Saturday, July 25, 2015

MEDIA SOSIAL HANGATKAN UNSUR PERKAUMAN



BELANG BERTEMPAT (mstaronline - diterbitkan Ahad, 19 Julai. 11.44 am)


Pihak keselamatan sentiasa berkawal di sekitar Plaza Low Yat susulan insiden pergaduhan yang tercetus beberapa hari sebelum Aidilfitri baru-baru ini.
  (Ubah saiz teks)
KEJADIAN pergaduhan di Plaza Low Yat pada malam Ahad dan pagi Isnin lalu memaparkan bagaimana mudahnya sesuatu insiden terpencil bertukar menjadi kejadian besar yang diketahui oleh masyarakat di negara ini khasnya dan di seluruh dunia amnya menerusi penyebaran meluas menerusi media sosial.
Ini kerana kejadian yang membabitkan pergaduhan antara dua kumpulan ‘pembeli’ dan ‘peniaga’ di pusat penjualan barangan elektronik dan komputer  boleh diikuti serta-merta oleh masyarakat menerusi internet berikutan tindakan pelbagai pihak memuat turunkan video pergaduhan itu di alam maya.
Sejak kejadian itu berlaku, pelbagai video boleh ditonton di alam maya yang memaparkan bagaimana pergaduhan itu berlaku membabitkan sekumpulan anak muda yang dikatakan ingin membalas dendam kerana rakan mereka ditangkap mencuri bergaduh dengan peniaga di plaza itu.
Ada video memaparkan bagaimana seorang remaja dibelasah oleh sekumpulan remaja lain dan seterusnya tindak balas daripada ahli kumpulan lain. Ada juga yang menunjukkan kejadian pergaduhan di luar Plaza Low Yat termasuk di jalan belakang. Video itu tidak seharusnya disiarkan.
Kejadian terpencil itu menjadi hangat dan diketahui ramai serta-merta kerana adanya penyebaran menerusi media sosial terutama facebook dan twitter yang mampu mencetuskan satu pergaduhan besar di seluruh negara ini, jika tidak terkawal dan dibiarkan begitu saja.
Ia memerlukan pendekatan ‘pengurusan krisis’ oleh pihak berkuasa jika tidak mahu perkara ini terus merebak ke seluruh negara apatah lagi ia dibesar-besarkan sebagai satu pertembungan kaum.
Ada juga dalam media sosial yang mula melontarkan pandangan bahawa pergaduhan itu mungkin bibit-bibit akan berulangnya kejadian 13 Mei 1969 yang kebetulan tarikhnya ialah 13 Julai 2015. Ini amat menakutkan jika lebih ramai yang mula mengadu-dombakan kejadian terpencil ini.
Kita boleh melihat kesan media sosial menghangatkan kejadian Low Yat yang mampu mewujudkan satu keadaan genting di alam maya. Ia boleh menimbulkan rasa kurang senang terutama antara kaum yang akhirnya boleh membawa pergaduhan yang lebih besar di seluruh negara.
Betapa mudahnya ‘api pergaduhan’ itu boleh dihangatkan hanya dengan tindakan mengambil video menggunakan telefon bimbit dan memuat turunkan dalam internet untuk ditonton oleh semuapelayar alam maya termasuk di luar negara.
Selain itu, video itu sudah pasti akan digunakan oleh agensimedia asing di luar negara yang sedang menunggu untuk memburuk-burukkan negara terutama dengan pelbagai kejayaan negara kecil ini untuk mengekalkan perpaduan sejak lebih 50 tahun dahulu.
Agensi media asing ini akan menggunakan video ini berulangkali seolah-olah pergaduhan itu berterusan sedangkan kita tahu bahawa pihak berkuasa keselamatan telah dapat membendung kejadian itu serta-merta dengan adanya kawalan polis termasuk Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU).
Sehingga pagi Isnin, masih ada video yang dipaparkan dalam internet membabitkan golongan remaja yang menganggap ia satu tindakan membalas dendam dengan berkumpul di hadapan Plaza Low Yat. Mujurlah mulai pagi Ahad itu, Polis Diraja Malaysia sudah membuat sekatan agar tiada pihak yang masukke kawasan itu tanpa sebarang tujuan.
Setakat petang Isnin, seramai 19 orang ditahan berikutan insiden kecoh di Low Yat, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. Polis Diraja Malaysia sudah mengambil semua langkah untuk mengelakkan perkara itu berulang dan memberi amaran jangan menghangatkan kejadian itu dengan ulasan yang berbaur perkauman terutama penyebaran video pergaduhan.
Laporan seorang pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan  (KPDNKK) pada Isnin bahawa pengunjung tetap datang ke Plaza Low Yat tetapi bilangan kedai yang dibuka tidak seperti sebelumnya kerana bimbang masalah pergaduhan itu berulang.
Dalam pada itu, pada Isnin laman facebook PDRM yang ada lebih 1.5 juta telah digodam. Ia kemudiannya dinaikkan dengan bendera IS dan perkara lain. Menjelang petang, perkara itu sudah diatasi.
Sehubungan itu, sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita tidak seharusnya menggunakan internet untuk memaparkan video pergaduhan itu kerana secara tidak langsung kita bertanggungjawab  membentuk pandangan umum dan rasa tidak puas hati di kalangan kaum walapun ia satu pergaduhan terpencil.
Kita sepatutnya membiarkan pihak keselamatan untuk mengambil tindakan bukannya menyebarkan video pergaduhan itu termasuk ulasan yang berbaur perkauman sehingga mengheret pembaca mengambil bahagian dalam perbahasan mengenai kejadian itu. Sudah tentu ketika itu semua akan meluahkan pelbagai pandangan termasuk menghina kaum danbangsa lain.
Apabila sesuatu video itu mendapat sambutan sudah tentulah ada lagi pihak yang akan berusaha mendapat video terbaru untuk diviralkan sehingga boleh menimbulkan rasa marah di antara kaum yang pasti boleh mendatangkan bibit pergaduhan kaum.
Kebebasan media sosial di negara ini bukan bermakna semua pihak boleh menggunakannya sesuka hati sehingga boleh menimbulkan masalah kepada negara.
Apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyatakan untuk mengkaji kewajaran penutupan facebook tahun lalu, ramai yang marah-marah dan menyifatkan ia tindakan tidak rasional. 
Tetapi mereka lupa bahawa jika media sosial itu terus bebas tanpa dikawal dengan baik, maka sudah tentulah ada pihak yang akan mengambil kesempatan untuk kepentingan diri mereka. Apatah lagi ramai yang tidak tidak menghiraukan  etika penulisan dan memahami undang-undang jenayah sedia ada.
Tags / Kata Kunci:Plaza Low Yat , media sosial , Facebook

No comments: