Monday, October 24, 2011

JARINGAN SOSIAL BERTANGGUNGJAWAB

GENEVA(Switzerland) - Jaringan sosial yang kini menghubungkan masyarakat di seluruh dunia, perlu diamalkan secara bertanggungjawab, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim (DASURY).

DASURY berkata ia adalah antara tiga perkara yang dipersetujui bersama, yang merupakan bentuk perjuangan antarabangsa, pada pertemuannya dengan Setiausaha Agung Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) Dr Hamadoun Toure.

"Perkara kedua ialah mencari kaedah terbaik bagi masyarakat antarabangsa untuk melihat Internet sebagai haluan tamadun yang baik, dan pada masa yang sama mencari jalan bagaimana manusia dapat disalurkan dengan perkhidmatan tanpa perkara-perkara negatif yang keterlaluan.

"Ketiga, berkaitan keselamatan domestik negara masing-masing yang dalam konteks ini, Malaysia memperkatakan bahawa apabila undang-undang domestik sesebuah negara itu dilaksanakan, sama ada berkaitan judi dalam Internet atau pornografi kanak-kanak atau membabitkan keselamatan sesebuah negara, ia bukan bermakna tapisan, tetapi sebagai pelaksanaan undang-undang," katanya kepada pemberita Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan Toure, di sini Ahad.

DASURY berada di sini untuk menghadiri persidangan ITU Telecom World 2011 yang berlangsung selama empat hari mulai esok.

Ia merupakan perhimpunan unik peserta utama industri, ketua-ketua kerajaan, pembangun inovasi dan bakat dalam bidang teknologi yang bersama-sama memberi tumpuan terhadap menggunakan kuasa teknologi untuk menangani isu-isu sebenar dunia

DASURY berkata tiga perkara tersebut dipersetuji bersama walaupun dalam konteks antarabangsa, ia akan memakan masa untuk diamalkan secara sejagat.

"Namun, menerusi persefahaman ITU serta keazaman Setiausaha Agungnya, kami delegasi Malaysia yakin perjuangan dan kerjasama bersama Internet menerusi jaringan kemasyarakatan ini akan menghasilkan sesuatu yang dihajatkan," katanya.

Ditanya mengenai cadangan Malaysia pada ITU, DASURY berkata Malaysia telah mengemukakan pelbagai langkah bagi mengharmonikan rangkaian sosial dan kesannya secara menyeluruh terhadap masyarakat.

"Antara perkembangan yang paling menarik, kita tidak membuat kajian menyeluruh terhadap impak rangkaian sosial terhadap penduduk di setiap negara.

"Kita hanya menyerapnya dan kini terdapat hampir 12 juta pengguna Facebook di Malaysia, yang menjadikan kita sebagai antara pengguna paling besar dalam rangkaian sosial itu," katanya.

DASURY berkata sesuatu perlu dilakukan dari segi melindungi golongan muda, selain budaya serta mengharmonikan penggunaan kemudahan itu.

"Ia merupakan isu yang meluas dan pada masa yang sama kita perlu menyedari bahawa kita boleh terus mengambil langkah positif menerusi bantuan antarabangsa. seperti ITU," katanya.

DASURY kemudiannya menghadiri jamuan malam yang dihoskan oleh Duta Besar Malaysia ke Switzerland Datuk Othman Hashim dan isteri Datin Rohayazam Kamaruzaman di kediaman mereka.

Turut hadir bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Tun Jeanne Abdullah yang berada di sini untuk menghadiri majlis penyerahan tugas Presiden Antarabangsa Pelbagai Usaha Sama Mencegah Ancaman Siber (IMPACT) dari Malaysia kepada Burkina Faso.

Tun Abdullah mewakili Malaysia pada majlis itu.

No comments: