Saturday, April 5, 2008

MENGAPA SEMUA ORANG SEBUT KJ?

Setakat ini, dua pemimpin veteran UMNO dalam ucapan mereka menyindir, mempersenda, menegur dan membelasah Sdr Khairy Jamaluddin Abu Bakar, menantu Pak Lah. Kemarahan itu disuarakan berdasarkan sebab atau faktor yang hanya diketahui oleh mereka. Perlu ke mereka berbuat demikian? Sudah mual dan meluat agaknya. Entahlah.

Bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad, menegur KJ sejak dari dulu lagi dan diulangi Selasa lalu di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya. Beliau menggelar KJ sebagai budak kanyark (budak mentah atau hingusan kot). Budak hingusan dari Oxford? Wah hebat juga, masih berhingus sudah keluar dari Oxford. Hingusan dalam politik kot?

Semalam, Tengku Razaleigh Hamzah, pula menyindir KJ di Majlis Perwakilan Khas UMNO Gua Musang. Anak Raja itu berkata KJ hanya layak menjadi pegawai penyelidik di universiti dan tidak boleh menjadi pemimpin Melayu kerana faktor yang disenaraikan termasuk tiada roh Melayu dalam dirinya.

Marah betul Ku Li nampaknya. Mereka yang hadir, ada yang menjerit-jerit dan memberi tepukan gemuruh. Tetapi saya boleh faham dengan kenyataan tegas Ku Li dalam ucapannya itu kerana saya diberitahu ia ditulis oleh seorang blogger yang memang tidak setuju sangat dengan Pak Lah dan KJ. Dalam ertikata lain, blogger itu "memang berbulu" dengan kedua-dua mereka. Betul ke? Jika Ku Li yang tulis semua ucapan itu, adakah beliau akan belasah KJ begitu rupa? Mungkin ia atau sebaliknya. Entahlah.

Kali terakhir saya sepentas dengan KJ ialah ketika berceramah di hadapan Pemuda UMNO beberapa tahun lalu. KJ tersenyum pada saya dan kami tidak berbual. Buat hal masing-masing. Saya pun merasakan tidak perlu untuk berbual dengannya apatah lagi mengetahui kedudukan saya di negara ini. Saya hanyalah menantu Pak Hashim. Semoga roh Pak Hashim dicucuri rahmat oleh Allah SWT. Al-Fatihah. Menantu mithali?

Berbalik kepada KJ ini, pelbagai cerita mengenainya termasuk yang terbaru dalam Pilihan Raya Umum 12 di mana beliau memenangi Parlimen Rembau. Pelbagai cakap-cakap mengenai kemenangannya itu tetapi bagi saya kalau sudah menang tu, tetap menang. Tidak kiralah BN atau PR. Siapa yang tidak puas hati kemukakan bukti ke mahkamah le.

Apa pun, kita tunggu siapa lagi pemimpin UMNO yang akan belasah KJ.

Batu api ke saya ni? Tidak, saya seorang wartawan yang suka memerhati.

Friday, April 4, 2008

ALI RUSTAM SEORANG BLOGGER

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, kini sudah menjadi seorang blogger .

Selamat menulis.

MPK GUA MUSANG (4)

Saya berasa hairan mengapa nama-nama besar dalam UMNO tidak hadir pada MPK UMNO Gua Musang pada hari ini.

Adakah mereka tidak menyokong Tengku Razaleigh Hamzah dan tidak mahu bersekongkol dengannya atau takut untuk menampilkan diri? Istilah takut mungkin tidak betul atau pandangan yang sedikit ultra tetapi hakikatnya Ketua Bahagian UMNO dari seluruh negara tidak muncul dalam MPK Gua Musang. Adalah beberapa orang saja.

Saya terdengar seseorang menyuarakan pandangannya bahawa MPK UMNO Gua Musang adalah himpunan semula bekas-bekas pemimpin Parti Semangat 46. Betul ke ni?

Apapun, ahli dan pemimpin UMNO perlu memikirkan strategi terbaik untuk merapatkan hubungan parti dengan bangsa Melayu ketika ini. Itupun sudah dilakukan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan memerlukan sokongan penuh ahli serta pemimpin UMNO seluruh negara.

MPK GUA MUSANG (3)

11 pagi - Mesyuarat Perwakilan Khas UMNO Gua Musang bermula.
- Perwakilan luar dijemput makan.

USUL GUA MUSANG

"Bahawa Persidangan Perwakilan Khas UMNO Bahagian Gua Musang yang diadakan pada hari ini (Jumaat 4.4.08) bersetuju membincangkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-12, UMNO dan masa depan orang Melayu serta mengambil tindakan-dakan segera membaiki keadaan sekarang ini termasuk meluluskan pindaan kepada Perlembagaaan UMNO seperti berikut:

FASAL 8 PERHIMPUNAN AGUNG

Diwujudkan satu FASAL BARU 8.3.5 YANG BERBUNYI

"Memilih sebuah jawatankuasa Pemilihan yang bebas, mengandungi 21 orang ahli yang tidak mempunyai sebarang kepentingan di dalam mana-mana jawatan dalam parti dan berkuasa memilih Pengerusi dan Timbalan Pengerusi mereka sendiri. Jawatankuasa juga berkuasa serta bertanggungjawab mengurus dan mengendali pencalonan-pencalonan dan pemilihan-pemilihan semua jawatan menurut kehendak Perlembagaan serta berkuasa menentukan cara-cara menjalankan kerja-kerjanya untuk menyempurnakan tanggungjawab ini.

FASAL 9 MAJLIS TERTINGGI

Fasal 9.2.7 dimansuh dan diganti dengan FASAL 9.2.7 yang berbunyi.

"Tidak lebih daripada tiga puluh lima orang yang dipilih oleh Ahli-ahli parti.

Fasal 9.3 dimansuh dan diganti dengan FASAL 9.3 yang berbunyi.

"Presiden, Timbalan Presiden, Tiga orang Naib Presiden dan tiga puluh lima orang Ahli Majlis Tertinggi hendaklah dipilih oleh Ahli-ahli Parti setiap tiga tahun sekali.

Fasal 9.4 dimansuh dan diganti dengan FASAL 9.4 yang berbunyi,

"Ketua dan Naib Ketua Pemuda, Ketua dan Naib Ketua Wanita, Ketua dan Naib Ketua Puteri hendaklah dipilih oleh Ahli-ahli Pemuda, Wanita dan Puteri tiap-tiap 3 tahun sekali. Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Pergerakan Puteri mempunyai hak-hak dan kuasa-kuasa Naib Presiden."

Fasal 9.5 dimansuh dan diganti dengan FASAL 9.5 yang berbunyi,

"Calon yang bertanding untuk memegang jawatan Majlis Tertinggi hendaklah menjadi ahli selama 5 tahun pada tarikh pendaftaran pencalonan yang akan ditetapkan oleh Majlis Tertinggi."

Fasal 9.11 dimansuh dan diganti dengan FASAL 9.11 yang berbunyi,

"Jika kesemua Ahli Majlis Tertinggi berhenti serentak, maka Pengerusi Tetap atau Timbalannya hendaklah dalam tempoh tidak lebih daripada enam puluh hari menetapkan tarikh pengundian oleh tiap-tiap ahli dan menetapkan tempoh perkhidmatan Majlis Tertinggi yang baru tertubuh itu."

FASAL 10 TANGGUNGJAWAB MAJLIS TERTINGGI

Diwujudkan satu FASAL BARU 10.1A yang berbunyi,

"Menetapkan tarikh Persidangan Cawangan-cawangan untuk memilih Ahli-ahli Majlis Tertinggi, Jawatankuasa Bahagian dan Jawatankuasa Cawangan dan menetapkan tarikh pendaftaran calon-calon."

FASAL 10.3 Dimansuh

Fasal 10.14 dimansuh dan diganti dengan FASAL 10.14 yang berbunyi,

"Menetapkan tarikh Perhimpunan Agung, Perwakilan Bahagian dan Persidangan Cawangan."

Fasal 12.5 dimansuh dan diganti dengan FASAL 12.5 yang berbunyi,

"Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Perhubungan hendaklah dipilih oleh tiap-tiap anggota Jawatankuasa Bahagian dan Negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan berkenaan dan memegang jawatan masing-masing selama tempoh Majlis Tertinggi."

FASAL 14.5.1 Dimansuh

FASAL 14.5.4 Dimansuh

FASAL 15 JAWATANKUASA BAHAGIAN

Fasal 15.1.7 dimansuh dan diganti dengan FASAL 15.1.7 yang berbunyi,

"Tidak lebih daripada dua puluh orang yang dipilih oleh Ahli-ahli Parti di dalam bahagian tersebut."

FASAL 15.5 Dimansuh

Fasal 15.8 dimansuh dan diganti dengan FASAL 15.8 yang berbunyi,

"Jika semua Ahli-ahli Jawatankuasa Bahagian berhenti serentak maka Majlis Tertinggi akan menetapkan satu tarikh pemilihan untuk menubuhkan semula Jawatankuasa Bahagian itu dan menentukan tempoh perkhidmatannya."

FASAL 15.13.1 Dimansuh

FASAL 17 CAWANGAN

Fasal 17.5.4 dimansuh dan diganti dengan FASAL 17.5.4 yang berbunyi,

"Memilih Ahli-ahli Majlis Tertinggi, Jawatankuasa Bahagian dan Jawatankuasa Cawangan tiap-tiap tiga tahun sekali."

FASAL 17.5.7 Dimansuh

Diwujudkan satu FASAL BARU 17.5.9 yang berbunyi,

"Memilih calon bagi Pilihanraya Dewan Rakyat, Calon bagi Pilihanraya Dewan Negeri, Calon bagi anggota-anggota Majlis Bandaraya, Majlis Tempatan dan Daerah untuk kawasan-kawasan berkenaan untuk pilihanaya berikutnya."

FASAL 18 JAWATANKUASA CAWANGAN

Fasal 18.1.7 dimansuh dan diganti dengan FASAL 18.1.7 yang berbunyi,

"Tidak lebih daripada 15 orang yang dipilih oleh Ahli-ahli di dalam Persidangan Cawangan"

Diwujudkan satu FASAL BARU 18.12.12 yang berbunyi,

"Mencadang kepada Persidangan Cawangan Calon Pilihanraya Dewan Rakyat, Calon Pilihanraya Dewan Negeri, Calon bagi anggota-anggota Majlis Bandaraya, Calon bagi Majlis Tempatan dan Daerah untuk kawasan-kawasan berkenaan daripada senarai ahli-ahli yang telah mendaftar keinginan sendiri untuk menjadi calon-calon berkenaan."

dan memohon Majlis Tertinggi mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 11.5.2008 atau pada mana-mana tarikh yang sesuai membincang usul ini secepat mungkin untuk menimbang semua perkara yang terkandung dalam usul ini."

MPK GUA MUSANG (2)

Fakta Terkini:

9.45 pagi - hampir tiga suku daripada khemah yang disediakan sudah dipenuhi.
Antara ahli UMNO yang ditemui ialah dari Beaufort, Sabah. UMNO Beaufort diketuai oleh Datuk Lajim Haji Okim.
10.00 pagi - TR masuk ke Dewan disambut oleh pemerhati dan perwakilan
- Selawat
- Doa oleh Ustadz Bustaman Ibrahim(AJK Bahagian Gua Musang)
- Lagu Negaraku dan UMNO
10.26 pagi - Ucapan Perasmian TR
- UMNO melalui pengalaman buruk pada PRU12
- Sejak ditubuhkan UMNO tidak pernah tercabar begitu buruk
- Sejarah UMNO
- Senjata Melayu ketika itu ialah kecintaan pada negara, bangsa dan agamai
- Mengupas mengenai PRU12
- UMNO parti besar iaitu 191 bahagian tetapi dapat kerusi yang kecil
- Dua perkembangan mengejut - jatuhnya empat buah negeri ke tangan Pakatan Rakyat. Itu petanda BN dan UMNO yang memerintah sejak 1955 tidak lagi dapat sokongan daripada rakyat Malaysia daripada semua kaum. Hanya 48 peratus rakyat sokong BN.
- Rakyat mahu kerajaan yang lebih cekap, bersih, adil, amanah dan prorakyat tanpa mengira kaum. Kerajaan perlu selesaikan masalah rakyat dan menghapuskan rasuah yang semakin menjadi-jadi di kalangan orang atas dan wakil rakyat. Ini termasuk rakaman video Lingam.
- Mengupas isu video Lingam.
- Hakim hanya membaca keputusan yang ditulis peguam. Memalukan Melayu dan agama Islam. Memusnahkan kredibiliti kerajaan BN.
- Setelah sebulan UMNO dan BN mengalami malapetaka tetapi tiada apa yang diambil oleh pucuk pimpinan parti. Tiada usaha bawa perwakilan untuk muhasabah. Bicara secara matang, rasional untuk bincang masalah sendiri. Tujuan untuk memperbaiki diri dan mengelakkan berlakunya kejadian yang lebih buruk. Ada reaksi dan pandangan daripada orang perseorangan dan pemimpin dan Menteri UMNO. Ada kata kita tidak kalah, masih menang. BN akan bangkit semula dan menebus. Ada kata orang Melayu tidak kenang jasa. Ada yang menyalahkan generasi muda Melayu.
- Ada Melayu yang sering menyalahkan orang lain.
- Sebenarnya kelemahan kepemimpinan UMNO itu sendiri. Ini termasuk Menteri UMNO yang tidak mempunyai rekod kepemimpinan yang baik. Masalah UMNO bukan masalah orang tertentu tetapi masalah semua orang. UMNO bukan kelab elit tetapi parti politik kebangsaan Melayu. Bukan jaga periuk nasi orang atasan tetapi memperkuatkan tiang utama alif ba ta. Agama, Bangsa dan Tanahair. Jika tidak jaga ini akan dilaknati Allah SwT. Bagaimana kita tidak mahu orang Melayu melarikan diri meninggalkan kapal yang sering ditinggalkan oleh nakhoda. Perlu bertindak segera untuk mengatasi sekarang.
- Perlu diadakan sidang muhasabah untuk bincang nasib parti dan bangsa Melayu. Rakyat dulu tidak sama dengan rakyat dulu. UMNO perlu terus relevan dengan cita-cita dan harapan mereka yang berbeza dengan ibubapa generasi baru.
- Tiga kelemahan UMNO.
- 1. Musnahnya demokrasi dalam UMNO. Ini berikutan Pindaan perlembagaan parti untuk adakan 30 peratus untuk calon presiden. Akibahnya menjadi beku dan bantut. Wujudnya rasuah politik dan lahirnya banyak pak turut dan tukang ampu yang sentiasa tidak bermoral dan berprinsip menyokong pemimpin walaupun pemimpin itu lemah.
- Untuk selamakan UMNO untuk jadi cekap, relevan - demokrasi perlu dikembalikan kepada UMNO dengan kuota dihapuskan dan parti hendaklah mengawal kerajaan. Ahli UMNO yang menganggotai kerajaan tidak perlu lebih berkuasa daripada parti. Logik cadangan ini PM, TPM dan Menteri tidak akan memegang jawatan itu jika tidak terlebih dahulu dipilih oleh ahli UMNO. Jika PM menjahanamkan bahasa mesti didisiplin oleh parti.
2. Dasar dan visi UMNO perlu merentasi semua kaum. Jangan dilihat untuk kaum tertentu. Visi alif ba ta tetap diperjuangkan tetapi untuk projek rakyat UMNO perlu memprojek untuk semua kaum. UMNO perlu menjadi parti supraetnik. UMNO kini ada tiga imej - pandangan Melayu, bukan Melayu dan imej parti menggalakkan rasuah politik atau parti korup yang tidak segan silu mengaut keuntungan, Kini ada orang India dan Cina kibar bendera PAS kerana fikir parti itu lebih Islam daripada UMNO.
Inilah cabaran oleh UMNO.
3. Moral orang UMNO perlu diadatkan. Jangan sombong dan angkuh. Dalam PRU12 ada calon yang hendak hilang deposit calon lawan. Di Kelantan, ada orang UMNO hendak berperang dengan PAS seperti perang salib atau Presiden Bush. Itu bukan caranya.
UMNO perlu baiki diri agar imej tidak rosak. Biadap kerana terlalu yakin dengan parti dan tidak nampak kelemahan mereka. Jiwa dan roh Melayu digantikan jiwa beruk. Perlu menggantikan orang di atas. Ada orang Oxford tetapi tidak cerdik dan tidak memiliki roh Melayu. Mereka layak jadi pegawai penyelidik di Universiti tetapi tidak layak menjadi pemimpin Melayu.
Pemimpin perlu memahami budaya orang Melayu.
- EGM perlu diadakan sebelum perhimpunan Agung pada Disember ini.
- Kita tidak mahu ahli UMNO yang datang tidak merasakan ada kelemahan sekarang jika kita tidak muhasabah diri. Maka mereka pilih pemimpin yang sama. Maka kita akan menghadapi malapetaka. Habis - jam 11.05 pagi.

MPK UMNO GUA MUSANG (1)

Mesyuarat Perwakilan Khas UMNO Bahagian Gua Musang Tahun 2008

Tarikh : 4 April 2008

Masa : 10 pagi

Tempat : Dewan Balai Rakyat Bukit Cekati

Perasmian oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang.

Fakta:

7 pagi - Orang ramai mula berkumpul di kaki Bukit Cekati
- Mula memanjat bukit untuk ke Dewan Balai Rakyat Bukit Cekati
- Tempat letak kereta disediakan.
- Dewan Rakyat Bukit Cekati boleh memuatkan 5,000 orang.
- 29 khemah untuk pemerhati dan perwakilan UMNO luar (40 X 20 kaki)
- 3 khemah untuk orang Asli
- 2 khemah untuk media
- 2 khemah pendaftaran
- 10 khemah di perkarangan rumah TR

Thursday, April 3, 2008

HISHAM TIDAK TANDING KETUA PEMUDA

Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti Disember ini.

Ini dilaporkan oleh Buletin Utama TV3 sebentar tadi.

Pengumuman ini membuka ruang kepada Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Tun Mahathir untuk bertanding jawatan itu seperti yang diumumkan mereka sebelum ini.

DS Hishamuddin juga tidak menyatakan siapakah calon pilihannya.

Beliau menegaskan bukan tradisi parti agar Naib Ketua sekarang Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengambialih jawatan ketua. Terpulanglah kepada ahli Pemuda untuk memilih pemimpin mereka bersesuaian dengan keadaan politik sekarang.

EGM BATU PAHAT PILIH PUCUK PIMPINAN?

Saya pernah menulis mengenai Dr Haji Mohd Puad Zakarshi , sebelum ini. Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Johor ini sudah menjadi Ahli Parlimen Batu Pahat. Tahniah dan selamat menjalankan tugas.

Cuma sedih, orang yang saya lihat pemimpin pelapis UMNO tidak mendapat tempat dalam Kabinet baru-baru ini. Ramai sangat orang Johor kot? Mungkin tidak masuk dalam "buku" sesetengah pihak. Tapi takpe teruskan perjuangan demi menegakkan maruah dan martabat bangsa. Jangan berhenti setakat ini.

Selasa lalu, Dr Puad mengambil bahagian dalam forum anjuran MYKMU.NET di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya. Dalam forum itu beliau memuji Tun Dr Mahathir Mohamad dan memanggil bekas PM itu sebagai "yang mulia". Begitu tinggi penghormatannya.

Intipati ucapan Dr Puad ialah ahli UMNO perlu berani untuk menyuarakan pandangan mereka mengenai segala kepincangan yang berlaku dalam parti sekarang. Kepincangan? Bagi Dr Puad, mereka jangan takut dan menjadi pengecut untuk bersuara. Mereka jangan mengangguk-angguk saja dalam semua hal tetapi menyatakan yang benar demi kepentingan negara, bangsa Melayu dan Islam. Golongan Pemuda juga jangan saja mewarisi kepemimpinan tetapi mewarisi perjuangan. Pandangan yang bernas dan hebat.

Apapun, saya mendengar selepas EGM di Gua Musang pada Jumaat ini, bahagian beliau pula akan mengambil langkah yang sama untuk mengadakan EGM. Cuma yang berbeza ialah EGM Batu Pahat bukan untuk membincangkan isu kuota pencalonan parti tetapi lebih daripada itu iaitu menyerahkan kepada peringkat akar umbi mengenai siapakah pilihan mereka untuk menerajui UMNO. Mereka bebas untuk menyatakan pandangan sama ada Pak Lah, Najib, Muhyiddin, Tok Ali, Syed Hamid, Ku Li, Tun Musa, Ghani Othman atau pemimpin lain waima Tun Dr Mahathir Mohamad sekalipun. Tun menerajui UMNO semula?

Pastilah macam-macam pandangan dan pilihan. Yang penting ahli UMNO jangan emosi dan menghentam pemimpin tidak tentu arah. Jaga mulut. Jaga adab sopan. Bangsa Melayu jika ingin tunjuk "kurang ajar" sekalipun dibuat secara bersopan santun. Berpantun dan berseloka?

Jika EGM diadakan, marilah kita tengok keputusannya nanti. Akan ada kejutan ke? Atau ahli UMNO terus memilih kepemimpinan yang ada demi untuk mengukuhkan parti? Atau sudah letih dan bosan?

Selamatkanlah bangsa Melayu.

Wednesday, April 2, 2008

BILA ISU EGM UMNO AKAN HABIS?

Jumaat ini akan diadakan "Mesyuarat Agung Luar Biasa Bahagian Gua Musang" untuk membincangkan keperluan mengadakan EGM di peringkat Pusat. Ia akan diadakan di pejabat UMNO Bukit Chekati, Gua Musang. Saya mendapat tahu, ketua-ketua bahagian di seluruh negara juga akan dijemput untuk hadir di majlis berkenaan.

Ada pihak ada menyatakan bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam akan hadir. Betul ke? Jika TDM mungkin betul, tetapi TMH takkan pula hendak datang kerana selama ini beliau memberi sokongan penuh kepada Pak Lah. Malah beliau kini menerajui WPI, satu projek besar kerajaan. Ada juga maklumat ahli UMNO seluruh negara akan datang berduyun-duyun dengan berpuluh bas. Apa ni? Adakah maklumat ini disebarkan untuk menarik lebih ramai hadir di majlis berkenaan. Tak tahulah. Kalau tiada, katakan tiada. Periksa dulu sebelum datang.

Nampaknya, Ketua Bahagian UMNO Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, serius untuk mendesak pemimpin tertinggi UMNO untuk mengadakan EGM. Walaupun, keputusan mungkin boleh diramalkan kerana bahagian itu diterajui oleh TR, persoalannya adakah EGM di peringkat pusat akan diadakan semata-mata desakan satu bahagian saja.

Nampaknya, isu membabitkan UMNO ini tidak kesudahan kerana daripada satu forum pasca PRU12 di Hotel Singgahsana pada Selasa lalu, kini beralih kepada EGM Gua Musang pula. Selepas ini apakah aktiviti lain yang ingin diadakan oleh kumpulan ini.

Pak Lah dan Kabinetnya nampaknya sudah mula bekerja. Tetapi isu EGM UMNO ini semacam tidak habis-habis. Macam mana ni? Media arus perdana juga melaporkan forum anjuran MYKMU.NET semalam dan memberi liputan yang baik.

KETUA PEMUDA PERLU ADA KEBERANIAN

Siapa pilihan anda untuk memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO jika Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein bercadang untuk bertanding MT atau Naib Presiden.

1. Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo
2. Datuk Mukhriz Dr Mahathir
3. Sdr Khairy Jamaluddin Abu Bakar
4. Datuk Norza Zakaria

Sebenarnya untuk menjadi Ketua Pemuda UMNO, seseorang itu perlu mempunyai jatidiri dan berani bersuara demi kepentingan bangsa Melayu. Individu yang penakut, pengecut dan suka menjadi pak turut tidak layak untuk menerajui sayap kanan parti.

Mereka yang sering "angguk-angguk" dan "kuat mengampu" seharusnya malu untuk mencalonkan diri. Individu yang tidak mempunyai arah tuju, bercelaru, tiada wawasan dan tidak mampu mengeluarkan buah fikiran yang bernas silalah ketepi dan muhabasah diri.

Yang penting Ketua Pemuda UMNO perlu menjadi panglima Melayu dalam ertikata sebenarnya bukanlah pandai bermain kata-kata atau menghunus keris saja. Seorang panglima adalah insan mulia yang taat kepada Raja dan ketua.

Panglima Melayu seharusnya sepanjang masa sanggup berkorban demi kepentingan bangsa. Panglima Melayu berani bercakap benar dan bersedia melakukan tindakan sesuai walaupun terpaksa mengorbankan diri.

Ketua Pemuda UMNO perlu juga mempunyai penasihat yang baik, jujur, cerdik dan budiman. Bukan yang menasihatinya semata-mata untuk mengisi tembolok sendiri, mewujudkan dinasti serta menghancurkan negara, bangsa dan agama.

Tepuk dada, tanyalah selera.