Friday, August 27, 2010

MALAYSIA TIDAK PERLU MELENTING

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan penghantaran pelajar tajaan ke Indonesia kerana menyifatkan insiden demonstrasi yang mencemarkan kedaulatan Malaysia oleh Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) di negara itu adalah kes terpencil.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kerajaan tidak perlu melenting sehingga mengambil keputusan sedemikian atas perbuatan golongan tertentu yang bertindak atas matlamat tersendiri.

“Insiden seperti ini (demonstrasi) bukan (berlaku) setiap hari tetapi sekali sekala, belum lagi menuntut kita untuk mengkaji penghantaran pelajar ke Indonesia. Kita tidak mahu terperangkap dalam permainan golongan tertentu ini yang boleh menjejaskan hubungan antara Malaysia dan Indonesia. Perkara ini perlu dilihat secara keseluruhan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

DS Mohamed Khaled mengulas gesaan segelintir pihak supaya Malaysia bertindak balas sebagai ‘pengajaran’ terhadap kebiadaban BENDERA sebagai ‘pengajaran’, termasuk menghentikan penghantaran pelajar tajaan ke Indonesia.

Beberapa siri demonstrasi di Indonesia menyaksikan penunjuk perasaan memijak, menconteng, membakar dan melumur najis manusia pada Jalur Gemilang serta membaling najis manusia ke dalam pekarangan Kedutaan Malaysia di Jakarta.

Mengenai keselamatan pelajar Malaysia sedia ada di Indonesia pula, DS Mohamed Khaled berkata, setakat ini tiada laporan daripada Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) mengenai sebarang insiden yang membabitkan atau menjejaskan mereka.

Bagaimanapun, katanya, MSD sentiasa mengambil langkah berhati-hati dan menasihati pelajar supaya berada dalam keadaan dapat mengawal diri bagi mengelakkan daripada terperangkap dalam keadaan yang boleh mengancam keselamatan mereka. - BERITA HARIAN.

(Renungan Rimau : Walaupun terhina, Malaysia tidak mengambil sebarang tindakan drastik terhadap jirannya. Ini kerana pemimpin dan rakyat Malaysia berfikiran waras dan tidak terperangkap dengan mainan 'kumpulan upahan' dan 'tuannya'. Malaysia berpegang teguh kepada semangat 'serumpun' dan tidak mudah 'dicarik-carik' akibat taburan permainan emosi 'kumpulan upahan dan tuannya'. Rakyat Malaysia juga tidak perlu terperangkap dan menari mengikut gendang 'kejahatan' oleh kumpulan upahan.)

No comments: