Friday, March 16, 2007

TUNGGAKAN PINJAMAN KAD KREDIT - RM20 BILION - AMBOIII BANYAKNYA

Kerajaan perlu melakukan sesuatu yang drastik untuk menyelamatkan rakyat Malaysia. Jika lambat berbuat demikian maka ramailah yang akan menjadi muflis. Saya pernah mengutarakan isu kad kredit sebelum ini.

Berita dalam Utusan Malaysia hari ini.

Oleh: YULPISMAN ASLI

KUALA LUMPUR 15 Mac – Tunggakan pinjaman kad kredit rakyat Malaysia sehingga Disember 2006 kini berjumlah hampir RM20 bilion ekoran gaya hidup mereka yang gemar berhutang menggunakan kad kredit walaupun tidak mampu dari segi kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Mohamed Akwal Sultan memberitahu, perangkaan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan terdapat peningkatan hutang tertunggak kad kredit sebanyak RM1.3 bilion dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun lalu.

Laporan sebelum ini menyebut kira-kira 40 peratus daripada lima juta pemilik kad kredit di negara ini gagal menjelaskan tunggakan pinjaman mencecah RM18.6 bilion sehingga Oktober lalu.

“Peningkatan itu antara lain disebabkan oleh gaya hidup rakyat Malaysia. Mereka hendak membeli barang tetapi tidak mampu dan tiada wang tunai, jadi mereka gunakan kad kredit.

“Bila bil datang, baru mereka sedar jumlah yang perlu dibayar di luar kemampuan. Akhirnya mereka hanya membayar pada kadar minimum,” kata Mohamed Akwal kepada Utusan Malaysia dalam satu temu bual di pejabatnya di sini.

AKPK ditubuhkan oleh BNM bagi menyediakan perkhidmatan pengurusan kewangan, kaunseling kredit dan pendidikan kewangan serta penstrukturan semula pinjaman individu.

Menurut Mohamed Akwal, daripada keseluruhan jumlah pinjaman tertunggak kad kredit itu, sebanyak RM700 juta dikategorikan sebagai pinjaman tidak berbayar (NPL).

Jumlah NPL itu, jelas beliau, bertambah sebanyak RM60 juta dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun lalu berbanding NPL sehingga September yang berjumlah RM640 juta.

“Kadar NPL itu, bagaimanapun, belum membimbangkan dan masih pada tahap boleh diurus,” katanya.

Mohamed Akwal menegaskan, penggunaan kad kredit seharusnya dikawal bagi mengelakkan risiko kewangan, termasuk pemegang kad kredit dikenakan tindakan muflis.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, seramai 13,596 pemegang kad kredit yang terdiri daripada individu dan pengarah syarikat telah dikenakan tindakan muflis.

Bilangan itu menurun berbanding statistik 2005 iaitu seramai 15,868 orang yang dikenakan tindakan serupa.

Menurut beliau, lebih 40 peratus kes pengurusan kredit yang dikendalikan oleh AKPK sekarang melibatkan penggunaan kad kredit.

“Secara keseluruhan, pada tahun lalu AKPK mengendalikan 1,977 kes di bawah pengurusan kredit,” katanya.

Program pengurusan kredit AKPK merupakan program pembayaran balik hutang yang dirangka khas oleh BNM untuk memberi penyelesaian masalah kewangan kepada individu.

Program itu juga menyediakan kaunseling dan pendidikan yang berterusan kepada orang ramai berkaitan isu-isu pengurusan kredit.

Orang ramai yang memerlukan perkhidmatan AKPK boleh mengunjungi mana-mana cawangan agensi itu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kuala Terengganu, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching.

Mereka juga boleh menghubungi AKPK menerusi talian bebas tol 1-800-88-2575 atau laman web www.akpk.org.my.

No comments: