Friday, June 15, 2012

SIAPA YANG TIADA NAFAS?

Oleh Ibrahim Yahaya

Pelbagai petunjuk yang diberikan oleh DS Najib Tun Razak kebelakangan ini memberi gambaran bahawa PRU13 akan diadakan tahun hadapan. Antaranya ialah pengumuman mengenai Bajet 2012 pada akhir tahun ini dan pemberian BR1M yang kedua, yang mungkin diadakan pada 2013.

Ataupun pengumuman beliau ketika bertemu dengan wakil rakyat sebelum Dewan Rakyat bersidang tempoh hari, yang mahu mereka bekerja keras sehingga tahun hadapan. Betul ke?

Mungkin ramai yang tidak bersetuju PRU13 diadakan tahun depan terutama mereka yang sudah menunggu terlalu lama atau sudah penat untuk masuk gelanggang. Mereka yang sudah tidak sabar-sabar untuk menjadi calon dan sudah mengeluarkan banyak wang. Nasib badan.

Bagaimanapun, bagi pengikut setia DS Najib iaitu TS Muhyiddin Yassin mahu semua pihak dalam BN jangan cepat putus asa tetapi terus menanam semangat untuk memberikan khidmat yang terbaik untuk BN. Dalam ertikata lain terus bekerja siang malam untuk memastikan BN cemerlang dalam PRU13. Teruskan momentum dan menggerakkan segala jentera sehingga memastikan BN menang besar.

Persoalannya, jika PRU13 diadakan tahun hadapan, siapa yang tiada nafas lagi? BN atau pembangkang?  Ataupun siapa yang tinggal nyawa-nyawa ikan nanti kerana kekurangan wang atau fulus. Bab semangat ini, pastinya pembangkang masih kuat terutama pelbagai sentimen yang ditiupkan oleh pemimpin utama mereka terutama mengenai kaum, agama, hak asasi dan terbaru penghinaan terhadap institusi Raja-raja Melayu.

Malah, Lim Kit Siang pula mahu membawa Tun Dr Mahathir Mohamad, orang yang disayangi oleh ramai rakyat negara ini ke muka pengadilan. Bab itu, TDM sudah menjawab bahawa beliau tidak takut dan gentar. Yang negarawan ulung itu takut ialah tindakan penganiayaan terhadapnya.

Bagi BN, sudah tentulah mereka mempunyai pelbagai sumber yang membolehkan terus bernafas dan membantu rakyat. Jangan tanya daripada mereka perolehi kerana sebagai kerajaan sudah tentu mereka mempunyai kantung-kantung yang mampu membantu mereka terus bernafas untuk membantuk rakyat.

Bagaimana pula dengan pembangkang, adakah mereka mempunyai cukup wang? Tanpa wang, adakah semangat mereka terus membara untuk memastikan PRU13 ini memenangi banyak kerusi?

Jika dilihat kepada semangat dan kekuatan berkempen, sudah tentulah markah tertinggi diberikan kepada PAS yang kerap mengadakan ceramah.  Asyik-asyik mengadakan ceramah menghentam kerajaan. Mengutarakan isu yang disukai oleh pendengar ceramah, walaupun tidak semestinya betul dan tepat.

Setidak-tidaknya, jika ada ceramah, penceramah akan dapat duit sedekah yang sama ada dikutip menggunakan kain atau tin biskut. Duit ceramah itu bolehlah penceramah, tidak kira Presiden atau Timbalan Presiden menggunakannya untuk peribadi atau parti. Kini parti itu mahu membina lebuhraya di Kelantan, kenalah bagi guna duit itu sikit dan bukanlah semata-mata masuk poket sendiri seperti amalan sebelum ini.

Bagaimana pula dengan Dap dan PKR?

Ramai yang beranggapan DS Anwar Ibrahim mempunyai wang yang banyak untuk terus bernafas sehingga tahun hadapan. Namun, persoalannya berapa banyak lagi yang beliau ada? Jika masih banyak, sudah tentulah beliau terpaksa berkongsi dengan kawan-kawan lain dalam memastikan nafas pembangkang berterusan dan tidak tercungap-cungap menjelang tahun hadapan.

Melainkan, beliau mahu menggunakan untuk partinya sendiri atau untuk keluarga.

Bagi Dap, sejak dulu mereka tidak bimbang kerana ada saja jutawan Cina yang akan membantu mereka. Hanya petik jari saja, maka jutawan yang mendapat projek di Pulau Pinang akan berlari-lari memberikannya kepada parti itu. Inipun untuk tujuan mendapat projek lagi pada masa depan.

Kesimpulannya, siapa yang tiada nafas menjelang PRU13, jika ia dibuat tahun depan?


No comments: