Wednesday, February 28, 2007

ORANG MELAYU PALING BERTUAH?


Pandangan perantau asing...orang Pakistan...berniaga di Malaysia.

Orang Melayu paling bertuah di negara in. (Ye ke?) Yes.. merekalah patut kaya. Boleh buat duit banyak-banyak. Kat sini senang nak buat duit. Orang Melayu patut banyak buat duit. Banyak peluang, banyak contact. (Tiada modal...) Sini...ada program bantu orang Melayu..tapi Melayu tak berjaya juga. Ada pinjaman...tapi tak bayar balik...Tapi ada yang kaya juga...tidak boleh dinafikan.. (Ada orang tu....dia je yang dapat. Ada kenal orang atas lah). Macam-macam boleh berniaga kat sini...boleh jual perabot...boleh jual kain...kereta ...aksesori ..boleh jual macam-macamlah. Jangan tumpu satu je....Kadang-kadang satu jalan...lima peniaga Melayu jual nasi lemak...apa ni....Kontraktor pun ramai...buatlah kerja lain...jangan cari projek kerajaan saja...

Melayu banyak relax dan suka makan gaji. (Ada berniaga, ada kena kerja dengan kerajaan atau swasta. Kalau semua berniaga...siapa nak beri perkhidmatan?) Taklah...ada yang berniagapun malas...berniaga kontrak je....Dapat projek, serah kat orang lain. Kan elok buat sendiri, lebih banyak untung. (Mereka tak sabar dan tak reti...).Cubalah dulu...dalam perniagaan tiada yang gagal...cuma belum berjaya saja. Katakan matlamat kita 1,000 ringgit... kalau dapat 50 ringgit bukan bermakna kita tak berjaya, belum sampai matlamat je...rajinlah berusaha. Akhirnya akan dapat juga...berniaga bukan satu dua hari...ambil masa...nasib baik..cepatlah dapat...sabarlah.

I dah berniaga banyak tempat di Indonesia, Singapura dan di sini. Eksport barang ke Eropah berpuluh-puluh kontena. HQ di Indonesia, tapi i lebih senang duduk Malaysia. Makan senang, tak perlu takut halal ke tidak? Masjid banyak, senang nak sembahyang. Bila-bila waktu. Peraturan di sini pun mudah. Dulu nak beli kereta kena bayar cash. Sekarang, bank pula offer kita loan. Walaupun bukan warga negara. Cuba pergi negara lain, kat Indonesia atau Singapura sekali pun....makan kena hati-hati...sembahyang kena cari tempat..masjid kat Malaysia banyak...surau pun banyak...shopping complex pun ada surau....sebab banyak Melayu pergi shopping complex...suka belanja....orang lain kaya...tapi ada juga surau dibuat di parking lot saje...penuh asap dan habuk....tapi ada juga yang cantik dan kemas..ada karpet lagitu....

Shopping complex pun...ada yang tiada peniaga Melayu langsung...(Mereka yang bina, mereka bagi kat orang yang betul-betul nak berniagalah)...Tapi mengapa tiada Melayu...(Macam u cakaplah...mungkin orang Melayu tak reti berniaga). Tak tahulah...mengapa tiada peraturan untuk beri peruntukan kepada Melayu dalam semua shopping complex...(Ada kot) Shopping complex pun ada yang tak patut..(Pasal apa?) Takkan mereka benarkan jual babi kering berhadapan dengan restoran makan...dalam aircond pula tu..babi kering tu ...berbau..semua orang cium bau ...(Betul ke? Kat mana? Mungkin tak ada orang pantau kot) Tak boleh buat begitu...kena jaga sensitiviti orang lain jugalah.

Satu lagi... (Apa?) Ada juga orang suka tipu kat sini. (Siapa?) Orang Melayulah juga...Kita nak tolong mereka...dia tipu. Tawar nak jual syarikat yang ada lesen yang tidak dikeluarkan lagi...tapi ibarat beli syarikat benang kusut...dah tiga tahun tak selesai...apa ni...nak bantu dia..tapi kita yang terkena. (Mengapa tak deal dengan orang lain). Tak pernah deal dengan bangsa lain. Melayu pula...dah tipu buat muka macam tak de ape-ape saja. (Bukan semua) Betul...saya cakap melalui pengalaman...(Kerbau busuk seekor, semua terpalit la..).

Apabila jumpa kita macam tak ada apa-apa berlaku. (Indonesia macam mana, kata orang... banyak rasuah...semua kena pakai duit) Itu ada di mana-mana...tapi di Indonesia, jika mereka gagal tunaikan janji.....mereka datang minta maaf dan minta apa yang perlu dilakukan untuk menghapuskan dosa atau kesalahan mereka. Buat salah....resign...Di Malaysia, tak. Yang bersalah buat selamba je....( (dalam hati) ...Betul ke ni...buat malu orang Melayu je..)

TAHNIAH AU DAN YONG

Tahniah kepada Datuk Azman Ujang dan Sdr Yong dengan perlantikan mereka.

berita daripada blog rockybru's.

-Bernama Editor-in-Chief Azman Ujang will be the
GM of the national news agency from March 1.

Veteran journalist Yong Soo Heong will take over
the hot seat of Editor-in-Chief.

Sudah pasti mereka akan dapat memberikan sumbangan terbaik.

SENARAI PELAWAT 1


PELAWAT SAYA DI UNIVERSITI HOSPITAL (18 OGOS - 24 SEPT 2006)

Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka
Datuk Seri Zainuddin Maidin, Menteri Penerangan
Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Penerangan
Datuk A Samad Said, Sasterawan Negara.
Datuk A Kadir Jasin, Ketua Pengarang Berita Publishing Sdn Bhd
Datuk Raja Nongcik Raja Zainal, Presiden PPPBM
Datuk Ahmad Merican, Tokoh Penyiaran Negara
Datuk Zein Isma, pemimpin politik.
Datuk Hishamuddin Aun, Ketua Pengarang NSTP
Datuk Manja Ismail, Pengarang Kumpulan BH
Dr Mohd Safar Hasim (dan isteri), Ketua Jabatan Media dan Komunikasi UKM
Datuk Tengku Shariffuddin Tengku Ahmad (dan isteri), Setiausaha Akhbar TPM (gambar)
Sabbaruddin Ahmad Sabri, Setiausaha Sulit Kanan Menteri Penerangan
Karim Mustaffa, Setiausaha Sulit Kanan Menteri PDNDHEP
Zaini Zainuddin, Pengurus Besar Kanan BPSB
Mahfar Ali, Pengarang Eksekutif BH
Abd Samad Rahim, Pegawai Khas Menteri Penerangan
Sutung Umar, penyair
Dinsman, penyair

...bersambung....

PERBUALAN 1

iyra : daddy kat mana orang miskin tinggal?
daddy : pelbagai tempat di seluruh negara
iyra : yelah.. sini kat mana
daddy : mereka tinggal berhampiran bandar, dulu... kawasan setinggan atau flet-flet
iyra : flet pun mereka tinggal. mana dapat duit beli.
daddy : ada yang beli dan ada yang sewa
iyra : sewa berapa
daddy : bawah seratus atau seratus ringgit atau lebih
iyra : mana mereka ada seratus ringgit
daddy : ada. ada orang miskin kerana gaji sikit tapi anak banyak. jadi kurang duit untuk berbelanja.
iyra : boleh bagi baju iyra kat mereka ke?
daddy : boleh. ada ke orang nak pakai baju iyra
iyra : bukan yang koyak, tapi yang ok punya.
daddy : oklah kena kumpul. dulu pun kita pernah bagi kat anak yatim.

PJPD1 : UJIAN ATAU BALASAN?



Sakit adalah satu perkara yang sering memeningkan kepala. Ada yang sakit di waktu pagi dan tidak kurang pula pada waktu tengahari. Ada pula yang berlaku sebelah petang. Yang memeningkan kepala ialah apabila sakit pada waktu malam. Ketika itu, sudahlah tidak boleh tidur tetapi sudah pasti menjejaskan orang lain. Jika berkeluarga, mereka yang akan merasainya ialah anak isteri atau anggota keluarga lain. Jika tinggal berseorangan, maka bertambah parahlah kesakitan itu.

Seperti istilah Tan Sri P Ramlee iaitu kadang-kadang atau jarang-jarang dalam lakonan Nujum Pak Belalang apabila menyentuh perkahwinan, sakit juga boleh berlaku kadang-kadang dan ada pula yang terlalu abrupt atau secara tiba-tiba sehingga membawa maut seperti penyakit serangan jantung atau stroke.

Sentiasa sakit pula ialah bagi orang yang sudah diketahui mendapat penyakit seperti kencing manis, buah pinggang, batu karang, kanser atau bahasa Indonesia dikenali sebagai kanker. Penyakit kanser di peringkat empat atau stage four akan menyebabkan pesakit itu terus sakit mengalami kesakitan terutama ketika menjalani kimoterapi. Ini yang dialami oleh rakan terdekat yang menceritakan detik-detik keperitan mengharungi kimoterapi. Ketika itu, macam-macam dirasakan oleh badan dan pemikiran. Ada yang rasa mual dan hendak muntah serta pening berterusan. Kimoterapi ialah proses menghapuskan sel-sel kanser yang secara langsung membunuh sel-sel lain. Kanser apabila sudah sampai di tahap berbahaya boleh menyebabkan pesakit menemui ajalnya.

Mungkin satu hari nanti rakan saya, Datuk Hafifi Hafidz boleh menceritakan kepada kita mengenai pengalamannya mengharungi penyakit ini. Alhamdulillah, kini beliau semakin sembuh dengan usaha makan ubat yang membantu mengubah kehidupannya. Beliau kini boleh memandu dan menjalankan kegiatan yang digemarinya seperti memancing dan bermain golf.

Namun penyakit kanser atau kencing manis seperti ini adakalanya boleh diubat menerusi pelbagai cara termasuk perubatan tradisional yang menggunakan herba atau akar kayu. Isteri saya pernah terbaca artikel yang menyatakan seorang wanita yang sudah menghadapi penyakit kanser di peringkat empat semakin pulih setelah mengambil usaha mengubatnya sendiri. Ubatnya ialah berjalan berbatu-batu untuk mengeluarkan toksin menerusi peluhnya. Akhirnya wanita itu berjaya mengurangkannya kepada peringkat kedua. Doktor yang merawatnya amat gembira memeriksanya. Ada juga wanita yang menghadapi kanser payu dara tidak putus asa dan terus menjalankan aktivitinya seperti memanjang gunung. Seperti yang disiarkan oleh Astro yang menunjukkan seorang wanita pesakit kanser payu dara gagah menjalankan aktiviti memanjat gunung termasuk Gunung Kilimanjaro. Inilah dikatakan nasib yang diubah oleh seseorang itu setelah berusaha gigih untuk melawan tekanannya.

Bagi saya, kesakitan pertama yang dialami ialah ketika di zaman persekolahan. Ketika itu bersekolah di Sekolah Tinggi Melaka dan tinggal di asrama putera. Pada satu malam, selepas mandi dan menunaikan solat, saya terus tidur. Nyenyak selepas penat bermain bola. Keesokan harinya, saya tidak boleh bangun kerana sakit belakang yang teramat sangat. Saya mengucap beberapa kali dan berusaha bangun tetapi sakit itu semakin menjadi-jadi. Namun selepas minum air yang diberikan oleh rakan, sakit berkenaan semakin berkurangan.

Tuesday, February 27, 2007

TIDAK MENYENGAT

Seorang teman ingin tahu apa yang saya lakukan sekarang. Saya kini cuba berniaga dan menjadi penulis blog. Saya terus mengajaknya membuka blog sendiri. Lantas beliau berkata "aku pro-government" atau aku penyokong kerajaan. Bagi beliau, persepsi masyarakat sekarang ialah blogger adalah golongan anti-kerajaan.

Saya menyangkal persepsi berkenaan. Ini kerana ramai blogger membuat kritikan membina di samping berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka dengan pembaca.

Keesokan harinya seorang rakan lain memberitahu bahawa blog DUNIATIGER tidak menyengat. Alasannya, ia tidak berapi seperti sesetengah blog yang popular sekarang. Menggunakan semula perkataan yang diluahkan teman semalam, saya memberitahunya "saya penyokong kerajaan." Beliau dengan tegas berkata sebagai penyokong kerajaan, saya perlu menyiarkan kritikan lebih pedas untuk memberitahu kerajaan.

Mungkin menyengat yang dimaksudkanya itu ialah menyedarkan kerajaan.

Monday, February 26, 2007

DUNIA MELAYU DUNIA ISLAM (Bah 1)

Adakah anda sedar wujudnya sebuah sekretariat yang menjalankan aktiviti membabitkan orang Melayu dan Islam di seluruh dunia ? Kegiatan itu membabitkan bangsa Melayu di Indonesia, Thailand, Kemboja, Sri Lanka, Afrika Selatan dan seluruh pelusuk dunia. Ia dikenali sebagai Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam ( SDMDI) dan ibupejabatnya di Melaka.

SDMDI diwujudkan hasil daripada resolusi Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam (KDMDI) pada tahun 2000. KDMDI ialah acara tahunan anjuran Kerajaan Negeri Melaka dan diselaraskan oleh Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) yang juga bertindak sebagai Sekretariat DMDI.

Pada 1 Mac 2003 , ibu pejabat SDMDI secara rasminya ditubuhkan di No 28 , Bukit Peringgit , 75400 Melaka dan tidak lagi di bawah pengurusan IKSEP .

Misi DMDI ialah :

Menyelaraskan program - program pertemuan / lokakarya / konvensyen di lokasi - lokasi berlainan serta memantau program - program pembangunan seluruh dunia ;

Merumuskan dasar - dasar hubungan umat Melayu - Islam sedunia bagi memudahkan kerjasama dalam pelbagai bidang terutama sekali Ekonomi , Teknologi Maklumat , Sosio - Budaya, Belia, Wanita , Pendidikan, Agama dan Pelancongan ;

Mewujudkan mekanisme yang membolehkan bantuan serta perkhidmatan digembleng bagi manfaat masyarakat Melayu - Islam yang kurang mampu dan memerlukan ;

Menjadi badan bebas yang mempromosi kesatuan dan perpaduan di antara umat Melayu - Islam sedunia di samping menggalakkan kerjasama di antara umat Melayu - Islam dengan bangsa-bangsa lain di dunia .

Jika anda terbabit dengan kegiatan DMDI sebelum ini silalah ceritakan pengalaman anda dengan pembaca blog ini.

BANTUAN KECEMASAN

Pembaca blog ini atau sesiapa saja yang mengetahui pakar yang boleh mencari orang hilang di laut, sila hubungi saya, Ibrahim Yahaya pada hand phone - 019 212 5521 untuk membantu Saudara Mazlan Sapari. Anaknya, Khairul Amirul, telah hilang di Bagan Lalang, Sepang pada 18 Februari 2007 jam 5 petang. Kerjasama anda akan dirahmati oleh tuhan. Hari ini, hari Mazlan, besok mungkin hari kita. Tolong Segera. Terima Kasih.

Sunday, February 25, 2007

MENTERI BESAR SIHAT



Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo

Dalam rencana sebuah akhbar tempatan, MB Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo diajukan soalan mengapa beliau kelihatan berlainan sekarang....lebih kemas dan muda. Jawapan beliau ialah mengamalkan diet sayur-sayuran dan kesannya berat badannya turun 14 kilogram. Tindakan ini adalah contoh yang baik dan perlu diikuti.

Menjaga kesihatan adalah penting terutamanya jika anda seorang pemimpin. Tidak kira pemimpin parti politik, persatuan atau masyarakat. Jika anda sihat, pengikut pun sihat. Sebaliknya, jika anda tidak kemas dan selekeh, maka pengikut akan mengikuti tabiat anda. Terutamanya yang paling rapat atau orang kanan.

Pemimpin politik perlu belajar daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kaedah menjaga kesihatan. Beliau akan memastikan dirinya sentiasa sihat dengan menjaga makan dan tidur awal. Pesanan ibu iaitu "berhenti makan sebelum kenyang" menjadi pegangannya. Inilah yang sukar dibuat oleh kebanyakan orang. Bukan saja makan tetapi dalam bidang apa jua pun. Ketika sedang sedap, susah hendak berhenti. Tidak hairanlah pelbagai cabaran dan tekanan yang menjelma selama 22 tahun boleh dihadapi dengan tenang dan tabah. Apatah lagi dalam politik yang penuh dengan asam garam terutama golongan yang sentiasa membuat kritikan dan cemuhan dari semasa ke semasa.

Saturday, February 24, 2007

PAPA JANGAN PERGI DULU (PJPD)


Siri artikel Papa Jangan Pergi Dulu (PJPD) ini dibuat untuk menceritakan pengalaman sebagai seorang hamba Allah SWT yang lemah dan sentiasa memerlukan pertolonganNYA. Sebagai hamba, saya bersedia menerima sebarang ujian daripadaNYA dan sentiasa redha dengan pemberiannya. Tauke di Berita Harian, Datuk Ahmad Nazri Abdullah, ketika melawat Saudara Karim Sulaiman pada Disember 2006 berkata bahawa Nabi Muhamad SAW selalu mengucapkan tahniah kepada orang sakit yang diziarahinya. Ini kerana, kata baginda, pesakit itu menerima ujian daripada Allah SWT dan mereka seharusnya berbangga dengan ujian berkenaan. Oleh itu, mereka yang terpilih seharusnya bersyukur kerana Allah SWT telah memilih mereka daripada jutaan hambanya.

Saya ingin berkongsi pengalaman sebagai pesakit yang menjalani pembedahan tulang belakang pada 18 Ogos 2006. Ia satu pembedahan yang major sehingga terpaksa berehat di Universiti Hospital selama lebih daripada satu bulan. Pengalaman ini adalah satu yang menarik untuk dikongsi bersama agar pembaca mendapat faedah dan menjadinya sebagai teladan serta sempadan. Ketika sakit itulah saya dapat memahami erti kehidupan bekeluarga yang sebenarnya di mana peranan seorang isteri amat penting untuk membantu suami ketika susah dan menderita. Ia juga memberi peluang untuk melihat komitmen seorang anak bagi memastikan bapanya akan terus hidup untuk menerajui keluarga mereka. Bapa perlu hidup untuk memastikan keluarga tidak kehilangan ketua atau peneraju kehidupan mereka. Papa perlu hidup.

Ketika sakit juga, ia membolehkan kita mengenali rakan dan sahabat kita yang sebenar. Rakan susah senang yang sentiasa bersama kita. Rakan yang jujur akan berada dengan kita pada waktu susah sepanjang masa sehinggakan kita merasakan kehadiran beliau adalah penyokong kuat untuk memastikan kita terus gagah menghadapi masalah yang terbentang. Rakan ini akan sentiasa berada di sisi kita untuk memberi nasihat atau bertukar pandangan ataupun hanya sebagai teman bersembang. Yang pasti kehadiran rakan ini akan meringankan beban kita terutama orang macam saya yang setiap hari bersama kawan dari pagi hingga malam. Adakalanya hingga larut malam bercerita di tempat pertemuan favourite iaitu di Restoran Syed, Lucky Garden.

Penyiaran artikel ini diharapkan akan dapat menambahkan lagi koleksi bahan bacaan yang dapat membantu masyarakat negara ini mengenai kepentingan membaca dan mendapat ilmu daripada artikel yang mendokumentasikan pengalaman. Pengalaman ini mungkin sama atau pernah berlaku kepada orang yang kita ketahui. Artikel ini mula ditulis selepas pertemuan pertama kali orang kuat EastQabillah Travel and Tours di Restoran Pelita, Bangsar membabitkan taukenya, Saudara Fadzil Abdullah dan beberapa rakan lagi. Bagi saya pertemuan itu amat bermakna yang memberi ilham untuk menulis artikel ini untuk bacaan umum. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang memberi semangat dan dorongan terutama keluarga khasnya isteri tersayang, Datin Rohaiza Hashim. Semoga catatan pengalaman ini memberi faedah kepada generasi sekarang dan akan datang.InsyaAllah.

SEDEKAH JANGAN SERAKAH


Lepas sembahyang Jumaat di Masjid Shah Alam, didatangi seorang Indian Muslim. Badannya nampak sihat dan mampu tersenyum. Sambil menghulurkan kertas doa berplastik, beliau terus meminta wang dan menyebut statusnya sebagai Indian Muslim. Saya angkat tangan dan terus berlalu. Nasihat orang tua, jika tidak mahu memberi wang, terus berlalu dan jangan marah serta mengeluarkan kata nista. Beliau faham dan hilang daripada pandangan.

Singgah di restoran yang tidak mempunyai ramai pelanggan. Hendak mengelakkan kesibukan restoran sukaramai di belakang restoran berkenaan. Namun, restoran yang disinggahi amat mengecewakan. Tiada pilihan lauk dan hendak nasi kena tunggu seminit. Didatangi seorang wanita meminta derma untuk membina sekolah anak yatim. Saya terus mengangkat tangan dan wanita itu berlalu. Sekali lagi, guna nasihat orang tua. Pelanggan di restoran itu ada yang bersedekah, ada juga yang mengemukakan pelbagai soalan. Antaranya ialah sama ada wanita itu anak yatim atau mahu tahu dari mana asal beliau. Ada pula yang meninggikan suara menyatakan tempat untuk membina rumah anak yatim itu adalah kawasan orang kaya. Mereka mahu wanita itu minta wang daripada orang kaya di sana.

Dua kali diuji, tiada wang dihulurkan dan tiada luahan perasaan. Namun, sedekah tetap diberi hari ini.

Friday, February 23, 2007

SALAM SEJAHTERA


Salam sejahtera. Panjat kesyukuran kepada Tuhan kerana memberi peluang untuk terus menulis dalam medium yang mudah dan cepat. Semoga dapat menyumbang kepada pembangunan negara tercinta. Tiada masalah dengan kritikan membina kerana ia sudah menjadi asam garam sebagai wartawan sejak lebih 20 tahun lalu. Terima kasih kepada ramai guru kewartawanan terutama AKJ dan CSH yang banyak memberi bimbingan dan panduan.