Monday, October 21, 2013

MUKHRIZ, ESOK MASIH ADA.

Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR : Selepas keputusan rasmi diketahui yang menyaksikan Dato Paduka Mukhriz Mahathir menduduki tangga keempat dalam pemilihan Naib Presiden UMNO seorang rakan bertanya ringkas, "Apa yang terjadi kepada Mukhriz?". Jawab saya ringkas, "Inilah politik, semua boleh jadi".  Beliau terdiam.

Bagi penganalisis politik ramai yang mengetahui Mukhriz tidak akan dapat menduduki salah satu daripada tiga jawatan NP. Mereka yakin penyandang akan kekal. Begitu juga yang dikatakan oleh negarawan ulung, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut merasai anaknya tidak akan menang. Mungkin pandangan penganalisis politik veteran sama dengan pemikiran Tun M.

Hakikatnya inilah sering berlaku di negara ini di mana pemimpin tertinggi parti mempunyai kelebihan dalam pemilihan UMNO. Tun M pun tahu kerana beliau pernah berada di atas ketika pemilihan UMNO diadakan termasuk persaingan di antara Tengku Razaleigh dan Tun Musa Hitam. Kelebihan ini boleh dilihat dalam pelbagai bentuk termasuk isyarat yang diberikan. Tidak payahlah sebut arahan.

Oleh itu, Mukhriz Mahathir perlu sedar bahawa beliau kini sudah berada dalam politik nasional yang menyaksikan semua boleh berlaku walaupun pada awalnya gambaran yang diberikan beliau akan mendapat sokongan padu di seluruh negara. Mungkin beliau terlupa pemilihan ketua sayap berlaku lebih awal daripada pemilihan peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi. Ataupun beliau tahu tetapi tidak terdaya untuk menahan kesan sampingan yang timbul daripada kejayaan penyandang meneruskan jawatan.

Oleh itu, penasihat MM bolehlah memberikan nasihat yang baik pada masa akan datang agar jika MM benar-benar ingin bertanding NP, beritahulah perwakilan lebih awal. Tapi ada juga yang berpendapat, bagitahu awal atau lambat, itu tidak penting. Yang pasti, Mukhriz kena tunggu dulu, setidak-tidaknya untuk kali ini. Boleh cuba lagi lain kali. Esok masih ada.






SIAPA YANG LAYAK JADI MT (4)?

Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR :  Debu-debu yang berterbangan sejak 12 Oktober lalu sudah melata di tanah. Kedai kopi yang dulunya dikerumuni pelbagai bentuk manusia sudah mula kehilangan pengunjung. Lobi hotel yang dulunya ramai insan mundar-mandir mencari sebatang cigar cohiba No 2 sudah mula tidak sibuk lagi. Yang kelihatan tetamu hotel saja. Keputusan sudah diketahui. Kini siapa cari siapa?

Keputuan Pemilihan UMNO 2013 memperlihatkan ahli UMNO mahu barisan kepemimpinan dahulu dikekalkan dengan tambahan beberapa orang yang sudah mula dikenali berikutan 'penangan' sering keluar di media dalam pelbagai bentuk termasuk iklan yang menampakkan gigi. Ada yang senget, ada juga gigi yang tersusun. Gambar calon baru yang terpampang hampir saban hari membolehkan ahli UMNO kini mula mengenali mereka sebaris dengan Pak Menteri dan timbalannya.

Pengekalan barisan pemimpin ini memaparkan manifestasi apa yang sentiasa dilaung-laungkan oleh Presiden UMNO diterima dalam bentuk bersegi-segi. Tidak bulat. Dalam ertikata lain, ada  yang ditunaikan secara rencah dan lebih banyak mengikut cara lama berpolitik. Pemimpin yang dikenali dan banyak mengunjungi mereka diberi tempat untuk mengerjakan 'transformasi' yang diidam-idamkan oleh saf pemimpin tertinggi parti.

Bagi ahli UMNO terserahlah kepada pemimpin dipilih untuk melaksanakannya. Yang penting 'perniagaan timbal balik' yang biasa berlaku dalam pemilihan sudah tamat. Aku dapat yang apa aku hendak...dan kau dapat apa yang kau idamkan selama ini. Jika ada pemimpin yang berjanji itu dan ini, kini masanya mereka mencari mereka sehingga ke lubang cacing terutama yang menang dan mendapat tempat.

Pemimpin tertinggi UMNO kini perlu menggunakan barisan pemimpin yang dipilih dengan sebaik-baiknya untuk memastikan parti terus diterima pada PRU14. Peperangan minda yang sering disebut oleh Presiden Parti memerlukan perancang strategi yang benar-benar mampu melaksanakannya kerana kini ia tidak boleh dibuat dalam keadaan 'menembak dalam gelap' atau pun berdasarkan 'output' iaitu beberapa seminar atau kursus menghadapi memenangi peperangan itu diadakan. Yang penting ialah OUTCOME.

Hasrat parti untuk menubuhkan Jabatan Media Sosial untuk menyediakan soldadu maya menghadapi peperangan ini perlu benar-benar berkesan. Jeneral yang dipilih perlu mempunyai kebolehan melihat menembusi dinding agar segala tindakan yang dibuat tidaklah berbentuk stereotaip atau dalam ertikata mudah......orang lain pun dah lama buat perkara itu.

Pemimpin tertinggi parti perlu mengasingkan 'antah-antah' yang ada di kalangan pemimpin untuk kerja-kerja yang tidak strategik kerana barisan pemimpin yang dipilih sudah tentu dalam perjalanan jauh itu akan cepat letih, melatah dan hilang pedoman sehingga tidak dapat memberi sumbangan yang baik. Apatah lagi ada yang dalam proses untuk menjadi pemimpin parti terpesong atau tergelincir ke dalam longkang moral.

Jika pemimpin ini tidak diasah sepanjang masa terutama minda mereka bahawa kini sudah tiada 'zaman berbulan madu' kerana pembangkang sudah menggerakkan kerja mereka selepas PRU13 termasuk mendaftar pengundi baru, parti akan terus berada di tahap lama dan tidak mampu menghadapi rentak peperangan minda yang lebih dasyat.

Pembangkang menerusi kumpulan R&D mereka membuat pelbagai pendekatan termasuk umpan memberikan wifi percuma untuk mendapatkan maklumat dan penyediaan alat untuk memastikan kedai-kedai kopi menyediakan bahan-bahan terancang disiarkan oleh televisyen web mereka.




Friday, October 18, 2013

SIAPA LAYAK JADI AHLI MT (3)?

Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR : Jangan risau apa yang akan berlaku esok dalam pemilihan UMNO 2013 kerana setiap perwakilan sudah bersedia untuk melakukan yang terbaik. Apatah lagi mereka sudah sedikit sebanyak mengetahui apa yang harus dilakukan kerana pengalaman pada 12 Oktober lalu.

Cuma ada kekurangan di sana sini perlu diperbaiki di samping memastikan tiada anai-anai berkeliaran yang boleh merosakkan tiang seri UMNO dan seterusnya memusnahkan imej parti yang kini ditransfomasikan oleh Presiden.

Sejak dari dulu lagi ahli-ahli UMNO bijak memilih pemimpin mereka sehingga mampu membawa Malaysia sehingga tahap yang tidak boleh difikirkan sebelum merdeka.  Dari sebuah negara pertanian kini ia menuju sebuah negara maju berpendapatan tinggi selain terus membantu golongan yang memerlukan.

Inilah hasil usaha pemimpin UMNO dengan kerjasama rakan lain dalam komponen untuk memastikan negara ini terus bergerak maju dan memberikan manfaat kepada segala golongan tanpa mengira kaum dan keturunan.

Ketika kerajaan di bawah pimpinan UMNO terus membantu Melayu dan Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, nasib golongan bukan Melayu turut dibantu dalam segala segi termasuk bidang keagamaan.

Melayu perlu dibantu agar tidak menjadi seperti Red Indian di Amerika Syarikat dan golongan pribumi di Australia.

Jika kita berpeluang ke luar negara, seperti kata Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek, lihatlah bagaimana pemimpin di negara besar itu membangunkan negara mereka. Ada negara yang mempunyai ahli sains nuklear dan ramai bijak pandai dalam bidang ICT gagal untuk memperbaiki tahap kebersihan terutama membuang najis. 

Ada negara yang kita boleh lihat penduduknya akan beratur beramai-ramai di tepi jalan membuang air besar setiap pagi. Syukur di negara ini, walaupun pelbagai tuduhan diberikan kepada pemimpin Melayu, negara ini terus maju dan berjaya memperjuangkan nasib golongan memerlukan terutama majoriti Melayu yang masih ada di bawah kemiskinan.

Menyalahkan pemimpin UMNO bererti menyalahkan orang Melayu sendiri yang tidak memilih pemimpin yang terbaik di kalangan yang terbaik. Namun ahli UMNO sejak dari dulu mengetahui bahawa pemimpin yang mereka pilih tidak pernah melakukan sesuatu yang tidak menguntungkan bangsa dan negara. jika ada yang berniat demikian, mereka akan dilaknati oleh Allah SWT. Tunggu sajalah masanya. Ini kerana Malaysia, negara dirahmati. Banyak kejadian berlaku di mana ada yang hampir-hampir memegang tampuk tertinggi negara tidak mendapatnya kerana tuhan sudah menentukan bahawa tempat itu bukan untuk beliau.

Kejayaan mewujudkan peluang terutama dalam bidang perniagaan membolehkan ramai yang berjaya dalam hidupnya. Ini kerana kepintaran pemimpin Melayu mentadbir negara ini bersama rakan mereka daripada kaum lain.  Ada yang berjaya masih terus membantu saudara-mara dan rakan taulan. Sudah tentu ramai orang Melayu yang mahu lihat ialah UMNO terus membantu Melayu tanpa rasa takut atau gentar kerana jika ini tidak dilakukan maka nasib bangsa Melayu akan tidak menentu. Adalah dibimbangkan takut Melayu bergelandangan di negara sendiri.

Semua pemimpin UMNO kini berusaha keras untuk memastikan semua pihak yang memberi kepercayaan kepada parti akan terus dibela termasuk yang bukan ahli terutama golongan Bumiputera dan Melayu. Usaha UMNO untuk memperkasakan ekonomi Melayu adalah satu manifestasi bahawa UMNO sedar bahawa Melayu perlu dibantu sepanjang masa kerana ia terpahat dalam Perlembagaaan di mana tiada siapa yang boleh mempertikaikannya kecuali mereka yang buta sejarah,.

Dalam keadaan sekarang, ahli-ahli UMNO bijak untuk memilih pemimpin yang mereka rasa dapat membantu memperkukuhkan parti. jangan risau bab pemimpin yang sentiasa mahu dipalitkan dengan perkara kotor oleh pembangkang kerana yang penting pemimpin itu tahu mereka bersih di dalam dan luar serta berjiwa besar untuk membantu bangsa.

Mempunyai pemimpin yang tidak bijak dan berani ibarat memberi kunci ferrari kepada mereka yang tiada lesen memandu dan tidak tahu harga kereta ferrari itu.


Thursday, October 17, 2013

SIAPA LAYAK JADI AHLI MT (2)?

Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR: Dua hari menjelang pemilihan Sabtu ini, lebih 140,000 perwakilan pasti sudah boleh memikirkan siapakah pemimpin yang mereka akan pilih sebagai Naib Presiden dan ahli Majlis Tertinggi. Ini berdasarkan pengamatan terhadap pengalaman dan kelayakan calon bertanding selain maklumat terbaru yang diterima menerusi ceramah atau majlis bersemuka dengan calon MT di tempat mereka.

Pemimpin yang pernah diberi tanggungjawab oleh pemimpin tertinggi parti sama ada sebagai pemimpin peringkat negeri atau pusat amat mudah dilihat kemampuan mereka berdasarkan 'track record' sama ada cemerlang atau lemah terutama dalam membantu rakyat di bawah.

Pemimpin yang pernah diberi peluang untuk menerajui sayap sebagai ketua atau EXCO juga mampu memaparkan kebolehan mereka dalam mengadakan program untuk ahli dan rakyat. Ini termasuk membantu golongan bawahan di luar bandar selain graduan yang memerlukan pekerjaaan. Apakah program terbaik yang dilaksanakan oleh pemimpin ini ketika diberikan kepercayaan untuk menerajui sayap?

Sudah tentulah mereka yang sering menjadi perbualan kerana kelemahan atau kelambatan bertindak dalam khidmatnya akan membentuk unsur negatif yang mengurangkan sokongan perwakilan. Pemimpin seperti ini sudah tentu tidak akan diberikan tempat apatah lagi jika ia mencacatkan program transformasi yang rancak dilaksanakan oleh Presiden parti. Mereka yang tidak mampu membawa transformasi ini perlu memberi peluang kepada orang lain untuk melaksanakannya.

Bagi yang memberikan perkhidmatan cemerlang dan terbaik terutama dalam membantu pucuk tertinggi parti dalam pelbagai transformasi yang dilakukan akan terus mendapat tempat dan diberi peluang sekali lagi. Kecemerlangan mereka sudah tentu terserlah dengan sokongan padu pengundi pada PRU13 lalu.

Bagi calon baru, segala butiran mengenai apa yang mereka hendak lakukan ketika berceramah atau menggunakan medium lain termasuk media cetak dan elektronik membolehkan perwakilan mengetahui apa yang mereka mampu buat untuk membantu parti. Selain itu, kecemerlangan mereka dalam bidang masing-masing dan bekerja keras di akar umbi pasti menjadi kelebihan untuk dipilih.

Ahli UMNO matang dalam menilai mereka yang mampu memberi khidmat terbaik berbanding individu yang hanya beria-ia benar untuk memegang jawatan tetapi gagal untuk melaksanakannya. Mereka juga tentu mengetahui ciri-ciri pemimpin yang sesuai untuk diberikan tempat bagi membantu Presiden parti menghadapi PRU14 yang akan datang.

bersambung.....


Wednesday, October 16, 2013

SIAPA LAYAK JADI AHLI MT (1)?

Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR : Tarikh 19 Oktober ini akan menjadi penentu kepada calon-calon Majlis Tertinggi dan Naib Presiden sama ada mereka dipilih untuk mengisi tiga kerusi NP dan 25 kerusi MT. Sejak mendapat pengesahan kebenaran bertanding mereka sudah bergerak ke seluruh negara menyampaikan apakah perjuangan yang ingin dilaksanakan jika terpilih menjadi NP dan MT.

Setelah keputusan sayap pada 12 Oktober menyaksikan penyandang jawatan terus kekal bagi Wanita dan Pemuda serta pemilihan ketua baru bagi Puteri, ramai yang berpendapat bahawa calon yang dikenali lebih mudah mendapat tempat terutama dari segi penilaian apa yang mereka sudah buat selama ini.

Khairy Jamaluddin kekal sebagai Ketua Pemuda UMNO dan begitu juga Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil menjadi Ketua Wanita UMNO. Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin dipilih sebagai Ketua Puteri UMNO.

Persoalannya apakah aliran ini berterusan dalam pemilihan NP dan MT? Jika aliran ini berterusan pada 19 Oktober ini maka muka-muka baru terutama yang pertama kali bertanding NP dan MT perlu bekerja keras untuk memastikan perwakilan mengenali mereka terutama apa yang sudah diperjuangkan selama ini.

Bagi jawatan NP, hanya seorang saja calon baru (walaupun semua sudah kenal) iaitu Dato' Paduka Mukhriz Tun Dr Mahathir yang kini memegang jawatan Menteri Besar Kedah. Lima calon lain pernah menjadi Naib Presiden iaitu Tan Sri Mohd Isa Samad dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam.  Tiga penyandang iaitu Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Shafie Afdal sudah pasti dikenali dan diketahui apa yang mereka sudah sumbangkan. Mereka kini dikatakan bergerak bersama-sama ke seluruh negara dengan hasrat agar perwakilan memilih semula tiga serangkai ini.

Bagi jawatan MT, sudah tentu penyandang akan mempunyai banyak kelebihan kerana kebanyakan mereka memegang jawatan Menteri Besar atau Ketua Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri. Ini termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Hassan Malek, Datuk Seri Idris Haron, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Datuk Razali Ibrahim.

bersambung....


Thursday, October 10, 2013

AKHRAMSYAH BANTAI TONY PUA @ KUIH PAU

KENYATAAN AKHBAR

Tarikh : 10 Oktober 2013 Masa : 9.00 pagi Tempat : Sunway Hotel, Seberang Perai, Pulau Pinang

Bismillahirrahmanirrahim. 

Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera.

Terima kasih di atas kesudian rakan-rakan media untuk hadir ke sidang media hari ini.
Sidang media ini diadakan dengan tujuan untuk menyatakan pendirian saya mengenai isu penghinaan Ketua Publisiti DAP, Tony Pua ke atas Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan akhbar Utusan Malaysia.

Anjing Yang Setia

Tony Pua mungkin tersilap merujuk gelaran "anjing" kepada ROS dan akhbar Utusan Malaysia itu, yang sebenarnya ditujukan kepada dirinya sendiri kerana beliau dilihat begitu setia dan konsisten ‘menyalak' demi mempertahankan tuannya dalam parti DAP.  

Sebagai graduan salah sebuah universiti tersohor di dunia, adalah agak meragukan sekiranya Tony Pua tidak faham punca sebenar (root cause) tentang isu pemilihan CEC berbanding dengan pemikiran seekor anjing. 

Untuk makluman semua, yang buat pemilihan CEC adalah parti DAP, yang tidak menghantar surat jemputan kepada perwakilan adalah di kalangan pengurusan tertinggi DAP, yang tidak tahu menggunakan perisian Microsoft Excel adalah juga di kalangan pengurusan DAP dan yang paling penting aduan yang dibuat kepada ROS adalah dari kalangan ahli-ahli DAP sendiri. 

Justeru itu, mengelarkan ROS dan Utusan Malaysia sebagai ‘anjing' UMNO dan mengaitkan ketiga-tiganya adalah satu perbuatan yang bertentangan dengan logik akal manusia. Ini berbeza dengan tabiat dan pemikiran seekor anjing yang pasti akan menyalak setiap kali tetamu datang ke rumah tuannya, walaupun sebenarnya tetamu tersebut adalah daripada kalangan saudara terdekat tuannya.

Perlu diingat UMNO dahulu pun pernah diharamkan ROS pada tahun 1988. Ini menunjukkan kewibawaan dan profesionalisma ROS dalam menjalankan tugasnya memantau pertubuhan-pertubuhan termasuk DAP juga.

("Maybe Oxford grads are just good to be barking dogs", which I believe it is not true)

Kesimpulan

Saya secara peribadi serta mewakili rakan-rakan Pergerakan Pemuda UMNO dari seluruh pelusuk tanahair ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak ROS yang telah menjalankan tugas mereka berdasarkan aduan-aduan yang dibuat oleh ahli-ahli DAP. Ini menunjukkan bahawa walaupun sebagai agensi kerajaan di bawah pentadbiran parti Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO, ROS tidak memilih bulu dalam melaksanakan tugas yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka walaupun aduan-aduan tersebut dibuat oleh ahli-ahli parti pembangkang sekaligus menunjukkan ketelusan, kepercayaan dan kebergantungan rakyat kepada agensi kerajaan yang selama ini dilabelkan dengan pelbagai persepsi negatif.

Kami juga ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada akhbar Utusan Malaysia yang berterusan melaksanakan tanggungjawab sosialnya dalam membawa suara akar umbi ahli DAP yang mahukan satu proses pemilihan parti DAP dijalankan secara telus, walaupun selama ini Utusan Malaysia seringkali dikaitkan sebagai milik parti UMNO dan hanya membawa suara orang Melayu sehingga dituduh sebagai akhbar bersifat rasis. Kini terbukti tuduhan tersebut tidak benar kerana Utusan juga menjadi penyambung lidah dan keluh kesah ahli-ahli akar umbi DAP yang majoritinya bukan Melayu.

Sebagai seorang ahli UMNO, sebuah parti yang meletakkan kesucian agama Islam sebagai salah satu asas penting dalam penubuhan dan perlembagaannya, saya mendesak Tony Pua memohon maaf secara terbuka kepada seluruh ahli UMNO, kakitangan ROS dan kakitangan Utusan Malaysia di atas tindakannya yang begitu biadap dan celupar sehingga melangkaui batas serta nilai-nilai murni kehidupan masyarakat yang selama ini hidup harmoni dan memahami serta menghormati pegangan agama masing-masing serta sensitiviti antara pelbagai kaum.

AKHIR SEKALI, SAYA INGIN MENGESYORKAN AGAR SETIAUSAHA AGUNG DAP, DATUK LIM GUAN ENG, MELETAK JAWATAN ATAS KEGAGALANNYA MENTADBIR DAP SEHINGGAKAN MENGAKIBATKAN DAP KINI DI AMBANG PEMBATALAN PENDAFTARANNYA. MUNGKIN TUGAS DATUK LIM SEBAGAI KETUA MENTERI PULAU PINANG TERLALU BERAT UNTUK DIPIKUL BERSAMA DENGAN TUGAS SETIAUSAHA AGUNG PARTI DAP, WALLAHUALAM PUNCA KEGAGALANNYA, TETAPI JANGANLAH BIARKAN PEMIMPIN PARTI DAP LAIN MENJADI MANGSA SEMATA-MATA UNTUK MENUTUP KECACATAN PERLAKSANAAN TANGGUNGJAWAB DATUK LIM SEBAGAI SETIAUSAHA AGUNG DAP.

"Demi Agama, Bangsa dan Tanahair"

Yang Ikhlas,

AKHRAMSYAH MUAMMAR UBAIDAH BIN SANUSI