Saturday, July 25, 2015

NOVEL AZABU : SELAMAT JALAN SAYANGKU

Anding terus membaca Surah Yassin menghadap jenazah isterinya. Di belakangnya kedengaran suara kakak iparnya menjerit-jerit macam orang kena polong meminta Anding bersetuju untuk mengkebumikan jenazah isterinya di Johor Bahru.
"Boleh tak saya menghabiskan baca surah Yassin ini dulu. lepas ini kita bincang." Permintaan Anding tidak dihiraukan dan beberapa keluarga arwah isterinya terus mendesak dan membuat bising. Ketua di pejabat arwahnya, Auntie Lina pun kecewa dengan sikap kakak ipar Anding dan keluarga mereka. Dia terus bersuara. "Mengapa you orang bising-bising depan mayat ini. Tunggulah suaminya baca ayat-ayat suci dulu. Tolonglah respect mayat ini."
"You jangan masuk campur Auntie." Auntie Lina berdiam diri.... tidak mahu masuk campur lagi.
Selepas membaca surah Yassin tu, Anding terus bersuara, "Ok...ok...you nak sangat nak bawa jenazah ini ke Johor Bahru, ambillah..saya ikut saja walaupun kami nak kebumikan di Shah Alam. Puas tak hati kamu?". Mendengar kenyataan Anding itu, kakak iparnya terus telefon saudara-mara di Johor Bahru untuk membuat persediaan pengkebumian arwah isterinya.

MEDIA SOSIAL HANGATKAN UNSUR PERKAUMAN



BELANG BERTEMPAT (mstaronline - diterbitkan Ahad, 19 Julai. 11.44 am)


Pihak keselamatan sentiasa berkawal di sekitar Plaza Low Yat susulan insiden pergaduhan yang tercetus beberapa hari sebelum Aidilfitri baru-baru ini.
  (Ubah saiz teks)
KEJADIAN pergaduhan di Plaza Low Yat pada malam Ahad dan pagi Isnin lalu memaparkan bagaimana mudahnya sesuatu insiden terpencil bertukar menjadi kejadian besar yang diketahui oleh masyarakat di negara ini khasnya dan di seluruh dunia amnya menerusi penyebaran meluas menerusi media sosial.
Ini kerana kejadian yang membabitkan pergaduhan antara dua kumpulan ‘pembeli’ dan ‘peniaga’ di pusat penjualan barangan elektronik dan komputer  boleh diikuti serta-merta oleh masyarakat menerusi internet berikutan tindakan pelbagai pihak memuat turunkan video pergaduhan itu di alam maya.
Sejak kejadian itu berlaku, pelbagai video boleh ditonton di alam maya yang memaparkan bagaimana pergaduhan itu berlaku membabitkan sekumpulan anak muda yang dikatakan ingin membalas dendam kerana rakan mereka ditangkap mencuri bergaduh dengan peniaga di plaza itu.
Ada video memaparkan bagaimana seorang remaja dibelasah oleh sekumpulan remaja lain dan seterusnya tindak balas daripada ahli kumpulan lain. Ada juga yang menunjukkan kejadian pergaduhan di luar Plaza Low Yat termasuk di jalan belakang. Video itu tidak seharusnya disiarkan.
Kejadian terpencil itu menjadi hangat dan diketahui ramai serta-merta kerana adanya penyebaran menerusi media sosial terutama facebook dan twitter yang mampu mencetuskan satu pergaduhan besar di seluruh negara ini, jika tidak terkawal dan dibiarkan begitu saja.
Ia memerlukan pendekatan ‘pengurusan krisis’ oleh pihak berkuasa jika tidak mahu perkara ini terus merebak ke seluruh negara apatah lagi ia dibesar-besarkan sebagai satu pertembungan kaum.
Ada juga dalam media sosial yang mula melontarkan pandangan bahawa pergaduhan itu mungkin bibit-bibit akan berulangnya kejadian 13 Mei 1969 yang kebetulan tarikhnya ialah 13 Julai 2015. Ini amat menakutkan jika lebih ramai yang mula mengadu-dombakan kejadian terpencil ini.
Kita boleh melihat kesan media sosial menghangatkan kejadian Low Yat yang mampu mewujudkan satu keadaan genting di alam maya. Ia boleh menimbulkan rasa kurang senang terutama antara kaum yang akhirnya boleh membawa pergaduhan yang lebih besar di seluruh negara.
Betapa mudahnya ‘api pergaduhan’ itu boleh dihangatkan hanya dengan tindakan mengambil video menggunakan telefon bimbit dan memuat turunkan dalam internet untuk ditonton oleh semuapelayar alam maya termasuk di luar negara.
Selain itu, video itu sudah pasti akan digunakan oleh agensimedia asing di luar negara yang sedang menunggu untuk memburuk-burukkan negara terutama dengan pelbagai kejayaan negara kecil ini untuk mengekalkan perpaduan sejak lebih 50 tahun dahulu.
Agensi media asing ini akan menggunakan video ini berulangkali seolah-olah pergaduhan itu berterusan sedangkan kita tahu bahawa pihak berkuasa keselamatan telah dapat membendung kejadian itu serta-merta dengan adanya kawalan polis termasuk Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU).
Sehingga pagi Isnin, masih ada video yang dipaparkan dalam internet membabitkan golongan remaja yang menganggap ia satu tindakan membalas dendam dengan berkumpul di hadapan Plaza Low Yat. Mujurlah mulai pagi Ahad itu, Polis Diraja Malaysia sudah membuat sekatan agar tiada pihak yang masukke kawasan itu tanpa sebarang tujuan.
Setakat petang Isnin, seramai 19 orang ditahan berikutan insiden kecoh di Low Yat, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. Polis Diraja Malaysia sudah mengambil semua langkah untuk mengelakkan perkara itu berulang dan memberi amaran jangan menghangatkan kejadian itu dengan ulasan yang berbaur perkauman terutama penyebaran video pergaduhan.
Laporan seorang pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan  (KPDNKK) pada Isnin bahawa pengunjung tetap datang ke Plaza Low Yat tetapi bilangan kedai yang dibuka tidak seperti sebelumnya kerana bimbang masalah pergaduhan itu berulang.
Dalam pada itu, pada Isnin laman facebook PDRM yang ada lebih 1.5 juta telah digodam. Ia kemudiannya dinaikkan dengan bendera IS dan perkara lain. Menjelang petang, perkara itu sudah diatasi.
Sehubungan itu, sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita tidak seharusnya menggunakan internet untuk memaparkan video pergaduhan itu kerana secara tidak langsung kita bertanggungjawab  membentuk pandangan umum dan rasa tidak puas hati di kalangan kaum walapun ia satu pergaduhan terpencil.
Kita sepatutnya membiarkan pihak keselamatan untuk mengambil tindakan bukannya menyebarkan video pergaduhan itu termasuk ulasan yang berbaur perkauman sehingga mengheret pembaca mengambil bahagian dalam perbahasan mengenai kejadian itu. Sudah tentu ketika itu semua akan meluahkan pelbagai pandangan termasuk menghina kaum danbangsa lain.
Apabila sesuatu video itu mendapat sambutan sudah tentulah ada lagi pihak yang akan berusaha mendapat video terbaru untuk diviralkan sehingga boleh menimbulkan rasa marah di antara kaum yang pasti boleh mendatangkan bibit pergaduhan kaum.
Kebebasan media sosial di negara ini bukan bermakna semua pihak boleh menggunakannya sesuka hati sehingga boleh menimbulkan masalah kepada negara.
Apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyatakan untuk mengkaji kewajaran penutupan facebook tahun lalu, ramai yang marah-marah dan menyifatkan ia tindakan tidak rasional. 
Tetapi mereka lupa bahawa jika media sosial itu terus bebas tanpa dikawal dengan baik, maka sudah tentulah ada pihak yang akan mengambil kesempatan untuk kepentingan diri mereka. Apatah lagi ramai yang tidak tidak menghiraukan  etika penulisan dan memahami undang-undang jenayah sedia ada.
Tags / Kata Kunci:Plaza Low Yat , media sosial , Facebook

Tuesday, July 14, 2015

PENENTUAN AGENDA OLEH PEMILIK MEDIA


BELANG BERTEMPAT (di mstar online: diterbitkan pada Khamis, 9 Julai 2015 4:08 PM}

  (Ubah saiz teks)
SALAM perkenalan. Izinkan saya untuk memulakan bicara dalam kolum saya yang pertama di mStar Online tentang media - bidang yang saya ceburi sejak tahun 1983 lagi.
Media adalah antara elemen penting dalam mencorakkan kehidupan dan membentuk masyarakat. Media membabitkan peralatan dan bahan yang dibina, dirancang dan dilaksanakan untuk menyampaikan maklumat atau apa saja yang diingini oleh pemiliknya.
Jika sebelum ini, tumpuan media adalah dalam bidang media cetak atau media elektronik tetapi kini ia sudah menjangkau ke tahap yang lebih tinggi iaitu media baharu.
Di Malaysia, pembangkang dilihat lebih ke hadapan dalam penggunaan media baharu. Mungkin ada faktor pendorong seperti ketiadaan ruang di media perdana menyebabkan pembangkang menggunakan media baharu untuk menyampaikan mesej mereka. Ia sungguh berkesan.
Globalisasi media telah membolehkan masyarakat merentasi halangan ruang waktu untuk berhubung dalam keadaan yang sebelum ini tidak memungkinkannya. Kini, mereka di New York, Amerika Syarikat boleh berkomunikasi dengan rakan taulan atau sanak-saudara di Masjid Tanah, Melaka atau Kangar, Perlis. Begitu juga sebaliknya.
Marshall McLuhan dalam karyanya di tahun 60-an berjudul “The Gutenberg Galaxy: The Making of Typographic Man” (1962) dan “Understanding Media” (1964) melihat apa yang berlaku ketika ini dalam kaca mata lima dekad lalu meliputi ruang lingkungan yang cukup besar; bagaimana masyarakat di dunia dihubungkan dalam satu perkampungan sejagat melalui teknologi elektronik yang mampu dicapai hanya sekelip mata.
Jelas sekali metaphor seperti Internet dan World Wide Web (WWW) ketika itu sudah di dalam bayangan beliau.
Kini ia menjangkau kepada facebook dan twitter. Media sosial ini menjadi alternatif kepada media tradisi. Malah medium yang mula digunakan pada tahun 2000 di Malaysia, kini semakin meluas sehingga ramai yang menjadi ketagih dengannya terutamanya facebook.
Keberkesanan media ialah melalui proses jangka panjang penghasilan semula budaya sosial. Perubahan teknologi meletakkan komunikasi di barisan hadapan revolusi sosial.
Salah satu pendekatan untuk memahami sistem media di sesebuah negara adalah dengan meneliti pola atau proses pemilikan, kawalan dan peranan yang diberikan kepada media itu. Dengan memahami pola pemilikan, ia membantu memahami struktur dan kandungan media kerana kandungan media selalunya melambangkan kepentingan golongan yang membiayainya. Dengan kata lain, terdapat unsur kawalan di situ oleh mereka yang memilikinya.
Ada penyelidik komunikasi mendefinisikan kawalan media sebagai proses membuang atau mengehadkan kandungan atau pengedaran sebarang alat komunikasi dan ia boleh datang dari dalam struktur sistem media itu sendiri atau dari luar.
Peranan media dalam masyarakat perlu dilihat pada konteks sistem sosiopolitik sesuatu masyarakat kerana sistem media kebangsaan amat berkait rapat kepada sistem politik dan kerajaan di sesebuah negara.
Akhbar boleh dibentuk berdasarkan perjalanan sistem akhbar di sesebuah negara yang mengikut sistem politik yang diamalkan. Setiap negara mempunyai corak atau sistem pemerintahannya sendiri dan teori akhbar atau media boleh digunakan bagi menjelaskan sistem akhbar atau media di sesebuah negara berkenaan. Sesebuah negara mengamalkan sistem akhbar tertentu kerana ia selari dengan kepentingan negara itu.
Tidak hairanlah, media yang kini ditambah dengan media sosial memainkan peranan besar dalam menentukan kuasa pemerintah di sesebuah negara. Media menentukan jatuh bangun sesebuah kerajaan. Salah satu sebabnya, media dikatakan mempunyai kuasa untuk menyalurkan maklumat dan sebagai wadah khalayak untuk menganalisis sesuatu isu.
KUASA YANG STRATEGIK
Pakar komunikasi menganggap kuasa yang ada pada media dalam konteks ini sebagai strategik. Ia strategik dalam konteks ia boleh berfungsi sebagai wadah untuk mengukuh dan mengekalkan kuasa politik.
Media tempatan juga digunakan untuk mengekang pengaruh media massa sejagat. Malah ada kerajaan yang bimbang dengan kehadiran media massa sejagat di negara mereka. Media sejagat mempunyai kuasa yang amat kuat sebagai alat penyampai maklumat utama.
Media tersebut berpotensi menghapuskan pandangan yang salah atau stereotaip di samping mengendurkan ketegangan; media massa juga boleh menimbulkan ketakutan dan pergaduhan yang berpanjangan. Paling bahaya ia menyebarkan fitnah atau tohmahan.
Persoalan kuasa bukanlah sesuatu yang baru. Pakar komunikasi pernah membincangkan dengan melihat sekaligus kuasa, integrasi dan perubahan. Kuasa dilihat berasaskan tiga teori iaitu (I) Teori Masyarakat Massa, (II) Teori Marx dan (III) Teori Fungsional Berstruktur.
Berdasarkan Teori Masyarakat Massa, media dikawal atau dikendalikan dengan cara yang monopolistik dan adalah cara utama atau berkesan mengatur orang dalam massa, sebagai khalayak, pengguna, pasaran dan pengundi. Potensi yang dicipta oleh media ialah satu bentuk kawalan bukan demokratik dari atas.
Teori ini menekankan potensinya lebih kepada kemungkinan sekatan kepada kuasa media. Masyarakat massa sebagai satu ideologi boleh diambilkira dengan penggunaan terma yang selalu dikaitkan dengan perkataan lawan kepada masyarakat iaitu elit. Satu bentuk masyarakat boleh dikenali sebagai golongan elit yang mengawal kehidupan ramai pihak, menerusi pujukan dan manipulasi.
Ahli teori masyarakat massa menyatakan kumpulan elit yang mempunyai pelbagai keistimewaan itu sering menjauhkan diri mereka daripada tuduhan mengetuai masyarakat yang dipimpinnya.
Teori Masyarakat Massa banyak digunakan dalam kajian media, di mana ia memaparkan bagaimana media massa seperti televisyen dan panggung wayang (satu ketika dulu) mempengaruhi masyarakat. Oleh itu, media massa adalah alat penting bagi mencapai dan mengekalkan masyarakat massa.
Soal kuasa juga utama kepada Marxisme dan tafsiran Marxist mengenai media massa, yang sentiasa menekankan hakikat bahawa media adalah pada akhirnya menjadi alat kawalan oleh kelas kapitalis yang berkuasa.
Dalam Teori Fungsional Berstruktur, kuasa tidak begitu dibincangkan dengan mendalam, meskipun pelaksanaannya dikenal pasti dengan menekankan perlunya arahan, kawalan dan penyatuan dalam sistem sosial.
Sesetengah pihak melihat kuasa sebagai suatu faktor penting, lebih penting daripada faktor-faktor lain dalam kaitan media komunikasi kerana kuasa menentukan apa yang berlaku.
PERANG MINDA
Oleh itu, tidak hairanlah mereka yang memiliki media boleh menyusun strategi untuk menggunakan media mereka mengikut agenda tersendiri.
Di negara ini, menerusi pendekatan ekonomi politik, kita dapat melihat bagaimana kebanyakan parti politik memiliki media menerusi institusi ekonomi mereka. Umpamanya bagi Umno, menerusi Kumpulan Media Prima yang memiliki media cetak dan elektronik selain memperkenalkan media atas talian.
Begitu juga, parti pembangkang yang turut memiliki media mereka. Walapun akhbar parti tetapi mereka turut menjualnya kepada awam secara terbuka.  Akhbar parti itu seperti Harakah dan Roket sudah memasuki liga ‘akhbar perdana’ kerana jumlah jualannya tidak jauh bezanya dengan akhbar perdana.
Pemilikan media ini adalah tahap pertama dalam penyebaran maklumat perjuangan parti. Namun yang paling penting ialah keberkesanan penggunaannya daripada parti kepada rakyat atau kumpulan sasar iaitu pengundi yang menentukan kemenangan calon mereka pada pilihan raya umum nanti.
Jika media berjaya digunakan untuk membentuk pandangan umum menyokong mereka, maka tidaklah sukar untuk mendapatkan undi ketika pilihan raya. Kejayaan dalam penggunaan media baharu pasti berjaya menawan hati pengundi dari kalangan Gen Y.
Dalam pilihan raya lalu, parti kerajaan sendiri mengakui parti pembangkang berjaya menggunakan media baharu untuk menyebarkan pelbagai maklumat yang membentuk pandangan atau persepsi umum sehingga mereka mendapat lebih 50 peratus undi popular.
Terpulanglah kepada parti kerajaan untuk memperhebatkan penggunaan media baharu dan tidak hanya bergantung kepada media konvensional, jika mereka mahu mengubah peratus populariti dan seterusnya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Dalam peperangan minda ini, mereka yang berjaya mempengaruhi pandangan umum akan muncul sebagai pemenang.
> DATUK DR IBRAHIM YAHAYA adalah bekas ketua pengarang berita Kumpulan Berita Harian, bekas CEO Bernama TV dan juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia. Beliau kini adalah kolumnis tetap mStar Online. Ini adalah artikelnya yang pertama.
Tags / Kata Kunci:Facebook , Twitter

Monday, May 18, 2015

MALAYSIA NAK BUAT ROKET?


KUALA LUMPUR : Penasihat sains kepada Perdana Menteri, Tan Sri Zakri Abdul Hamid (gambar) akan mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua pengarang media dan blogawan terkemuka negara dalam satu makan tengah hari di sebuah hotel terkemuka hari ini.

Pertemuan itu sudah tentu bermatlamat untuk mendapat maklumat dan pandangan daripada pengarang dan blogawan mengenai usaha memajukan sains di negara ini selain berbincang mengenai hala tuju dan peranan MIGHT (Malaysia Industry-Government Group of High Technology) dalam media di negara ini.

Akhbar dan televisyen di negara ini mempunyai banyak ruang untuk digunakan oleh MIGHT dalam menyebarkan kegiatan dilaksanakan di samping mendapat pandangan dan maklumat daripada pengguna terutama pemain utama industri dan juga organisasi berkaitan sains dan teknologi.

Wednesday, May 13, 2015

KABINET MASIH LAMA...

Ramai menunggu
Ramai mengharap
Ramai berdoa

Harapan rombakan dibuat
Harapan nama terlekat
Harapan rezeki tercatat

Apabila senarai keluar
Ada tercari-cari suratkhabar
Ada nama, dah mula cakap berdegar-degar
Ada nama, mula ukur seluar
Ada nama, gegas ke bandar
Malangnya
Berita tidak benar

Kabinet masih sama
Kabinet kekal lama
Kabinet tidak ke mana


Ibrahim Yahaya
13 Mei 2015






Friday, April 3, 2015

TIADA LAGI LELAKI DI PERAK BELA SULTAN?

Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR : Ketika saya turut menyetujui kenyataan MB Perak bahawa sikap biadab ahli politik Pakatan yang memakai baju hitam ketika Sidang DUN Perak, tertarik juga dengan kenyataan bekas Menteri Penerangan mengenai 'ketiadaan kelakian' lagi di negeri itu.

Apakah ada kebenaran yang disebutkan oleh Zam itu?

 Apakah kerja Setiausaha Kerajaan Negeri dan Menteri Besar untuk menghalang kemasukan ahli politik biadab untuk menghampiri pintu masuk dan seterus seperti bagus duduk di dalam dewan?

Apakah perlu itu semua? ini semua menjadi perkara yang boleh kita fikirkan bersama demi memastikan tiada orang lagi yang kurang ajar dengan Raja-Raja Melayu, pemilik tanah di Tanah Melayu ini.

Di bawah ini diperturunkan apa yang dikatakan oleh TS Zam mengenai insiden di Perak itu.

"Siapakah yang bersalah dalam kekecohan anggota pembangkang menghadiri  Istiadat Pembukaan  Rasmi Dewan Undangan Negeri Perak oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tanpa berpakaian istiadat sebaliknya hanya  berpakaian serba hitam.?

Menteri Besar  Perak  Datu Seri Dr. Zambary Abdul Kadir mendakwa Sultan Perak murka terhadap sikap wakil -wakil rakyat pembankang itu.

Apakah Sultan hanya murka terhadap pembangkang dan tidak kepada Menteri Besar dan juga anggota- anggota Dewan Undangan Negeri  Barisan Nasional  dan juga Polis Bantuan yang tidak menyekat kemasukan mereka itu tanpa berpakaian rasmi mengikut arahan pada kad atau surat jemputan.

Sewajarnya MB dan  anggota- anggota BN bersama menyekat kemasukan mereka dengan bantuan Polis Bantuan sekalipun boleh menimbullkan kekecohan yang akan menggangu upacara perasmian itu tetapi dari segi moral  ini adalah lebih baik dari kejayaan anggota pembangkang menggambarkan sewaktu keadaan  tidak hormat kepada Sultan Perak .

Berita kekecohan mempertahankan kehormatan Sultan sebelom diceroboh  adalah lebih baik dari berita membelanya  setelah diperhinakan.

Sekiranya mereka ada "kelakian" maka tentulah mereka akan  menyekat anggota-anggota  pembankang itu  bersikap biadab,menyekat mereka masuk ke dalam Dewan Negeri   dipintunya tetapi setelah nasi jadi bubur barulah ditangisi dan mengajak orang lain juga turut  menangis bersama.

Apakah Setiausaha Kerajaan Negeri tidak mengingatkan pegawai-pegawainya terutama Polis Bantuan tentang tugas mereka terutama bagi suatu upacara Istiadat rasmi.Tidak ada SOP ke?

Perlu disebutkan dalam awal tahun 60an telah berlaku kekecohan di pintu masuk Parlimen Malaya apabila Singa UMNO Syed Jaafar Albar dan   beberapa orang lagi anggota Parlimen Perikatan  telah menahan  anggota-anggota pembangkag dari Barisan Sosialis Rakyat Malaya yang diketuai oleh V.David dari masuk ke bangunan  Parlimen kerana hanya berpakaian biasa,tidak memakai kot dan tali leher.Tetapi "kelakian" ini  sudah tidak ada lagi sekarang  di kalangan anggota- anggota DUN Perak atau mungkin di negeri- negeri lain. Semunya hanya tersimpan dalam seluar.

Apa yang  berlaku di DUN  Perak memang memalukan kerana menunjukkan kelemahan semangat BN sekarang yang  tidak mampu untuk menunjukan komitmen yang tegas dan berani walaupun sah dari segi undang-undang dan  pada masa yang sesoai dan bila diperlukan.

Tidaklah sewajarnya Perkasa dan juga lain- lain pertubuhan  NGO membiarkan diri mereka diperalat  untuk menutop kelemahan orang lain."

(Renungan Rimau : Melayu tidak boleh lemah dan bodoh. Sejarah membuktikan Melayu memang hebat dan terkenal di seluruh dunia pada masa lalu).




Friday, January 9, 2015

MCMC AKAN DAPAT PENGERUSI BARU

Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR : MCMC akan mendapat pengerusi baru berikutan ketegasan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Dato' Ahmad Shabery Cheek mahukan perubahan dalam suruhanjaya yang banyak mendapat kritikan termasuk dari kalangan pemimpin parti pemerintah.

Sumber memberitahu Dunia Tiger dalam pertemuan antara DSASC dengan Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak, Menteri itu menyebut bahawa MCMC memerlukan pemimpin yang mampu membawa suruhanjaya itu ke tahap yang lebih baik terutama menangani fitnah alam maya.

"Menteri mahu MCMC dipimpin oleh Pengerusi yang berani membuat tindakan pantas dan mampu memastikan kegiatan menyebarkan maklumat palsu dan fitnah dapat dikurangkan atau diberhentikan," kata satu sumber kepada Dunia Tiger.

Perdana Menteri yang pada mulanya dikatakan mahu mengekalkan Datuk Mohd Shahril Tarmizi beralah setelah mendengar penjelasan panjang lebar daripada DSASC termasuk juga perkara mengasingkan jawatan CEO dan Pengerusi. Dalam ertikata lain, kedua-dua jawatan itu akan dipegang oleh dua orang bukan seorang seperti yang berlaku sebelum ini.

Sebelum ini, adalah disebut-sebut bekas calon BN, Permatang Pauh, Dr Mazlan Ismail akan dilantik menjadi Pengerusi tetapi ramai pihak berpendapat ia bukanlah pendekatan terbaik seolah-olah MCMC tempat untuk melonggokkan pihak yang pernah tewas dalam PRU.

Ketika ini, CEO dipangku oleh Tengku Zaid Raja Ahmad manakala jawatan Pengerusi dipangku oleh KSU KKMM, Datuk Seri Dr Syarifah Zarah Syed Ahmad.

Perlantikan itu dijangka dibuat dalam masa terdekat dan Menteri mahu pengerusi baru melihat kepada usaha menyusun semula suruhanjaya itu selain melihat undang-undang yang dikatakan 'longgar' dalam membanteras kegiatan menyebarkan maklumat palsu dan fitnah.