Tuesday, February 12, 2008

MEDIA BARU PENGARUHI UNDI PRU12?

Ketika Khairy Jamaluddin (KJ) berpendapat bahawa internet hanya akan memainkan peranan penting dalam pilihanraya akan datang (bukan kali ini tetapi PRU 13) seperti yang dinyatakan di sini , pencabar beliau, jika KJ bertanding di Parlimen Rembau, sudah memulakan kempen sibernya untuk berhadapan dengan Naib Ketua Pemuda UMNO itu. Alamat blog calon Rembau daripada PKR itu disiarkan oleh blog persendirian tertentu.

Saya pernah menulis mengenai kepentingan media baru sebelum ini dan berpendapat bahawa ia akan menjadi antara perkara menarik yang akan berlaku pada PRU kali ini. Alasannya ialah: " Sejak kebelakangan ini, bilangan blog bertambah ibarat "cendawan tumbuh selepas hujan". Pelbagai bentuk blog yang dihasilkan. Ada yang berbentuk online diary, news portal atau blog yang mengandungi album gambar. Masing-masing ada tujuan dan matlamatnya. Ada yang syok sendiri, mengeletek hati, merapu atau serius. Walaupun media baru ini sudah muncul sejak 1980an lagi, tetapi penggunaan secara meluas di Malaysia ini boleh dilihat sejak 2000 dengan kemunculan beberapa news portal seperti Agendadaily, MalaysiaToday, Malaysiakini dan blog-blog persendirian seperti ScreenShots yang dikendalikan oleh Jeff Ooi, bekas kolumnis NST dan kolumnis Malaysian Business, majalah keluaran Berita Publishing Sdn Bhd. Kewujudan media baru ini sudah pasti akan memberi keuntungan kepada pihak yang mahir menggunakannya."

Persoalannya, apakah media baru ini akan berjaya mempengaruhi undi dalam PRU 12?

Jika ditanya golongan yang suka membaca blog atau "blog hopper" (bukan grasshopper), terutama yang mengikuti komen diberikan pembaca blog, sudah pasti mereka merasakan bahawa rakyat negara ini akan "membuat sesuatu" pada pilihanraya kali ini. Apatah lagi dengan pelbagai isu yang diutarakan seperti kenaikan harga barang dan perkembangan politik semasa di negara ini.

Tetapi jika bertanya kepada golongan yang tidak membaca media baru termasuk news portal dan blog persendirian, mereka mungkin tidak menyedari "apa yang berlaku" dalam dunia siber dengan pelbagai kecaman, tohmahan, nama gelaran, caci mencaci, membuat tuduhan dan segala macam luahan hati rakyat negara ini. Ada pembaca blog yang marah serta geram dan ada juga yang terlalu taksub dengan idealogi mereka sehingga mengeluarkan kata-kata yang tidak pernah terfikir oleh kita sebelum ini.

Bagi golongan yang hanya membaca media perdana atau mengikuti siaran televisyen Astro, TV3 atau RTM, mereka merasakan Malaysia berjalan lancar, semuanya ok serta berpuas hati dengan segala pembangunan yang dibawa oleh kerajaan sekarang. Dalam ertikata lain, fikiran mereka tidak akan berkecamuk dengan pelbagai isu yang ditimbulkan oleh sesetengah pihak. Walaupun ada berita mengenai kesusahan atau kegusaran rakyat di televisyen, ia seperti laporan terdahulu yang semata-mata untuk mengingatkan kerajaan yang memerintah untuk terus membela "orang bawah". Mereka hanya menjalankan kehidupan seperti biasa dan menghadapi masalah seadanya.

Apapun, kita tunggu keputusan PRU12. Ramai yang yakin BN tiada masalah untuk mengekalkan dua pertiga kerana rakyat mahukan kesinambungan kehidupan sekarang. Selepas PRU12, bolehlah kita membuat telahan mengenai peranan yang dimainkan oleh media baru terutama blog persendirian terutama ahli politik pembangkang dan yang pro pembangkang.

No comments: