Thursday, April 29, 2010

BALA MENINGGALKAN KITA

Gambar oleh A Ahmat Talib.

K Bala, rakan wartawan di NSTP meninggal dunia pada 5 April lalu.

Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

Saya mengenalinya beberapa tahun sebelum beliau bersara dan menetap di Pulau Langkawi. Ketika itu, saya di Berita Harian. Bala seorang rakan yang baik dan mudah mesra dengan sesiapa pun.

Saya masih ingat waktu-waktu sering balik bersamanya ketika beliau tinggal di Subang.

Apapun, selamat berpisah kawanku.

Tuesday, April 27, 2010

BUKA MATA DAN BUKA HATI

Mengapa ramai pengundi Cina memilih calon PKR? Jawapannya bukanlah kerana mereka suka sangat kepada calon itu tetapi kempen halus yang dimainkan oleh DAP yang meminta pengundi Cina memilih PKR sama seperti memilih DAP. Apakan tidaknya, kerana PKR kini dibayangi dan dikuasai oleh bukan Melayu dan menerima arahan daripada DAP. Oleh itu, tidak hairanlah ramai pemimpin Melayu dalam PKR kini mengundur diri atau keluar parti.

Bagi DAP, apa yang berlaku dalam PKR adalah rahmat kepada mereka. Ini secara tidak langsung memberi mereka laluan mudah untuk mempengaruhi pemimpin utama PKR. Jika pemimpin utama sudah dipengaruhi, maka segala jarum halus boleh dijalankan untuk mencapai cita-cita mereka bagi 'memerintah negara ini'. Ketika itu, walaupun pemimpin utama negara mungkin Melayu tetapi pemimpin DAP sebenarnya memainkan peranan.

Oleh itu, masyarakat Cina perlu memahami bahawa 'permainan' DAP ini tidak akan menguntungkan mereka. Ini kerana jika hasrat sebenar DAP untuk memerintah negara ini menerusi PKR, maka lambat-laun tembelang mereka akan pecah seperti mana yang berlaku di Pulau Pinang dan Selangor. PKR dikuasai oleh DAP di Selangor. Tidak percaya tanyalah MB yang pasti akan menidakkan kebenaran itu.

Permainan itu sudah pasti tidak digemari oleh bangsa Melayu yang sentiasa mendokong hasrat untuk melihat segala hak mereka dipelihara mengikut Perlembagaan. Jika ketika itu, mereka melihat bahawa ada urusan untuk mengganggu pemberian hak itu, sudah pasti ramai yang boleh membuat ramalan apa yang akan berlaku.

Seperti yang pernah diutarakan oleh Perdana Menteri kedua bahawa, 'Jika orang Melayu gembira, orang lain di negara ini akan gembira. Begitu juga sebaliknya jika orang Melayu tidak gembira'. Ungkapan ini tidak susah untuk difahami dan sebagai rakyat Malaysia kita perlu memastikan permainan yang tidak menguntungkan negara perlu ditolak demi memastikan kesinambungan keamanan dan kemakmuran di negara ini.

Saturday, April 24, 2010

JANGAN INGKAR TITAH SULTAN

Posting Kedua - 9.25 malam

Untuk memastikan BN menang, jentera BN diminta memastikan jumlah pengundi keluar mengundi mestilah melebihi 60 peratus. Atau 80 peratus. Lebih elok 100 peratus. Oleh itu, jentera perlu memastikan pengundi keluar awal pagi dan tidak menunggu sebelah petang. Mungkin hujan atau tindakan provokasi pihak tertentu seperti yang berlaku dalam pilihan raya sebelum ini. Oleh itu, penulis rasa eloklah kedua-dua pihak bersifat 'anak jantan' dalam memastikan PRK Hulu Selangor esok berjalan lancar. Selepas penat berkempen dan membuat pelbagai pendekatan untuk memenangi pengundi, biarlah pengundi tenang untuk mengundi esok. Apa jadi dengan 'tempoh bertenang' atau 'cooling period' yang pernah disebut-sebutkan sebelum ini?

Posting Asal - 8.57 malam

Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor untuk memilih Ahli Parlimen. Bukan untuk mengingkari titah Sultan. Bukan untuk menghina Institusi Raja-raja Melayu dan Perlembagaan. Mudah saja, bertanding dan pilih calon terbaik. Jangan terlalu mengikut emosi sehingga kita dilihat sebagai tidak siuman atau sudah nyanyuk.

Bagaimanapun, ada pihak yang mengambil keputusan bukan saja mengingkari titah Sultan Selangor tetapi juga menyifatkannya sebagai 'arahan mengarut'. Apa ni? Jangan ingkar titah Sultan jika menganggap diri kita rakyat Malaysia yang taat setia dan menghormati Raja-Raja Melayu. Ingatlah ketika bercakap walaupun ketika tengah seronok berpolitik. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

Oleh itu, pengundi Hulu Selangor perlu bertanya kepada diri mereka apa yang sebenarnya mereka mahu. Masa depan anak-anak mereka terjamin dengan parti yang sudah memaparkan sejarah cemerlang sejak merdeka. Parti yang mengaku ada kelemahan tetapi sentiasa berusaha memperbaikinya dari semasa ke semasa. Tidak malu untuk mengaku silap tetapi memperbaikinya apabila ada pemimpin tertinggi baru mengambilalih.

Adakah mereka mahu...parti yang berjanji untuk mengotakan janji mereka walaupun ketika tiada pilihan raya seperti yang diumumkan oleh PM membabitkan RM17 juta untuk penduduk di Taman Sentosa. Untuk membaiki bumbung flat mereka yang rosak dan projek itu dimajukan oleh swasta. Kerajaan tolong rakyat walaupun projek itu sektor swasta yang laksanakan.

Atau...parti yang merepek dan sanggup mengingkari titah Sultan termasuk kenyataan Menteri Besar Selangor yang mengaitkan pendekatan menggunakan masjid dengan pemikir Barat. Mungkin beliau tidak tahu apa yang diperkatakan.

Atau terlalu mengikut emosi untuk menyokong Datuk Nik Aziz yang anggap arahan tidak menggunakan masjid sama seperti arahan penjajah dan mengarut. Perrrgghh.. Tinggi amat tinggi kenyataan Menteri Besar Selangor yang mengaitkan pemikir Barat dengan masjid sehingga kita pun pening. Biarlah si luncai terjun dengan labu-labunya.

Friday, April 23, 2010

HULU SELANGOR BANYAK MAKLUMAT

PRK Hulu Selangor semakin hangat dan banyak maklumat. Ini kerana pelbagai maklumat kini tersebar di seluruh kawasan yang kurang 12 ekar sama besar dengan Melaka. Lebih besar daripada Perlis. Besar tu. Maklumat ini disebarkan dalam pelbagai bentuk termasuk ada yang mempunyai gambar dan lukisan kartun.

Ejen kenit memberitahu DT bahawa PKR paling banyak menyebarkan risalah sejak dua tiga hari ini yang sudah tentu untuk menarik perhatian pengundi. Malah mereka mempunyai pasukan yang berdiri di tepi jalan di pekan untuk menyebarkan risalah itu selain menghantar ke rumah pengundi. Penuh peti surat. Nak buang mana ni?

Tidak hairanlah jika TPM kelmarin menggunakan istilah 'kilang fitnah' yang diusahakan oleh pembangkang untuk menyebarkan maklumat yang pelik-pelik. Antaranya mereka mempersoalkan kelayakan calon BN Kamalanathan yang dalam dakwaan mereka sijil palsu atau yang serupa dengannya. Kilang fitnah? Besar tu. Tentu banyak pakai kertas dan dakwat yang jika digunakan wang untuk rakyat miskin lebih banyak faedah.

Apapun, itulah pilihanraya. Semua mahu menang. Ada yang menghalalkan cara untuk mencapai matlamat.

Di tepi-tepi jalan kini, banyak poster dan kain rentang yang dipasang oleh kedua-dua parti yang bertanding. Bagi BN, mereka menggunakan gambar PM dan calon. Ada juga sedikit-sedikit menggunakan gambar orang lain termasuk TPM. Mugilan pun ada poster yang mahu pengundi menyokong Kamalanathan.

Bagi PKR, mereka menggunakan banyak poster yang memaparkan gambar calonnya. Ada juga gambar DS Nik Aziz yang meminta pengundi mendoakan agar calon PKR menang. Perrrggggh. Ada juga poster yang memaparkan gambar Zaid dengan perkataan yang meminta pengundi memilihnya dan menghentikan permainan 'adu-domba'. Perrgggh. Siapa yang adu-domba? DAP ke yang kini berusaha mengadu-dombakan penyokong PM dan TPM dengan mengatakan TPM tidak menyokong 1Malaysia. Bankrap isu ke?

Namun, yang pasti poster BN kali ini lebih ceria dan menarik. Tidaklah hanya warna biru saja. Malah ada poster yang menggunakan warna 'pink' atau gambar besar PM bersama rakyat dan generasi muda. Ada juga terpampang gambar PM melawat Nik Aziz yang memaparkan bagaimana PM sanggup turun melawat pemimpin PAS itu. Ada juga gambar PM yang melawat flat yang kemudiannya diperbaiki bumbungnya di Taman Sentosa.

Orang Hulu Selangor kini sudah pasti mempunyai banyak maklumat. Sama ada diperolehi menerusi risalah atau bahan cetak, mereka juga boleh melihat pelbagai poster dan gegantung yang menjelaskan isi hati orang yang menggantungkannya. Selamat membaca.

Thursday, April 22, 2010

FELDA/ORANG ASLI JADI TUMPUAN

Dua kumpulan yang menjadi sasaran semua pihak ialah masyarakat Felda dan orang Asli. Daripada pemerhatian penulis, ia sebenarnya adalah kawasan putih bagi BN sejak dari dulu lagi berikutan usaha berterusan yang dibuat oleh pengurusan Felda dan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KLBW). Dalam ertikata lain semuanya terkawal dan tiada masalah besar. Terima kasih kepada PM, TPM, DS Shafie Afdal, TS Yusof Noor, Dtk Ahmad Maslan dan pengurusan tertinggi Felda.

Namun, inilah kawasan yang menjadi tumpuan pihak pembangkang dengan usaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kawasan hitam bagi mereka diputihkan bagi memastikan mereka mendapat undi. Tidak hairanlah pelbagai pendekatan dilakukan termasuklah melepaskan maklumat yang entah daripada mana diperolehi untuk memesongkan pemikiran kedua-dua kelompok ini. Malah, mereka sebenarnya sudah melancarkan serangan di kawasan berkenaan sejak kematian calon PKR yang menyebabkan PRK Hulu Selangor ini diadakan.

Bagi BN, sudah pastilah walaupun kawasan ini boleh dianggap putih kerana usaha berterusan itu, mereka tidak boleh berdiam diri kerana dalam keadaan sekarang pelbagai pendekatan untuk mendekati kumpulan ini termasuk 'janji-janji' bulan dan bintang. Pembangkang pasti akan berusaha mencungkil semula janji-janji pihak tertentu yang mungkin tidak dipenuhi seperti pemberian bantuan untuk membuat tiang gol atau longkang yang mungkin terlepas pandang. Bagi kelompok Felda dan masyarkat orang Asli yang hanya memikirkan perkara itu mungkin akan berpusing 360 darjah apatah lagi jika mendapat habuan tertentu yang sudah pasti tidak mahu ditolak.

Kini terpulanglah kepada masyarakat Felda dan orang Asli untuk menilai yang mana satu kaca atau intan ketika mengundi Ahad ini. Mereka perlu melihat semula apa yang sudah dilaksanakan untuk memajukan kampung halaman. Mereka perlu menyedarkan golongan yang sudah mula terikut-ikut untuk menentang kerajaan yang selama ini sudah banyak membantu mereka. Melainkan, mereka merasakan tidak perlu berterima kasih kepada pihak yang sudah banyak membantu terutama dalam bidang pendidikan, kesejahteraan tempat tinggal dan juga pelbagai kemudahan asas. Buah selasih Pasir Mas, terima kasih tq very much. Perrrgggh.

Walaupun peratusan undi mereka kurang daripada 15 peratus tetapi dalam setiap pilihan raya, satu undi pun dikira dalam menentukan kemenangan. BN perlu memastikan kawasan yang mereka anggap putih itu terus berpihak kepada mereka dan jangan biarkan usaha memesong pemikiran masyarakat di kedua-dua kawasan itu dilaksanakan secara agresif. Ejen kenit ada menyatakan bahawa PKR sudah merancang untuk mengadakan satu finale besar-besaran di kedua-dua kawasan itu bagi menunjukkan mereka sudah 'menakluki' kawasan berkenaan. Berjaya atau tidak, tuhan saja yang tahu.

Wednesday, April 21, 2010

WAKIL RAKYAT UNTUK SEMUA KAUM

KUALA KUBU BARU : Parlimen Hulu Selangor ada tiga kawasan DUN. Anehnya, tiga DUN dimenangi oleh BN tetapi Parlimen dimenangi oleh PKR. Itupun, majoriti 198 undi. Sikit tu. Mungkin pengundi pada 2008 tidak mahu calon BN menang. Sebab...mereka saja yang tahu. BN pun sudah tahu, agaknya.

Kali ini, BN mengemukakan calon baru daripada parti yang sama. Ini yang perlu dipuji kerana sejajar dengan semangat 1Malaysia. Persahabatan dalam politik. Bukan untuk kepentingan pemimpin tertentu. Seperti dibuat oleh sesetengah pihak. Pemimpin BN memberi tempat kepada MIC walaupun ramai orang Melayu menjadi pengundi. Lebih separuh dan ada antara mereka mahukan calon UMNO. Apa nak buat, persahabatan itu lagi penting daripada hanya memikirkan satu kaum saja. Apapun, langkah bijak.

Oleh itu, pemilihan calon MIC itu sudah tentu akan menggembirakan pengundi India kerana jika BN terpilih Ahli Parlimen mereka ialah daripada kaum mereka. Nanti dulu, bukan itu yang ingin ditonjolkan oleh BN kerana pemimpin mereka tidaklah sebodoh itu. tidak sebodoh sesetengah orang. Mereka mahu calon yang dikemukakan mewakili semua kaum. Waima Melayu, Cina atau India. Yang penting mereka perlu memberi perkhidmatan terbaik kepada semua bangsa.

Pemilihan Kamalanathan perlu dianggap tepat kerana beliau yang fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan Tamil mampu menjadi 'kapala' di Parlimen Hulu Selangor yang menggabungkan ADUN dari MCA dan UMNO. Segala perancangan boleh dibuat dengan segera dan teratur. Bolehlah bercakap dalam apa bahasa saja. Asalkan semua orang faham.

Jika tidak, amat memeningkan. Peruntukan untuk Ahli Parlimen boleh disatukan dengan Adun demi kepentingan masyarakat setempat. Mereka juga boleh memikirkan kaedah terbaik untuk memastikan rakyat mendapat faedah. Bukanlah Ahli Parlimen tidak sekepala dengan ADUN, yang pasti banyak masalah.

Kamalanathan sudah berikrar untuk bekerja kuat. Maka pengundi perlu memegang ikrarnya itu untuk memastikan beliau bekerja kuat. Jika malas, Pilihanraya Umum pun dah dekat dan mereka bolehlah menentukan nasibnya kemudian.

Bagi calon PKR, beliau orang luar yang diimport dari Kelantan. Dulu UMNO dan kini PKR. Malah beliau kini sudah menjadi orang kuat Penasihat UMUM PKR. Akibatnya, ada yang berasa hati dan merajuk. Jangan merajuk dalam politik. Tidak elok.

Tuesday, April 20, 2010

PELBAGAI AJAIB DI HULU SELANGOR

KUALA KUBU BARU : Mula-mula empat, kemudian tiga dan kini sudah tinggal dua. Satu, belum tentu. Mungkin dua sehingga 25 April ini. Sudah pasti BN dengan PKR. Kamal lawan Zaid. Calon yang mahu menonjolkan bahawa beliau mewakili pelbagai kaum dan calon yang buat semua. Semua boleh. Aneh.

Daripada riak-riak mereka yang telah mengunjungi Hulu Selangor, pertandingan dikatakan sengit. Pasti hebat. Bagi yang baru datang, mereka mempunyai pelbagai ramalan. Hairannya, baru satu hari, mereka sudah boleh membuat ramalan. Merekalah tok tujum paling handal di Malaysia. Ramalan mereka ada yang percaya. Aneh.

Anehnya, dalam beberapa hari pelbagai peristiwa berlaku termasuklah mereka yang tidak percaya lagi dengan seseorang itu. Mereka keluar dan sertai parti lain. Mereka merasakan pemimpin itu sudah mula menetapkan hala tujunya sendiri. Yang mereka tidak tahu ialah sebenarnya pemimpin itu sudah lama menetapkan hala tuju sendiri. Aneh.

Apapun, penduduk Hulu Selangor pasti tahu calon terbaik untuk mereka. Mereka mesti memilih pemimpin yang sempurna. Pemimpin yang mahu bekerja untuk rakyat. Mereka yang sanggup turun ke bawah. Bukan, paksa diri untuk turun ke bawah. Bukan, hanya kali ini mahu turun ke bawah sedangkan selama ini di atas kayangan.

Pengundi perlu menggunakan undi mereka untuk masa depan negara. Jangan bagi kepada orang yang tidak tahu hala tuju. Kejap masuk parti ini, lepas tu keluar. Masuk parti lain dan lepas ini tidak tahulah. Bagi kepada orang yang ada pendirian iaitu untuk membela nasib rakyat tidak mengira bangsa. Bukan aneh.

Monday, April 12, 2010

SENI BUDAYA MALAYSIA DI USA

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan sedang mengkaji memperluaskan usaha memperkenalkan seni dan budaya 1Malaysia ke Amerika Syarikat secara berterusan.

Menterinya Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim berkata program pertama kementerian itu, Festival Faces of 1Malaysia di Bangunan National Geographic di Washington DC, mendapat sambutan positif daripada pengunjung.

Dalam ucapannya beliau menjelaskan acara "Faces of 1 Malaysia" ini juga membolehkan warga Amerika memahami serba sedikit mengenai gagasan 1 Malaysia yang ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kerjasama Malaysia dengan National Geographic Museum termasuklah dokumentari mengenai “Smart Tunnel” di Kuala Lumpur, projek Orang Utan di Sabah serta
Pertabalan Yang Dipertuan Agong.

Pada masa akan datang kerjasama itu akan melibatkan dokumentari perfileman.

Pertunjukan 'Faces of 1 malaysia " ini dilihat berjaya dan perintis untuk membawa lebih banyak persembahan berkonsepkan 1malaysia kepada pelancong asing.

Wednesday, April 7, 2010

MIC CALON HULU SELANGOR

Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak, mengumumkan bahawa calon MIC akan mewakili BN untuk kerusi Hulu Selangor.

Datuk Sri Najib yang juga Pengerusi BN mahu jentera BN untuk terus buat kerja dengan bersungguh-sungguh. "Jangan malas dan terus buat kerja." Semua buat kerja dalam semangat setiakawan.

Dalam pada itu, Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, gembira dan terima keputusan itu seratus peratus. Beliau mengucapkan terima kasih atas kepercayaan Perdana Menteri itu.

Tepuk dada, tanya selera.

Sunday, April 4, 2010

YANG PENTING BN MENANG...

MACHANG 3 April - Barisan Nasional (BN) berkemungkinan besar akan mengekalkan calon dari MIC untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor berasaskan formula yang telah dipersetujui oleh semua pimpinan komponen parti berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kepimpinan BN mengambil kira semua pandangan tetapi apa yang penting adalah muafakat dan kerjasama di antara komponen dalam menghadapi pilihan raya kecil itu.

Beliau menarik perhatian, sistem penggiliran calon kerusi Parlimen Hulu Selangor tidak perlu diadakan kerana perjanjian tersebut telah disepakati oleh semua pemimpin komponen.

"Saya tidak fikir perlu ada begitu (penggiliran), kita sudah ada formula yang dipakai sekian lama dan disepakati oleh pemimpin BN sama ada pilihan raya kecil atau umum.

"Dalam hal begini contohnya di Hulu Selangor, ini kerusi MIC dan kemungkinan besar akan kekal kepada MIC dan itu perlu diambil kira dahulu," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan program Juara Rakyat peringkat Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah I di sini hari ini.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Ramli Abd. Rahman telah mencadangkan pucuk pimpinan BN mewujudkan sistem penggiliran calon di kerusi Parlimen Hulu Selangor mengikut parti komponen setiap kali pilihan raya.

Berdasarkan sejarah, pemilihan calon BN di kawasan tersebut agak unik kerana ia pernah diwakili UMNO, MCA dan kemudiannya MIC.

Muhyiddin berkata, BN tidak mengambil mudah pilihan raya kecil tersebut walaupun sentimen rakyat telah berubah selepas setahun pentadbiran di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Apa yang penting perlu ada strategi tepat, jentera yang mantap dan perlu menghadap pengundi kerana setiap pengundi adalah penting,"katanya.

(Renungan Rimau : Ada yang mahu Palanivel, ada yang mahu Kamala dan ada yang mahu calon UMNO. Ada calon yang akan menyambung talian hayat. Masing-masing menjanjikan bahawa calon mereka akan menang. Mereka yakin pengundi akan memilih calon yang dikemukakan berbanding calon PKR. Alasannya rakyat sudah bosan dengan PKR kerana menabur janji tetapi selalu sepi. Tiada apa pun dan banyak pembohongan. Itu sebab mereka yakin BN akan menang. Bagi penulis, yang penting wakil rakyat yang kuat kerja dan memastikan segala projek dan program menguntungkan rakyat. Bukan tolak pembangunan termasuk menyusahkan urusan hendak membuat universiti. Bukan roboh bangunan yang menyebabkan rakyat kehilangan pendapatan dan merana. Zaman sekarang zaman untuk menolong rakyat bukan mengetepikan mereka. Zaman kegawatan memerlukan pemimpin yang dinamik dan berfikiran waras. Bukan pemimpin yang gemar berpolitik dan mencari kesilapan orang untuk merobohkan bangunan atau melalak tidak tentu pasal. Rakyat tahu menilai pemimpin yang baik.)

Saturday, April 3, 2010

RTM MERENTAS ZAMAN

(Artikel DIY pada 1 April lalu di Utusan Malaysia sempena Ulangtahun ke 64 RTM. Terima kasih Datuk Aziz dan Azman)

Oleh Ibrahim Yahaya

Hari ini (1 April), RTM menyambut ulang tahun ke-64. Ia diambil kira daripada tarikh penubuhan stesen radio yang dikenali Radio Malaya pada 1 April 1946 oleh pentadbir Inggeris yang mahu menyebarkan berita dan maklumat kepada penduduk negara ini.

Daripada elemen suara dan bunyi pada awalnya, dimanfaatkan pula perkembangan teknologi elemen visual seterusnya, maka lahirlah siaran televisyen pada 28 Disember 1963 yang dikenali sebagai Televisyen Malaysia.

Seterusnya, pengendalian stesen radio dan televisyen yang mulanya berasingan, digabungkan dalam sebuah organisasi penyiaran yang dikenali sebagai Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1969 membawa kepada bidang penyiaran ini terus berkembang sebagai media rasmi untuk menyebarluaskan dasar kerajaan kepada rakyat.

Selain itu, RTM yang menjadi jenama terunggul negara dulu dan sekarang, turut berusaha memupuk kesedaran dan membuka meminda masyarakat di samping menerapkan nilai-nilai murni ke arah hidup yang lebih sempurna. Ia mendidik rakyat agar sentiasa berjaya dan sempurna dalam kehidupan.

RTM juga mempunyai peranan besar dalam memupuk bakat sehingga berjaya melahirkan ramai artis serta karyawan muzik dan seni yang masyhur. Mereka inilah seterusnya memberi sumbangan kepada pembangunan industri seni muzik tanah air. Antara artis kelahiran RTM ialah Datuk Sudirman Arshad, Jamal Abdillah dan Datuk Siti Nurhaliza.

RTM juga bertanggungjawab melaporkan dan merakamkan peristiwa penting yang menjadi sejarah bangsa. Dalam merakamkan sejarah negara, sebenarnya perjalanan RTM sendiri yang bermula dari era awal dan meniti era pelbagai zaman hingga kini turut menjadi asas kepada perkembangan industri penyiaran negara.

Kini dalam era Gagasan 1Malaysia, RTM memikul tanggungjawab berat untuk memastikan rakyat sedar, memahami dan menghayati 1Malaysia. Ia bukan tugas mudah tetapi memerlukan perancangan teliti agar rakyat memahami tujuan gagasan itu yang berteraskan Perlembagaan Negara.

Penerangan dan penjelasan gagasan ini akan membolehkan rakyat terus mengamalkan pendekatan yang menekankan kepada gabungan perpaduan dan pengagihan kekayaan sama rata mengikut ketetapan Perlembagaan.

Untuk itu, RTM perlu menjadi terbaik. Sejak Mac lalu, usaha diadakan mengadakan tiga transformasi penting membabitkan budaya kerja, transformasi teknologi terkini dan mengubah persepsi rakyat untuk lebih menyukai RTM sepanjang masa. Promosi dan publisiti produk dan program RTM perlu dijadikan amalan sepanjang masa. Ini penting untuk membolehkan rakyat mengetahui program dan produk RTM.

Bagi penulis, tiada jalan pintas untuk menjadi yang terbaik. Ia memerlukan disiplin, kesungguhan kreativiti dan jati diri yang hebat bagi menghasilkan sesuatu yang luar biasa.

Apa yang lebih penting adalah untuk memastikan penghasilan yang terbaik itu perlu berterusan dan tidak bermusim. Ini yang perlu ada pada kalangan pejuang RTM agar memastikan RTM terus relevan dan terbaik sepanjang masa.

Sejak menerajui RTM pada Mac 2009, penulis mendapati ramai pejuang RTM mempunyai keupayaan untuk menjadi terbaik. Mengapa dipanggil pejuang? Mereka sanggup bekerja keras bagi menghasilkan produk dan program terbaik untuk penonton. Dalam kesejukan konti, mereka memberikan perkhidmatan kepada penonton dan pendengar.

Bagaimana untuk menjadi terbaik? Apa yang perlu ialah menggunakan ciri-ciri istimewa ini secara berkesan untuk membuahkan sesuatu yang terbaik. Mereka perlu mempunyai tahap disiplin yang tinggi bagi memastikan segala tugasan yang diberi dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan.

Disiplin juga penting untuk memastikan pejuang RTM sentiasa konsisten dalam menghasilkan sesuatu produk agar penonton dan pendengar merasa puas sepanjang masa.

Pejuang RTM juga perlu ada kesungguhan untuk menghasilkan sesuatu yang dapat memenuhi cita rasa dan keperluan masyarakat umpamanya, pejuang bilik berita perlu menghasilkan berita menarik dan semasa agar penonton mendapat maklumat terkini. Kesungguhan untuk memberi persembahan berita yang menarik terutama membabitkan penggunaan ayat mudah dan grafik membolehkan penonton memahami apa yang ingin disampaikan. Tidak kabur dan mengelirukan.

Pejuang RTM juga perlu mempunyai jati diri agar mereka sentiasa memberikan produk yang membina negara bangsa. Ini penting sejajar peranan RTM sebagai jurucakap kerajaan. Segala dasar kerajaan perlu disebarluaskan agar rakyat menyedari, menghayati dan mengamalkan dalam kehidupan seharian.

Umpamanya gagasan 1Malaysia yang menjadi KPI utama RTM bagi memastikan rakyat memahami gagasan itu. Kejayaan RTM memperkenal dan menggunakan salam 1Malaysia adalah usaha permulaan yang berjaya ke arah menyedarkan rakyat terhadap gagasan itu.

Lagu 1Malaysia yang sering diputarkan oleh RTM membantu menyedarkan rakyat betapa perpaduan adalah satu aset berharga yang dimiliki oleh negara ini. Ia perlu dipupuk dan dibajai sepanjang masa agar ia subur dan terus berkembang.

Pejuang RTM juga perlu sentiasa bekerja sebagai satu pasukan yang mantap. Semangat berpasukan penting bagi menghasilkan produk terbaik. Umpamanya dalam menghasilkan berita; lebih 15 unit terbabit termasuklah wartawan/pengarang, jurusolek, penyampai dan lain-lain. Tanpa semangat perpaduan ini sudah tentulah berita yang dipersembahkan bukan yang terbaik.

Setiap individu perlu memastikan mereka memberikan hasil terbaik dan bukan bersikap sambil lewa sehingga mencacatkan persembahan berita. Ini bermakna pada tahap terakhir penghantaran siaran perlulah terbaik agar gambar yang diperolehi di kaca televisyen jelas dan terang.

Siaran yang kabur atau tanpa audio mencacatkan persembahan berita dan sudah tentulah RTM terus dipandang sepi atau tidak relevan lagi. Pejuang RTM perlu memberikan program yang dapat meningkatkan kepercayaan penonton dan pendengar agar terus setia menjadi teman RTM.

Bagi merakamkan perjalanan setahun penulis di RTM yang disifatkan sebagai kota angkasa diperturunkan bait-bait puisi yang dilafazkan hari ini dalam satu majlis istimewa di Angkasapuri.

KOTA ANGKASA

Kota Angkasa ini

Menyaksi dan mendengar sejarah bangsa

Sejarah duka

Khabar gembira,

Linangan air mata,

Kejayaan berharga

Sejarah kota

Kota Angkasa ini

Himpunan critera bangsa

Penuh nostalgia

Pentasan drama

Kota Angkasa ini

Merakam waktu,

Berita dan peristiwa

Dewasa

Bersama negara

Aku melangkah ke sini

Bukan dijemput

Tapi disambut

Rasa mahu menegakkan kota ini semula

Yang sudah pudar dan hambar

Tapi masih

Punya nyawa dan jiwa.

Wahai Pejuang...

Kita bangunkan semula kota angkasa ini

Sebaris persada dunia

Menegakkan martabat bangsa

Kita bukan orang sebarangan

Sebenarnya kita pahlawan medan

mampu buat kejutan

Segunung intan

Bagi penulis, RTM mampu menjadi terbaik dan memainkan terus peranan sebagai penyebar maklumat, ilmu pengetahuan dan hiburan, jika setiap petugas memberi komitmen sepenuhnya. RTM yang sudah sekian lama berjasa kepada negara dan perjuangan ini perlu diteruskan demi kepentingan negara bangsa. Saingan syarikat penyiaran swasta perlulah dijadikan rangsangan kepada petugas RTM untuk berkerja keras dan memperbaiki diri agar menjadi pejuang terbaik.