Wednesday, December 17, 2008

HINGGA SAAT AKHIR....



Oleh Agendadaily

Menjelang tiga bulan terakhir memegang jawatan Perdana Menteri, banyak spekulasi yang berlegar mengenai usaha-usaha pembaharuan yang dibawa oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ada pandangan yang sinikal yang mempersoalkan apa yang boleh dilakukan oleh Abdullah dalam tempoh tiga bulan sebelum melepaskan jawatannya Mac depan.

Lebih khusus, usaha pembaharuan dalam bidang pencegahan rasuah dan institusi kehakiman melalui pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Suruhanjaya Kehakiman di Dewan Rakyat mendapat reaksi yang bukan sahaja daripada pembangkang tetapi juga kalangan ahli-ahli parti pemerintah sendiri.

Ada yang mempertikaikan kenapa rang undang-undang tersebut perlu diadakan, Adakah ia mempunyai muslihat tertentu daripada sudut politiknya dan pelbagai andaian lain.

Menjawab segala persoalan tersebut, Abdullah dengan tegas berkata, beliau tidak akan lari daripada amanah dan tanggungjawab yang digalasnya sebagai Perdana Menteri.

“Saya akan tunaikan semua tanggungjawab yang ada…selagi saya masih Perdana Menteri saya akan melaksanakan amanah tersebut sampai ke saat terakhir,” ujarnya sambil menegaskan, beliau tidak akan hanya berdiam diri menunggu masa untuk bersara.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan khas dengan Agendadaily di kediamannya di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur hari Selasa.

“Saya akan terus berada di sini bagi menyelesaikan apa yang telah saya janjikan,” tegas Abdullah lagi.

Pada pertemuan tersebut, Abdullah melahirkan segala yang hasrat dan harapan beliau untuk melihat institusi kerajaan diperkasakan dan mendapat keyakinan semula daripada masyarakat ekoran wujudnya pelbagai persepsi negatif khususnya institusi pencegahan rasuah, kehakiman dan penguatkuasaan.

Abdullah turut ditanya, apakah kekecewaan yang dirasainya dalam usaha melakukan agenda perubahan berkenaan.

Katanya, jika ada pun rasa kecewa terhadap sikap ahli-ahli UMNO dan BN dalam usaha beliau melakukan perubahan sepanjang tempoh menjadi PM ialah mereka terlalu diselubungi dengan persepsi negatif.

”Mereka hanya lihat sesuatu pembaharuan itu daripada sudut negatif sahaja tanpa mahu memahami apa yang tersirat di sebalik hasrat. Segalanya mereka lihat daripada apa yang tersurat sahaja,” jelasnya.

Rasa kecewa beliau itu lebih merujuk kepada sikap yang tidak mahu memahami hasrat serta pandangan negatif yang diberikan terhadap pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Suruhanjaya Kehakiman di Dewan Rakyat.

Di sela-sela pertemuan berkenaan, Abdullah turut ditanya adakah beliau akan terima jawatan sebagai Menteri Kanan selepas bersara Mac depan seperti yang disuarakan oleh beberapa pemimpin UMNO.

“Biaq pi kat depalah,” ujarnya sambil gambarkan tidak pernah terlintas di fikirannya mengenai perkara itu.

Mengenai adakah beliau akan memantau kerajaan selepas bersara nanti, beliau menegaskan, “saya tidak akan jadi macam itu”.

Malah pada pertemuan berkenaan beliau turut menegaskan, tidak akan mengganggu kerajaan pimpinan baru selepas Mac depan.

(Renungan Rimau : Pemimpin yang baik akan tetap disanjungi dan dikenang walaupun pelbagai dakwaan, tuduhan mahupun fitnah dilemparkan terhadap diri dan keluarganya. Hanya tuhan saja yang akan membalas jasa pemimpin yang baik dan memperjuangkan kepentingan rakyat)

11 comments:

Anonymous said...

Abdullah ni jenis yang buat saja kerja dia tanpa mempedulikan tohmahan dan ejekan terhadap beliau.sebenarnya ramai ahli UMNO/BN yang tak suka dengan pembahruan terhadap bidang pencegahan rasuah dan institusi kehakiman oleh Abdullah.mana tidaknya kalau sudah terbiasa dengan cara lama dan risau jika nama mereka "dipetik".

saya harap Abdullah tidak bertindak seperti "orang" itu yang asyik memantau pergerakan kerajaan dan mengkritik segala tindakan Abdullah dan kerajaan yang tidak kena pada matanya.

waritarakyat said...

Memperkasa institusi kehakiman dan juga pencegahan rasuah merupakan hasrat murni kerajaan dalam membendung permasalah khususnya mengenai rasuah. Bukan macam pembangkang cakap banyak tetapi tak buat.

Anonymous said...

bro,
pemimpin tetap pemimpin, terutama yang kita sendiri pilih. baik-buruknya adalah fitrah manusia. mesti ada kelebihan dan kekurangan. bak kata pepatah, kalau kita lihat tiga keburukan seseorang, ingat dan kenanglah akan satu jasa atau kebaikannya...

Anonymous said...

Pada pendapat saya dan pasti yang ramai lagi Pak Lah bukan pemimpin. Dia adalah pemimpin terpimpin.

Mungkin dia adalah pemimpin keluarga yang baik,bapa mertua yang sangat di-sayangi oleh menantu.

Tetapi untuk kita menipu diri sendiri dan berkata bahawa Pak Lah adalah pemimpin yang baik, itu satu lawak jenaka yang tidak kelakar langsung.

Sudah sudahlah tu...katakanlah dengan keberanian moral bahawa Pak Lah telah menjahanamkan UMNO dan BN. Apa Datuk Tiger tidak sedar lagi ke? ataupun.......

Anonymous said...

Betul tu Datuk...
Pemimpin yang baik tetap akan disanjung walaupun dicemari oleh fitnah dan tohmahan melampau akibat kerakusan manusia yang suka menjatuhkan orang lain. Mungkin sekarang ni rakyat masih merasakan Pak Lah tidak diperlukan tapi mungkin selepas persaraan beliau, ramai yang mula teringat akan Pak Lah dan jasa-jasa beliau...Nak dijadikan cerita, sekarang ni nama UMNO dan BN menerima banyak tohmahan buruk akibat sikap segelintir pemimpin yang mengamalkan rasuah untuk kepentingan politik. Dari hari ke hari nama UMNO dan BN terus dibusukkan dengan 'perencah-perencah tambahan' daripada pembangkang lalu UMNO/BN terus dipandang hina.. Pak Lah cuba bawa perubahan supaya pandangan negatif terhadap UMNO/BN dapat dibuang jauh-jauh. Diharapkan Pak Lah berjaya meneruskan perjuangan sehingga saat akhir persaraan beliau. Insya Allah jasa beliau itu akan dikenang...

Tinta Biru said...

Salam Datuk,
Semoga PM kita akan diberi kekuatan untuk melaksanakan tugas2 beliau...

LazerJuan said...

Baguslah Pak Lah..Pucuk dipinta, ulam mendatang.

Good riddance to you!!!

Anonymous said...

Tak payahlah nak angkat Pak Lah tinggi2 sangat. Sejarah dah membuktikan Pak Lah pemimpin hampas. Maruah Melayu berada pada tahap amat rendah dan diherdik oleh bangsa lain..baik ka pemimpin macam tu...Bersara lagi cepat, lagi bagus!

AKULAH GHAIBMAN said...

Salam ...
Usaha PM adalah usaha yang yang jujur, tulus ikhlas, murni untuk kepentingan agama , bangsa dan negara...

Anonymous said...

Salam semua.. walaupun apa org nak kata, nak puji atau keji pada pak lah, bagi kawan usaha dia skrg ni adalah sesuatu yg baik, atau setidak2nya lebih baik dari sblm ni.. oleh itu kawan nak ucapkan syabas kpd pak lah, mgkin inilah rahmat dr niatnya nak berhenti, dia tak perlu fikirkan kehilangan sokongan org2 tertentu yg slama ini dia terpaksa "jaga". elok dah tu pak lah, teruskan semoga usaha ini dibalas dgn kebaikan oleh Allah SWT. Pak Lah tidak seburuk disangka, cuma pada saya, keadaan dan suasana tidak sesuai dgn pak Lah,
Akhir kata, syabas pak lah.. berdasarkan persepsi, usaha ini mgkn akan melingkupkan lagi umno tapi jika itu yg terbaik, teruskan aje..

Tinta Biru said...

Amboi...Saudara ANONY (what everlah)
Bahasa yang saudara gunakan itu tidak melambangkan saudara sebagai seorang melayu yang beradat dan beradab..
saudara, setiap individu masing-masing punya cara yang tersendiri untuk mentabir. kalau saudara ditakdirkan menjadi seorang pentadbir mungkin saudara akan guna acuan sendiri bukan? tak kan nak tiru acuan orang lain..orang akan naik muak dan jemu..