Friday, December 7, 2012

WARGA POS KERJA 5 HARI


Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR : Kerjasama tiga sepilin iaitu antara Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Pos Malaysia Berhad dan kesatuan sekerja telah berjaya melaksanakan pendekatan mendahulukan rakyat iatu pekerja pos.

Sebagai contoh, usaha berterusan kesatuan sekerja dan pengurusan Pos Malaysia untuk mendapatkan kenaikan tarif setem dan gaji posmen pada 2009 mendapat sokongan padu kerajaan terutama KPKK.

Hasilnya, permohonan itu diluluskan oleh Kerajaan dan membolehkan warga posmen  memperolehi gaji yang lebih baik berbanding sebelumnya. Ini memaparkan pendekatan kasih sayang yang diamalkan oleh kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Gagasan 1Malaysia yang dipeloporkan oleh beliau juga sentiasa mendapat sokongan Pos Malaysia. Ini boleh dilihat menerusi pelbagai program seperti Pertandingan Menulis Surat kepada Perdana Menteri, Pertandingan Menulis Surat 1Malaysia, Impian 1Malaysia selain inisiatif yang mendahulukan rakyat seperti Pos Insurans 1Malaysia dan penghantaran ubat melalui Pos 1Malaysia.
Pertemuan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim dengan pengurusan dan warga pos di Majlis Ramah Mesra Rabu lalu, dilihat sebagai jambatan untuk terus menghubungkan keakraban di antara Pos Malaysia dengan KPKK. 

Melalui kesatuan-kesatuan sekerja ini, banyak kebajikan untuk warga kerja Pos Malaysia berjaya dilaksanakan hasil perbincangan bersama dengan pihak pengurusan dan KPKK. Pendekatan ini perlu diteruskan bagi memastikan rakyat didahulukan sepanjang masa.

Bagi Dr Rais, pihaknya sentiasa mengamalkan konsep pintu terbuka untuk agensi-agensi di bawah KPKK menyuarakan pendapat dan hasrat mereka demi kebaikan pekerja dan juga syarikat. 

"Dengan sokongan dan dorongan daripada kerajaan khasnya kementerian, kami percaya Pos Malaysia akan mampu untuk terus memberikan khidmat yang terbaik untuk masyarakat." katanya ketika berucap di majlis ramah mesra itu.

Melalui dasar  kerajaan, Malaysia telah menjadi model contoh bagi negara-negara membangun dalam inisiatif transformasi perkhidmatan pos, urustadbir dan system kawal selia industri yang turut mendapat pengiktirafan di peringkat Kesatuan Pos Sedunia.

Kejayaan ini adalah hasil dari strategi dan pengurusan perniagaan yang cemerlang di samping kerja kuat kakitangan posmen dan kerani kaunter yang bertungkus lumus memberi khidmat kepada rakyat di seluruh Negara.

Kerajaan, katanya, sentiasa menghargai jasa kakitangan pos. Walaupun PMB diswastakan kepada DRB Hicom pada 2011, pihak kerajaan akan terus memastikan kakitangan PMB terutamanya di peringkat posmen dan kerani kaunter terus menikmati skim pekerjaan yang sama tahap.

Pada 1 Julai 2010, Jemaah Menteri telah meluluskan kadar perkhidmatan pos domestik yang baru manakala kakitangan posmen dan kerani kaunter diberikan kenaikan gaji serta elaun ke tahap yang sama dengan kakitangan awam yang setaraf grednya. 

Di samping itu juga, penambahbaikan skim pekerjaan itu turut dikaji dari semasa ke semasa melalui perjanjian bersama di antara pihak kesatuan pekerja-pekerja pos dan pihak pengurusan PMB dengan mengambil kira keperluan pekerja dan kemampuan kewangan PMB itu sendiri.

Terbaru ialah kelulusan Kabinet pada Rabu lalu mengenai pelaksanaan skim bekerja 5 hari seminggu yang akan dilaksanakan mulai tahun depan.

Pelaksanaan skim itu bagi kakitangan operasi adalah selari dengan amalan di Negara-negara serantau. Oleh itu, pihak kementerian meminta PMB menyediakan pelan pelaksanaan supaya ia dapat dilaksanakan segera. Dari sudut perundangan dan kawal selia, tiada peruntukan ketika ini yang mewajibkan PMB menyediakan perkhidmatan pos selama 6 hari dalam seminggu.

Manfaat pelaksanaan skim bekerja 5 hari seminggu ialah petugas Pos Malaysia mendapat manfaat secara langsung dari skim itu di mana pekerja boleh mendapat masa rehat yang cukup dan boleh meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi PMB.

Selain itu, mereka juga dapat mengamalkan gaya hidup kerja yang seimbang, meluangkan masa hujung minggu mereka bersama keluarga atau menjalankan aktiviti-aktiviti sosial.

Inilah pendekatan kerajaan sekarang iaitu mendahulukan rakyat.

1 comment:

mae said...

Peluang perniagaan bagi sesiapa yang mahu menyediakan perkhidmatan penghantaran surat dan barang2 pada hari sabtu dan ahad. Harap kerajaan luluskan lesen yg sewajarnya.