Friday, December 2, 2011

ORANG UMNO LAWAN PEMBANGKANG

Apabila Presiden UMNO sekarang mahu menekankan konsep ORANG UMNO dalam Ucapan Dasarnya semalam, sudah tentu ramai ahli UMNO tertanya-tanya mengenai tindakannya itu. Apakan tidaknya, kerana selama ini setiap pemimpin dalam ucapannya menyebut ahli UMNO yang bermaksud individu yang menjadi ahli parti itu tidak kira mereka berbangsa Melayu atau Bumiputera dari Sabah.

Perhimpunan kali ini, Presiden UMNO mahu ahli UMNO menjadi ORANG UMNO. Dalam ucapannya DS Najib berkata, "....pada perhimpunan kali ini, setelah saya belek-belek dan saya kaji-kaji pengalaman secara aktif selama 35 tahun dalam parti, bersempena pula UMNO sudah menjangkau satu umur yang sangat dewasa, berpengalaman dan matang yakni 65 tahun, elok rasanya kalau dikupas pula siapakah dan apakah ertinya menjadi orang UMNO.

Maksud saya, bilamana memperkatakan tentang parti, kita semua, sebenarnya, tidak cukup sekadar didefinisikan sebagai ahli UMNO. Sebaliknya, kita perlu menjadi orang UMNO. Makna kata, orang UMNO yang tergambar dan terpamer perwatakannya melalui tindak tanduk serta sistem nilai yang dipegang.


Tiga perwatakan yang dijelaskan dalam ucapan DS Najib ialah 1. Pertama sekali, orang UMNO itu adalah, orang yang taat dan setia kepada parti. Orang UMNO tidak akan sekali-sekali mengkhianati parti. 2. Nilai kedua orang UMNO itu adalah, orang yang cinta dan kasih kepada perjuangan parti. Seperti dimadah oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, dalam lagunya… itulah kasih mesra, sejati dan mulia. 3. Orang UMNO itu adalah orang yang sanggup berkhidmat tanpa jemu dan sanggup berkorban. Pengorbanan adalah satu sifat yang harus bersebati dalam diri orang UMNO. Bersandarkan prinsip persalingan, orang UMNO harus menunjukkan keikhlasan berkhidmat kepada rakyat.

Daripada pengamatan penulis, Presiden UMNO mahu menekankan bahawa ORANG UMNO adalah individu yang terus menjadi ahli UMNO sehingga ke akhir hayat. Mereka ini akan tetap setia kepada parti dan sentiasa berkorban untuk memastikan parti terus relevan sehingga ada bulan dan bintang.

Orang UMNO adalah mereka yang mengutamakan parti daripada kepentingan diri. Mereka ini tetap memperjuangkan UMNO sepanjang masa walaupun tidak lagi memegang jawatan dalam parti. Orang UMNO adalah mereka yang seharusnya menjadi Khalid Al-Walid yang sanggup berkorban untuk parti walaupun ketika kemuncaknya.

Inilah ciri-ciri Orang UMNO yang ditagih oleh Presiden UMNO. Bukan ahli parti yang cepat merajuk dan membawa diri. Bukan ahli parti yang sanggup membelot dan menghancurkan parti semata-mata tidak terpilih menjadi calon pilihan raya. Bukan ahli parti yang bersekongkol dengan ORANG BUKAN UMNO yang mahu menjatuhkan parti demi mencapai cita-cita mereka.

Bukan orang UMNO yang memburuk-burukkan parti setelah mereka dipecat atau diketepikan kerana salah laku atau dikenakan tindakan rasuah. Mereka ini, walaupun didapati bersalah dari segi undang-undang bukanlah mempunyai lesen untuk memburuk-burukkan parti yang telah memberi tempat kepada mereka. Golongan ini harus bertanya mengapa mereka dikenakan tindakan. Adakah kerana sikap dan perangai yang tidak senonoh maka dikenakan tindakan? Atau parti keramat sengaja mengambil tindakan secara suka-suka? Mereka perlu bermuhasabah diri sebelum mahu menghancurkan parti keramat yang telah banyak berbudi kepada Malaysia.

Tindakan Presiden UMNO mahu menggunakan istilah Orang UMNO ini secara tidak langsung boleh memaparkan perbezaan besar antara parti keramat dengan parti pembangkang. Jika ahli PKR eloklah dipanggil Orang Anwar dan ahli DAP pula elok dipanggil Orang Kit Siang. Bagi Pas pula agaknya elok dipanggil Orang Haji Hadi ata Orang Nik Aziz. Ini memudahkan rakyat melihat pertentangan antara Orang UMNO dan Orang Anwar, Orang Kit Siang dan Orang Hadi/Orang Nik Aziz.

Orang Anwar ialah Azmin, Azizah dan Nurul Izzah manakala Orang Kit Siang ialah Guan Eng dan isterinya.

Semoga, tindakan Presiden UMNO mahu mengutarakan ciri-ciri penting Orang UMNO ini akan diselami dan dihayati oleh semua ahli UMNO sekarang.

Akhir kalam, DS Najib menyebut, "Di sudut lain, sambil menghadam peradaban Melayu, orang UMNO perlu bermuhasabah ke dalam diri masing-masing. Masih wujudkah semangat Tun Tuah di sanubari? Masih bergemakah kekentalan jiwa Tun Fatimah?

Mahu tidak mahu, orang UMNO harus berusaha tanpa jemu. Biar berdepan apa pun cabaran, pastikan UMNO menang, biar dilintang apapun dugaan, orang UMNO mesti terus berdamping dengan rakyat. Sedarlah kita bahawa, dalam sistem demokrasi, tidak ada tempat kedua. Kita wajib jadi juara. Kesimpulannya, kemuncak pengorbanan adalah menjunjung kepentingan dan maruah parti, bukannya kepentingan dan maruah peribadi.


Tepuk dada, tanya selera wahai ORANG UMNO.

No comments: