KUALA LUMPUR : Penulis kagum mendengar kenyataan Tan Sri Dr Herman Luping (gambar), seorang tokoh pemimpin Kadazan yang menyatakan bahawa negara ini akan hilang arah jika rakyat terus terkeliru dan tidak waras dalam membuat pilihan pada PRU13 akan datang.
Ini pandangan ikhlas seorang pemimpin yang berpengalaman dan melalui perjalanan hidup negara sejak zaman Tunku Abdul Rahman sehingga sekarang. Baginya, kepentingan negara adalah yang utama daripada kepentingan individu atau parti tertentu. Perkara ini disuarakan kepada penulis tengahari tadi.
Sambil menunjukkan jari telunjuk ke kepala, beliau menyatakan bahawa jika semua rakyat negara ini menggunakan 'fikiran' yang waras mereka pasti menghargai apa yang dilaksanakan oleh kerajaan selama ini demi untuk rakyat dan kemakmuran negara. Kemakmuran dan kestabilan ini bukan mudah untuk dibina dan dijaga apatah lagi jika kita menyaksikan banyak negara yang tidak stabil dan berlakunya peperangan. Ada negara yang hanya satu bangsa sekalipun berpecah dan wujudnya perang saudara.
Walaupun negara ini mempunyai pelbagai kaum dan agama terutama di Sabah yang mempunyai pelbagai etnik namun kerajaan berjaya mentadbir Malaysia kerana kedudukan politik yang stabil. Perpaduan dan tiada persengketaan. Inilah resipi utama sejak dulu lagi menyaksikan Malaysia berjaya dibangunkan dan kini menuju negara maju. Fikiran waras tanpa sikap prejudis dalam menghargai perjuangan dan usaha gigih kerajaan selama ini akan membantu memastikan Malaysia terus maju dan makmur.
Baginya, Kerajaan Persekutuan telah banyak membantu rakyat termasuk di Sabah dan Sarawak dengan menyediakan pelbagai infrastruktur di bandar dan luar bandar bagi memastikan rakyat mendapat segala yang diperlukan. Ini membabitkan beribu juta ringgit terutama menyediakan kemudahan asas di kawasan yang luas seperti di Sabah dan Sarawak sejak dari dulu lagi.
Apatah sekarang, katanya, yang menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, begitu komited untuk membela rakyat tanpa mengira kaum dan latarbelakang menerusi Gagasan 1Malaysia dan keikhlasannya seharusnya disokong. Buka mata dan lihatlah transformasi yang dilakukan oleh kerajaan sekarang yang ikhlas dalam membantu rakyat di samping menunaikan segala janji.
Ini perlu dirasai dan dihayati rakyat.
Thursday, January 26, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment