Thursday, July 18, 2013

SPR PATUT BAGI RTM RAKAM

Oleh Ibrahim Yahaya

Hasrat Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, untuk memohon kebenaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyiarkan secara langsung bagaimana proses pengundian dijalankan ketika pilihan raya boleh difahami sejajar sikapnya yang sentiasa telus dalam segala hal.

Penulis dapat merasakan apa yang ingin dilaksanakan oleh beliau sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia ialah kerajaan bersedia untuk menunjukkan apa yang berlaku di pusat perkiraan undi supaya rakyat boleh melihat dan memahami tanpa sebarang prasangka buruk.

Ini penting kerana ada pihak terutama pembangkang yang sering membuat dakwaan berlakunya penyelewengan di pusat perkiraan undi sedangkan mereka pun tahu mana mungkin untuk melakukan penipuan kerana wakil semua yang bertanding akan berada di dalam bilik atau dewan perkiraan itu.

Sebagai rakyat biasa, penulis juga mahu tahu apa yang berlaku di dalam bilik itu yang dikatakan dihadiri oleh semua wakil calon yang menyaksikan bagaimana sesuatu kertas undi itu dibuka dan dikira.

Penulis juga diiberitahu jika wakil calon tidak bersetuju dengan apa saja dengan kertas undi yang boleh menimbulkan syak wasangka ia akan diletakkan di kotak ragu terlebih dahulu termasuklah jika ia kotor disebabkan dakwat hitam.

Oleh itu, jika SPR membenarkan RTM merakamkan proses perkiraan itu, maka rakyat Malaysia terutama penonton RTM boleh melihat bagaimana proses itu berlaku dan mustahil untuk diselewengkan.

Malah perkiraan sedemikian sudah dilaksanakan sejak daripada dulu lagi dan calon pembangkang pun menang banyak kerusi dan pada PRU13 pun mendapat 89 kerusi Parlimen.

Alasan yang diberikan oleh SPR antara lain ialah 'jika bagi kepada RTM, kena bagi kepada semua penyiaran pula'. Ini dilontarkan sendiri oleh Pengerusi SPR yang seolah-olah lupa bahawa RTM adalah saluran rasmi kerajaan dalam menyebarkan maklumat kepada rakyat.

SPR perlulah ingat bahawa kaedah pemilihan kepada RTM ini ialah seperti memberi hak atau right kepada stesen penyiaran yang mengendalikan perlawanan bolasepak atau kejohanan olimpik. Hak yang diberikan kepada RTM sudah tentulah RTM saja yang mendapat hak untuk berbuat demikian yang secara tidak langsung membantu SPR daripada tohmahan dan fitnah pembangkang.

Bagaimanapun, RTM pasti akan sanggup berkongsi dengan saluran lain yang berminat seperti yang dilakukan dalam banyak siaran langsung yang hanya membenarkan saluran rasmi saja membuat rakaman. Semoga SPR segera memahami mengenai usaha untuk membantu mereka.


No comments: