Friday, January 4, 2008

DR CHUA TIDAK AKAN "DUDUK DIAM"

Mengikut firasat saya, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, tidak akan duduk diam atau berdiam diri sehingga "individu" atau "kumpulan" yang menyebabkan kejatuhannya dikenalpasti dan seterusnya mendapat pembalasan yang setimpal. Apa strategi yang digunakan, hanya beliau saja yang mengetahuinya. Namun, beliau pasti "menjejak" pengkhianat yang menghancurkan imej dan kerjaya politiknya. Hakikat ini jelas daripada tiga sidang akhbar yang diadakan sejak 1 Januari lalu. Yang terbaru ialah semalam, selepas beliau berkemas di pejabatnya untuk persediaan penggantinya. Beliau terus meluahkan segala yang terbuku dan pengamatannya yang saya kutip dalam media tempatan dan agensi berita.

"Kesilapan besar saya sejak datang ke Kuala Lumpur ialah untuk melaksanakan tugas saya sebagai Menteri Kesihatan dan naib presiden MCA. Sebagai Menteri Kesihatan dan naib presiden MCA, saya terpaksa pergi ke seluruh negara untuk mengetahui kemudahan perubatan dan membolehkan anggota MCA mengenali saya kerana saya adalah muka baru dalam politik peringkat nasional. Saya merasa bangga telah melawat lebih 100 hospital dan lebih 50 kemudahan kesihatan semasa saya menjawat jawatan menteri selama tiga setengah tahun."

Dr Chua berkata beliau terkejut apabila melawat sesetengah hospital, beliau terperanjat apabila diberitahu bahawa tidak ada ahli politik pernah melawat hospital berkenaan walaupun telah beroperasi sejak lebih 30 tahun. "Saya ingatkan mereka bergurau atau beramah sopan santun tetapi bila saya lihat hospital tersebut ia adalah benar...tidak ada siapa yang pernah melawat hospital itu.

"Satu contoh ialah banyak kemudahan kesihatan seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Sentul, Wangsa Maju...tidak ada ahli politik pernah melawat tempat kesihatan ini walaupun telah mula beroperasi dalam 60-an. Dan kerana ini dan apabila saya menemui anggota parti semasa saya membuat lawatan, banyak spekulasi bahawa saya ada agenda dan saya bercita-cita tinggi ...saya fikir itulah kesilapan terbesar saya."

Daripada kenyataan itu menggambarkan bahawa "kerja keras" yang dilakukan oleh Dr Chua disalahertikan oleh sesetengah pihak terutama pemimpin partinya. Akibatnya beliau sudah tentu dijadikan "target" agar tidak terus berjaya menaiki tangga setapak lagi. Sudah tentu selepas kejayaanya memegang jawatan Naib Presiden, beliau pasti akan bertanding jawatan seterusnya - Timbalan Presiden dan Presiden.

Malah, media dikatakan memburukkan keadaan dengan spekulasi mereka yang memberi kesan kepada perjalanan politiknya. "Ini bertambah buruk disebabkan akhbar. Akhbar sentiasa melaporkan bahawa Dr Chua ialah pencabar terhadap timbalan presiden, terhadap presiden. Akhbar membantu membunuh karier politik saya, secara jujur...jadi kebenaran ialah mata pena itu lebih tajam daripada pedang."

Kenyataan yang dihamburkan oleh Dr Chua ini menyakinkan saya bahawa beliau tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam partinya terutama usaha untuk memastikan beliau "kencundang" sebelum melangkah ke tengah gelanggang. Usaha memalitkan kekotoran ini penting untuk menggelakkan Dr Chua menjadi "gergasi" yang tidak boleh dikawal lagi yang mampu "membunuh" semua orang dan muncul sebagai juara.

Daripada maklumat yang diperolehi daripada rakan sekolahnya, Dr Chua adalah seorang pelajar yang baik dan tidak banyak bercakap. Rakannya itu mengenali bapanya yang mempunyai kedai menjual barang-barang harian. Beliau juga kagum dengan prestasi Dr Chua dalam politik dan yakin beliau mampu menjadi pemimpin tertinggi parti. Namun, keyakinan rakan itu terhenti pada awal tahun baru berikutan pengakuan pelajar High School Batu Pahat mengenai video yang disebarkan di beberapa tempat di Johor.

No comments: