Wednesday, February 28, 2007

PJPD1 : UJIAN ATAU BALASAN?



Sakit adalah satu perkara yang sering memeningkan kepala. Ada yang sakit di waktu pagi dan tidak kurang pula pada waktu tengahari. Ada pula yang berlaku sebelah petang. Yang memeningkan kepala ialah apabila sakit pada waktu malam. Ketika itu, sudahlah tidak boleh tidur tetapi sudah pasti menjejaskan orang lain. Jika berkeluarga, mereka yang akan merasainya ialah anak isteri atau anggota keluarga lain. Jika tinggal berseorangan, maka bertambah parahlah kesakitan itu.

Seperti istilah Tan Sri P Ramlee iaitu kadang-kadang atau jarang-jarang dalam lakonan Nujum Pak Belalang apabila menyentuh perkahwinan, sakit juga boleh berlaku kadang-kadang dan ada pula yang terlalu abrupt atau secara tiba-tiba sehingga membawa maut seperti penyakit serangan jantung atau stroke.

Sentiasa sakit pula ialah bagi orang yang sudah diketahui mendapat penyakit seperti kencing manis, buah pinggang, batu karang, kanser atau bahasa Indonesia dikenali sebagai kanker. Penyakit kanser di peringkat empat atau stage four akan menyebabkan pesakit itu terus sakit mengalami kesakitan terutama ketika menjalani kimoterapi. Ini yang dialami oleh rakan terdekat yang menceritakan detik-detik keperitan mengharungi kimoterapi. Ketika itu, macam-macam dirasakan oleh badan dan pemikiran. Ada yang rasa mual dan hendak muntah serta pening berterusan. Kimoterapi ialah proses menghapuskan sel-sel kanser yang secara langsung membunuh sel-sel lain. Kanser apabila sudah sampai di tahap berbahaya boleh menyebabkan pesakit menemui ajalnya.

Mungkin satu hari nanti rakan saya, Datuk Hafifi Hafidz boleh menceritakan kepada kita mengenai pengalamannya mengharungi penyakit ini. Alhamdulillah, kini beliau semakin sembuh dengan usaha makan ubat yang membantu mengubah kehidupannya. Beliau kini boleh memandu dan menjalankan kegiatan yang digemarinya seperti memancing dan bermain golf.

Namun penyakit kanser atau kencing manis seperti ini adakalanya boleh diubat menerusi pelbagai cara termasuk perubatan tradisional yang menggunakan herba atau akar kayu. Isteri saya pernah terbaca artikel yang menyatakan seorang wanita yang sudah menghadapi penyakit kanser di peringkat empat semakin pulih setelah mengambil usaha mengubatnya sendiri. Ubatnya ialah berjalan berbatu-batu untuk mengeluarkan toksin menerusi peluhnya. Akhirnya wanita itu berjaya mengurangkannya kepada peringkat kedua. Doktor yang merawatnya amat gembira memeriksanya. Ada juga wanita yang menghadapi kanser payu dara tidak putus asa dan terus menjalankan aktivitinya seperti memanjang gunung. Seperti yang disiarkan oleh Astro yang menunjukkan seorang wanita pesakit kanser payu dara gagah menjalankan aktiviti memanjat gunung termasuk Gunung Kilimanjaro. Inilah dikatakan nasib yang diubah oleh seseorang itu setelah berusaha gigih untuk melawan tekanannya.

Bagi saya, kesakitan pertama yang dialami ialah ketika di zaman persekolahan. Ketika itu bersekolah di Sekolah Tinggi Melaka dan tinggal di asrama putera. Pada satu malam, selepas mandi dan menunaikan solat, saya terus tidur. Nyenyak selepas penat bermain bola. Keesokan harinya, saya tidak boleh bangun kerana sakit belakang yang teramat sangat. Saya mengucap beberapa kali dan berusaha bangun tetapi sakit itu semakin menjadi-jadi. Namun selepas minum air yang diberikan oleh rakan, sakit berkenaan semakin berkurangan.

No comments: