Friday, January 18, 2013

PILIH CALON ATAU PARTI?


UNUS Pro Omnibus, Omnes Pro Uno adalah frasa Latin yang membawa maksud "One for all, all for one" atau "Satu untuk semua, semua untuk satu". Slogan ini cukup terkenal di dalam cerita The Three Musketeers karya penulis Perancis, Alexandre Dumas.

Cerita ini pernah dikomikkan, diteaterkan, difilemkan dan dijadikan siri TV yang cukup popular di sekitar tahun 60-an hingga 70-an. Pengaruh di kalangan kanak-kanak dan remaja pada masa itu cukup kuat dan slogan "One for all, all for one" meniti di bibir mereka sehingga secara tidak langsung menjadi praktikal di dalam kehidupan seharian. Satu bergantung kepada yang ramai dan yang ramai bergantung kepada yang satu.

Di dalam situasi perebutan untuk menjadi calon khasnya di kalangan UMNO menjelang PRU-13 yang akan datang, slogan ini dikira cukup relevan. Orang-orang UMNO tidak harus berbelah bagi untuk mengundi parti walaupun individu yang dicalonkan itu tidak menyelerakan dalam hidangan mereka.
Ini kerana setiap calon itu ibarat titis-titis hujan yang berkumpul menjadi cabang-cabang sungai dan cabang-cabang sungai itu bercantum menjadi lautan dan samudera yang luas.

Jika mengikut selera yang berbagai itu memang cukup sukar bagi Presiden parti untuk membuat keputusan. Presiden melihat dari sudut makro keseluruhan kekuatan parti manakala di kalangan pengundi di bawah melihat dari sudut mikro sama ada calon itu menyelerakan mereka atau tidak.
Pertembungan kehendak pucuk pimpinan di atas dan kemahuan pengundi di bawah harus dirapatkan jurangnya jika tidak parti akan menerima padah. Kewibawaan calon dan rekod-rekod calon harus ditapis secara telus tanpa selindung.

Individu yang tidak dicalonkan sepatutnya tidak mengamuk dan sabotaj secara halus. Adalah dikira pucuk pimpinan sudah masak dan boleh membaca perangai calon-calon kalau mereka tidak dicalonkan. Memang agak sukar untuk menapis calon kerana calon pandai menyembunyikan kuku dan bermain wayang di hadapan pengundi akar umbi. Kadang kala penyokong sendiri tidak tahu kenakalan calon kerana taksub menyokong. Cuma yang pasti hanya musuh sahaja yang akan mengorek semua perkara buruk dan dimuntahkan sepanjang kempen pilihan raya kelak.

Walau apa pun tohmahan apabila pucuk pimpinan telah membuat keputusan semua pihak harus akur dengan keputusan tersebut.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam ucapan merasmikan mesyuarat Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri telah menjelaskan dengan terang dan nyata 'loud and clear' hipokrasi Pakatan Rakyat. Jenama mereka 'Pakatan' tetapi mereka sendiri di dalam tidak berpakat.
Beliau menyatakan:

"… Ahli-ahli akar umbi Pas tidak meletakkan kepercayaan kepada DAP atau PKR untuk mengetuai pakatan pembangkang. Mereka tidak percaya kepada Lim Guan Eng. Mereka tidak percaya kepada Lim Kit Siang. Mereka juga tidak percaya kepada Karpal Singh. Mereka langsung tidak percaya kepada Anwar Ibrahim. Ini adalah satu kegagalan besar bagi Pas dalam membentuk kerjasama dan berkongsi kuasa dengan DAP dan PKR."

Kata beliau lagi "... konsep berkongsi kuasa tidak pernah wujud dalam pakatan pembangkang. Mandat rakyat yang diberikan kepada mereka dalam pilihan raya yang lalu untuk memerintah beberapa buah negeri adalah satu hikmah yang mendedahkan kepada kita bahawa mereka sebenarnya tidak boleh bekerjasama dan berkongsi kuasa. Satu sebab yang paling utama ialah tiadanya sikap saling mempercayai antara mereka. PKR tidak percaya kepada DAP, DAP tidak percaya kepada PKR, dan kedua-dua DAP dan PKR tidak percaya kepada Pas."

Jika pengundi membuat keputusan tidak mahu mengundi parti tapi hanya mahu mengundi calon, apakah pakatan yang seperti ini dapat diharapkan? Hasilnya kelak tidak ada satu pun kerajaan yang kuat dapat didirikan.

Melihat kepada situasi ini UMNO harus bersatu. Mereka sendiri tidak boleh lagi bermain-main dengan undi mereka. Lupakan sahaja niat untuk merajuk, kecil hati atau yang paling bahaya niat untuk sabotaj. Ingatlah mereka ibarat titis-titis hujan untuk dijadikan lautan yang luas. - Utusan.

No comments: