Sunday, August 12, 2012

HULURLAH DUIT DEMI NEGARA

Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR : Sebelum mana-mana pihak tersinggung, penulis mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbangkan wang ringgit untuk majlis sambutan kemerdekaan di Dataran Merdeka dan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ini penting kerana tulisan ini bertujuan untuk menegur pihak yang liat untuk mengeluarkan duit walaupun dihantar beberapa surat meminta mereka memberi sumbangan.

Malah surat yang dihantar  pula daripada pemimpin tertinggi negara yang mahu mereka bersama-sama menyambut kemerdekaan ini bersama dengan rakyat dan kerajaan.

Tanpa kemerdekaan, Malaysia tidak akan maju dan sudah tentulah tiada peluang melakukan perniagaan. Bagaimanapun, dengan kepemimpinan kerajaan yang baik membolehkan suasana politik, sosial dan ekonomi berjalan baik dan mewujudkan iklim perniagaan yang cemerlang.

Ini membolehkan syarikat-syarikat yang berniaga di negara ini mendapat keuntungan terutama syarikat telekomunikasi yang melihat pertumbuhan baik dari tahun ke tahun.

Oleh itu, apabila kerajaan memohon mereka memberi bantuan diperlukan untuk menjayakan sambutan kemerdekaan menerusi sumbangan kewangan atau benda, mereka seharusnya terbuka hati untuk segera berbuat demikian tanpa menunggu di saat-saat akhir apatah lagi bersikap 'tunggu dan lihat'.

Tindakan tidak endah ini sudah tentu tidak sihat jika melihatkan kepada keuntungan yang mereka perolehi kerana kerajaan berjaya mewujudkan iklim perniagaan yang baik.

Lebih malang jika syarikat yang dikuasai oleh kerajaan (GLC) bersikap degil dan tidak mempedulikan arahan. Mereka bersikap kedekut dan selalu menyatakan bahawa ini duit pemegang saham yang perlu dipertahankan. Bukan banyak tetapi sumbangan yang berpatutan, sepertimana peruntukan yang mereka tetapkan bagi program kebajikan atau CSR.

Sudah sampai masanya kerajaan meneliti semula siapa yang menerajui GLC ini untuk memastikan mereka mengikut segala permintaan kerajaan terutama yang membabitkan kerjasama untuk menjayakan program kerajaan dan rakyat.


No comments: