Wednesday, December 2, 2009

PERJALANAN MENYERAH DIRI (2)

JEDDAH, Arab Saudi : Perjalanan penyerahan diri atau mengabadikan diri kepada Allah SWT memerlukan kekuatan fizikal dan mental. Bukan sedikit malah amat banyak.

Fizikal dalam ertikata mampu berjalan mengelilingi Kaabah tujuh kali dan melakukan Sai iaitu 7 kali berjalan dari Safa dan Marwah. Individu perlu juga mampu untuk berjalan lebih lima kilometer untuk melontar jika khemah terletak di bahagian belakang yang terpaksa melalui Terowong Muasim. Berjalan bersama ribuan manusia.

Mental ialah untuk melalui ribuan manusia ketika mengelilingi Kaabah. Dengan pelbagai budaya dan sikap, mereka turut bersama kita mengerjakan Rukun Islam kelima. Tanpa kekuatan mental, melihat ribuan manusia itu juga sudah memenatkan.
Jika melakukan tawaf pada waktu tengahari, kekuatan fizikal dan mental akan diuji untuk memastikan dalam terik matahari itu kita berjaya melalui dugaan Allah SWT untuk bersama ribuan manusia berdoa mengelilingi Kaabah.

Bagi mereka yang menetap di hotel atau apartmen yang jauh di mana perlu berjalan kaki ke Masjidil Haram, ia satu perjalanan yang mencabar. Ada yang perlu memanjat bukit atau bersesak-sesak untuk ke Masjidil Haram. Selain itu, mereka terpaksa bersaing dengan banyak kenderaan yang melaluinya.

Tambahan pula ketika ini banyak pembangunan baru dilaksanakan dan ini amat mencabar dengan ada tempat yang dilarang memasukinya dan terpaksa berpusing jauh untuk masuk ke masjid. Ada yang cuba berdebat atau merayu dengan petugas keselamatan. Jawapannya 'membuang masa' saja. Eloklah mengambil jalan yang diarahkan.

Namun yang paling mencabar ialah hubungan kita dengan rakan sebilik ketika di Mekah, Arafah, Mina dan Madinah. Memerlukan kesabaran yang amat tinggi.

Pengalaman yang dilalui mengajar bahawa kita perlu banyak bersabar untuk melayan karenah rakan-rakan sebilik. Adakalanya ketika kita kepanasan dan memerlukan penghawa dingin, ada pula yang tidak mahu menggunakan penghawa dingin. Ini memerlukan satu 'perbincangan pintar' yang walaupun kecil tetapi mempunyai erti yang besar. Ada bergaduh kerana isu seperti itu. MasyaAllah.

Bagi yang tidur sesenyap kucing menghendap akan terganggu dengan raungan dengkur rakan yang kebanyakan bunyi yang amat 'memilukan'. Apa yang anda perlu lakukan jika menghadapinya? Sudah tentu hanya kesabaran yang tinggi saja yang dapat meredakan minda kita yang mungkin keletihan dengan kegiatan harian.

Ada juga rakan yang mempunyai kegemaran makan di tempat tidur yang sedikit sebanyak boleh mengganggu fikiran. Mereka ini bolehlah tergolong daripada golongan yang tidak mempedulikan orang lain tetapi hanya mementingkan diri sendiri. Adakalanya air kopi yang dibawa tertumpah di atas tilam kita. MasyaAllah.

Selain itu, pengalaman dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi memaparkan bagaimana Allah SWT menduga kita dengan karenah manusia dari seluruh dunia. Adakalanya ketika kita sudah datang awal untuk menunaikan ibadah dan mempunyai tempat yang strategik ada pihak pula yang datang lambat meminta ruang yang mungkin sudah tiada. Pelbagai simbol jari yang digunakan untuk mendapatkan ruang bagi mereka.

Ketika itu, ia benar-benar menguji sama ada kita ingin memberi ruang atau sebaliknya.

Nasihat saya, berilah ruang kerana tidak guna 'bertekak' terutama jika mereka terus bersembahyang dan kita terpaksa menghormati ibadah yang dilaksanakannya.

4 comments:

AYIE SHAHRI SARIPAN said...

Setiap perjalanan ke Baitullah adalah suatu kurniaan paling berharga yang ditentukan oleh Allah S.W.T kepada setiap manusia... Ada kala, sudah sampai ke Tanah Suci pun tetapi diselubungi masalah kesihatan menyebabkan gagal menuju ke Baitullah... Itu semua bergantung kepada rezeki masing-masing.. Apa-apa pun, doa dan keinsafan diri pasti akan dikabulkan jika kita terus mengabdikan diri kepada Allah (Tuhan Yang Satu dan Maha Mengkehendaki, Pengasih, Pengampun dan Penyayang).. Wallahhu Alam..

ibrahim yahaya said...

Sdr Ayie,

Menjadi tetamu Allah SWT bukanlah mudah. Ia bergantung kepada rezeki dan keizinanNYA. Namun, jika ada kekangan, ia perlu dilihat sebagai ada hikmah di sebaliknya.

Mungkin, kita ditakdirkan untuk pergi atau tetamuNYA pada satu masa yang amat sesuai kepada kita atau keluarga.

Apa yang berlaku ditentukan oleh Allah SWT dan adakalanya manusia ingin menghalang tetapi tidak berdaya. Allah SWT saja yang maha berkuasa dan menentukan. Wallahualam.

Idris Ismail Talu said...

Datuk & Sdr Ayie,

Itu benar sekali, kadang-kadang kita rasa tidak mampu melakukannya, contohnya melontar di masa puncak, memang agak gentar untuk masuk.

Namun begitu, ada saja pertolongan Allah datang di kala seperti itu.

Cukup segar kalau bercerita tentang pengalaman mengerjakan ibadah haji.

Wassalam,

Idris Ismail Talu
http://idristalu.blogspot.com/

ibrahim yahaya said...

Sdr Idris,

Pengabadian dan penyerahan diri kepada Allah SWT adalah perjalanan istimewa dan amat diberkati. Kita akan sentiasa merinduiNYA dan ingin segera kembali ke rumahNYA jika peluang mengizinkan.

Tidak hairanlah sembahyang Jamak dan Qasar disediakan dalam agama kita bagi menggalakkan umat Islam sentiasa menggembara ke seluruh dunia. Selamat mengembara.