Wednesday, December 5, 2012

LIPUTAN JALUR LEBAR DI SABAH (1)


 Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR : Kebelakangan ini ada pihak yang menimbulkan isu mengenai liputan selular dan jalur lebar di Sabah yang dikatakan kurang memuaskan. 

Mereka membuat pelbagai tuduhan sedangkan mereka tahu banyak usaha dilakukan di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan. Tuduhan ini perlu diperbetulkan bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

DuniaTiger difahamkan usaha bersepadu memperkembangkan liputan selular dan jalur lebar di Sabah dilakukan menerusi dana SKMM dan dana Kerajaan Persekutuan. 

Selain pelaburan komersial oleh pihak penyedia perkhidmatan, SKMM dan Kerajaan Persekutuan juga turut menyediakan peruntukan yang tinggi bagi perluasan liputan selular dan jalur lebar di semua negeri terutama di Sabah dan Sarawak.

Ini bertepatan dengan strategi pelaksanaan jalur lebar Negara di mana perkhidmatan jalur lebar akan diperluaskan ke seluruh negara melalui konsep Jalur Lebar Untuk Orang Ramai (BBGP). 

Di bawah konsep ini, liputan jalur lebar dan selular bagi kawasan luar bandar akan diperluaskan melalui inisiatif SKMM dan Kerajaan.

Pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini telah bermula seawal tahun 2006 sehingga kini. Bermula dengan inisiatif perkhidmatan telefoni, pelbagai inisiatif baru telah diwujudkan bagi meningkatkan liputan jalur lebar dan selular di kawasan luar bandar.

Pada tahun 2006, SKMM melaksanakan perkhidmatan telefoni melalui kerjasama dengan tiga pemberi perkhidmatan iaitu Telekom Malaysia (TM), Celcom dan TT Dot Com. Sebanyak 22 lokasi telah dikenalpasti dengan kos pelaksanaan sebanyak RM135 juta. 

Seterusnya, 20 Pusat Internet 1Malaysia telah dibangunkan. Pihak TM dan Celcom dilantik bagi menjalankan projek ini dan ia telah siap pada tahun 2009. Kos pelaksanaan projek ini melebihi RM55 juta.

Bagi menambahbaik liputan selular, satu program pembinaan menara yang dinamakan sebagai Time 2 telah diwujudkan. 

Sebanyak 186 buah menara telah dibangunkan di Sabah oleh Syarikat Sokongan Kerajaan Negeri (SSKN), “State Backed Company (SBC)” dan penyedia perkhidmatan.

Dari segi infrastruktur jalur lebar, lebih kurang 108 ribu port ADSL telah disediakan oleh pemberi perkhidmatan bagi perkhidmatan jalur lebar talian tetap. 

Ini disokong oleh liputan jalur lebar tanpa wayar dan WiMAX. Sehingga 2009, liputan 3G adalah 59 peratus liputan di kawasan berpenduduk dan WiMAX 19 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan berjaya memberi kesan yang positif terhadap perkembangan jalur lebar di Sabah. Ini ditunjukkan oleh peningkatan sebanyak 4.5 peratus pada tahun 2006 kepada 14.5 peratus pada tahun 2009.

bersambung.....

No comments: