul Wahid Endut menewaskan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Jika selama ini, dakwaan DSAI untuk menubuhkan kerajaan pada 16 September 2008 adalah satu lawak jenaka terbesar tetapi perkembangan terbaru ini pasti memberikan semangat kepada parti pembangkang untuk mewar-warkan bahawa mereka kini sudah bersedia.

Apakah kenyataan “apa dah jadi?” akan menjadi “tidak lama lagi akan jadi” yang secara langsung memberi kekuatan baru kepada pembangkang walaupun ia satu pembohongan atau angan-angan mat jenin.

Tuesday, January 27, 2009

TAKYAHLAH BERARAK ESOK

Timbalan Ketua Polis Negara, TS Ismail Omar, menasihatkan mereka yang ingin mengadakan perarakan haram atau turut serta beramai-ramai sempena pengkebumian A Kugan tidak berbuat demikian esok.

Perarakan haram ini, katanya, adalah perbuatan melanggar undang-undang negara dan pihak polis tidak ada pilihan lain melainkan bertindak terhadap mereka yang degil.

Perarakan haram itu sudah pasti tidak sihat untuk negara yang mempunyai pelbagai bangsa dan kaum ini.

Bayangkan apabila ada orang yang mengambil kesempatan daripada perarakan haram itu dengan menimbulkan suasana yang boleh mencetuskan keadaan yang tidak diingini.

Minta dijauhkanlah demi kepentingan negara ini. Jangan ikut emosi kerana polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang didapati bersalah atau menyebabkan kematian Kugan.

Eloklah ikut nasihat polis itu.

Monday, January 26, 2009

ADA KE LAGI WAKIL RAKYAT BN LOMPAT?

TPM, DS Najib Tun Razak berkata cakap-cakap politik pemimpin pembangkang yang mengatakan lebih ramai wakil rakyat BN akan melompat menyertai mereka adalah khabar angin.

Kenyataan TPM itu sudah tentu untuk menangkis dakwaan yang dikeluarkan oleh pembangkang sebagai satu propaganda terbaru mereka berikutan tindakan ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim, semalam menyertai PKR.

Dalam pada itu, pemimpin BN Perak masih menaruh harapan agar Nasaruddin akan berubah fikiran dan menyertai semula UMNO. Ini penting untuk memastikan BN dapat menguasai Perak dalam Pilihanraya UMUM ke 13 nanti.

Sunday, January 25, 2009

ADUN BOTA MASUK PKR

ADUN Bota, Perak - Datuk Nasaruddin Hashim, menyertai PKR.

Beliau yang dulunya Ahli Parlimen Parit, kalah dalam pemilihan Ketua Bahagian Parit yang lalu.

Khidmatnya sebagai Pengerusi Felcra juga tidak disambung.

Dari Parlimen ke DUN dan kini menyertai PKR.

Saya mengenalinya ketika kami bekerja dengan seorang rakan menjual bunga 13 tahun lalu. Saya memegang jawatan Naib Presiden syarikat itu. Syarikat bunga itu kini menjadi syarikat multinasional yang mempunyai perniagaan di luar negara.

Selepas itu, saya bertemu Nasa di Parlimen dan saling bertukar nombor telefon. Tetapi tidak berhubung.

Kini, beliau menyertai PKR.

Ada cerita bahawa beliau mungkin menjadi Menteri Besar Perak yang baru.

Mengapa Nizar mahu digantikan? Mungkin sebab terlalu mengikut kata DAP kot. Ada kata Raja-raja Melayu pun marah tindakan beliau yang mengikut telunjuk DAP. Betul ke?

SIAPA SURUH THE STAR BUAT CERITA?

Oleh AgendaDaily

Bekas Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin mengeluarkan satu kenyataan untuk menyangkal spekulasi yang mengaitkan beliau melobi untuk menjadi Duta Malaysia ke Indonesia.

Ini ekoran laporan dalam akhbar The Star Sabtu mengenai adanya dua orang bekas Menteri yang melobi Putra Jaya untuk jawatan itu.

Beliau mengakui soal perlantikannya untuk jawatan itu pernah sekali sahaja dibincangkan dengan Perdana Menteri Abdullah Badawi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Abdul Razak dan Menteri Luar Rais Yatim tetapi tidak lebih dari itu.

Namun katanya memandangkan usianya sekarang beliau merasa adalah wajar baginya untuk bersara terus dan menulis memoir pengalamannya yang terlalu banyak dalam kewartawanan dan politik tanah air.

“Dengan ini saya berharap cerita mengenai saya sebagai bakal duta Duta Malaysia ke Indonesia ditamatkan dan digugurkan dari pencalonan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan petang Sabtu itu.

BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH BEKAS MENTERI PENERANGAN DATUK SERI ZAINUDDIN MAIDIN MERUJUK KEPADA BERITA THE STAR 24 JANUARI 2009

Ramai yang telah bertanya tentang kemungkinan saya menjadi Duta di Jakarta. Maka dengan itu berita mengenai adanya dua orang bekas menteri yang melobi Putra Jaya untuk jawatan itu( Star hari ini ),tentulah saya salah seorang yang dimaksudkan.

Saya suka menjelaskan supaya ramalan ini tidak berpanjangan bahawa perlantikan saya itu pernah sekali sahaja dibincangkan dengan Perdana Menteri Abdullah Badawi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Abdul Razak dan Menteri Luar Rais Yatim.Tidak lebih dari itu.

Dalam hidup saya, saya tidak pernah melobi untuk sesuatu jawatan dari Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu , Senator, Setiausaha Parlimen , Timbalan Menteri hingga ke Menteri.

Bila saya dilantik menjadi Senator atas jasa baik Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Dr. Tun Mahathir maka saya berfikir setakat itu sahajalah tetapi sampai kepada peringkat Menteri adalah suatu kejayaan dalam hidop yang di luar imiginasi saya dan yang tidak pernah saya perjuangkan.

Maka itu saya amat berpuas hati dengan keadaan kehidupan saya hingga saat ini dan amat merasa amat tidak wajar jika saya dimaksudkan sebagai salah seorang yang melobi untuk menjadi Duta Indonesia. Saya berhak untuk merasakan demikian kerana ramai rakan rakan,wartawan wartawan dan pegawai kerajaan yang bertanya kepada saya mengenai kemungkinan menjadi Duta ke Indonesia.

Saya tidak pernah mendakwa bahawa saya mengenali banyak wartawan Indonesia dan orang orang penting di Jaktarta untuk saya layak menjadi Duta atau saya beranggapan bahawa diri saya boleh menjadi jambatan bagi mengeratkan lagi hubungan antara kedua negara seperti yang digambarkan oleh berita mengenainya. Sebagai bekas watawan selama 40 tahun saya dapat membaca yang tersirat .

Saya dapat membaca perasaan yang terpendam di Wisma Putra maka saya dengan ini mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mempunyai ingatan yang baik terhadap saya dalam soal pencalunan Duta ke Indonesia itu dan saya meminta dilupakan sahaja.

Saya tidak mahu jika berlaku perlantikan saya akan menutup peluang kepada mana mana pegawai perkhidmatan dplomatik yang lebih layak dari saya untuk mengambil tugas di Jakarta yang telah disebut sebut sebagai memerlukan dipolmat berpengalaman yang dapat menghadapi masalah antarabangsa yang semakin runcing dan complicated sekarang ini terutama di Jakarta.

Saya tidak mahu nama saya berada dalam senarai diantara bekas menteri yang melobi apa apa jawatan dalam kerajaan atau politik. Memandangkan umur saya, saya rasa adalah wajar bagi saya untuk bersara terus dan menulis memoir pengalaman saya yang terlalu banyak dalam kewartawan dan politik tanah air terutama dalam masa perang dingin yang melibatkan hubungan antara Malaysia Indonesia.

Dengan ini saya berharap cerita mengenai saya sebagai bakal duta Duta Malaysia ke Indonesia ditamatkan dan digugurkan dari pencalonan. Penyertaan saya dalam politik juga adalah by accident dan saya tidak mengharapkan apa apa lagi dalam politik atau pun perniagaan. Darah daging saya adalah penulisan dan kewartawanan.

24 Januari 2009.

Zainuddin Maidin

(Renungan Rimau : Bagi saya, orang yang bernama Zam ini tidak akan melobi untuk mendapatkan apa saja jawatan. Zam sedar setakat mana kebolehannya apatah lagi mengetahui minat sebenar beliau adalah dalam bidang penulisan. Oleh itu, saya yakin Zam tidak akan melobi untuk menjadi Duta melainkan pihak atasan mahu beliau berbuat demikian. Saya pernah bertanyakan kepada DS Zam mengenai perkara itu dan jawapannya ialah "dalam hidup ini rezeki itu ditentukan oleh tuhan. Sepertimana saya tidak menyangka akan menjadi Menteri, begitu juga dengan perkara lain. Sesuatu yang berlaku kepada saya itu adalah dengan kehendak tuhan. saya lebih selesa menjadi wartawan dan akan terus menulis selagi ada kekuatan". Mungkin ada pihak yang benar-benar mahukan DS Zam menjadi Duta atas alasan mereka sendiri dan jangan persalahkan Zam jika beliau mendapat jawatan itu, sepertimana beliau mendapat jawatan Menteri. Bagaimanapun, yang menjadi tandatanya, siapakah yang menyuruh The Star menulis cerita mengenai Zam untuk menjadi Duta itu? Yang paling pelik ialah perkataan "melobi" sedangkan saya tahu istilah melobi itu tiada dalam kamus kehidupan DS Zam yang tahu kedudukan dirinya. Banyak yang tersirat. Ambillah jawatan Duta itu dan berikan kepada mereka yang dirasakan lebih layak atau mengidamkannya. Saya pasti Zam akan selesa menjadi wartawan dan penulis.)

Saturday, January 24, 2009

BUATLAH YANG TERBAIK UNTUK MELAYU

DS Najib Tun Razak minta ahli UMNO mesra rakyat. Ertinya jangan menyombong tak tentu arah.

Paklah semalam berkata UMNO akan mengadakan perubahan selepas Mac ini. Ada cadangan selepas 'pemukiman' UMNO tahun lalu tetapi ditangguhkan selepas pemilihan..

Eloklah buat yang terbaik untuk bangsa Melayu dan rakyat Malaysia.

Seorang pejuang veteran yang menjadi tetamu dalam program Apa kata Wanita bersama Zamzarina Zambri di TV1 malam tadi menegaskan untuk memastikan UMNO terus relevan kini dan akan datang, pemimpin parti itu perlu jujur, setia serta bertanggungjawab.

Takyahlah nak pamer 4WD masa pilihanraya kecil dan tunjuk envelope kepada pemimpin untuk minta projek. Dapat projek 'makan' sorang-sorang. Lupa segalanya termasuk penyokong setia.

Hendak kaya tu boleh tapi jangan 'menyamun' hak orang lain.

Ramai pemimpin yang tidak betul kena "tulah".

Ada jawatan hilang. Ada keluarga tapi semuanya hancur. Kena tangkap khalwat, kena dakwa rasuah, dicemuh masyarakat dan jadi tumpuan media. Minta dijauhkan.

Friday, January 23, 2009

BUANG TABIAT SUKA KACAU ORANG

Antara perangai buruk rakyat negara ini ialah membuat panggilan palsu. Mengganggu pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan panggilan palsu.

Jika budak-budak bolehlah difahami sedikit tetapi jika orang dewasa....memang satu tabiat buruk.

Jabatan Bomba mencatat 1,453 panggilan palsu tahun lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Soiman Jahid berkata, bagi tujuan itu satu prosedur dilaksanakan di mana semua panggilan atau aduan yang diterima ditapis oleh suruhanjaya telekomunikasi.

Suruhanjaya berkenaan akan menilai dan tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pihak yang membuat panggilan palsu.

Ubahlah perangai. Jangan susahkan orang.

Bagaimana pula panggilan memburukkan orang? Lagi tak elok.