Friday, February 28, 2014

NAFAS BAHARU BERNAMA TV

SEGMEN Ruang Bicara biasanya akan menampilkan tetamu jemputan yang terdiri daripada tokoh politik dan pemimpin tanah air.

HARI ini genap enam tahun usia Bernama TV sebagai satu saluran berita yang menjadi wadah dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat sejak mula ditubuhkan pada 28 Februari 2008.
Jika dihitung di atas kertas, usia sebegini masih terlalu hijau dalam sebuah industri media yang telah pun bermula sejak negara belum mencapai kemerdekaan lagi. Namun, ia bukan penghalang untuk mereka muncul sebagai antara stesen televisyen terbaik di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama TV, Datuk Ibrahim Yahaya, 53, memberitahu, visi mereka adalah untuk menjadi sebuah saluran berita utama di rantau ini.
Dalam usaha mencapai ke arah tersebut, pelbagai langkah telah diambil dan dilaksanakan oleh pihak pengurusan di bawah kepimpinan Ibrahim sejak pertengahan Ogos 2013 yang lalu.
“Meskipun masih baru di sini, tetapi saya telah melakukan beberapa perubahan untuk menyuntik nafas segar terhadap gaya persembahan Bernama TV.
“Sebagai contoh, bermula September 2013 kita telah mewujudkan segmen Berita 2 Minit yang ke udara setiap jam dari pukul 9 pagi hingga 6 petang. Ia bertujuan untuk membolehkan kami menyiarkan berita terkini mengenai apa yang berlaku di dalam dan luar negara,” ujar Ibrahim ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.
Tambah beliau, pihaknya juga telah menyediakan platform untuk wartawan saluran berita itu membuat liputan secara langsung terus dari lokasi masing-masing yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.
Internet
Selain itu, Bernama TV juga telah memanfaatkan teknologi internet dalam menambah baik perkhidmatan mereka.
“Sejak Disember tahun lalu, Bernama TV telah mula memasang peralatan berupa sistem Streambox, satu teknologi internet yang membolehkan siaran langsung dilakukan. Kini, kami juga dalam peringkat melatih kakitangan membuat liputan terus dari lokasi.
“Insya-Allah, pertengahan Mac ini, kami akan mulakan siaran secara langsung dalam setiap acara besar, tragedi atau bencana yang berlaku dan melaporkan terus dari lokasi menggunakan sistem Streambox,” jelas Ibrahim yang berasal dari Masjid Tanah, Melaka.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun (berdiri dua kiri) mendengar penerangan oleh Ketua Editor Tugasan Bernama TV, Abdul Rahman Ahmad (kiri) baru-baru ini.


Bagaimanapun ujar Ibrahim lagi, jika sesuatu kawasan itu tidak mempunyai capaian internet, laporan itu akan disediakan menerusi sistem perkomputeran awan dan disiarkan ketika siaran langsung di studio oleh hos atau pengacara.
Kaedah penghantaran bahan menerusi internet melalui sistem Streambox ini secara tidak langsung menjimatkan tenaga dan kewangan kerana tidak perlu lagi bergantung pada kenderaan khas Satelite News Gathering (SNG) atau Outcast Broadcast Van yang menggunakan transmisi teknologi satelit.
Dalam pada itu, Ibrahim memberitahu sistem itu juga akan digunakan buat pertama kali dalam program bual bicara pagi dari studio luar di Sungai Penchala, Kuala Lumpur.
“Baru-baru ini, kita telah mewujudkan satu web tv yang boleh dilayari di www.bernamanews.tv bagi membolehkan pendekatan strategik empat skrin dilaksanakan iaitu kaedah menonton melalui android, tablet, komputer riba dan televisyen.
“Bagi perkhidmatan ini, kita menyediakan ruang untuk penonton menyaksikan rancangan secara langsung atau berdasarkan permintaan (video on demand) di samping memberi komentar sekali gus menggalakkan sesi interaktif bersama penonton,” terang beliau lagi.
Mengakhiri perbualan, Ibrahim berharap agar Bernama TV berjaya mendapatkan satu saluran bebas menjelang tahun 2015 dan mampu menarik lebih ramai penonton mendapatkan maklumat daripada stesen tersebut.

BRTV - SALURAN BERITA RAKYAT

DEWASA ini, bukan mudah menarik penonton melekat di depan televisyen.

Pelbagai pilihan kandungan yang disediakan terutama hiburan menolak jauh minat untuk menonton berita. Apatah lagi bahan berita itu hanya menonjolkan kehebatan suatu pihak sahaja atau dipersembahkan dalam keadaan hambar dan membosankan. Lebih banyak tolakan daripada tarikan.

Oleh itu, usaha bersungguh-sungguh perlu dilaksanakan bagi menarik perhatian penonton untuk menyaksikan bahan berita. Keutamaan adalah memastikan bahan berita itu terkini dan menarik.

Bahan itu tidak semestinya membabitkan satu bencana alam saja tetapi jika ada kejadian seorang kanak-kanak terjatuh ke dalam perigi dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat menyelamatnya, ia juga menarik dipaparkan.
Yang penting, ada laporan terkini memaparkan usaha menyelamat berkenaan.

Untuk itu, usaha pertama yang dilaksanakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bernama TV (BRTV), Datuk Ibrahim Yahaya ialah menyedarkan petugas bilik berita kepentingan menyediakan bahan berita terkini apabila beliau menyertai Bernama TV (BRTV) pada Ogos 2013.

“Selepas menyertai BRTV, berita terkini dua minit diperkenalkan setiap jam mulai pukul 9 pagi hingga 6 petang. Kami mulakan dengan pembaca berpengalaman dan seterusnya wartawan. Insentif turut diberikan sebagai galakan," kata beliau dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Pengalaman membaca berita di depan kamera secara langsung membolehkan petugas BRTV menerap keyakinan untuk membuat laporan kejadian daripada lokasi apabila diperlukan.

Keyakinan ini penting untuk membolehkan laporan menarik dan bersahaja dipaparkan. Wartawan dilatih oleh pengacara berpengalaman dan sehingga kini BRTV mempunyai ramai wartawan yang boleh membaca berita terkini dan membuat laporan di lokasi.

Sejak ditubuhkan pada 28 Februari 2008 sebagai saluran berita pertama di negara ini, BRTV telah melalui pelbagai proses perubahan dari segi pemilikan saham dan pengurusan. Bermula sebagai unit khas audio visual Bernama pada September 1998 sempena Sukan Komanwel, ia terus berkembang sehingga diberikan penghormatan untuk menyediakan bahan berita di saluran 502 Astro.

Antara berita dalam bentuk visual pertama unit itu ialah temu bual dengan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad selama setengah jam. Temuramah itu dibekalkan kepada semua stesen televisyen dan mereka menyiarkannya.

Maka bermula perkhidmatan berita berbentuk teks kepada perkhidmatan berita berbentuk visual dan seterusnya menyediakan program berita untuk pelanggan pertama iaitu Telekom Malaysia. BRTV juga mencatatkan sejarah sebagai agensi pertama di negara ini yang menghantar visual menerusi internet sama ada dalam atau luar negara sebelum diikuti oleh stesen televisyen lain.

Semangat petugas BRTV untuk menyediakan berita dan bahan bual bicara yang baik tidak pernah pudar. Petugas baru BRTV digandingkan dengan kakitangan Bernama yang berpengalaman dalam bidang penulisan dan audio visual. Hasilnya - bahan berita dan bual bicara yang baik. Antara liputan besar adalah Pilihan Raya Umum ke-12 dan kejadian gempa bumi di bandar Aceh selain pelbagai wabak penyakit.

Episod duka juga berlaku dalam saluran berita ini apabila pada 2 September 2011, petugas BRTV, jurugambar Noramfaizul Mohd. Nor, 39, terbunuh apabila terkena tembakan curi di Somalia. Ia mendapat liputan media dalam dan luar negara dan Allahyarham dianggap sebagai wira kerana berani membuat liputan di medan perang. 

Sudah pasti semangat juangnya akan dicontohi oleh petugas muda BRTV dan media tempatan.
Kini BRTV bergerak ke depan dengan persiapan untuk membuat siaran langsung atau lintas langsung menggunakan sistem Internet yang mudah dan cepat. Penggunaan sistem streambox itu membolehkan wartawan lokasi membuat laporan hanya dengan menggunakan telefon genggam.

“Mulai pertengahan Mac, BRTV akan melaporkan peristiwa besar dan bencana alam di lokasi menggunakan Internet. Jika kawasan itu tiada kemudahan Internet, bahan yang dirakam akan disimpan di ‘awan’ sehinggalah ada kemudahan Internet untuk disiarkan di televisyen." kata Ibrahim.

Beliau yang berpengalaman selama 30 tahun dalam media cetak dan elektronik, kini sedang memperkemaskan webtv yang baru diwujudkan. Webtv ini yang boleh dilayari menerusi www.bernamanews.tv menyediakan perkhidmatan siaran langsung Bernama TV, tawaran tontonan video (video on demand), berita dalam bentuk teks dan gambar selain memberi peluang kepada penonton untuk menghantar cadangan dan teguran.

Penubuhan webtv itu adalah sebagai pemangkin kepada usaha mewujudkan satu saluran berita berbahasa Inggeris di mana beritanya dalam Bahasa Inggeris selain program lain termasuk bual-bicara dan dokumentari.

“Penghijrahan program bual bicara Biztalk dan Bernama Today akan berlaku untuk dimuatkan webtv itu. Selain itu, bahan dalam bahasa Inggeris yang diperoleh daripada pelbagai pihak termasuk Finas akan disiarkan tidak lama lagi," katanya.

Menurut Ibrahim, pihaknya juga memperkemaskan unit bual bicara dengan memperkenalkan satu lagi program bual bicara dikenali Ruang Bicara selain mengekalkan Hello Malaysia.
“Kita kini mencari sumber kewangan untuk membina studio khas bagi berita dan bual bicara dalam bahasa Inggeris selain studio khas untk program Hello Malaysia." katanya.

BRTV juga kini dalam proses memperhebatkan laporan sukan dan yang terbaru ialah satu program bual bicara sukan dikendalikan oleh seorang hos yang akan dijadikan salah seorang ikon BRTV.

Sebagai peneraju utama, Ibrahim kini bersama-sama dengan petugas Bahagian Pemasaran bergerak cergas untuk mendapatkan iklan bagi saluran berita 24 jam ini, selain tajaan dalam bentuk barangan elektronik atau kenderaan.

Antaranya membuat persembahan dengan syarikat ternama selain bertemu dengan peneraju utama agensi kerajaan dan kementerian.

“BRTV kini dalam peringkat akhir untuk membuat program bual bicara pagi dari satu studio yang disediakan oleh pelanggan bagi mewujudkan kelainan dalam persembahan. Kita diajar untuk berfikir di luar kotak sepanjang masa," katanya.

Pelbagai perancangan disusun pada tahun ini termasuk pengenalan logo baru dan lagu Bernama TV selain usaha lain untuk menjadikan BRTV sebagai saluran berita terbaik di rantau ini.

Tuesday, February 18, 2014

MESTI YAKIN DAN PERCAYA PRODUK TEMPATAN

KUALA LUMPUR : Malam tadi penulis mendengar kisah kejayaan produk negara. Satu lagi kisah ialah rasa kurang yakin pengurusan tertinggi satu produk negara sehingga dia terpaksa digugurkan.

Kisah pertama ialah seorang anak muda yang meminta syarikat pengeluar motosikal nasional menaja motosikal bagi membolehkan beliau mengembara dari Malaysia ke London. Malangnya syarikat itu tidak mahu menaja, malah dikatakan pengurusan tertinggi bertanya, "bolehkah tahan sehingga ke London?".

Namun, diceritakan anak muda itu meneruskan cita-citanya dan berjaya membuktikan semangat 'Malaysia Boleh' yang dicanangkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Yang peliknya selepas berjaya, gambar anak muda dan motosikalnya digunakan sebagai iklan untuk syarikat pengeluar motosikal itu.

Oleh kerana rasa tidak patut, anak muda itu mengemukakan saman jika syaikat itu terus menggunakan gambar dengan moto - dot dot dot boleh, Malaysia boleh. akhirnya pengurus itu digugurkan kerana sikapnya itu. atau mungkin tembelangnya itu terbongkar.

Kini, anak muda itu bertemu lagi syarikat pengeluar motosikal berkenaan. Alhamdulillah, maklum balas yang diberikan amat menggalakkan. Bernama TV akan menyokong usaha itu. Tunggu.

Friday, February 7, 2014

CALON PENYOKONG PARTI SOSIALIS DI PRK KAJANG?

KUALA LUMPUR : Apakah pendokong Parti Sosialis Malaysia akan meletakkan calon mereka di PRK Kajang sebagai calon Bebas?

Ini persoalan yang ingin dililihat oleh ramai pihak terutama pengkaji sejarah yang mengetahui kawasan itu sebelum ini banyak melahirkan mereka yang berfahaman sosialis. Antara pemimpin parti sosialis ialah Ahmad Boestaman dan Kampo Radjo.

Malah salah seorang pemimpin yang berasal daripada  parti itu baru-baru ini dikatakan menimbulkan persoalan mengapa hanya calon PKR saja dicadangkan di DUN Kajang dan tidak calon dari pendokong parti sosialis.

Sama-samalah kita tunggu. Mungkin Latheefa Koya ada jawapannya?

Thursday, February 6, 2014

PERKATAAN DARURAT TIMBULKAN TANDA TANYA

KUALA LUMPUR : Apakah semua pemimpin pembangkang yang menggunakan kemudahan media sosial sekarang seperti twitter atau facebook benar-benar faham apa yang mereka utarakan?

Adakalanya mereka kelihatan pandai tetapi pada banyak masa mereka seperti anak ayam yang mengikut ibunya. Apa yang diperkatakan oleh ketua akan disambut atau bersahut-sahutan sehingga ke luar negara.

Perkataan yang digunakan oleh pemimpin pembangkang ini bertujuan untuk menyatakan sesuatu bahawa kerajaan ini rasuah dan lemah.

Tidak hairanlah istilah yang digunakan amat menarik seperti rasuah, kronisme, sapu harta rakyat, hutang negara sedangkan kerajaan masih terus mengenegahkan isu perpaduan, negara maju, ketenteraman awamm negara pelbagai bangsa atau negara bangsa.

Namun yang terbaru penggunaan perkataan DARURAT oleh Rafizi apabila memperkatakan mengenai tujuan DS Anwar Ibrahim bertanding di Kajang pasti menarik perhatian ramai.

Apakah ini ada kaitan dengan kes mahkamah? Apa rancangan pembangkang?




Wednesday, February 5, 2014

BULU SEBENAR FRAN SUDAH KELIHATAN

KUALA LUMPUR : Tweet terbaru penyanyi Fran mengenai isu kalimah Allah tidak memeranjatkan penulis. Penggunaan kata-kata mungkin bagi sesetengah orang tidak enak dalam tweet yang dipaparkan dalam blog Helen Ang, yang sudah pasti ditujukan kepada pemerintah memperlihatkan siapa Fran sebenarnya.

Ini bukan pertama kali penyanyi ini menjadi isu apabila dikaitkan dengan agama yang dianutinya.

Satu ketika dulu, ketika beliau disanjung oleh peminat terutama orang Melayu, beliau memakai salib dalam gambar albumnya.

Apabila ada kritikan terhadap tindakan itu, beliau terus melenting dan melabelkan wartawan Berita Harian, Saodah Ismail ketika itu tidak rasional dan sengaja membesar-besarkan isu mengenai salib itu.

Daripada kawan baik dan saling bertepuk tampar, Fran menganggap Oda sebagai orang yang tidak faham apa yang dilakukan, walhal wartawan hanya menegur sikap beliau yang perlu menghormati peminatnya yang kebanyakan Melayu ketika itu.

Selepas itu, beliau menghilang diri ke luar negara dan balik semula ke negara ini dengan beberapa jemputan sambil mendendangkan lagu-lagu lamanya.

Kini apabila timbul isu kalimah Allah, Fran memaparkan bulunya yang sebenar.

Tidak pasti berwarna apa tetapi kurang wajar jika beliau mahu dianggap sebagai 'public property' membuat ulasan sedemikian seolah-olah kerajaan ini begitu zalim dengan penganut agama minoriti. 

Monday, February 3, 2014

PEMIMPIN MUDA DAP DIASUH BENCI PEMIMPIN KERAJAAN

KUALA LUMPUR : Minggu lalu penulis bertemu dengan wakil rakyat dap dari Serdang kerana kita menjadi tetamu dalam rancangan Wacana Nasional TV1.

Daripada perbualan pertama dengannya, penulis dapati ia seorang yang pemimpin muda yang ingin diketengahkan oleh dap untuk persiapan politik parti pada masa datang.

YB itu yang berkelulusan PHD pandai berbahasa Melayu dan amat mesra dengan penulis dan dua tetamu lain iaitu Datuk Zaini dan Dr Ismail Sualman dari UITM.

Namun apabila kita mula masuk 'gelanggang' yang dikendalikan oleh Sayed Munawar Sayed Mustar, penulis mendapati wakil rakyat ini seperti juga pemimpin dap mengamalkan pendekatan menyalahkan kerajaan sepanjang masa.

Malah kenyataan YB Serdang bahawa pemerintahan Tun Dr Mahathir dikatakan sebagai pemerintahan kuku besi itu menolak harapan tipis penulis bahawa dap mampu menjadi parti dinamik di negara ini.

Ia seolah-olah pemimpin muda dap sentiasa diasuh untuk membenci pemimpin kerajaan walaupun pemimpin itu banyak berjasa kepada negara.