Thursday, February 7, 2013

DIPLOMASI MENERUSI MEDIA


Oleh Ibrahim Yahaya

MANADO, Sulawesi Utara (7 Februari) : Pertemuan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim dengan 150 wartawan Indonesia malam ini mencatatkan satu sejarah sempena sambutan Hari Pers Indonesia (HPN) tahun ini.

Ini kerana ia adalah satu penghormatan kepada pemimpin Malaysia untuk menyampaikan ucapan pada satu majlis besar iaitu HPN anjuran Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) yang menghimpunkan pengarang kanan dan wartawan media seluruh Indonesia.

Wartawan media cetak, elektronik dan media sosial sudah pasti mahu mendengar ucapan pemimpin dari negara serumpun terutama idea bagi memperkukuhkan ikatan silaturrahim yang sudah terjalin sekian lama selain bertukar-tukar pandangan.

Sudah pasti kesempatan ini akan digunakan oleh Dr Rais untuk menerangkan apa yang boleh dilakukan oleh media kedua-dua negara terutama dalam meneruskan usaha menjalinkan persahabatan dua negara serumpun agar kekal selama-lamanya.

Pertemuan ini turut dihadiri oleh pengarang kanan dari Malaysia termasuk Datuk Jalil Ali (Kumpulan Karangkraf), Datuk Lokman Hamidi (TV9), Sharifuddin Mohamad (Harian Metro), Zulkfili Hamzah (Utusan Malaysia), Baharum Mahusin (Kosmo) dan Hassan Omar (Berita Harian). 

Dalam satu artikel di Utusan Malaysia pada 5 Februari lalu, penulis menyatakan tidak ada siapa yang untung jika hubungan antara Malaysia dengan Indonesia tegang. Inilah hakikatnya melainkan ada pihak yang mahu merobek ikatan kukuh yang terjalin sejak sekian lama demi untuk kepentingan diri mereka.

Sekian lama hubungan Malaysia dan Indonesia dipereratkan menerusi konsep Nusantara yang merangkumi pelbagai cabang warisan. Pemantapan konsep ini penting dalam menyulam hubungan kedua-dua negara agar terus mantap.

Jalinan silaturahim ini perlu diperkukuhkan di peringkat kerajaan dan rakyat. Keakraban pemimpin tertinggi Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono ketika ini memaparkan hubungan erat di peringkat kerajaan dan adalah penting ia diterjemahkan ke peringkat rakyat.

Bagi Dr Rais, hubungan erat yang terjalin melalui penyatuan konsep Nusantara perlu dipupuk dan disuburkan secara bersama dalam semangat kasih sayang.

Konsep nusantara ini merangkumi pelbagai perkara termasuklah seni budaya, cara kehidupan, adat resam, kebersamaan, makanan dan bahasa yang digunakan oleh lebih 250 juta orang di rantau ini terutama di Malaysia dan Indonesia.

Untuk itu, katanya, melalui badan baru yang dinamakan Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia (YIRMI), lebih banyak program termasuk dalam bidang bahasa, budaya dan sejarah dapat dilaksanakan secara lebih bermakna bagi mengukuhkan lagi hubungan di peringkat rakyat kedua-dua negara.

YIRMI yang akan dilancarkan tahun ini melaksanakan program secara tersusun antara rakyat dengan rakyat agar penampilannya benar-benar memberi kesan menjalinkan persahabatan dua negara serumpun.

Dr Rais ialah pengasas YIRMI, yang ditubuhkan bertujuan meningkat dan mengekalkan hubungan silaturahim dan kerjasama antara rakyat Malaysia dan Indonesia melalui pelbagai bidang termasuk seni budaya warisan, penerangan, kemasyarakatan, ekonomi, pelajaran dan bahasa.

"Kami akan berjuang dan mencari jalan bagaimana konsep kenusantaraan itu terus kita pupuk bersama dan dijayakan demi bahasa kita yang satu, demi kebudayaan kita yang menyeluruh, dan mencakupi antara satu dengan lain, demi sejarah kita yang bersama dan seterusnya kepentingan-kepentingan yang lain secara bersama dan saling sayang menyayangi," katanya berucap pada majlis jamuan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-55, di Jakarta, Indonesia, September 2012.

Ini bukan kali pertama Dr Rais, yang pernah menggalas tugas sebagai Menteri Luar, menyuarakan kepentingan memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara. Kali ini, sebagai Menteri PKK, agenda budaya dilihat mampu dipupuk di peringkat rakyat.

Pada 5 Julai 2012, di Seminar Budaya di Sawahlunto, Sumatera Barat , beliau berkata bangsa Melayu harus menerima kenyataan bahawa evolusi budaya  berupaya memantap dan memartabatkan budaya mereka di seluruh dunia. Begitu juga dalam ucapannya di Universiti Indonesia pada 8 Mac 2012.

Menerusi budaya Rumpun Melayu, ikatan ini seharusnya kukuh. Mereka perlu memahami bahawa evolusi budaya ialah satu proses perubahan masyarakat dan budaya yang mengambil masa yang lama. Perubahan yang berlaku pula lebih berupa secara persendirian iaitu tiada tekanan dari luar.

Sehubungan itu, rumpun Melayu  di Malaysia, Indonesia, Brunei , Singapura dan sebahagian Thailand serta Filipina perlu kerap bertemu dan menjalinkan silaturrahim.

Sesungguhnya, penubuhan YIRMI ini membolehkan pelbagai program antara rakyat dengan rakyat boleh digerakkan dalam pelbagai bidang termasuk seni budaya warisan, penerangan, kemasyarakatan, ekonomi, pelajaran dan bahasa.

Ia dibuat dengan harapan untuk meningkatkan lagi hubungan mesra rakyat kedua-dua negara, di samping memantapkan citra budaya Melayu di Nusantara.

Sudah pastilah aktiviti utamanya ialah menyemarakkan program kemasyarakatan melalui penglibatan rakyat di kedua-dua negara dan meningkatkan jaringan kerjasama pertukaran maklumat untuk kepentingan bersama melalui NGO, kumpulan masyarakat dan media masa dari kedua-dua negara.

YIRMI juga akan terlibat dalam kempen, penyelidikan, pameran, penerbitan serta kegiatan lain yang boleh meningkatkan kesedaran dan kemesraan rakyat Malaysia dan Indonesia dalam pelbagai bidang kehidupan.

Selain itu, program pertukaran tenaga pengajar dan pelajar melalui peranan NGO dari kedua-dua negara selain pertukaran lawatan yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.

Dengan wujudnya YIRMI seperti juga pelbagai badan seperti Kumpulan Tokoh Terkemuka atau Eminent Persons Group (EMG), persatuan persahabatan Malaysia Indonesia akan dapat membantu merapatkan lagi hubungan rakyat.

No comments: