Friday, December 23, 2011

EJEN 007 PAS BERAKSI

(Utusan Malaysia) KUALA LUMPUR 22 Dis. - Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mendakwa beliau mempunyai bukti untuk mengaitkan Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali dengan agenda UMNO.

Sambil merujuk kepada satu pertemuan antara Hasan dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa di sebuah hotel bersama sekurang-kurangnya tiga individu lain pada Ramadan lalu, Mustafa menegaskan, Hasan tidak boleh beranggapan pergerakan beliau tidak diketahui oleh pemimpin Pas lain.

Malah katanya, selain pertemuan itu, beliau juga mempunyai 'peristiwa' lain yang boleh mengaitkan Hasan dengan agenda UMNO.

"Saya mahu tanya apa yang dibincangkan pada pertemuan itu.

"Adakah ia berkaitan dengan politik atau ekonomi?

"Tapi saya tidak memaksa beliau untuk menjawab atau menafikannya.

"Terpulanglah kepada beliau," katanya pada sidang media di Bangunan Pas di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada desakan Hasan supaya beliau mengemukakan bukti bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu terperangkap dalam agenda UMNO yang mahu melemahkan parti tersebut.

Mustafa membuat kenyataan itu dengan merujuk kepada pelbagai kenyataan yang dibuat Hasan berhubung kontroversi yang melanda Pas ketika ini.

Ketika ditanya siapakah tiga individu lain yang turut serta dalam pertemuan itu, Mustafa bagaimanapun enggan mendedahkannya.

Malah, beliau juga menolak untuk mengulas lanjut ketika ditanya sama ada tiga individu itu adalah ahli perniagaan, ahli politik atau orang UMNO.

''Saya tidak akan mendedahkan lebih daripada itu, tetapi cukuplah untuk Hasan tahu bahawa kita (Pas) tahu pergerakan beliau," katanya.

Mustafa menambah, Hasan juga perlu mengetahui bahawa perjuangannya ketika ini tidak mendapat sokongan daripada mana-mana sayap parti.

Malah kata beliau, ahli di peringkat akar umbi juga tidak menyokong Hasan seperti mana yang didakwa beliau sebelum ini.

"Pada mesyuarat semalam, Dewan Ulama Pas dan Dewan Pemuda Pas Pusat telah menyatakan bahawa mereka tidak pernah berada di belakang Hasan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mustafa berkata, Hasan dan Nasharuddin serta Ketua Penerangan Pas Selangor, Saari Sungib akan dipanggil dalam satu mesyuarat khas bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau menolak ketiga-tiga mereka dipanggil menghadap Jawatankuasa Disiplin Pas, sebaliknya menjelaskan ia hanyalah pertemuan biasa bagi mendapatkan penjelasan.

"Pertemuan itu juga akan diadakan secara berasingan," katanya.

Bercakap mengenai masa depan politik Hasan ekoran kontroversi itu, Mustafa berkata, beliau tidak berkeyakinan Hasan akan menyertai UMNO dan tidak pula beranggapan UMNO akan menerima Hasan.

Ini kerana kata beliau, dalam kedudukan Hasan ketika ini yang dilihat sedang 'diperangkap' UMNO, maka adalah menjadi kelebihan kepada UMNO untuk Hasan kekal di dalam Pas.

''Jika Hasan bercakap dari dalam Pas, orang (ahli-ahli Pas) akan percaya, tetapi jika Hasan menyertai UMNO dan menghentam Pas, ahli-ahli Pas tidak akan mempercayainya," kata beliau.

Mustafa menambah, dalam keadaan seperti ketika ini, adalah lebih baik untuk Hasan tidak lagi membuat sebarang kenyataan.

Malah, beliau turut menasihatkan Hasan supaya mencontohi sikap Nasharuddin yang memilih untuk menjauh daripada perangkap UMNO.

"Jika Hasan berhenti membuat kenyataan, maka pemimpin Pas lain juga tidak perlu menjawab, jadi kontroversi ini pun boleh berakhir,'' katanya.

Ditanya mengenai kedudukan Hasan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Mustafa berkata, tiada siapa pun ahli Pas ketika ini yang dapat memastikan akan terpilih menjadi calon atau sebaliknya.

(Renungan Rimau : jaga-jaga ada ejen 007 ikut mana kita pergi. Nanti gambar masuk suratkhabar. Jika ejen Pas tahu, Kit Siang mesti tahu kerana Pas sekarang bekerja untuk Kit Siang. Alahai)

1 comment:

AJAI62 said...

Assalam Tuan

Hasan Ali tak perlukan parti PAS... Berdakwahlah tanpa menggunakan mana2 parti politik untuk tidak berpihak... Rezeki ALLAh swt berada dimana2... Dengan berpolitik pun belum tentu pahala tu kita yang punya... kalau dah fitnah pun disokong apa yang kita dapat... dosa kering...