Sunday, March 30, 2014

KAJI SEMULA TEKNOLOGI KOTAK HITAM : SHABERY

DUBAI, UAE 30 Mac (Bernama) – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mahu pemain utama teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memainkan peranan yang lebih besar dalam industri penerbangan.

Menurutnya, walaupun bidang komunikasi amat maju dan bergerak pantas, namun teknologi kotak hitam tidak berubah sejak 30 tahun lalu dan perlu dikaji semula. Katanya pencarian kotak hitam, contohnya, seharusnya menjadi sesuatu yang lampau.

“Dengan penggunaan perkomputeran ‘cloud’ di era data besar (big data) ini, saya percaya data daripada sesebuah kapal terbang sepatutnya boleh dihantar secara berterusan dan disimpan di pusat data di darat.

“Saya meminta Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bekerjasama dengan industri ke arah ini. Ini termasuk membangunkan sistem pemantauan berterusan ke atas data penerbangan serta apa yang berlaku dalam kokpit. Data ini kemudiannya boleh diakses dan dianalisis tanpa perlu untuk mencari kotak hitam.” Katanya.

Shabery berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Malaysia di Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia (WTDC) 2014 di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.

WTDC adalah satu persidangan di bawah ITU, iaitu sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang  bertanggungjawab menyelaras isu-isu global berkaitan ICT. Persidangan ini dipengerusikan oleh tuan rumah, iaitu Emiriyah Arab Bersatu. Turut hadir adalah Dr Hamadoun Toure, Setiausaha Agung ITU.

Dalam ucapannya, Shabery juga merakamkan terima kasih kepada semua
25 negara dan mereka yang membantu Malaysia dalam pencarian pesawat MH370.

Diadakan setiap empat tahun, WTDC menumpukan kepada salah satu sektor dalam bidang ICT, iaitu pembangunan telekomunikasi. Mesyuarat kali ini, yang diadakan dari 30 Mac hingga 10 April, adalah bertemakan “Jalur Lebar untuk Pembangunan Lestari” atau “Broadband for Sustainable Growth” dan dihadiri oleh lebih kurang 1,000 orang delegasi.

Ketika persidangan itu, Shabery juga sempat mengadakan pertemuan dua hala dengan delegasi dari Jepun, yang diketuai oleh Masahiro Yoshizaki, Naib Menteri Penyelarasan Dasar (Hal Ehwal Antarabangsa) [Vice Minister for Policy Coordination (International Affairs)].
Antara isu yang dibincangkan adalah potensi usahasama kedua-dua negara, terutamanya dalam bidang pembayaran mudah alih (mobile payment) dan keselamatan siber (cyber security).

Kehadiran delegasi negara dalam mesyuarat global ini adalah penting bagi mengekalkan imej dan kredibiliti Malaysia sebagai peneraju bidang telekomunikasi terutama di kalangan negara-negara membangun.

Malaysia dilantik untuk mempengerusikan salah satu daripada lima jawatankuasa, iaitu “Committee 4: Working Methods” semasa mesyuarat ini. Malaysia juga memainkan peranan besar sebagai Naib Pengerusi untuk rantau Asia Pasifik. - BERNAMA.

No comments: