Monday, March 12, 2012

SOKONG AGENDA KERAJAAN

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah menyeru seluruh rakyat supaya sentiasa mengukuhkan perpaduan serta memberi sokongan kepada agenda pembangunan yang diusahakan oleh kerajaan.

Baginda bertitah, rakyat perlu mengelak daripada melakukan apa jua tindakan yang boleh menjejas atau menggugat kedaulatan negara ataupun cuba menidakkan pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan.

"Beta berharap semua pihak terutama generasi muda berusaha memahami dan menghayati sejarah kemerdekaan negara yang merupakan hasil pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan dan seterusnya menghargai kebebasan yang dinikmati sekarang," titah baginda sempena istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Turut berangkat hadir Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah. Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Seri Paduka bertitah petunjuk-petunjuk ekonomi utama 2011 seperti pertumbuhan ekonomi pada kadar 5.1 peratus, jumlah dagangan yang bernilai hampir RM1.3 trilion, nilai pelaburan asing RM32.9 bilion, kutipan cukai langsung melebihi RM100 bilion dan kadar pengangguran yang rendah membuktikan pengurusan ekonomi kerajaan dan dasar serta program yang dilaksanakan adalah di landasan yang betul.

"Adalah menjadi hasrat kerajaan beta agar manfaat kemakmuran ekonomi hasil daripada Dasar Transformasi Nasional akan melimpah kepada semua laporan rakyat tanpa ada yang terpingggir," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah untuk menjayakan transformasi, anggota Perkhidmatan Awam sebagai tonggak jentera kerajaan perlu sentiasa mencari idea dan pendekatan baru yang lebih kreatif serta inovatif, cekap, berintegriti serta berfikiran terbuka.

Baginda turut berharap kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara dapat ditingkatkan demi masa depan negara.

Dalam pada itu, baginda bertitah perjalanan menuju negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 bukan sahaja memerlukan transformasi ekonomi, malah turut menuntut transformasi sosio-politik.

Titah baginda usaha penambahbaikan terhadap undang-undang dan peraturan, menambah baik sistem pilihan raya dan keputusan memansuhkan akta-akta yang dianggap menyekat kebebasan rakyat seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) merupakan keputusan besar kerajaan demi kepentingan negara.

Kerajaan juga amat komited untuk melindungi dan memastikan kebebasan berterusan badan kehakiman negara kerana ia adalah teras penting kepada sistem demokrasi, titah baginda.

Baginda bertitah usaha dan komitmen kerajaan membanteras rasuah pula terbukti dengan penubuhan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan dan Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, pengenalan Persepakatan Integriti serta peningkatan kadar sabitan kes rasuah sebanyak 75 peratus pada 2011.

"Namun kerajaan masih memerlukan kerjasama semua pihak untuk menjadikan negara bebas rasuah melalui inisiatif yang mencakupi aspek pendidikan, pencegahan dan penguatkuasaan," titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong bertitah amat berbangga dengan peranan aktif negara dalam mewujudkan keamanan global dengan mengenengahkan isu-isu perlucutan dan ketakcambahan senjata, serta usaha-usaha bagi mencegah keganasan dan jenayah rentas sempadan.

Tuanku Abdul Halim bertitah baginda yakin pendekatan kesederhanaan atau wassatiyyah yang diperkenalkan Perdana Menteri dapat menyumbang ke arah penyelesaian suatu pertikaian dan membawa kepada keamanan global termasuk isu-isu hak asasi manusia dan keadilan antarabangsa, termasuk Palestin.

Peranan golongan belia turut disentuh baginda yang menyarankan supaya para belia negara ini menggunakan segala ruang dan peluang yang ada untuk ke peringkat yang lebih tinggi.

Titah baginda golongan belia yang merupakan kira-kira 46 peratus daripada penduduk negara ini adalah aset penting dan pewaris yang akan meneruskan kesinambungan pembangunan negara.

"Yakinlah bahawa belia senantiasa dekat di hati kerajaan beta dan kerajaan tidak akan menyisihkan golongan belia kerana tanpa belia, hilanglah jantung negara," titah baginda.

Dalam pada itu Tuanku Abdul Halim juga menyeru kontinjen atlet negara yang bakal menyertai Sukan Olimpik London 2012 agar memberi komitmen sepenuhnya dan merealiasikan hasrat rakyat untuk melihat Malaysia memperoleh pingat emas pertama di sukan tersebut.-- BERNAMA

No comments: