Friday, May 3, 2013

ASWARA GEDUNG KREATIVITI SENI : RAIS

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) perlu menjadi gedung kreativiti berprestasi tinggi dalam memperkembang serta memajukan industri seni kreatif, budaya dan warisan negara.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim berkata pemain industri perlu bersama Aswara dalam menjana idea baharu selain mempertingkat kualiti silabus program seni dan budaya di institusi itu.

"Kita pertingkatkan program latihan kita supaya pelatih dan graduan mendapat kerja, dan kita boleh wujudkan Steven Spielberg kita, P.Ramlee baharu dengan menggunakan petua dan prinsip perjuangan yang boleh mengapungkan Malaysia dalam
dunia tersebut.

"Ini bukan angan-angan walaupun ada pihak kata (objektif itu) terlalu jauh (untuk dicapai). Setiap mimpi boleh dijadikan realiti. Kita perlu tinggalkan kepompong lama," katanya ketika berucap pada pelancaran logo baharu Aswara hari ini.

Dr Rais berkata pemain industri perlu sedar mereka berdepan cabaran besar dalam industri budaya, warisan dan seni kreatif namun pulangannya adalah lumayan, bergantung kepada produk yang diketengah.

Mengulas logo baharu Aswara, Dr Rais berharap ia mewakili kualiti, produktiviti serta segala seni dan keindahan dalam industri kreatif negara. 

Beliau berkata apa yang dikecapi Aswara ketika ini bukan mudah untuk dicapai dan usaha mempertingkatkan lagi pencapaiannya memerlukan perkongsian dengan institusi serantau dan dunia, serta perlu diperhebat secepat mungkin.

Pada majlis itu, Dr Rais menyampaikan bantuan Seni Kreatif 1Malaysia kepada 40 persatuan penggiat seni bagi membantu mereka menjalankan aktiviti seperti penerbitan filem, animasi dan muzik..

No comments: