Thursday, March 22, 2012

TS MAZLAN NORDIN MENINGGALKAN KITA

Sejurus mendapat panggilan TS Zam yang menyatakan TS Mazlan Nordin meninggalkan dunia jam 4.15 petang, penulis segera menghubungi Timbalan Pengarah BES RTM, Muis Shafei untuk kegunaan Berita RTM. Pada masa itu jika cepat, sempat untuk dibuat crawler atau disiarkan berita radio. Setidak-tidaknya Berita TV jam 5. Tak tahulah sama ada RTM menyiarkan bahan berita itu dengan segera. Tak memantaunya. Penulis juga menyiarkan berita kematian itu dalam facebook peribadi.

Hakikatnya, dalam diri TS Zam masih mengalir sifat kewartawanannya yang mahu tv atau radio menyiarkan segera berita itu. Ini yang harus dipelajari golongan wartawan generasi baru agar bertindak pantas jika ada berita yang perlu disegerakan. TS Zam antara rakan wartawan terakhir yang menziarahi TS Mazlan, kira-kira 20 minit sebelum tokoh wartawan menghembuskan nafas terakhir.

Penulis bergegas ke rumah anak TS Mazlan di No 14 Jalan Dato Abu Bakar 16/1 dan sanak-saudara sibuk menyusun atur segala keperluan sebelum jenazah yang dimandi dan dikapankan di Masjid 224 dibawa kerumah. Wartawan media cetak dan elektronik sudah ramai menunggu kepulangan jenazah di rumah itu.

Selepas Maghrib, ramai rakan wartawan datang menziarah jenazah. Antaranya termasuklah A Kadir Jasin, Azman Ujang, Ahmad A Talib, Rahman Suliman, Johan Jaafar, Abdullah Hassan, Zainon Ahmad, Chamil Wariya, Hamzah Sidek dan wartawan generasi muda. Ada yang mengiringi jenazah dari Masjid 224 lagi seperti AKJ.

Jenazah TS Mazlan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara pagi esok. Semoga roh Allahyarham TS Mazlan Nordin akan ditempatkan bersama roh orang-orang soleh. Al-Fatihah.

Kenyataan DSU Dr Rais Yatim dalam Facebook beliau : - AL- FATIHAH : Dunia penulisan dan kewartawanan kehilangan seorang ikon. Allahyarham Tan Sri Mazlan Nordin yang meninggal dunia kira-kira jam 4.15 petang tadi merupakan jurnalis yang berperibadi gigih melalui karier yang sangat produktif. Penulisan beliau melalui Utusan Malaysia dan jasanya sebagai bekas Pengerusi Bernama akan sentiasa dikenang dan dihargai. Penulisannya sering mencerminkan sifat dan watak kesederhanaan tetapi tajam. Jasanya melalui penulisan yang berbahasa Melayu dan Inggeris akan sentiasa dikenang. Dunia kewartawanan akan sentiasa menilai tinggi keperibadiannya yang ulung. Secara peribadi saya kehilangan seorang rakan lama.

1 comment:

Anonymous said...

Sdr Tiger, mungkin u hantar ke media elektronik yang prioroti dan keutamaannya tak sama. Barangkali pada hari itu ada berita yang lebih penting dan pemergian Arwah tan Sri Mazlan Nordin hanya layak sebagai "filler" saja kot. Tendensinya untuk media perdana ketika ini berita dan komen Pemimpin utama sepert yang nombor 1, nombor dua dan barisan pemimpin dalam kabiet didahulukan, malah prioriti YAB pun perlu didahulukan berbanding berita lain. Sdr "Dunia Tiger" orang lama dalam bidang ini takkan lupa kot. Hehehe...