Friday, October 18, 2013

SIAPA LAYAK JADI AHLI MT (3)?

Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR : Jangan risau apa yang akan berlaku esok dalam pemilihan UMNO 2013 kerana setiap perwakilan sudah bersedia untuk melakukan yang terbaik. Apatah lagi mereka sudah sedikit sebanyak mengetahui apa yang harus dilakukan kerana pengalaman pada 12 Oktober lalu.

Cuma ada kekurangan di sana sini perlu diperbaiki di samping memastikan tiada anai-anai berkeliaran yang boleh merosakkan tiang seri UMNO dan seterusnya memusnahkan imej parti yang kini ditransfomasikan oleh Presiden.

Sejak dari dulu lagi ahli-ahli UMNO bijak memilih pemimpin mereka sehingga mampu membawa Malaysia sehingga tahap yang tidak boleh difikirkan sebelum merdeka.  Dari sebuah negara pertanian kini ia menuju sebuah negara maju berpendapatan tinggi selain terus membantu golongan yang memerlukan.

Inilah hasil usaha pemimpin UMNO dengan kerjasama rakan lain dalam komponen untuk memastikan negara ini terus bergerak maju dan memberikan manfaat kepada segala golongan tanpa mengira kaum dan keturunan.

Ketika kerajaan di bawah pimpinan UMNO terus membantu Melayu dan Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, nasib golongan bukan Melayu turut dibantu dalam segala segi termasuk bidang keagamaan.

Melayu perlu dibantu agar tidak menjadi seperti Red Indian di Amerika Syarikat dan golongan pribumi di Australia.

Jika kita berpeluang ke luar negara, seperti kata Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek, lihatlah bagaimana pemimpin di negara besar itu membangunkan negara mereka. Ada negara yang mempunyai ahli sains nuklear dan ramai bijak pandai dalam bidang ICT gagal untuk memperbaiki tahap kebersihan terutama membuang najis. 

Ada negara yang kita boleh lihat penduduknya akan beratur beramai-ramai di tepi jalan membuang air besar setiap pagi. Syukur di negara ini, walaupun pelbagai tuduhan diberikan kepada pemimpin Melayu, negara ini terus maju dan berjaya memperjuangkan nasib golongan memerlukan terutama majoriti Melayu yang masih ada di bawah kemiskinan.

Menyalahkan pemimpin UMNO bererti menyalahkan orang Melayu sendiri yang tidak memilih pemimpin yang terbaik di kalangan yang terbaik. Namun ahli UMNO sejak dari dulu mengetahui bahawa pemimpin yang mereka pilih tidak pernah melakukan sesuatu yang tidak menguntungkan bangsa dan negara. jika ada yang berniat demikian, mereka akan dilaknati oleh Allah SWT. Tunggu sajalah masanya. Ini kerana Malaysia, negara dirahmati. Banyak kejadian berlaku di mana ada yang hampir-hampir memegang tampuk tertinggi negara tidak mendapatnya kerana tuhan sudah menentukan bahawa tempat itu bukan untuk beliau.

Kejayaan mewujudkan peluang terutama dalam bidang perniagaan membolehkan ramai yang berjaya dalam hidupnya. Ini kerana kepintaran pemimpin Melayu mentadbir negara ini bersama rakan mereka daripada kaum lain.  Ada yang berjaya masih terus membantu saudara-mara dan rakan taulan. Sudah tentu ramai orang Melayu yang mahu lihat ialah UMNO terus membantu Melayu tanpa rasa takut atau gentar kerana jika ini tidak dilakukan maka nasib bangsa Melayu akan tidak menentu. Adalah dibimbangkan takut Melayu bergelandangan di negara sendiri.

Semua pemimpin UMNO kini berusaha keras untuk memastikan semua pihak yang memberi kepercayaan kepada parti akan terus dibela termasuk yang bukan ahli terutama golongan Bumiputera dan Melayu. Usaha UMNO untuk memperkasakan ekonomi Melayu adalah satu manifestasi bahawa UMNO sedar bahawa Melayu perlu dibantu sepanjang masa kerana ia terpahat dalam Perlembagaaan di mana tiada siapa yang boleh mempertikaikannya kecuali mereka yang buta sejarah,.

Dalam keadaan sekarang, ahli-ahli UMNO bijak untuk memilih pemimpin yang mereka rasa dapat membantu memperkukuhkan parti. jangan risau bab pemimpin yang sentiasa mahu dipalitkan dengan perkara kotor oleh pembangkang kerana yang penting pemimpin itu tahu mereka bersih di dalam dan luar serta berjiwa besar untuk membantu bangsa.

Mempunyai pemimpin yang tidak bijak dan berani ibarat memberi kunci ferrari kepada mereka yang tiada lesen memandu dan tidak tahu harga kereta ferrari itu.


No comments: