Saturday, February 24, 2007

PAPA JANGAN PERGI DULU (PJPD)


Siri artikel Papa Jangan Pergi Dulu (PJPD) ini dibuat untuk menceritakan pengalaman sebagai seorang hamba Allah SWT yang lemah dan sentiasa memerlukan pertolonganNYA. Sebagai hamba, saya bersedia menerima sebarang ujian daripadaNYA dan sentiasa redha dengan pemberiannya. Tauke di Berita Harian, Datuk Ahmad Nazri Abdullah, ketika melawat Saudara Karim Sulaiman pada Disember 2006 berkata bahawa Nabi Muhamad SAW selalu mengucapkan tahniah kepada orang sakit yang diziarahinya. Ini kerana, kata baginda, pesakit itu menerima ujian daripada Allah SWT dan mereka seharusnya berbangga dengan ujian berkenaan. Oleh itu, mereka yang terpilih seharusnya bersyukur kerana Allah SWT telah memilih mereka daripada jutaan hambanya.

Saya ingin berkongsi pengalaman sebagai pesakit yang menjalani pembedahan tulang belakang pada 18 Ogos 2006. Ia satu pembedahan yang major sehingga terpaksa berehat di Universiti Hospital selama lebih daripada satu bulan. Pengalaman ini adalah satu yang menarik untuk dikongsi bersama agar pembaca mendapat faedah dan menjadinya sebagai teladan serta sempadan. Ketika sakit itulah saya dapat memahami erti kehidupan bekeluarga yang sebenarnya di mana peranan seorang isteri amat penting untuk membantu suami ketika susah dan menderita. Ia juga memberi peluang untuk melihat komitmen seorang anak bagi memastikan bapanya akan terus hidup untuk menerajui keluarga mereka. Bapa perlu hidup untuk memastikan keluarga tidak kehilangan ketua atau peneraju kehidupan mereka. Papa perlu hidup.

Ketika sakit juga, ia membolehkan kita mengenali rakan dan sahabat kita yang sebenar. Rakan susah senang yang sentiasa bersama kita. Rakan yang jujur akan berada dengan kita pada waktu susah sepanjang masa sehinggakan kita merasakan kehadiran beliau adalah penyokong kuat untuk memastikan kita terus gagah menghadapi masalah yang terbentang. Rakan ini akan sentiasa berada di sisi kita untuk memberi nasihat atau bertukar pandangan ataupun hanya sebagai teman bersembang. Yang pasti kehadiran rakan ini akan meringankan beban kita terutama orang macam saya yang setiap hari bersama kawan dari pagi hingga malam. Adakalanya hingga larut malam bercerita di tempat pertemuan favourite iaitu di Restoran Syed, Lucky Garden.

Penyiaran artikel ini diharapkan akan dapat menambahkan lagi koleksi bahan bacaan yang dapat membantu masyarakat negara ini mengenai kepentingan membaca dan mendapat ilmu daripada artikel yang mendokumentasikan pengalaman. Pengalaman ini mungkin sama atau pernah berlaku kepada orang yang kita ketahui. Artikel ini mula ditulis selepas pertemuan pertama kali orang kuat EastQabillah Travel and Tours di Restoran Pelita, Bangsar membabitkan taukenya, Saudara Fadzil Abdullah dan beberapa rakan lagi. Bagi saya pertemuan itu amat bermakna yang memberi ilham untuk menulis artikel ini untuk bacaan umum. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang memberi semangat dan dorongan terutama keluarga khasnya isteri tersayang, Datin Rohaiza Hashim. Semoga catatan pengalaman ini memberi faedah kepada generasi sekarang dan akan datang.InsyaAllah.

2 comments:

samantha said...

Welcome to the bloggers world. Looking forward to your write up. Lucky you to have a loving and caring wife and family. You are blessed. Enjoy life.
-Christchurch, Feb25th 2007-

ibrahim yahaya said...

Samantha,
tq. Mengapa berdiam diri sejak muncul di blog ini 24 Feb lalu. Bagaimana NZ?