Wednesday, June 30, 2010

SALAH JUAL MAKLUMAT PERIBADI

KUALA LUMPUR 29 Jun - Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (SPDP) yang akan beroperasi Januari tahun depan tidak akan membenarkan syarikat-syarikat rujukan kredit menyimpan data-data peribadi orang ramai tanpa kebenaran.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim memberitahu, syarikat rujukan kredit seperti Credit Tips Off Sdn. Bhd., (CTOS) akan diarahkan menghapuskan segala data-data peribadi yang terkandung dalam simpanan data syarikat tersebut.

"SPDP akan memastikan data-data peribadi orang ramai termasuk data kebankrapan, kewangan, perkahwinan dan kesihatan tidak disimpan mana-mana syarikat rujukan kredit tanpa kebenaran bertulis individu terlibat.

"Syarikat terbabit tidak lagi boleh bergerak seperti biasa. Suruhanjaya ini akan mengenakan beberapa syarat dan sebelum syarat ini dipenuhi maka ia tidak boleh beroperasi seperti sedia kala," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009 kepada 772 kakitangan kementerian di sini hari ini.

Turut hadir dua timbalannya, Datuk Joseph Salang Gandum dan Datuk Maglin Dennis D'cruz serta Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Kamaruddin Siaraf.

SPDP dibentuk melalui Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi yang diluluskan oleh Parlimen pada Oktober lalu.

Undang-undang itu bagi mengawal selia pemprosesan data peribadi mana-mana individu dan bagi menjaga kepentingan haknya daripada disalah guna oleh pihak tertentu.

Rais berkata, SPDP juga berkait rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana ia menggunakan ilmu forensik komputer.

"Pesuruhjaya suruhanjaya itu pun bukan calang-calang orang, beliau perlu terlatih dalam soal-siasat, pemeriksaan balas dalam persoalan mahkamah serta lain-lain," tambah beliau.

Terdahulu, dalam ucapannya, Rais berkata, kakitangan awam tidak perlu berasa selesa dengan pencapaian pada masa kini tetapi apa yang penting adalah bagaimana untuk mengekalkan pencapaian tersebut di masa hadapan.

"Hendak kekal pencapaian bukan senang, tetapi sukar, dalam hidup kita sentiasa dilumbai, keadaan dalam perkhidmatan yang statik dan tidak perlu ditokok tambah adalah sifat yang tidak baik, jadi kita perlu taruh dalam diri bahawa bulan depan tentu kita lebih cemerlang lagi," katanya.

Rais berkata, setiap kali menerima ganjaran, kakitangan awam perlu berkhidmat dengan lebih lagi kepada kerajaan dan negara serta rakyat.

"Kita utamakan rakyat dan pencapaian kita, saya minta pegawai bangkit, berjuang bersatu dalam gagasan 1Malaysia, semestinya kita mesti garap bersama," katanya.

(Renungan Rimau : Kegiatan jual data peribadi ini perlu dihapuskan. Ini kerana mereka boleh membuat 1001 perkara terhadap maklumat peribadi kita. Ada yang kurang ajar memanggil kita pada waktu maghrib semata-mata untuk menjual barangan atau perkhidmatan mereka. Memang kurang ajar dan tidak memahami orang sibuk hendak solat ketika itu. Ada yang kacau ketika kita bermesyuarat. Tapi yang lebih teruk ialah menggunakan maklumat orang lain untuk membuat pinjaman wang atau membuat sesuatu yang tidak baik. Mari kita memerangi orang macam ini.)

No comments: