Friday, February 28, 2014

NAFAS BAHARU BERNAMA TV

SEGMEN Ruang Bicara biasanya akan menampilkan tetamu jemputan yang terdiri daripada tokoh politik dan pemimpin tanah air.

HARI ini genap enam tahun usia Bernama TV sebagai satu saluran berita yang menjadi wadah dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat sejak mula ditubuhkan pada 28 Februari 2008.
Jika dihitung di atas kertas, usia sebegini masih terlalu hijau dalam sebuah industri media yang telah pun bermula sejak negara belum mencapai kemerdekaan lagi. Namun, ia bukan penghalang untuk mereka muncul sebagai antara stesen televisyen terbaik di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama TV, Datuk Ibrahim Yahaya, 53, memberitahu, visi mereka adalah untuk menjadi sebuah saluran berita utama di rantau ini.
Dalam usaha mencapai ke arah tersebut, pelbagai langkah telah diambil dan dilaksanakan oleh pihak pengurusan di bawah kepimpinan Ibrahim sejak pertengahan Ogos 2013 yang lalu.
“Meskipun masih baru di sini, tetapi saya telah melakukan beberapa perubahan untuk menyuntik nafas segar terhadap gaya persembahan Bernama TV.
“Sebagai contoh, bermula September 2013 kita telah mewujudkan segmen Berita 2 Minit yang ke udara setiap jam dari pukul 9 pagi hingga 6 petang. Ia bertujuan untuk membolehkan kami menyiarkan berita terkini mengenai apa yang berlaku di dalam dan luar negara,” ujar Ibrahim ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.
Tambah beliau, pihaknya juga telah menyediakan platform untuk wartawan saluran berita itu membuat liputan secara langsung terus dari lokasi masing-masing yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.
Internet
Selain itu, Bernama TV juga telah memanfaatkan teknologi internet dalam menambah baik perkhidmatan mereka.
“Sejak Disember tahun lalu, Bernama TV telah mula memasang peralatan berupa sistem Streambox, satu teknologi internet yang membolehkan siaran langsung dilakukan. Kini, kami juga dalam peringkat melatih kakitangan membuat liputan terus dari lokasi.
“Insya-Allah, pertengahan Mac ini, kami akan mulakan siaran secara langsung dalam setiap acara besar, tragedi atau bencana yang berlaku dan melaporkan terus dari lokasi menggunakan sistem Streambox,” jelas Ibrahim yang berasal dari Masjid Tanah, Melaka.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun (berdiri dua kiri) mendengar penerangan oleh Ketua Editor Tugasan Bernama TV, Abdul Rahman Ahmad (kiri) baru-baru ini.


Bagaimanapun ujar Ibrahim lagi, jika sesuatu kawasan itu tidak mempunyai capaian internet, laporan itu akan disediakan menerusi sistem perkomputeran awan dan disiarkan ketika siaran langsung di studio oleh hos atau pengacara.
Kaedah penghantaran bahan menerusi internet melalui sistem Streambox ini secara tidak langsung menjimatkan tenaga dan kewangan kerana tidak perlu lagi bergantung pada kenderaan khas Satelite News Gathering (SNG) atau Outcast Broadcast Van yang menggunakan transmisi teknologi satelit.
Dalam pada itu, Ibrahim memberitahu sistem itu juga akan digunakan buat pertama kali dalam program bual bicara pagi dari studio luar di Sungai Penchala, Kuala Lumpur.
“Baru-baru ini, kita telah mewujudkan satu web tv yang boleh dilayari di www.bernamanews.tv bagi membolehkan pendekatan strategik empat skrin dilaksanakan iaitu kaedah menonton melalui android, tablet, komputer riba dan televisyen.
“Bagi perkhidmatan ini, kita menyediakan ruang untuk penonton menyaksikan rancangan secara langsung atau berdasarkan permintaan (video on demand) di samping memberi komentar sekali gus menggalakkan sesi interaktif bersama penonton,” terang beliau lagi.
Mengakhiri perbualan, Ibrahim berharap agar Bernama TV berjaya mendapatkan satu saluran bebas menjelang tahun 2015 dan mampu menarik lebih ramai penonton mendapatkan maklumat daripada stesen tersebut.

No comments: