Friday, June 22, 2012

UMUMKAN DAHULU CALON PRU13

Oleh Ibrahim Yahaya

Tindakan ahli parti melakukan sabotaj sehinga menyebabkan BN kehilangan majoriti dua pertiga pada PRU12 sudah pasti satu pengalaman yang memeritkan. Perbuatan itu terserlah dengan pelbagai bukti kukuh terutamanya kawasan yang selama ini selamat jatuh ke tangan pembangkang. Pemimpin BN pasti sedar banyak kerusi berpindah kerana kekalahan di bawah 1,000 undi sedangkan sebelum ini BN menang lebih 2,000 undi.

Tindakan ahli mensabotaj parti secara langsung memberi kesan mendalam kepada prestasi BN. Apakan tidaknya apabila tidak memperolehi majoriti dua pertiga, banyak kesan yang mereka hadapi termasuklah dasar dan program yang ingin dilaksanakan selalu diganggu oleh pembangkang walaupun pembangkang tahu ia memberi manfaat kepada rakyat. Apatah lagi ia membabitkan persetujuan Ahli Parlimen. Adakalanya MP BN terpaksa berkejar ke Parlimen apabila diadakan undi yang memerlukan kehadiran sebahagian besar Ahli Parlimen BN agar mereka tidak kalah. Lebih memeritkan jika ada undi tidak percaya.


Persoalannya mengapa mereka melakukan perkara itu?  Jawapannya mudah iaitu kerana ada ahli yang tidak puas hati dengan keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan. Mereka tidak puas hati kerana tidak terpilih sebagai calon pilihan raya. Mereka marah kerana pucuk pimpinan menukarkan calon ke tempat lain pada saat-saat akhir. Pengikut terkilan kerana calon mereka disingkirkan sedangkan orang luar yang tidak pernah mereka tahu diletakkan sebagai calon parti. ADUN dan Ahli Parlimen yang baik digugurkan manakala yang terbukti tidak bekerja dikekalkan kerana ada hubungan baik dengan pucuk pimpinan tertinggi. Banyak lagi.


Segala masalah ini menyebabkan ada pihak kini mengusulkan agar BN mengumumkan nama calon yang akan bertanding di sesuatu DUN atau Parlimen. Dengan menamakan calon itu, mereka segala persiapan boleh dibuat untuk memastikan pengundi mengenali calon yang mereka mahu pilih pada masa hadapan. Setidak-tidaknya mereka boleh berkenalan daripada awal lagi dan bukannya di saat-saat akhir terutama calon baru yang tidak pernah mereka lihat batang hidup. Calon baru yang diimport dari luar.


Menamakan calon juga boleh menguji ketahanan calon itu terutama serangan daripada pihak pembangkang. Pembangkang akan simpan rahsia serangan itu? Sudah tentulah pemimpin akan memilih calon yang pasti menang dan bukannya mempunyai rahsia yang boleh dibongkarkan di saat-saat akhir. Dalam ertikata lain pucuk pemimpin perlulah membuat satu saringan terhadap calon itu termasuklah dari segi moral dan sifat terpuji sebagai seorang pemimpin. Hendak pilih pemimpin biarlah yang berilmu dan bermoral tinggi.


bersambung....












No comments: