Tuesday, July 10, 2007

PRU12: RAMALAN TOK NUJUM (7)

PRU12 kali ini pasti menarik apabila memperkatakan penggunaan media baru atau blog. Sejak kebelakangan ini, bilangan blog bertambah ibarat "cendawan tumbuh selepas hujan". Pelbagai bentuk blog yang dihasilkan. Ada yang berbentuk online diary, news portal atau blog yang mengandungi album gambar. Masing-masing ada tujuan dan matlamatnya. Ada yang syok sendiri, mengeletek hati, merapu atau serius.

Walaupun media baru ini sudah muncul sejak 1980an lagi, tetapi penggunaan secara meluas di Malaysia ini boleh dilihat sejak 2000 dengan kemunculan beberapa news portal seperti Agendadaily, MalaysiaToday, Malaysiakini dan blog-blog persendirian seperti ScreenShots yang dikendalikan oleh Jeff Ooi, bekas kolumnis NST dan kolumnis Malaysian Business, majalah keluaran Berita Publishing Sdn Bhd.

Sejak daripada itu pelbagai blog wujud diusahakan invididu yang mengunakan nama sendiri atau nama samaran. Kebanyakannya diusahakan oleh pemimpin politik terutama daripada pembangkang termasuklah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang. Tidak terkecuali blog ini diwujudkan oleh wartawan veteran seperti Datuk A Kadir Jasin (AKJ), Datuk Ahmad A Talib, Datuk Rejal Arbee, Ahirudin Attan (the one and only Rocky),Datuk Ruhanie Ahmad, Marina Mahathir, Nuraina Samad dan Suhaimi Sulaiman.. Sekadar menyebut beberapa nama.

Tulisan yang dikemukakan oleh ahli politik dan wartawan veteran ini selalu membabitkan isu mengenai rakyat keseluruhannya. Oleh itu, tidak hairanlah mesej yang ingin disampaikan membabitkan kesusahan rakyat, dasar dan projek kerajaan yang banyak menimbulkan persoalan seperti Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), agensi kerajaan yang lemah, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pemimpin politik yang korup, campurtangan kerajaan luar, pengurus media, keluarga terdekat Perdana Menteri dan seribu macam isu termasuk corak kepemimpinan negara.

Seperti lumrahnya, pemimpin parti pembangkang pula sudah pasti memberi tumpuan untuk membangkitkan semua kelemahan pentadbiran kerajaan termasuk isu rasuah, sistem penghantaran yang lembab, projek terbengkalai, syiling bangunan runtuh dan bocor, kelemahan PDRM, pencemaran alam sekitar dan seribu macam isu lagi membabitkan pemimpin politik yang menganggotai kerajaan.

Kewujudan media baru ini sudah pasti akan memberi keuntungan kepada pihak yang mahir menggunakannya.

Buat masa ini, sudah tentulah media baru ini telah digunakan secara berkesan oleh pembangkang dan penyokong-penyokongnya termasuk penulis blog persendirian. Malah pemimpin PAS, Datuk Husam Musa telah menggunakan kebijaksanaannya untuk mempelawa penulis blog, Kickdefella atau Sheih untuk bekerja dengannya bagi membuat publisiti mengenai apa yang dilakukan oleh parti itu. Malah Sheih, yang boleh menulis dalam dua bahasa juga mewujudkan dua blog dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia. Ironinya, Sheih sebelum ini adalah ahli UMNO. Atau masih menjadi ahli?

Apakah media baru ini akan digunakan secara meluas oleh parti politik dalam PRU12? Jawapannya ialah "a big yes". Setelah pembangkang menggunakan sepenuhnya media baru ini, kini UMNO mengambil langkah yang sama iaitu menubuhkan angkatan penulis sibernya sendiri untuk menyebarkan maklumat mengenai dasar dan peranan parti. Datuk Seri Azalina Othman Said yang mempunyai pengalaman ketika menjadi Ketua Puteri UMNO ditugaskan untuk mengepalai bala tentera penulis siber. Ini menggambarkan seolah-olah Perang Siber menjelang PRU12 sudah bermula dan mungkin lebih sengit lagi ketika pilihanraya itu diadakan.

Apakah media baru ini memberi kesan sepenuhnya dalam menyampaikan maklumat terbaru? Ini sudah pasti kerana melihat daripada jumlah hits yang diperolehi oleh news portal seperti MalaysiaToday, dinakhodai oleh Raja Petra Kamaruddin (RPK), yang pernah mencapai 50 juta hits dalam satu bulan.

Begitu juga MalaysiaKini, diterajui oleh wartawan Steven Gan dan Agendadaily yang dikepalai oleh dua wartawan veteran Utusan Malaysia, Rosli Ismail dan Datuk Badrulhisham. Masing-masing mempunyai kumpulan pembaca tersendiri. Hanya MalaysiaKini yang mengenakan bayaran untuk melayari berita penuhnya.

Kini muncul pula KLPos yang diusahakan oleh Helme Hanafi, seorang hafiz dan bekas wartawan AgendaDaily. KLPOS kini semakin diminati ramai terutama golongan pembaca Melayu.

Apakah jumlah hits ini memaparkan bahawa bahan yang disiarkan oleh MT dibaca oleh ramai penduduk di negara ini terutama di luar bandar? Jika perkara ini berlaku maka sudah pasti media baru akan menjadi media penting dalam menyebarkan maklumat dan propaganda ketika pilihanraya.

Ia juga amat sesuai digunakan oleh calon-calon pilihanraya akan datang. Wahai bakal-bakal calon pilihanraya, mulalah mencari usahawan siber yang boleh membantu membina laman web saudara-saudari. Harganya tidak mahal hanya RM1,000 hingga RM1,500 saja. Apa tunggu lagi? Itupun kalau rasa akan menjadi calon.

2 comments:

Anonymous said...

Ini seharusnya menjadi amalan biasa di dalam sesebuah demokrasi sihat. Jika secara tradisi media konvensional memberi ruang hanya kepada satu pihak, maka sekarang kedua-dua pihak mempunyai peluang yang sama untuk mengenengahkan mesej masing-masing dan rakyatlah yang akhirnya akan membuat keputusan seperti yang sepatutnya. Walaubagaimanapun, harus diingat kadar 'penetration' capaian internet (20% +/-5) belum mencapai 'critical mass' untuk menjadi saluran yang benar-benar memberi kesan yang menyeluroh.

Anonymous said...

awangsulungmerah menyala WROTE,

saudara seorang penulis blog yg bijak bertimbang tara menarik rambut dlm tepung,tepung tidak berselerak rambut tidak terputus.